TERKINI :

Monday, January 1, 2018

MB Kedah digesa beri sebab gagal agih wang khairat kematian lebih RM9juta



Malaysian Dateline

Abdullah Suady Mohd Nasir


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak harus berdiam diri dan perlu segera menjawap pelbagai persoalan yang timbul membabitkan dakwaan kegagalan kerajaan negeri mengagihkan wang khairat kematian kepada keluarga waris yang mencecah lebih RM9 juta.

Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah mendesak Ahmad Bashah supaya menjawab keraguan tersebut sedangkan ia telah dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Kerajaan negeri harus segera menyatakan kekeliruan yang menjadi tanda-tanya kepada seluruh rakyat negeri ini.

“Apakah kerajaan negeri sudah tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menunaikan janji yang mereka laung-laungkan kepada rakyat Kedah selama ini.

“Ataupun terdapat keraguan maupun kecuaian dalam pengurusan untuk menyalurkan dana yang telah dijanjikan selepas mereka memenangi pilihan raya umum yang lalu, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan ini amat penting kerana rakyat ingin tahu status pelaksanaan skim tersebut.

“Apakah skim khairat yang menjanjikan pembayaran sebanyak RM250 bagi setiap kes itu sudah tidak wujud lagi.

“Sekiranya ia tidak mempunyai peruntukan maupun masalah pengurusan, maka kerajaan negeri wajar menjelaskan kepada rakyat negeri ini yang menjadi sebahagian dari penyumbang (pembayar cukai) kepada kerajaan negeri, ” ujarnya.

Malah tegasnya lagi, adalah lebih parah apabila menjelangnya pilihan raya yang begitu hampir, banyak aliran wang tunai yang meragukan sedang dan akan berlaku.

“Sekiranya diperingkat nasional, aset milik Felda boleh tergadai, apakah perkara tersebut tidak boleh berlaku di negeri Kedah.

“Sudahlah rakyat Kedah terbeban dengan masalah bekalan air yang tidak kesudahan sehingga sekarang, ditambah pula dengan janji-janji yang tidak ditunaikan.

“Pendedahan ini membuktikan betapa lemahnya kerajaan negeri pimpinan Umno dan BN untuk terus menerajui kepimpinan negeri Kedah, ” ujarnya.

Adalah difahamkan kerajaan negeri telah gagal untuk menyerahkan sumbangan khairat kematian tersebut kepada lebih 32,00 waris simati.

Manakala sejak 2014 sehingga Julai 2017, sebanyak lebih 40 ribu kes kematian yang berlaku, sedangkan jumlah yang menerima sumbangan kerajaan negeri hanyalah seramai 7,397 waris keluarga simati.

Oleh kerana itu katanya, rakyat Kedah seharusnya menyedari bahawa sejak menerajui kepimpinan kerajaan negeri Kedah terlalu banyak janji yng mereka laungkan tidak kesampaian.

“Janji mereka hendak bina Hospital Pendang pun jadi angan-angan hingga kini.

“Begitu juga ura-ura nak bina Lapangan Terbang Kulim pun tidak nampak bayang.

“Apa lagi dengan janji hendak wujudkan Bandaraya Getah di Kedah untuk beri peluang pekerjaan yang begitu banyak tidak juga menjadi kenyataan, ” tegasnya.

Maka itu katanya, rakyat Kedah mesti membuat perubahan serta berazam untuk menolak Umno dan BN dari terus mempelbagaikan janji mereka menjelang pilihan raya umum yang akan datang jika enggan berada ditakok yang lama dan melarat berterusan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...