TERKINI :

Wednesday, February 7, 2018

Pemimpin PH kecewa Rafizi dipenjara 30 bulan demi selamat wang rakyat

Rafizi55
SHAH ALAM: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan mahkamah ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kerana mendedahkan penyata akaun bank anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2012.

Walaupun terkejut, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu lega kerana hakim Mahkamah Sesyen membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

“Saya harap rayuan Rafizi dan (bekas kerani bank) Johari Mohamad akan berjaya sebab apa yang mereka buat untuk mempertahankan wang rakyat.

“Malah, beliau tidak mendapat sebarang keuntungan atas pendedahan itu. Kami DAP tetap akan memberi sokongan kepada Rafizi,” katanya kepada FMT selepas hadir mendengar keputusan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi dan Johari bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan penyata akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.

Naib presiden PKR itu didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari pula didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama atas kesalahan bersubahat.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan keputusan itu satu lagi hari hitam dalam sistem perundangan negara.

“Hukuman penjara 30 bulan adalah berat dan sangat menakutkan buat warganegara, rakyat yang berpotensi menjadi ‘whistleblower’ untuk membanteras penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, songlap dan beraneka jenayah kolar putih.

“Tidak dapat dielakkan persepsi buruk rakyat terhadap perundangan negara yang tidak melindungi rakyat baik atau ‘good citizens’ ini, sebaliknya melindungi penjenayah.

“Kalau usaha membanteras jenayah dianggap jenayah, maka negara sedang dipimpin penjenayah,” katanya.

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin kemenangan PH menawan Putrajaya ialah satu-satunya jalan untuk memastikan Rafizi mendapat keadilan sewajarnya dan dibebaskan sepenuhnya.

“Kita kesal dengan sabitan kes ini dan hukuman 30 bulan penjara, tapi kita bersyukur ia diberi penangguhan hukuman untuk rayuan dan kita yakin selepas pilihan raya, kita menang nanti, saya rasa kes ini kita boleh menang.”

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan Rafizi ialah pemimpin yang berani menegakkan kebenaran demi menyelamatkan wang rakyat.
“Kami hadir untuk beri sokongan buat saudara Johari dan Rafizi kerana antara usaha penting yang dilakukan mereka untuk ketengahkan skandal rasuah, itulah keberanian bagi pemberi maklumat.

“Kami amat kecewa sama sekali (dengan hukuman hari ini). Bagi pihak PKR dan keluarga besar kami, di mana antara kebanyakan usaha Rafizi menyelamatkan dana negara, maka 30 bulan itu memang sesuatu yang sukar diterima.

“Memandangkan perbandingan dengan jenayah yang berlaku di luar sana, sama ada perasuah atau penjenayah lain, kita harus lihat dari segi yang lebih tinggi, tapi kita terikat dengan keputusan mahkamah.

“Kita akan terus sedaya upaya memberi sokongan moral kepada Rafizi dan Johari,” katanya sambil menambah pihaknya menghormati keputusan mahkamah.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh; Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; bekas senator, Dr Syed Husin Ali; Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid serta penyokong PH.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...