TERKINI :

Thursday, February 8, 2018

Media kerajaan dan pemimpin Umno lebih dahsyat cetuskan berita palsu


Begitu ramai pemimpin UMNO dan kerajaan bercakap mengenai undang-undang mengekang berita palsu sekarang ini. Ada yang mengatakan ia suatu keperluan, meminta undang-undang itu disokong semua orang dan tidak kurang yang menyatakan sesiapa yang melakukannya tidak akan terlepas daripada tindakan.

Cara mereka bercakap seolah-olah hanya pihak pembangkang atau mereka yang condong kepada perubahan saja yang gemar menyebar berita palsu ini.

Seolah-olahnya juga pemimpin UMNO dan kerajaan serta media yang ditaja oleh mereka tidak pernah sama sekali terlibat dalam berita palsu, sebaliknya hanya menjadi mangsa belaka.

Benarkah begitu?

Untuk melihat yang mana benar dan yang mana palsu, cuba kita imbas kembali beberapa kenyataan Najib Razak mengenai 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya sebelum ini.

Daripada beliau pada mulanya menafikan perkara itu, kemudian mengakuinya dan beberapa kenyataannya yang berbeza-beza mengenai satu perkara, tidaklah itu sebenarnya berita palsu?

Malah, dua hari lalu apabila Najib mengatakan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion tidak hilang dan asetnya lebih besar daripada itu, ia adalah jelas suatu lagi berita palsu daripadanya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, menziarahi makam Rasulullah serta masuk ke dalam Kaabah.

Bukankah sebelum ini juga Najib mengakui 1MDB adalah suatu kegagalan kerajaan?

Kenapakah Najib asyik merapu dan tidak konsisten tentang 1MDB yang bagi rakyat adalah suatu malapetaka bagi negara?

Begitu juga dengan kenyataan Zahid Hamidi yang mengakui pernah berjumpa dengan wakil keluarga penderma RM2,600 juta kepada Najib, tetapi apabila diasak untuk berterus-terang siapakah yang ditemuinya itu, sehingga sekarang senyap terus kata-katanya, tidakkah ia suatu berita palsu?

Lebih dari itu, Zahid Hamidi juga pernah gah membuat dakwaan mengenai dalang Lahad Datu, amalan syiah yang melibatkan Mohamad Sabu, kad pengenalan biru Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya bertulis “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” dan beberapa perkara lain yang gagal dibuktikannya, bukankah ia satu lagi berita palsu yang nyata?

Dalam beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang berbeza dan bercanggah antara satu sama lain ketika mempertahankan Najib berhubung wang RM2,600 juta yang diterimanya, apakah ia bukan berita palsu?

Ketika Ahmad Maslan dengan bangga menyatakan GST akan menurunkan harga barang, tetapi semunya terbukti tipu belaka sehingga kini, tidakkah ia juga berita palsu?

Dalam waktu yang sama, cuba juga kita lihat media-media arus perdana seperti akhbar dan televisyen yang semakin tidak laku dan diketepikan rakyat, terutama dalam laporannya berkaitan politik, berapa peratuskah berita benar yang ada di dalamnya?

Ada yang mengatakan dalam media arus perdana sekarang, hanya laporan waktu sembahyang dan keputusan nombor ekor saja berita yang benar dan boleh dipercayai.

Tidakkah dengan semua perkembangan ini, media arus perdana sudah menjadi penyebar berita palsu berlesen paling utama dalam negara?

Jika media arus perdana pun sudah begitu dahsyat kelakuannya, usah dibayangkan lagi bagaimana ganas dan rakusnya media baru, media sosial dan blog serta portal yang ditaja oleh UMNO dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menyebarkan berita-berita palsu melalui tulisan-tulisan mereka setiap hari.

Yang nyata, hampir semuanya palsu, rekaan dan khayalan semata-mata yang dilaporkan sedemikian rupa hanya untuk memastikan kerajaan kleptokrasi terus kekal berkuasa.

Maka, ketika kerajaan mahu merangka undang-undang mengekang berita palsu ini, siapakah yang mereka mahu sasarkan sebenarnya?

Pembangkang atau diri mereka sendiri?

Sudahkah kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO menatap cermin untuk melihat kebenaran?

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 05 Februari 2018

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...