TERKINI :

Thursday, February 8, 2018

Media kerajaan dan pemimpin Umno lebih dahsyat cetuskan berita palsu


Begitu ramai pemimpin UMNO dan kerajaan bercakap mengenai undang-undang mengekang berita palsu sekarang ini. Ada yang mengatakan ia suatu keperluan, meminta undang-undang itu disokong semua orang dan tidak kurang yang menyatakan sesiapa yang melakukannya tidak akan terlepas daripada tindakan.

Cara mereka bercakap seolah-olah hanya pihak pembangkang atau mereka yang condong kepada perubahan saja yang gemar menyebar berita palsu ini.

Seolah-olahnya juga pemimpin UMNO dan kerajaan serta media yang ditaja oleh mereka tidak pernah sama sekali terlibat dalam berita palsu, sebaliknya hanya menjadi mangsa belaka.

Benarkah begitu?

Untuk melihat yang mana benar dan yang mana palsu, cuba kita imbas kembali beberapa kenyataan Najib Razak mengenai 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya sebelum ini.

Daripada beliau pada mulanya menafikan perkara itu, kemudian mengakuinya dan beberapa kenyataannya yang berbeza-beza mengenai satu perkara, tidaklah itu sebenarnya berita palsu?

Malah, dua hari lalu apabila Najib mengatakan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion tidak hilang dan asetnya lebih besar daripada itu, ia adalah jelas suatu lagi berita palsu daripadanya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, menziarahi makam Rasulullah serta masuk ke dalam Kaabah.

Bukankah sebelum ini juga Najib mengakui 1MDB adalah suatu kegagalan kerajaan?

Kenapakah Najib asyik merapu dan tidak konsisten tentang 1MDB yang bagi rakyat adalah suatu malapetaka bagi negara?

Begitu juga dengan kenyataan Zahid Hamidi yang mengakui pernah berjumpa dengan wakil keluarga penderma RM2,600 juta kepada Najib, tetapi apabila diasak untuk berterus-terang siapakah yang ditemuinya itu, sehingga sekarang senyap terus kata-katanya, tidakkah ia suatu berita palsu?

Lebih dari itu, Zahid Hamidi juga pernah gah membuat dakwaan mengenai dalang Lahad Datu, amalan syiah yang melibatkan Mohamad Sabu, kad pengenalan biru Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya bertulis “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” dan beberapa perkara lain yang gagal dibuktikannya, bukankah ia satu lagi berita palsu yang nyata?

Dalam beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang berbeza dan bercanggah antara satu sama lain ketika mempertahankan Najib berhubung wang RM2,600 juta yang diterimanya, apakah ia bukan berita palsu?

Ketika Ahmad Maslan dengan bangga menyatakan GST akan menurunkan harga barang, tetapi semunya terbukti tipu belaka sehingga kini, tidakkah ia juga berita palsu?

Dalam waktu yang sama, cuba juga kita lihat media-media arus perdana seperti akhbar dan televisyen yang semakin tidak laku dan diketepikan rakyat, terutama dalam laporannya berkaitan politik, berapa peratuskah berita benar yang ada di dalamnya?

Ada yang mengatakan dalam media arus perdana sekarang, hanya laporan waktu sembahyang dan keputusan nombor ekor saja berita yang benar dan boleh dipercayai.

Tidakkah dengan semua perkembangan ini, media arus perdana sudah menjadi penyebar berita palsu berlesen paling utama dalam negara?

Jika media arus perdana pun sudah begitu dahsyat kelakuannya, usah dibayangkan lagi bagaimana ganas dan rakusnya media baru, media sosial dan blog serta portal yang ditaja oleh UMNO dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menyebarkan berita-berita palsu melalui tulisan-tulisan mereka setiap hari.

Yang nyata, hampir semuanya palsu, rekaan dan khayalan semata-mata yang dilaporkan sedemikian rupa hanya untuk memastikan kerajaan kleptokrasi terus kekal berkuasa.

