TERKINI :

Sunday, January 21, 2018

‘Bila kita muafakat selalunya undi melonjak’




 ARIF ATAN@Malaysia Dateline


Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, siri pilihan raya lalu menyaksikan undi diperoleh blok parti pembangkang lazimnya akan meningkat apabila wujud kesepakatan.


Beliau berkata, bertanding secara bersendirian atau bergantung pada undi sesuatu kaum sahaja sama sekali tidak menjamin kemenangan lantaran komposisi masyarakat majmuk di negara ini.

“Kalau Bersatu, AMANAH, PKR bertanding bersendirian, mesti tidak akan menang. DAP bolehlah menang beberapa tempat tapi tidak boleh ambil negeri dan negara.

“Bila kita ada saja muafakat selalunya undi melonjak. Pas dapat Kelantan balik pada 1990 selepas bermuafakat dengan Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh.

“Kami waktu Pas ketika itu bersama PKR bekerjasama (PRU 1999) dapat dua negeri balik – Kelantan dan Terengganu,” ujarnya ketika berceramah di Tapah, kelmarin.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, pengalaman pilihan raya lepas juga menjadi bukti pentingnya sokongan kedua-dua segmen pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada kemenangan pihak pembangkang.

“Tahun 1998 berlaku reformasi. Sepatutnya, kita masa itu (PRU 1999) sudah boleh menang. Pembangkang sudah ambil alih Malaysia sebab Melayu sudah sokong pembangkang besar-besaran tetapi Cina tidak sokong.

“Orang Tionghoa secara majoriti masih mengundi BN. Naik Pak Lah – Mr Clean. Waktu itulah kami teruk sekali, PKR tinggal 1 kerusi, Pas tinggal 6, DAP tak silap saya 9.

“Sekarang Cina semua menyumpah sebab mereka berniaga teruk. Tanyalah siapa pun. Pertimbangan mereka pada ekonomi,” jelasnya.

Untuk rekod, keputusan PRU 1999 menyaksikan Pas meraih lonjakan kemenangan memberangsangkan apabila mengaut 27 kerusi Parlimen manakala PKR 5 dan DAP 10 kerusi.

Walau bagaimanapun pada PRU 2004, Barisan Alternatif yang hanya dianggotai Pas dan PKR masing-masing menang tujuh dan satu kerusi sahaja manakala DAP mendapat 12 kerusi Parlimen.

Mengajar

Lagi mengimbas pola keputusan PRU, Mohamad yang berpengalaman selama empat dekad dalam politik tanah air berkata, keputusan pada 2008 seterusnya membuktikan hasil muafakat antara parti pembangkang.

“Tuntutan Bersih, Hindraf dan sebagainya dan buat pertama kali dalam sejarah parti-parti politik (pembangkang) dapat bergabung disokong oleh NGO (badan bukan kerajaan), kita menang lima negeri.

“Ertinya, nak jatuhkan kerajaan Umno-BN, pembangkang mesti bergabung. Yang nak duduk sorang-sorang, biarkan. 40 tahun saya sebagai pembangkang. Ceramah Pas ramai datang tapi pilihan raya kalah.

“Pasal kita hanya bergantung undi pada satu kaum. Maka, tahun 2008 mengajar kita kalau ada perpaduan antara pembangkang dan NGO, kita boleh menang. Sebab itu kita menang lima negeri dan menafikan dua per tiga majoriti BN,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Mohamad yang juga mesra dipanggil sebagai ‘Abang Mat’ itu berkata, keputusan PRU-13 menyaksikan sentimen perkauman yang dimainkan BN menjejaskan sokongan pengundi Melayu kepada blok pembangkang.

“Memang PRU 2013 kita menang, anggap kita boleh ambil alih tapi Umno ada ‘senjata’. Umno kata DAP kuasai Pakatan Rakyat. Kalau BN jatuh, Cina akan jadi perdana menteri.

“Kempen-kempen begitu tahun 2013 memang undi Melayu merosot sedikit kepada Pakatan Rakyat menyebabkan kita hilang (undi) di kawasan orang Melayu seperti Kedah. Kita kalah Baling, Pendang, Padang Terap, Jerlun, di antaranya kesan kempen tentang perkauman ini.

“Kita hadapi PRU-13, kita menang 52 peratus undi popular, BN kalah tetapi undi tidak seimbang. Cina paling tinggi, India kedua, orang Melayu tidak lagi majoriti mengundi pembangkang.

“Ini menyebabkan kemenangan kita berkisar di sebelah Pantai Barat. Kita hilang Kedah, Perak. Hanya dapat pertahan negeri majmuk di Pulau Pinang dan Selangor selain Kelantan yang memang lama kuat dengan Pas,” jelasnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...