TERKINI :

Wednesday, January 31, 2018

Janji Najib beri “one-off” RM1,500 kepada imam, bilal awal Januari belum tertunai

 
PERMATANG PAUH: Janji Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan sumbangan ‘one -off’ sebanyak RM1,500 kepada imam dan bilal seawal Januari 2018 dilihat tidak menjadi kenyataan sehingga kini.

Seharusnya Perdana Menteri membuktikan bahawa apa yang dibentangkan dalam Bajet 2018 lalu bukannya janji politik menjelang pilihan raya umum, sebaliknya ia serius bertujuan untuk membantu golongan tersebut, lapor Malaysia Dateline.

Demikian kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan Sepak Penalti, Dun Permatang Pasir, Permatang Pauh kelmarin.

Faiz menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta kejohanan Sepak Penalti kelmarin.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi Najib menjanjikan untuk memberikan elaun khas tersebut seawal Januari, sebaliknya laporan yang diterima imam dan bilal belum menerima janji tersebut walaupun Januari akan berakhir esok.

Semasa pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, Najib telah mengumumkan sebanyak RM588 juta bayaran elaun bulanan kepada imam, bilal, guru kafa dan takmir.

Kerajaan turut mengumumkan bayaran ‘one-off’ sebanyak RM1,500 dengan pembayaran sebanyak RM1,000 pada awal Januari dan RM500 lagi menjelang Aidilfitri.

“Sehingga kini dilaporkan bayang-bayang bayaran ‘one-off’ yang dijanjikan oleh Najib kepada imam dan bilal masih belum menjadi kenyataan dan hanya retorik.

“Rungutan imam dan bilal tentang janji manis Najib tersebut ada asasnya memandangkan sumber bayaran tersebut datang dari poket mereka sendiri iaitu hampir RM7,000 setahun melalui kutipan GST.

“Apabila Najib tidak dapat menunaikan janji dalam bajet yang dibentangkan pada OKtober 2017 yang lalu, sudah pasti ia memperlihatkan bagaimana kerajaan cuba menabur pelbagai janji-janji manis,” ujarnya.

Kata Faiz lagi, kesan daripada skandal dan korupsi yang semakin kronik, termasuklah 1MDB, Felda dan seumpamanya menyebabkan kantung negara semakin kering.

“Kerajaan kini terpaksa bergantung kepada poket rakyat bagi menampung perbelanjaan negara terutamanya pembayaran hutang akibat skandal rasuah dan ketirisan yang mencecah ratusan bilion ringgit setiap tahun.

“Namun begitu, janji yang ditaburkan kepada rakyat kononnya tidak harus diabaikan apatah lagi kehidupan imam dan bilal yang turut tidak ubah seperti segmen lain di mana rakyat terpaksa bergelut dengan beban kos sara hidup.

“Lebih dikesali apabila slogan kerajaan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ hanyalah sebuah nostalgia dongeng kleptokrat terburuk dunia tatkala ini,” jelasnya.

Tegas beliau lagi, sekiranya Najib menganjak tarikh pemberian bayaran ‘one-off’ sepertimana yang dijanjikan kepada imam dan bilal sehingga tarikh pilihan raya umum, maka ia boleh dianggap sebagai rasuah kerana mengharapkan balasan undi kepada BN.

Tambahnya lagi, seharusnya Najib segera mengotakan janji beliau bagi membuktikan ia tidak memperalatkan imam dan bilal demi kepentingan politik terdesak BN.

Faiz bersama-sama kumpulan yang menyertai kejohanan sepak penalti di Dun Permatang Pasir kelmarin.

“Sememangnya bayaran ‘one-off’ tidak mengubah nasib hidup rakyat kerana polisi BN telah menyebabkan kenaikan harga barangan, sedangkan polisi Pakatan Harapan (PH) adalah bagi mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

“PH berilltizam ke arah pentadbiran yang lebih baik dengan penghapusan GST dan pembasmian rasuah.

“Telah terbukti rasuah serta GST menjadi penyebab utama kesusahan hidup rakyat ketika ini,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, jalan terbaik bagi menyekat penindasan terhadap rakyat yang sedang dilakukan oleh kerajaan BN berterusan, hanyalah dengan menukar kerajaan sedia ada.

Beliau juga berkata dengan memberi mandat kepada PH untuk menjadi kerajaan, nasib rakyat sudah pasti terbela, sebaliknya dengan mengekalkan BN untuk terus berkuasa, hidup rakyat akan semakin melarat dan terseksa.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...