TERKINI :

Tuesday, January 30, 2018

PERTEMUAN DENGAN EU : CAMPUR TANGAN ASING, ATAU TAKUT RAHSIA PENIPUAN PRU14 TERDEDAH?

KENYATAAN MEDIA

*PERTEMUAN DENGAN EU : CAMPUR TANGAN ASING, ATAU TAKUT RAHSIA PENIPUAN PRU14 TERDEDAH?*

1. Pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad  dengan 16 duta Negara-Negara Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan *pemimpin UMNO-BN gabra, panas punggung* dan tidak senang duduk. Mengenai pertemuan itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menjelaskan bahawa mereka meminta delegasi EU mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak *melaksanakan pilihan raya umum ke 14 dengan adil dan saksama*.

2. Seperti biasa, akan ada *hulubalang macai UMNO yang melompat ke tengah gelanggang membela ketua mereka*.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan pertemuan PH dengan duta besar EU sebagai politik terdesak yang mengundang campur tangan dan tekanan kuasa asing terhadap prinsip demokrasi negara. Naib Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula membidas Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan beliau sebagai pemimpin tidak berpegang pada prinsipnya dan ia membuktikan pemimpin berkenaan hanya memperjuang agenda peribadi.

Demikian juga dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid menjelaskan standard *sistem  PRU di Malaysia yang sekian lama diguna pakai adalah hampir sama seperti di negara lain malah turut mempunyai tatacara operasi standard (SOP) yang ketat*. Justeru beliau menegaskan *tiada keperluan untuk pemantau pilihanraya umum (PRU) antarabangsa* dihantar ke negara ini.

3. Begitu cepat mereka mereka memberi respon terhadap pertemuan itu yang seolah-olah pertemuan itu amat merbahaya kepada  keselamatan negara.

Saya berpendapat, apabila pemimpin UMNO-BN cepat bertindak balas  terhadap sesuatu isu, yang melibatkan antarabangsa, bererti sememangnya mereka dalam masalah. *Mereka kelihatan gabra dan resah seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu lantas terus berpencak menyalahkan pihak PH mengadakan pertemuan tersebut*.

4. Pilihanraya Umum ke 14 dijangka berlangsung *dalam tempoh 5 bulan dari sekarang*.

Umum melihat seperti mana PRU sebelum ini, pasti ada isu yang menghambat kemenangan pembangkang. *Kekangan terhadap media yang bebas, sekatan terhadap parti-parti politik selain pemerintah, politik ugut dan ancam, rasuah pilihanraya, salah guna  kuasa dan penyelewengan ketika pilihanraya, mengerah seluruh jentera kerajaan berkempen politik untuk parti pemerintah, persempadanan pilihanraya yang penuh muslihat dan pertikaian, pemenjaraan  terhadap tokoh politik dan pelbagai macam tipu muslihat* dijalankan bagi memenangkan pemerintah.

5. Ketika Pakatan Harapan (PH) bertemu delegasi Duta Kesatuan Eropah (EU) bagi mengharapkan agar dunia memberi perhatian, memantau, menjenguk dan memerhatikan perjalanan pilihan raya di Malaysia, *sepatutnya kerajaan Malaysia berterima kasih atas keprihatinan pihak antarabangsa terhadap demokrasi di Malaysia*.

Jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ketat dan standard antarabangsa, maka  *kerajaan tidak perlu gusar dengan pemantauan negara luar*.

Ia akan menguatkan lagi hujah bahawa kerajaan benar-benar telus dan adil dalam soal perjalanan pilihanraya, *apatah lagi, SPR sendiri pernah diundang menjadi pemantau pilihan raya antarabangsa* ketika negara-negara lain mengadakan pilihan raya di negara masing-masing.

*Mengikut reload,pada Pru13 SPR pernah menjemput 5 negara Asean menjadi pemantau pru13 di Malaysia*.

Oleh demikian, apa masalahnya jika pru 14 *wakil dari negara - negara Kesatuan Eropah (EU) juga di jemput bersama wakil Seketeriat Negara - negara Asean untuk memantau dan memerhati perjalanan PRU negara ini?*.

