TERKINI :

Saturday, January 27, 2018

Kenapa Pas tidak sahut cabaran Tun M namakan calon PM, soal AMANAH Jerai



Kenapa Pas masih belum menyahut cabaran Tun Mahathir Mohamad mengenai siapakah calon Perdana Menteri (PM) yang Pas cadangkan.

Sehingga ke hari ini Pas masih lagi menyepi seribu bahasa dengan pelbagai macam helah dan dolak-dalik.

Demikian soalan yang dilontarkan oleh Setiausaha AMANAH kawasan Jerai, Ahmad Fuuad Khasim.

Ahmad Fuuad Khasim


Menurut beliau lagi, sekiranya Presiden Pas tidak dapat menjawab cabaran Tun, apakah pimpinan Pas yang lain tidak mampu untuk menjawab soalan yang sama.

“Sememangnya Pas tidak mampu untuk menjawab cabaran Tun kerana sasaran mereka hanyalah 40 kerusi sahaja.

“Lebih menjadi igauan apabila mereka berhasrat pula ingin menjadi ‘king maker’.

“Seharusnya Pas mengimbau kembali ketidakmampuan mereka untuk memegang janji-janji yang telah mereka luahkan,” ujarnya.

Malah kata Ahmad Fuuad lagi, ketika Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu masa dahulu, ketika semua parti bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai PM, Pas juga bersetuju.

“Namun begitu dalam diam-diam Pas bermain kayu tiga dengan memujuk Tengku Razaleigh Hamzah yang masih berada dalam Umno untuk menjadi calon pilihan Pas.

“Persoalannya kenapa Pas sendiri tidak mencalonkan Hadi Awang sendiri sebagai calon PM?

“Tidak percayakah Haji Hadi pada diri sendiri atau tidak yakinkah sebahagian pimpinan Pas ketika itu atas kemampuan Presiden mereka sendiri?” tanya beliau.

Tegas beliau lagi, yang jelas lagi ketara kini ialah Pas ingin mengekalkan Najib sebagai PM.

“Buktinya segala tindak-tanduk Pas kini seakan-akan memberi talian hayat kepada Umno apabila mereka kerap berkecuali dalam pelbagai isu yang bersangkutan dengan kepentingan rakyat.

“Sejak kebelakangan ini ucapan yang sering dikeluarkan oleh Presiden Pas sendiri tidak konsisten.

“Pada awalnya Pas bercadang untuk merampas lima negeri termasuk Terengganu, kini ia beralih pula untuk menawan Selangor dan Pahang yang dianggap sukar bagi Pas untuk merealisasikannya,” jelasnya lagi.

Tanya beliau lagi, strategi manakah yang diguna pakai oleh Pas sehingga memberi keyakinan kepada mereka untuk menawan negeri-negeri tersebut.

“Secara logiknya Pas tidak mampu untuk menawan negeri-negeri tersebut.

“Sebaliknya mereka hanya sekadar ingin memberi kemenangan kepada Umno untuk mengekalkan kuasa di samping bercita-cita untuk menjadi sebuah kerajaan.

“Apakah Pas masih tidak serik dengan pelbagai tipu muslihat Umno sehinggakan mereka akhirnya akan turut kehilangan Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum yang akan datang,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Pas harus cermin diri dan bermuhasabah sebelum melabelkan parti lain dengan pelbagai label yang tidak sewajarnya, yang dizahirkan oleh pimpinan mereka tatkala ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...