TERKINI :

Monday, January 1, 2018

Berakhirlah secara rasmi legasi Ustaz Fadzil Noor dalam PAS dengan keluarnya Mahfuz Omar

SELAMAT BERJUANG DATO MAHFUZ OMAR

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Dengan keluarnya Dato Mahfuz Omar daripada PAS, maka berakhirlah secara rasmi legasi Ustaz Fadzil Noor. