TERKINI :

Friday, February 2, 2018

Rundingan kerusi PH Selangor: Izhar bidas Azmin dakwa Amanah berbohong


MALAYSIA DATELINE

Rundingan kerusi PH Selangor: Izhar bidas Azmin dakwa Amanah berbohong
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Izham Hashim menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa mereka berbohong dalam soal rundingan kerusi di negeri itu.

Beliau menyifatkan Azmin sebagai ‘badut’ dan tidak layak untuk menjadi menteri besar dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Tak ada (rundingan kerusi). Dia ni badut (joker). Bila kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau mendakwa AMANAH sudah menghantar surat rasmi kepada Azmin selaku Pengerusi PH Selangor agar mengadakan mesyuarat khas bagi perkara itu, tetapi sehingga kini ia tidak diadakan.

“Nak jadi pengerusi PH Selangor kena bijak. Sejujurnya beliau tak berkebolehan (fit) untuk jadi menteri besar dan pengerusi negeri. Beliau tak boleh uruskan perkara mudah sebegini.

“Mesyuarat tak panggil kemudian tuduh kita pula yang berbohong,” katanya.

Terdahulu, Azmin mendakwa AMANAH berbohong kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Selangor belum dibentuk, sedangkan ia sudah bermesyuarat sebanyak empat kali.

“AMANAH berbohong…AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah. Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai kita telah bertemu sebanyak empat kali?” Kata Azmin.

Izham dipetik berkata memang ada mesyuarat sebelum ini tetapi ia lebih kepada persiapan pilihan raya seperti soal daftar pemilih dan pengiraan undi, bukannya soal pembahagian kerusi antara empat parti komponen PH.

Katanya, mesyuarat tentang pembahagian kerusi pula dibuat secara berasingan antara partinya dengan PKR dan Bersatu.

“Mesyuarat empat parti untuk bincang kerusi memang tak ada, boleh semak dengan DAP dan BERSATU. Yang ada hanya mesyuarat pilihan raya,” katanya lagi.

Katanya lagi, ada perbezaan jelas antara pembahagian kerusi dengan mesyuarat persiapan pilihan raya, dan wakil parti dalam mesyuarat itu tidak mempunyai mandat untuk membincangkan soal kerusi.

Pertikaian mengenai mesyuarat pembahagian kerusi PH Selangor ini berlaku selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa menjelaskan Majlis Presiden PH akan menubuhkan Jawatankuasa Khas selepas rundingan kerusi PH Selangor dilaporkan menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan antara PKR dan tiga lagi komponen AMANAH,DAP dan Bersatu.

AMANAH, DAP dan Bersatu enggan merundingkan kerusi dalam jawatankuasa pilihan raya negeri Selangor dan menggesa suatu jawatankuasa lain dibentuk.

Tiga parti itu berkata jawatankuasa pilihan raya negeri yang dipengerusikan Adun Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar tidak mempunyai mandat bagi merundingkan kerusi, memetik laporan Malaysiakini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...