TERKINI :

Tuesday, January 23, 2018

Proton tak sensitif budaya Malaysia, kata pakar ekonomi

ho-ke-ping-proton
PETALING JAYA: Pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping mendakwa rakan kongsi Proton berpangkalan di China tidak sensitif dengan tawaran diskaun kepada masyarakat Cina Malaysia baru-baru ini.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, pembuat kereta China, Zheijiang Geely yang memperoleh 49.99% saham Proton daripada DRB-Hicom tahun lepas, menunjukkan ia kurang memahami kepelbagaian budaya di Malaysia.

Jumaat lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Proton yang baharu, Li Chunrong mengumumkan diskaun sehingga 10% kepada ahli Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia. Beliau dipetik sebagai berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang berasal dari Fujian akan menikmati diskaun istimewa itu.

Hoo berkata, tawaran itu berpotensi memburukkan lagi perpecahan kaum di Malaysia.

“Proton sangat tidak sensitif. Ia tidak memahami Malaysia. Ini akan menyebabkan kaum lain memboikot Proton.”

Beliau menyifatkan tawaran itu “bodoh” kerana Proton dilaporkan akan membuat perubahan besar terhadap sistem pusat servis dan pengedarannya.

The Malaysian Reserve baru-baru ini melaporkan perubahan itu termasuklah menggabungkan pusat pengedaran dan servis yang mungkin menyebabkan penutupan beberapa syarikat.

Hoo berkata, ketika Proton dibentuk pada pertengahan 1980-an, hak pengedaran dijual atau diberikan berdasarkan “sistem vendor kroni”.

“Dahulu, mereka yang berminat mengendalikan pengedaran atau bengkel servis perlu memohon lesen khas dan membayar yuran naungan kepada kroni ini untuk mendapatkan lesen.

“Dua puluh tahun kemudian, Proton mencipta rangkaian pusat pengedaran yang tidak dilengkapi perkhidmatan bengkel.

“Perkhidmatan bengkel sedia ada mendapat keuntungan dengan menyelenggara kereta Proton di bawah jaminan, tetapi tidak boleh membaiki kereta Proton.”

Hoo berkata, Geely jelas tidak memahami keadaan di Malaysia.

“Kenyataan Li mengenai rancangan untuk merombak bengkel servis ini menunjukkan beliau tidak mengkaji tentang Proton dengan mendalam.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...