TERKINI :

Sunday, January 21, 2018

Dr Mahathir kritik tindakan jual tanah, bina kondomium mewah di Langkawi


Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu (dua dari kanan) semasa merasmikan cawangan baru Bersatu di Langkawi, Kedah, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

MEMBERI bayangan kemungkinan akan bertanding di Langkawi, Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan Kedah membina kondominium mewah berharga jutaan ringgit.

Pengerusi Bersatu itu mendakwa pembinaan kondomium mewah yang nilai pasarannya mencecah lebih RM1 juta seunit tidak mampu dimiliki oleh penduduk tempatan di Langkawi yang rata- ratanya bekerja sebagai nelayan.

“Siapa yang nak duduk? Adakah nelayan yang buat pekasam nak duduk di bangunan macam itu?

“Harganya lebih RM1 juta Saya fikir nelayan di Langkawi ini belum sampai pada tahap boleh membeli bangunan yang harganya RM1 juta lebih,” dalam ceramahnya yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Bersatu Kedah.

Dalam ceramahnya itu, Dr Mahathir berkata tindakan kerajaan negeri menjual tanah di Langkawi kepada pelabur asing untuk membina kondominium boleh disamakan seperti "kera di hutan disusukan tapi anak di rumah mati kelaparan".

Katanya, polisi kerajaan kini lebih mementingkan orang asing berbanding rakyat sendiri yang kini hidup melarat disebabkannya.

“Keadaan Langkawi bukan beri perhatian pada orang Langkawi tetapi kepada orang asing, yang ada duit, yang akan beli bangunan pencakar langit. Kononnya, Langkawi akan jadi macam Singapura.

“Kalau Langkawi jadi cantik dengan berpuluh bangunan pencakar langit tetapi kalau kita masih tangkap ikan dengan tangan, bolehlah jual ikan termenung. Dapat dua tiga ringgit sehari nak makan pun tak cukup,” kata pemimpin itu yang terkenal dengan sindiran tajamnya itu.

Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan negeri menghentikan pembinaan Menara Langkawi yang sepatutnya dibina di pekan Kuah pada 2010.


Sebahagian orang ramai yang hadir mendengar ceramah Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, Kedah, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

Dr Mahathir hadir di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Nyior Chabang bagi merasmikan cawangan Bersatu di kawasan tersebut.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Bahagian Langkawi, Amar Pared Mahamud kepada The Malaysian Insight, ceramah malam tadi dihadiri kira- kira 2,000 orang.

Selain Dr Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut hadir berucap malam tadi.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan bertanding di Langkawi selain Kubang Pasu dan Putrajaya.

Beliau hadir di Langkawi bagi lawatan rasminya selama sehari bertemu penduduk di pulau lagenda itu.

Antara kawasan yang dilawati Dr Mahathir bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali ialah di kawasan perkampungan Bukit Malut di mana beliau membangkitkan isu tersebut dalam ucapannya.

Beliau berkata pembangunan Bukit Malut dipinggirkan kerajaan negeri dengan keadaan prasarana yang kurang memuaskan seperti tiada bekalan elektrik dan air secukupnya.

“Bukit Malut bekalan air, elektrik tak baik dan selalu berlaku kebakaran. Kali terakhir terbakar, tiga empat tahun lalu. Kerajaan negeri cuma bagi khemah cuma letak dindingnya sampai sekarang duduk dalam khemah.”

Justeru, beliau menyeru penduduk Langkawi menolak kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN).

Katanya, Langkawi selama ini dianggap sebagai kubu kuat BN dan kini tiba masanya penduduk di sana menolak tradisi tersebut.

“Sejak pertama kali Tunku Abdul Rahman bertanding Langkawi, calon BN tetap menang.

“Orang Langkawi setia dan patuh tapi sekarang kita lihat balasan Umno pada Langkawi. Hendak hentikan status pulau bebas cukai, Najib Razak konon nak bagi RM5 bilion satu sen tak dapat.

“Sudah sampai masa orang Langkawi tolak Umno biar tersungkur.”

Namun dalam ceramahnya, beliau tidak dilihat mengulas mengenai kenyataan anak Najib, Nazifuddin yang meminta bekas perdana menteri itu mengenang legasi Perdana Menteri Kedua Malaysia Abdul Razak Hussein dengan kembali kepada Umno.

Nazifuddin berkata jika Dr Mahathir benar-benar menghargai dan mengenang jasa Razak, beliau sepatutnya melindungi Najib sebagaimana perdana menteri itu melindungi Dr Mahathir dalam mempertahankan jawatan presiden Umno pada 1987. – 21 Januari, 2018.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...