TERKINI :

Friday, January 19, 2018

Yusuf al-Qaradawi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah tentera Mesir





Mahkamah tentera Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada lapan tertuduh, termasuk empat orang tanpa hadir, atas dakwaan terlibat dengan keganasan pada 2015.


Sejumlah 17 individu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup termasuk ulama terkemuka dunia Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Sheikh Yusuf yang hidup dalam buangan di Qatar bersama tujuh individu lain dibicarakan tanpa kehadiran mereka pada Rabu lalu.

Tuduhan melakukan keganasan itu termasuk membunuh pegawai polis di Kaherah, sumber mahkamah memberitahu agensi berita Anadolu.

Maklumat berhubung sumber dirahsiakan ekoran larangan pihak berkuasa untuk bercakap kepada media, lapor Aljazeera.

Sheikh Yusof al-Qaradawi, ulama kelahiran Mesir yang mengetuai Kesatuan Ulama Islam Sedunia berpusat di Dhoha, Qatar didakwa atas tuduhan ‘menghasut sehingga membawa pembunuhan, menyebarkan berita palsu dan memusnahkan harta awam’.


Sejumlah 26 tertuduh (defendan) dalam kes yang sama dilepaskan daripada hukuman termasuk empat pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Bagaimanapun keputusan mahkamah itu masih boleh dirayu dan defendan yang dibicarakan tanpa hadir (tried in absentia) akan dibicarakan semula jika mereka ditangkap atau menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Mesir dilanda keganasan sejak pertengahan 2013 apabila Mohamed Morsi, pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dipilih sebagai presiden dalam pilihan raya bebas pertama negara itu, digulingkan dan ditahan dalam rampasan kuasa tentera berdarah.

Pada Sept tahun lalu, Interpol mengeluarkan nama Sheikh Yusof al-Qaradawi, 91, dari senarai ‘orang yang dikehendaki’.

Tindakan polis antarabangsa itu dibuat setelah menilai dakwaan Mesir terhadap ulama yang hidup dalam buangan itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...