TERKINI :

Wednesday, February 7, 2018

Rafizi kekal MP hingga rayuan selesai, kata Pengerusi SPR

 Rafizi kekal MP hingga rayuan selesai, kata Pengerusi SPR
Mohd Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan dibawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas, masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata kedudukan Rafizi seteruskan akan ditentukan selepas semua proses rayuan selesai sepenuhnya.

“Buat masa ini terlalu awal untuk SPR memberi sebarang komen berhubung kedudukan beliau (Mohd Rafizi) sama ada boleh atau tidak beliau bertanding pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti memandangkan kes tersebut hanya akan menjadi muktamad selepas semua proses perundangan berkaitannya diselesaikan sepenuhnya kerana beliau masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi yang juga Naib

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah BAFIA enam tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi .

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari dan peguam Ahmad Nizam Hamid mewakili Mohd Rafizi.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Mohd Rafizi, 41, didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...