6. Sebaiknya jemput semua delegasi ini dan berikan mereka hak untuk memerhatikan perjalanan pilihan raya. *Buktikan kepada dunia bahawa pilihan raya di Malaysia antara terbaik di dunia*.

Nafikan hujah pembangkang pada dunia yang pembangkang *hanya ‘mereka-reka cerita’ bahawa perjalanan pilihan raya di negara ini tempang, berat sebelah, rasuah dan salah guna kuasa*.

Selepas PRU ke 14 pula benarkan pemerhati antarabangsa membuat kesimpulan, menulis dan bercakap soal ‘ketelusan’ pilihanraya di Malaysia.

7. Namun begitu,kita mengetahui itu semua hanyalah *khayalan politik di Malaysia*.

Para pemimpin UMNO terus melenting dan melompat semacam mereka mahu menjadi jaguh mempertahankan kedaulatan negara hingga keluar dari mulut *UmnoBn yang mendakwa mengajak pemerhati asing memantau PRU  umpama membiarkan negara dijajah dan demokrasi negara dicemar maruah*.

Walhal, itulah amalan di mana-mana negara lain di dunia. Memberikan hak kepada pemantau memerhati pilihan raya adalah satu *cara berkesan belajar dan mengajar negara lain menyuburkan demokrasi*.

8. Hakikatnya, tanpa berselindung mereka *mahu terus berkuasa dan memerintah negara, dengan membuli, menindas, menipu dan memperdaya rakyat melalui sistem pilihan raya yang ada*.

Namun apakan daya, inilah jalan yang ada, dan PH akan terus meredah arus bersama rakyat. *Doakan PH berjaya melauinya kali ini!*.

"Ini Kalilah!"

#ReformasiPilihanraya
#RakyatNakPru14YangAdil
#RakyatTakNakUmnoBn
#UndiPakatanHarapan
#BinaSemulaNegara

*DATO' HJ MAHFUZ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
2.30pm Taman Al Walid Alor Setar
30 Jan 2018/13 Jamadiawal 1439H.

Jumpa duta EU bukan ancam maruah negara, meminta pemantau luar akan ancam BN


PETALING JAYA - Pembangkang mempersoalkan kerasionalan kenyataan Menteri Luar, yang menyifatkan pertemuan gabungan pembangkang dengan diplomat Kesatuan Eropah (EU), pada 25 Januari lalu sebagai mengancam martabat negara.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, apa yang mengancam maruah negara adalah seperti yang berlaku kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dakwa Wan Azizah, mengancam maruah Malaysia itu adalah seperti apa yang berlaku kepada 1MDB dimana semua pergi ke mahkamah.

"Lalu menyalahkan negara kita dan kepimpinan negara kerana mengancam kedaulatan negara ini," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Pada 25 Januari lalu, Pakatan Harapan yang diketuai, Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan tertinggi kepimpunan itu mengadakan pertemuan dengan kontinjen duta EU.

Semasa pertemuan selama dua jam itu, EU disertai 14 duta dan tiga Kuasa Usaha Tetap di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Media melaporkan pada pertemuan tersebut Pakatan Harapan menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan pemantau pilihan raya antarabangsa dihantar untuk PRU14.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan pertemuan Pakatan Harapan hanya mengundang campur tangan asing.

"Ia menunjukkan pertemuan dengan duta itu adalah langkah terdesak pakatan pembangkang yang mengancam kedaulatan negara,"kata Anifah.

Berhubung hal tersebut, Wan Azizah berkata, ia adalah normal untuk memohon bagi membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU14.

"Ianya normal. Adalah normal anda meminta pemantau luar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Zin pula menjelaskan, perkara itu adalah amalan antarabangsa yang biasa dilakukan negara-negara lain seperti Indonesia, Kemboja dan Filipina.

"Semua kawasan pilihan raya dalam negara ini dilihat oleh pemerhati bebas antarabangsa.

"Saya sendiri ke Taiwan untuk memerhati pilihan raya mereka dijalankan. Ia sangat normal," katanya.