Maka, ketika kerajaan mahu merangka undang-undang mengekang berita palsu ini, siapakah yang mereka mahu sasarkan sebenarnya?

Pembangkang atau diri mereka sendiri?

Sudahkah kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO menatap cermin untuk melihat kebenaran?

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 05 Februari 2018

Kekal 31 kerusi asal, bincang 4 kerusi baru, Pakatan Harapan berjaya selesai 62 peratus agihan


SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor berjaya menyelesaikan rundingan 35 daripada 56 kerusi DUN dalam mesyuarat pembahagian kerusi semalam.

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh berkata, rundingan yang berjaya diselesaikan adalah kerusi asal yang ditandingi PKR, DAP dan Amanah pada pilihan raya umum ke-13.

 
Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh

“Setakat ini memang bukan semua diselesaikan kerana ini adalah mesyuarat pertama. Kami berjaya 62% dari jumlah keseluruhan kerusi.

“Apa yang kami akan buat selepas ini adalah perjumpaan secara 2 pihak atau 3 pihak di antara parti secara berasingan,” katanya ketika ditemui selepas tamat mesyuarat di Shah Alam kelmarin.

Pada PRU13, PKR memenangi 14 kerusi, DAP (15) dan Amanah (2). Bilangan kerusi PKR dan DAP berkurang 1 kerusi apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dan Loh Chee Heng keluar parti.

Kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti-parti yang menang. Berdasarkan mesyuarat itu, jika dijumlahkan keseluruhan kerusi dimenangi PKR, DAP dan calon Amanah, yang sebelum ini bertanding atas tiket PAS, hanya 4 kerusi baharu berjaya dibincangkan.

Selain Gobind, DAP menghantar Prof Abdul Aziz Bari, Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan Adun Kuala Kubu Baru Lee Kee Hiong ke mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Selangor Saari Sungib berkata partinya menuntut 18 lagi kerusi DUN, menjadikan bilangan kerusi DUN dipohon 20 kerusi.

Saari berkata Amanah sedia berunding dan melepaskan 4 atau 5 kerusi DUN kepada PPBM sahaja tetapi tidak kepada parti lain.

“Secara prinsipnya, kita bertanding untuk menggantikan PAS. Kita akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi PAS,” katanya.

Pada PRU13, sewaktu PAS bersama Pakatan Rakyat, parti Islamis itu menang 15 daripada 21 kerusi DUN yang ditandingi.

Menurut Saari, 4 parti komponen PH iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah berebut kerusi-kerusi PAS dan BN terutamanya kerusi DUN Lembah Jaya, yang ketika ini dipegang Adun Khasim Abdul Aziz dari PAS.

Pada PRU13, Khasim menewaskan calon BN dengan majoriti selesa 8,713 undi.

Sementara itu, Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata, beliau gembira dengan mesyuarat tersebut dan akan sedaya upaya menyelesaikan pembahagian kerusi minggu ini.

Mesyuarat pembahagian kerusi ini akan diteruskan esok, 3.00 petang.

Sebelum ini, Naib Pengerusi PKR Selangor Xavier Jayakumar memberitahu PKR berhasrat untuk bertanding di semua 12 kawasan yang ditandingi partinya pada PRU13.

Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa Azmin.

Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14.

Reaksi Amanah dan DAP itu menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya dimuktamadkan 31 Januari lalu terpaksa dilanjutkan untuk seminggu lagi berikutan pertikaian antara parti komponen.

Abdul Rahman sangkal dakwaan Mydin penyusutan kuasa beli rakyat

Abdul Rahman sangkal dakwaan Mydin penyusutan kuasa beli rakyat
Jualan pasar raya besar tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penanda aras bagi prestasi jualan runcit dan seterusnya memaparkan keadaan ekonomi Malaysia serta rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau turut mempertahankan kenyataannya itu dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahagian jualan pasar raya besar hanyalah sebanyak 8.0 peratus.

