TERKINI :

Wednesday, January 31, 2018

Mara digesa tampil jawab dakwaan beli bangunan pada harga terlalu mahal dari harga pasaran

 https://1.bp.blogspot.com/-blZz2CDV2L4/Wh5ec6c1eeI/AAAAAAAAfqs/yjOJo_2aKeo5P1HTJicf87_-bcqRNFMggCLcBGAs/s1600/Rasuah%2BMARA%2Bdi%2BMelbourne.jpeg
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu menjawab dakwaan yang dijalankan oleh badan media antarabangsa, yang melaporkan institusi kerajaan itu membeli sebuah bangunan di Jalan Swaston, Melbourne yang telah dibeli pada harga terlalu mahal berbanding harga jualan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional Mohd Ammar Atan menjelaskan, harga yang dibeli seminggu sebelum itu adalah bernilai RM73.82juta (AS$23.5juta) dibeli oleh pihak Mara dengan harga jualan RM131.2juta (AS$41.8juta).

Pembelian hartanah oleh pihak MARA ujarnya, sangat mencurigakan apabila harga pembelian adalah 177% lebih tinggi daripada harga asal selang beberapa minggu sebelum transaksi jualan dilakukan.

Beliau yang merujuk kepada portal The Sydney Morning Herald di pautannya, dipetik menyatakan bahawa sejurus transaksi hartanah ini berjaya dijalankan oleh pihak Mara, wang sebanyak RM10.05juta (AS$3.2juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Mohammad Lan yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc sewaktu beliau memohon untuk ditingkatkan nilaian harga bangunan tersebut.

Bekas pemilik bangunan tersebut, Lionel Harber terkejut kerana baru sahaja menjualnya kepada sebuah syarikat luar persisir selang beberapa minggu dengan harga RM73.82juta (AS$23.5juta) yang kemudiannya dijual semula dengan Mara Inc. pada harga RM131.2juta (AS$41.8juta), terangnya.

“Ini adalah pembelian yang sangat mencurigakan dan telah memburukkan nama baik Malaysia di mata dunia.

“Jangan pula muncul kleptokrat baharu versi Jho Low 2.0 lain yang memalukan lagi nama baik Malaysia,” ujar Mohd Ammar dalam satu kenyataan.

Justeru Pemuda Amanah Nasional telah menghantar satu memorandum ke ibu pejabat Mara hari ini.

Kata Mohd Amar lagi, dalam situasi Mara kekurangan dana sehingga pinjaman dan biasiswa mahasiswa digantungpun Mara ujarnya, masih tergamak untuk melakukan transaksi yang cukup dicurigai ini.

“Soal pendidikan adalah prioriti, jangan disebabkan sikap ini, anak muda Malaysia terpaksa menerima tempiasnya.

”Pemuda Amanah menggesa Mara untuk bersikap jujur dan mendedahkan secara telus pembelian aset hartanah yang dibeli dengan 177 peratus lebih mahal supaya tiada wang rakyat yang tiris dan pembelian ini benar-benar mendatangkan keuntungan tinggi kepada rakyat,” ujarnya.

Janji Najib beri “one-off” RM1,500 kepada imam, bilal awal Januari belum tertunai

 
PERMATANG PAUH: Janji Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan sumbangan ‘one -off’ sebanyak RM1,500 kepada imam dan bilal seawal Januari 2018 dilihat tidak menjadi kenyataan sehingga kini.

Seharusnya Perdana Menteri membuktikan bahawa apa yang dibentangkan dalam Bajet 2018 lalu bukannya janji politik menjelang pilihan raya umum, sebaliknya ia serius bertujuan untuk membantu golongan tersebut, lapor Malaysia Dateline.

Demikian kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan Sepak Penalti, Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh kelmarin.

Faiz menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta kejohanan Sepak Penalti kelmarin.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi Najib menjanjikan untuk memberikan elaun khas tersebut seawal Januari, sebaliknya laporan yang diterima imam dan bilal belum menerima janji tersebut walaupun Januari akan berakhir esok.

Semasa pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, Najib telah mengumumkan sebanyak RM588 juta bayaran elaun bulanan kepada imam, bilal, guru kafa dan takmir.

Kerajaan turut mengumumkan bayaran ‘one-off’ sebanyak RM1,500 dengan pembayaran sebanyak RM1,000 pada awal Januari dan RM500 lagi menjelang Aidilfitri.

