TERKINI :

Saturday, February 3, 2018

Bukan Mustahil Kedah Mampu Pertahan Piala Sumbangsih - Marcote

 Roman Marcote
JOHOR BAHRU – Mempertahankan Piala Sumbangsih 2018 bukan misi mustahil bagi skuad Lang Merah yang mempunyai rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim lepas.

Ketua jurulatihnya, Ramon Marcote berkata berdasarkan pencapaian pasukan berkenaan memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA musim 2017, beliau yakin anak buahnya mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Malah, katanya, beliau juga tidak terlalu risau akan kehebatan pasukan lawan sebaliknya mahu terus menumpukan terhadap usaha menajamkan aspek taktikal.

“Kita akan mengikuti falsafah kita. Jangan terlalu bimbangkan tentang JDT dan bagaimana mereka beraksi. Perkara paling penting, kita bermain seperti biasa.

“Jika kita mampu melakukannya, kita mampu memenangi perlawanan dan merangkul kejuaraan tersebut,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan berkenaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan Kedah, Badrol Bakhtiar berkata beliau lebih selesa jika pasukannya dilihat sebagai 'underdog' (bukan pilihan) agar barisan pemain skuad Lang Merah tidak berasa tertekan.

-BERNAMA

PRESIDEN AMANAH : BERUNDING, JANGAN MENUNDING


BERUNDING, JANGAN MENUNDING

Saya mengharapkan perbincangan di antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dibuat secara musyawarah dan tertutup. Semua pihak hendaklah mengelak dari mengeluarkan kenyataan secara terbuka sama ada kepada media mahupun di media-media sosial.

Biarlah semuanya diselesaikan secara dalaman di meja rundingan dengan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Pakatan Harapan Negeri Selangor.

Saya yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk kita mencapai kejayaan dalam mendepani musuh bersama kita, kerajaan kleptokrat Barisan Nasional. Musuh sebenar kita adalah Umno/Barisan Nasional.

Ayuh bersama tumbangkan mereka dalam PRU14 nanti.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

3 Februari 2018

KONTROVERSI KEPUTUSAN KES M INDRA GANDHI: ANTARA AUTA WALAUN DAN FAKTA SEBENAR


KONTROVERSI KEPUTUSAN KES M INDRA GANDHI: ANTARA AUTA DAN FAKTA

1. AUTA 1

Auta utama dan terbesar dalam kontroversi di atas ialah apabila ramai pemimpin/penyokong Pas mengaitkan keputusan tersebut dengan RUU 355 dan Akta 164(pindaan) 2017 dengan menjadikan PH dan UMNO sebagai sasaran maki hamun dan terjahan jahat.

Ruu 355 ialah suatu cadangan dari Pas untuk menaikkan jumlah hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah daripada denda RM5000, penjara 3 tahun dan sebat 6 kali kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.

Manakala Akta 164 (pindaan 2017) ialah satu pindaan oleh BN bagi membolehkan suami atau isteri yang memeluk Islam memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan dan perkara perkara yang berkaitan dengan pasangannya yang tidak memeluk Islam di mahkamah sivil. Sebelum ini mereka tidak ada hak untuk berbuat sedemikian.

RUU 355 dan Akta 164 Pindaan 2017 ini tidak ada kaitan sama sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pendaftaran memeluk Islam yang telah dibuat oleh bapanya pada tahun 2009 atas alasan persetujuan ibu dan bapa adalah diperlukan bagi mendaftar kanak kanak bawah umur memeluk Islam.

2. AUTA 2

Keputusan kes tersebut telah diautakan kononnya telah menyebabkan kanak kanak tersebut menjadi murtad (waliyazubillah).

Hakikatnya 3 orang kanak kanak tersebut telah didaftarkan sebagai memeluk Islam bersama bapanya ketika mereka masih belum mukallaf. Selepas didaftarkan sebagai Islam, 2 orang kanak kanak tersebut yang berumur 10 dan 11 tahun telah ditinggalkan dan membesar bersama ibunya yang beragama hindu, manakala yang paling kecil (umur 2 tahun) sehingga kini masih tinggal bersama bapanya, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Kanak kanak ketika masih bawah umur dianggap fitrah(suci bersih) dan tidak tetakluk kepada taklif syarie, ibu bapa merekalah yang akan menentukan mereka membesar sebagai penganut apa apa agama.

Dalam kontroversi di atas, selepas memeluk Islam, Ridhuan telah keluar dari rumahnya kerana isterinya enggan memeluk Islam bersamanya. Beliau membawa bersamanya anaknya yang paling kecil, Ummi Habibah, manakala dua orang lagi ditinggalkan bersama ibunya.

Adakah apabila seorang bapa mendaftar anaknya yang masih belum mukallaf sebagai seorang Islam, kemudian anak tersebut tinggal dan membesar bersama ibunya mengikut agama Hindu sehingga apabila dia baligh masih lagi meneruskan amalan agama hindunya, maka dia dianggap sebagai muslim, lalu bila mahkamah membatalkan pendaftarannya sebagai seorang Islam, lalu dia dianggap murtad?

Mahkamah termasuk mahkamah syariah sekalipun tidak boleh membatalkan aqidah seorang muslim, hanya individu tersebut sahaja mempunyai hak untuk menentukan samada beliau ingin menjadi seorang muslim atau sebaliknya. Mahkamah hanya mengesahkan berdasarkan situasi yang ada.

Bagi saya, sekiranya anak anak Ridhuan yang telah diislamkan olehnya, terus kekal dengan aqidah Islam nya semasa membesar bersama ibunya yang beragama hindu, maka mereka tetap masih seorang Islam walaupun mahkamah berpendapat pendaftaran mereka memeluk Islam dianggap tidak sah dan terbatal kerana tidak ada izinnya dari ibunya.

Hentikanlah auta dan kembalilah kepada fakta untuk kita melihat secara matang dan sejahtera apa implikasi keputusan kes ini kepada Ridhuan dan seorang lagi anaknya yang saya akan tulis di siri kedua sekejap lagi.

Selamat menikmati hidangan pagi dengan ikan kering goreng ciptaan isteri tersayang.

Che Ibrahim Haji Mohamed.
Naib Pengerusi
Parti Amanah Negara
Negeri Kelantan.

3 Februari 2018.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...