TERKINI :

Friday, January 19, 2018

Nak mengundi atau tak nak mengundi?



Fa Abdul
19 Jan 2018, 11:38 tengahari (Dikemaskini 19 Jan 2018, 11:51 tengahari)


SATIRA | Aku menghabiskan petang Selasa lepas dengan melepak santai di kedai mamak bersama rakanku, Tajuddin.

Sambil membelek telefon bimbitnya, Din mula membebel.

Hang tengok ni Fa, ada saja makhluk-makhluk kat Malaysia ni yang tak mau mengundi. Bebal betul,” katanya.

Aku mengintai telefon bimbitnya, membaca beberapa komen yang tercoret di media sosial.

“Kalau tak mau undi, esok nanti jangan sibuk nak merungut,” kata Din lagi.

“Pasal apa pulak?” tanyaku.

“IyAlah, mengundi tu kan proses pemilihan kerajaan. Kalau dah tak mau ambil bahagian dalam proses pemilihan kerajaan, apa guna nak menyibuk?” terang Din.

“Mengundi itu hak asasi rakyat, kan?” tanyaku.

Dia mengangguk.

“Habis tak mengundi tu bukan hak rakyat juga?”

Din terus senyap.

“Kalau mengundi tu melambangkan dasar demokrasi serta kebebasan, tindakan tak mengundi atau membuang undi rosak adalah juga hak rakyat di bawah dasar demokrasi yang sama,” ujarku lagi.

“Eh Fa, takkanlah hang tak mengundi!” kata Din mencebikkan mulut.

Lebih menyampah dari malas

Aku menjegilkan mata bulatku yang sememangnya terlebih jegil ketika itu.

“Aku memang akan mengundi, hang tak payah nak risau,” kataku.

Rakanku itu ketawa kecil seolah-olah memerliku, “Silap haribulan, hang buang undi rosak tak?”

Aku tenung wajahnya yang tak hensem itu lama-lama. Aku malas nak menjawab. Sebenarnya aku lebih menyampah dari malas.

“Kalau aku buang undi rosak pun, hang peduli apa? Itu kan hak aku. Hang pi tunaikan hak hang senyap-senyap sudahlah,” bentak aku.

Hang jangan la marah. Aku cakap saja,” katanya cuba meredakan keadaan.

Sambil menjeling, aku memanggil pekerja di warung mamak lalu memesan teh halia untuk kami berdua.

“Halia sudah habis,”kata pemuda berwajah ala Raj Kapoor yang mengambil pesanan kami.

“Teh tarik lah untuk saya,” kataku sambil memandang Din.

“Kalau tak dak teh halia, tak mau order-lah,” katanya.

“Kau tak minum?” aku bertanya.

Din mengeleng kepala.

“Amboi, hang datang lepak kat kedai mamak, duduk kat kerusi depa, pakai free wi-fi depa, dapat kipas angin depa,tapi tak mau pesan apa-apa?” aku menyiku rakan aku itu.

“Ish, suka hati akulah,” katanya.

Aku tertawa.

Cuci guna air longkang

“Eh bukankah setiap pelanggan yang masuk kedai mesti buat pesanan? Tak bertanggungjawablah maksudnya kalauhang tak pesan apa-apa.”

“Alah, hang tu dah pesan teh tarik, kira OK-lah. Aku duduk temankan hang ja.”

“Pulak dah.”

Din kemudiannya mula menoleh ke kiri dan ke kanan.

Awat hang suka mai tempat macam ni? Kotoq la. Tepi longkang pulak tu. Ayaq yang dia pakai nak cuci gelas mungkin air setimba ja kot,” mulalah dia potpet-potpet.

Aku tersenyum sinis.

“Dah la hang tak bertanggungjawab, masuk kedai orang tapi tak pesan apa-apa, la ni yang hang sibuk komplen pasal kedai ni apa hal pulak?” kataku sambil mengebil mata. “Bukankah hanya pelanggan kedai ni saja yang berhak merungut?”

Kini giliran Din pula untuk tertawa.

“Aku paham, aku paham,” katanya. “Pedas macam cili.”

“Alhamdulillah, hang paham. Ramai yang tak paham sebenarnya,” kataku.

image: https://i.malaysiakini.com/1187/0505162249224a01f63dfa2c51783636.jpeg

Setibanya teh tarik aku, mulalah aku menghirupnya perlahan-lahan sambil mendengar celoteh Din.

“Tapi kan Fa, kalau kita tak mengundi, macam mana kita nak ubah situasi kat Malaysia ni. Bukannya hang tak tau.Hang pun dah jenuh tulis artikel sana sini – sampai bila kita nak kritik tak habis-habis?”

Hang setuju tak kalau aku kata memang seluruh rakyat Malaysia nakkan perubahan ke arah sistem pentadbiran yang lebih baik?” aku bertanya.

Rakanku itu mengangguk tanda setuju.

Hang setuju tak kalau aku kata kemahuan dan kehendak rakyat Malaysia berbeza walaupun rata-ratanya mahukan sistem pentadbiran yang lebih baik?”

Jerit kopi O

Berkerut dahinya berfikir sejenak sebelum mengeyakan pertanyaan aku itu.

“Jadi rakyat Malaysia akan mengundi mengikut pendapat masing-masing, berpandukan senarai kepentingan masing-masing. Setuju?”

“Hhmmm,” gumamnya.

“Pastinya dalam berjuta-juta rakyat, akan ada golongan yang berpendapat tiada parti yang dapat menepati kemahuan serta kehendak mereka...”

Belum sempat aku habiskan ayat, Din memotong laju macam kereta F1: “Macam orang yang nak pesan teh halia tapi halia kat kedai mamak dah habis?”

Kami berdua tertawa.

“Sesetengah orang, macam aku, bila tak ada teh halia, akan OK saja dengan teh tarik. Tapi ada sesetengah yang perangai macam hang, terus tak nak pesan apa-apa,” kataku.

“Aku faham. Itu kebebasan namanya. Setiap orang bebas mengundi parti pilihan mereka ataupun tak mengundi. Dan yang tak mengundi juga bebas mengkritik kerajaan kerana undi atau tak undi, mereka tetap rakyat Malaysia.”

“Syukur ke hadrat Allah, Din sudah bijak berfikir,” usik aku sambil menghirup teh tarikku yang mula sejuk.

“Mamak, kopi O satu!” jerit Din secara tiba-tiba.

“Eh, kata tadi tak mau minum?”

“Suka hati akulah nak minum ke tak nak minum. Itu kebebasan namanya,” ujar Din, tersenyum sumbing.

Aku ketawa besar.

FA ABDUL kolumnis Malaysiakini edisi bahasa Inggeris.

Read more at https://m.malaysiakini.com/news/409241#CwC4wQTAlVfw4iew.99

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...