“Sehingga kini dilaporkan bayang-bayang bayaran ‘one-off’ yang dijanjikan oleh Najib kepada imam dan bilal masih belum menjadi kenyataan dan hanya retorik.

“Rungutan imam dan bilal tentang janji manis Najib tersebut ada asasnya memandangkan sumber bayaran tersebut datang dari poket mereka sendiri iaitu hampir RM7,000 setahun melalui kutipan GST.

“Apabila Najib tidak dapat menunaikan janji dalam bajet yang dibentangkan pada OKtober 2017 yang lalu, sudah pasti ia memperlihatkan bagaimana kerajaan cuba menabur pelbagai janji-janji manis,” ujarnya.

Kata Faiz lagi, kesan daripada skandal dan korupsi yang semakin kronik, termasuklah 1MDB, Felda dan seumpamanya menyebabkan kantung negara semakin kering.

“Kerajaan kini terpaksa bergantung kepada poket rakyat bagi menampung perbelanjaan negara terutamanya pembayaran hutang akibat skandal rasuah dan ketirisan yang mencecah ratusan bilion ringgit setiap tahun.

“Namun begitu, janji yang ditaburkan kepada rakyat kononnya tidak harus diabaikan apatah lagi kehidupan imam dan bilal yang turut tidak ubah seperti segmen lain di mana rakyat terpaksa bergelut dengan beban kos sara hidup.

“Lebih dikesali apabila slogan kerajaan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ hanyalah sebuah nostalgia dongeng kleptokrat terburuk dunia tatkala ini,” jelasnya.

Tegas beliau lagi, sekiranya Najib menganjak tarikh pemberian bayaran ‘one-off’ sepertimana yang dijanjikan kepada imam dan bilal sehingga tarikh pilihan raya umum, maka ia boleh dianggap sebagai rasuah kerana mengharapkan balasan undi kepada BN.

Tambahnya lagi, seharusnya Najib segera mengotakan janji beliau bagi membuktikan ia tidak memperalatkan imam dan bilal demi kepentingan politik terdesak BN.

Faiz bersama-sama kumpulan yang menyertai kejohanan sepak penalti di Dun Permatang Pasir kelmarin.

“Sememangnya bayaran ‘one-off’ tidak mengubah nasib hidup rakyat kerana polisi BN telah menyebabkan kenaikan harga barangan, sedangkan polisi Pakatan Harapan (PH) adalah bagi mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

“PH berilltizam ke arah pentadbiran yang lebih baik dengan penghapusan GST dan pembasmian rasuah.

“Telah terbukti rasuah serta GST menjadi penyebab utama kesusahan hidup rakyat ketika ini,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, jalan terbaik bagi menyekat penindasan terhadap rakyat yang sedang dilakukan oleh kerajaan BN berterusan, hanyalah dengan menukar kerajaan sedia ada.

Beliau juga berkata dengan memberi mandat kepada PH untuk menjadi kerajaan, nasib rakyat sudah pasti terbela, sebaliknya dengan mengekalkan BN untuk terus berkuasa, hidup rakyat akan semakin melarat dan terseksa.

GST HANYA MENYELAMAT KERAJAAN KLEPTOKRAT, BUKAN PENYELAMAT RAKYAT DAN NEGARA


1. Betapa 'bangangnya' pemimpin UmnoBN memerintah Malaysia apabila hanya bergantung pada pendapatan hasil negara daripada cukai GST sebagaimana PM Najib Razak ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke - 36 menyatakan negara selamat sebab GST, jika tanpa GST negara sudah tentu terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi.

Kenyataan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat menyelamatkan negara dari terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi negara menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal dalam mengurus tadbir ekonomi negara sehingga terpaksa memerah keringat rakyat.

2. Saya berpendapat kenyataan beliau merupakan kenyataan pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. GST bukannya menyelamatkan negara, tetapi penyelamat pemimpin kerajaan Klaptokrat UmnoBN.

Justeru GST digunakan untuk menutup dan menampung kehilangan, ketirisan dan kecurian wang negara oleh pemimpin negara sendiri dimana ianya menjadi punca Malaysia terjerumus ke jurang kegawatan ekonomi.

