TERKINI :

Tuesday, April 10, 2018

Syed Saddiq: Jika Dr M kayakan anak, pasti SPRM serbu pejabat


PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pasti menyerbu pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad jika benar bekas perdana menteri itu mengayakan 3 orang anaknya.

Ketua Pemuda PPBM berkata pejabat pengerusi PPBM itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 7, Putrajaya terletak 3 minit sahaja dari bangunan SPRM.

“Dr Mahathir dah lepaskan jawatannya, saya kira, dah nak 15 tahun. Beliau tak berkuasa lagi. Kalau betul kronisme, SPRM dah lama pergi ke pejabat dia,” katanya.

Beliau berkata demikian di debat “Apa Pilihan Anak Muda: Barisan Nasional atau Pakatan Harapan” anjuran Sinar Harian, menemukan Syed Saddiq dan Exco Pemuda Umno, Rahman Hussin.

Rahman sebelum itu mendakwa antara kejayaan Dr Mahathir adalah melahirkan 3 orang hartawan Melayu dan ketiga-tiganya adalah anaknya.

Syed Saddiq mempertikaikan dakwaan Rahman mengenai Dr Mahathir mengayakan ahli ahli keluarganya.


“Kalau betul beliau melanggar undang-undang, mencuri dan merompak harta wang rakyat dan mengayakan anak, kenapa sampai sekarang Tun Mahathir belum disiasat,” soalnya, dan mengingatkan bahawa SPRM melapor terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Syed Saddiq melihat pemimpin muda tidak diberi ruang dan peluang secukupnya dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau membandingkan berisan pimpinan BN sekarang kepada 1980-an, di mana terdapat 3 ketua menteri atau menteri besar bawah usia 40 tahun.

“Akan ada sekurang-kurangnya 3 menteri berjawatan penuh dari Umno. Malangnya sekarang 1 pun tak ada. Yang paling muda umur 41 tahun,” katanya, dipercayai merujuk kepada Khairy Jamaluddin, menteri belia dan sukan.

Beliau berkata Dr Mahathir, 93, dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, 70, banyak memberi peluang kepada calon-calon muda.

Syed Saddiq, 25, dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya akan datang.

“Masa Tun Mahathir lah paling banyak menteri muda, menteri besar muda sampailah dia dilabel sebagai perdana menteri,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...