Kenyataannya itu sebagai menyangkal dakwaan Pengarah Urusan rangkaian pasaraya dan emporium Mydin, Datuk

Ameer Ali Mydin bahawa rakyat negara ini tidak mempunyai wang mencukupi bagi perbelanjaan barangan keperluan biarpun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Perdagangan runcit di Malaysia telah mencatat pertumbuhan kukuh baik dari segi nilai mahu pun jumlahnya,\” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi nilai, perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan dua angka untuk tiga suku berturut-turut pada 2017 manakala dari segi jumlah, ia meningkat masing-masing kepada 7.8 peratus, 11.5 peratus dan 10.4 peratus bagi suku pertama, kedua dan ketiga 2017.

Abdul Rahman berkata, perdagangan runcit bagi tempoh 11 bulan pertama 2017 meningkat kepada RM410.5 bilion berbanding RM367.7 bilion pada tempoh sama pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus.

Bilangan premis atau kedai tanpa sebarang pengkhususan termasuk pasar raya besar juga meningkat daripada 66,920 (2016) kepada 73,848 pada 2017.

Ini sahaja mungkin menjadi antara sebab mengapa ada pasar raya besar ini mengalami jualan lebih perlahan kerana pengguna kini mempunyai banyak pilihan untuk berbelanja,” katanya.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan Bancian Ekonomi 2016 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, transaksi e-Dagang merangkumi perniagaan kepada pengguna adalah bernilai RM73.7 bilion dan angka itu terus meningkat setiap tahun.

Semakin ramai orang membeli produk, termasuk barangan keperluan asas mengikut keselesaan sendiri berikutan kemudahan berbelanja menerusi internet,” katanya.

Kebanyakan pasar raya besar di Malaysia sudah mula menawarkan pembelian barang runcit dan penghantaran melalui atas talian kepada pelanggan mereka. Mereka yang tidak meneroka trend ini akan kehilangan potensi perolehan yang datang dari kaedah beli-belah yang semakin berkembang ini

Beliau juga memetik angka industri pelancongan tempatan sebagai bukti bahawa rakyat Malaysia mempunyai wang untuk berbelanja.

Sebagai contoh, perbelanjaan dalam kalangan pelancong tempatan meningkat 10.2 peratus pada tahun 2016 kepada RM74.8 bilion berbanding RM67.7 bilion pada tahun 2015 dan menambah, aktiviti beli-belah adalah komponen terbesar perbelanjaan pelancong tempatan dengan sumbangan sebanyak 35.3 peratus.

Pelancong Malaysia membelanjakan RM33.5 bilion di luar negara pada tahun 2016, peningkatan sebanyak RM31.3 bilion pada tahun 2015, walaupun ringgit mengalami penyusutan pada tempoh berkenaan.

Kesemua angka ini bersamaan dengan peningkatan median pendapatan bulanan isi rumah sebanyak 6.2 peratus setahun daripada RM4,585 pada tahun 2014 kepada RM5,228 pada tahun 2016 dan purata bulanan perbelanjaan isi rumah melonjak sebanyak 5.9 peratus setahun daripada RM3,578 pada tahun 2014 kepada RM4,033 pada tahun 2016 seperti dilaporkan dalam Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Keluarga oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, katanya.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh jelas memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk peningkatan pendapatan dan kuasa beli yang menggalakkan penggunaan swasta.

Malah, penggunaan swasta terus menjadi penyumbang kepada ekonomi Malaysia iaitu sebanyak 53.2 peratus atau RM589.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Prestasi ekonomi dan keadaan negara serta rakyatnya tidak boleh diukur melalui hanya satu sub-sektor seperti industri pasar raya besar sahaja.

Walaupun KDNK mempunyai batasannya dan mungkin bukan petunjuk tepat terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat, ia seolah berkait rapat dengan ukuran kualitatif yang lebih besar terhadap kemakmuran.

“Apabila KDNK berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, pendapatan isi rumah meningkat dan rakyat mempunyai lebih banyak wang untuk berbelanja, katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...