Sokong BN? Itu tak betul: Masyarakat Siam Baling


BALING - Kreadibiti yang ada pada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir antara sebab masyarakat Siam Kampung Tas memilih Bersatu sebagai parti pilihan bagi PRU14 kali ini.

Ketua Komuniti masyarakat Siam Kampung Tas, Cheng Din Chong berkata, masyarakat Siam percaya kepimpinan Tun Mahathir mampu memberikan nafas baharu kepada pentadbiran negara selain selesa dengan pentadbiran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah sebelum ini.

"Rekod Tun Mahathir memerintah negara selama 22 tahun berjaya membangunkan negara dengan begitu pesat. Ketika itu masalah ekonomi juga tidak seteruk era sekarang.

"Itu menyebabkan masyarakat Siam lebih percaya kepada Tun Mahathir. Pimpinan menjadi garis panduan kepada kami mengiktiraf Bersatu," katanya.

Menurutnya, Umno tidak boleh menafikan, masyarakat Siam kekal bersama parti itu kerana realitinya benar.

"Masyarakat Siam mempunyai kesedaran awal tentang politik semasa, jadi seiring dengan penubuhan Bersatu, kami masyarakat Siam yang dahulu penyokong tegar BN mengambil keputusan beralih kepada Pakatan Harapan khususnya Bersatu.

"Walaupun Umno cuba membuat kenyataan, masyarakat Siam tidak lari daripada menyokong mereka, sebenarnya itu tidak betul," katanya.


25 bakal jemaah umrah kerugian RM178,600 ditipu 'ustazah'


ALOR SETAR - Seramai 25 bakal jemaah umrah kerugian kira-kira RM178,600 apabila mendakwa ditipu seorang wanita dipanggil 'ustazah' yang mengaku wakil sebuah syarikat pengendali pakej umrah di ibu negara.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, peniaga dan petani di sekitar Alor Setar dan Guar Chempedak dekat Yan itu merasa ditipu selepas beberapa kali jadual penerbangan ditunda serta belum menerima semula bayaran yang telah dibuat.

"Selepas CAKE mendapat laporan daripada mangsa, saya menghubungi wanita itu yang berjanji akan memulangkan semula bayaran yang dibuat mangsa sebelum ini, namun hingga hari ini pengadu mendakwa tidak menerima bayaran lagi dan datang membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Seramai 12 mangsa hadir di IPD Kota Setar petang tadi untuk membuat laporan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Mohamad Yusrizal berkata mangsa yang terbabit berusia 14 hingga 65 tahun dan kebanyakan mereka adalah  kali pertama ingin mengerjakan umrah dan sangat teruja untuk ke tanah suci.

​​​​​​​"Mereka sepatutnya berlepas pada 6 Disember tahun lepas, namun ditunda pada 9 Disember dan kemudiannya 17 Disember dan hingga hari ini dengan alasan tiada tiket serta mula merasa tertipu apabila tidak mendapat maklumat tepat daripada individu berkenaan," katanya.

Seorang mangsa, Siti Fatimah Osman, 68, berkata beliau kerugian RM7,200 apabila ditipu wanita itu yang hanya dikenali di sebuah masjid di sini, yang menawarkan pakej menarik dan harga berpatutan.

"Saya ajak rakan yang lain kerana ia menarik, namun rasa tertipu apabila tarikh asal ke Tanah Suci Mekah selalu ditunda walaupun telah memperolehi visa dengan alasan masih tidak mendapat tiket penerbangan dan tempat penginapan, malah sering berdolak-dalik apabila ditanya tentang perkara itu," katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengheret wanita itu ke muka pengadilan.

Bagi pasangan suami isteri, Ismail Hashim, 55, dan Siti Hawa Kasim, 54, pula mereka sangat kecewa kerana wang yang dibayar kepada wanita itu adalah hasil titik peluh membuat kerja sawah sejak sekian lama.

"RM13,800 kami berdua ditipu dan saya harap wanita itu dapat memulangkan semula wang kami agar kami dapat pergi selepas ini," katanya. – Bernama






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...