TERKINI :

Sunday, January 14, 2018

PRU14 pertarungan rakyat tertindas dengan kleptokrasi Umno-BN





Bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times, A Kadir Jasin berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini adalah pertarungan rakyat jelata yang tertindas melawan kleptokrasi Umno-BN yang menindas.


Pakatan Harapan (PH) pula katanya, hanyalah pemudah cara bagi rakyat jelata yang pedulikan hari ini dan masa depan mereka, anak mereka dan cucu-cicit mereka untuk melakukan perubahan.

“Pakatan Harapan adalah jawapan mutakhir kepada segala percubaan yang sebelum ini menemui jalan buntu.

“Daripada usaha mengubah dari dalam kepada titah Raja-raja Melayu, undi tidak percaya dan akhir sekali Deklarasi Rakyat oleh lebih sejuta peserta yang semuanya dibakulsampahkan oleh Kleptokrat MO1 dan konco-konconya,” katanya dipetik daripada tulisan di blog beliau.

Menurut beliau, melihat kepada apa yang telah dilakukan kerajaan kleptokrasi Umno-BN sewajarnyalah ia ditumbangkan.

Kata beliau lagi, terlalu banyak penyelewengan dan penindasan telah dilakukan BN, daripada melacurkan institusi pentadbiran kepada menjual dan menggadaikan harta negara, membebankan rakyat jelata dengan hutang dan cukai, menyogok peneroka Felda dan orang kampung dengan dedak sambil merompak harta yang diamanahkan untuk mereka, tidur sebantal dengan Parti Komunis China dan menafikan kuasa Parlimen membincangkan skandal 1MDB.

“Kalau BN menang juga, samalah dengan kita mengucapkan selamat jalan kepada Malaysia negara tercinta.

Kata beliau, Tanah Semenanjung yang dibaratkan sebagai permata nilam oleh seniman aktivis Aishah dalam dendangannya di konvensyen PH baru-baru ini akan menjadi permata kaca murahan yang berkecai di lantai menunggu untuk melukakan kaki anak-anak kecil yang bermain bunga api.

Tolak BN pada PRU14 jika benar cintakan negara





Sekiranya cintakan negara, kita tidak harus biarkan parti yang menghisap darah rakyat terus bermaharajalela memerintah.


Sebaliknya kita perlu berani bangkit dan membuat perubahan dengan menolak parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Gesaan ini dibuat oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pulau Pinang, Marzuki Yahya ketika berucap pada program isu semasa di Bayan Baru, semalam.

Marzuki Yahya berucap pada program isu semasa di Bayan Baru, semalam.


Jelas beliau lagi, negara mampu tergadai kepada orang asing sekiranya rakyat tidak berani membuat perubahan dengan menukar kerajaan yang ada sekarang.

“Hanya Pakatan Harapan (PH) mampu untuk membawa keluar negara ini daripada musibah yang sedang menanti di hadapan.

“Jumlah hutang negara yang semakin meningkat, kedudukan ekonomi yang tidak stabil, kos sara hidup yang melampau amat menyusahkan hidup rakyat.

“Semua ini adalah hasil bikinan tangan-tangan cuai dan lalai pimpinan Umno-BN yang memerintah,” ujarnya.

Katanya lagi untuk menjatuhkan kerajaan BN, PH mesti bersatu dalam satu barisan dan mengetepikan sentimen emosi yang ada.

“Umno sendiri hilang punca dan arah setelah Tun M dicalonkan sebagai PM oleh PH.

“Mereka bagaikan cacing kepanasan yang tidak dapat duduk dengan diam lagi.

“Sehinggakan ada pimpinan Umno membuat laporan polis terhadap Tun M yang didakwa mahu gulingkan kerajaan,” tegasnya lagi.

Beliau juga menimbulkan beberapa keraguan yang masih belum terungkai walaupun beberapa pendedahan telah dibuat mengenai salah laku pimpinan Umno Pulau Pinang.

“Kita ingin tahu setakat ini apa dah jadi dengan isu penjualan tanah milik Perda yang dijual di bawah harga pasaran, apakah isu ini sudah ditutup buku?

“Bagaimana pula dengan rumah-rumah yang dibina oleh JKP dengan harga yang begitu tinggi serta tidak mampu dibeli oleh orang Melayu berpendapatan rendah?

“Terlalu banyak salah laku dan urus tadbir pemimpin Umno-BN yang mampu dilondehkan, tapi kita hanya tunggu masa yang sesuai tidak lama lagi,” tambahnya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil serta kepimpinan PH.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...