Melalui GST kerajaan tidak perlu bersusah payah memerah otak dan keringat mencari sumber kewangan negara melalui pelbagai industri, menyuburkan ruang ekonomi dan pendapatan negara, meningkatkan produk dalam dan luar negara, tetapi cukup hanya dengan polisi yang menekan rakyat, kerajaan sudah boleh menuai hasil yang lumayan.

3. Sebegitu mudah seorang pemimpin negara menyandarkan kepada cukai terhadap rakyat sebagai pemangkin menyelamatkan ekonomi negara.

Jika begini mentalitinya, sesiapa pun boleh jadi pemimpin,apabila ekonomi berada dalam keadaan gawat akibat skandal 'rompakan mega' wang dan khazanah negara maka rakyat dijadikan sasaran paling utama untuk dimangsakan. Sepatutnya seorang pemimpin negara berjuang siang dan malam menjaga kebajikan rakyat dengan mendahulukan rakyat dan membiarkan diri dan kerajaan dalam keadaan susah, bukannya memangsakan rakyat untuk menyenangkan diri sendiri dan kroni serta kerajaannya.

4. Alasan paling ampuh dan jengkel yang dinyatakan adalah GST digunakan untuk menyusun segala program untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana ianya produk kerajaan BN kepada rakyat dengan anggaran RM6 bilion setahun sedangkan projek BR1M bukan semua rakyat yang layak mendapatnya, manakala hasil GST yang berjaya dipungut dari semua lapisan masyarakat pada tahun lalu sebanyak RM 44 bilion berbanding RM 41 bilion tahun 2016

Jumlah yang diberi pula hanya ramuan kecil, sedangkan ramuan yang besar diambil oleh kerajaan, dan pelbagai subsidi lain ditarik balik. Adakah tindakan kerajaan ini cerdik dalam membuat polisi yang akhirnya menekan kehidupan rakyat?

RAKYAT TERJERAT DAN MEREMPAT KERANA GST!

5. Mengapa PM Najib Razak tidak menjelaskan sejak perlaksanaan GST, harga barang terutamanya barang keperluan, perkhidmatan, makanan dan lain-lain semakin mahal.

Belum ada lagi petunjuk harga barangan dan perkhidmatan menurun atau statik sejak GST diperkenalkan. GST dikenalpasti sebagai penyumbang terbesar kenaikan harga barang. Setelah rakyat terbeban dengan GST, dalam masa sama menanggung pula beban kos harga barang yang semakin meningkat, belum dikira lagi dengan pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat demi kerajaan dan negara tercinta ini.

BR1M yang diberi hanya untuk mengenyangkan rakyat beberapa hari, tetapi rakyat perlu menanggung penderitaan ini selama setahun pula kemudiannya untuk hadapi kehidupan harian mereka akibat GST dan penarikan balik subsidi harga barang.

6. Sepatutnya pendapatan negara tanpa sumber GST dan salah guna kuasa, rasuah dan rompak curi khazanah negara sudah pun mencukupi untut meringan kos sara hidup rakyat dan memastikan pendapatan boleh guna rakyat bertambah dengan mengembalikan subsidi harga barangan keperluan utama, memberikan pendidikan tinggi percuma tanpa PTPTN, mengawal harga barangan dan keperluan, mengawal serta mesubsidikan harga minyak.

Sebaliknya apa yang berlaku masakini taraf pengangguran semakin meningkat, ruang pekerjaan semakin terhad, kadar inflasi semakin tinggi, jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara.

Adakah ini menunjukkan kedudukan ekonomi negara semakin stabil, atau GST hanya menstabilkan ekonomi pemimpin negara?

7. PM Najib Razak tidak perlu berdolak dalik dengan mendendangkan GST menyelamatkan ekonomi negara.

PM Najib Razak perlu akui bahawa beliau sudah kekeringan idea dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara yang berada di jurang kehancura.

Malaysia kaya dan banyak hasil daripada pelbagai sektor dan industri, tetapi kerana ketidak cekapan pengurusan dan salahguna kuasa pemerintahan kerajaan Klaptokrasi UmnoBN, mereka gagal menyuburkan ekonomi negara. Situasi ini menandakan tempoh kerajaan BN sudah sampai ke penghujung nyawa dan mandat pemerintahan perlu diserahkan kepada Pakatan Harapan, agar rakyat melihat sinar baru yang menyelamatkan mereka selepas PRU ke-14 nanti.

DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Jan 2018/13 Jamadilawal 1439H.

Momentum Pakatan di luar bandar naik selepas Dr Mahathir jadi calon PM



Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata mengikut kajian badan pemikir itu, pencalonan Dr Mahathir sebagai calon PM pembangkang dipersetujui ramai responden kerana pengalaman mentadbir negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Januari, 2018.

MOMENTUM sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) meningkat selepas Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri, kata penganalisis.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebanyakan responden yang bersetuju Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH kerana pengalamannya memerintah negara.

“Tetapi masyarakat nak tengok, apa yang Dr Mahathir nak tawarkan sebagai alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak,” kata Redzuan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Shah Alam baru-baru ini.

“Selain itu, sokongan kepada dia meningkat kerana di Malaysia pada hari ini, hanya Dr Mahathir yang dilihat paling berani menyerang Najib.”

Selepas PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri pada 7 Januari lalu, IDE menurunkan pasukan penyelidiknya di seluruh negara untuk melihat sentimen rakyat.  

IDE akan mendedahkan dapatan daripada tinjauan kepada umum tidak lama lagi.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003. Sekarang beliau memimpin PH yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, pada peringkat awal selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri, terdapat reaksi negatif kerana faktor umur pengerusi PH itu yang sudah lebih 90 tahun.

“Tetapi yang menariknya, 80 peratus yang tak terima Dr Mahathir itu kerana usia dia sudah tua. Itu bagi yang tidak terima. Bagi yang terima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, kerana pengalaman dia memerintah Malaysia.

“Yang terima kerana pengalaman memerintah, yang tak terima kerana dia sudah tua,” kata Redzuan yang juga naib cancelor Universiti Selangor (Unisel).


Ada juga yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Mahathir kerana faktor usianya, sesuatu yang tidak menjadi isu kerana kesihatan negarawan berusia lebih 90 tahun itu masih lagi baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.

Bersatu dikenali kerana faktor Dr Mahathir

Menurut Redzuan, yang menjadi kebimbangan responden yang ditemui IDE dengan usia tua Dr Mahathir kerana ia dikaitkan dengan keuzuran.

“Tetapi walaupun tua, kalau kita berhujah balik umur 92 tahun, masa konvensyen PH, Dr Mahathir berucap selama 41 minit. Umur 92 tahun boleh bercakap lama macam tu. Biasanya orang umur 50 pun tak larat nak bercakap lama macam tu.

“Maknanya umur tu dikaitkan dengan keuzuran. Tetapi ini tidak terpakai kepada Dr Mahathir. Kenapa orang tak nak umur tua? Kerana bila dah tua ni, uzur dan sebagainya, tetapi tidak bagi Dr Mahathir,” kata Redzuan yang pernah menjadi dekan fakulti sastera dan sains sosial Universiti Malaya (UM) dan pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel).

Redzuan berkata, disebabkan Dr Mahathir, parti serpihan Umno dipimpinnya dikenali dengan begitu cepat di kawasan luar bandar walaupun baru ditubuhkan pada Ogos 2016.

“Dalam survey kita, kita tanya soalan begini, apa pandangan tuan terhadap Umno? Mereka kata Umno ini parti yang memerintah. Apa pandangan terhadap PAS? Mereka kata PAS parti yang perjuangkan Islam.

“Bila kita tanya tentang Bersatu, mereka kata parti Dr Mahathir. Maksudnya mereka dah kenal. Menunjukkan itu dia punya trade mark dia. Ini yang ada dalam kepala mereka.

“Tanpa perlu fikir mereka dah boleh jawab. Sekali je. Jadi itulah dalam kepala dia. Kalau Bersatu parti Dr Mahathir. Itu je, dia tak kata parti bunga raya, parti serpihan Umno. Ada banyak option.

“Tapi yang paling top sekali mereka jawab parti Dr Mahathir. Ini menunjukkan bahawa, Dr Mahathir ada kekuatan dia di luar bandar,” katanya.

Menurut Redzuan, disebabkan Umno sudah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun dan mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh, PH memerlukan sosok yang kuat dan dikenali untuk melawannya.

“Sebab itulah, menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada waktu ini sebagai satu-satunya orang yang paling layak.

“Sebab sekarang kita nampak Dr Mahathir menjadi tarikan di mana sahaja beliau pergi, di kawasan Felda, kawasan luar bandar,” katanya. – 31 Januari, 2018.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...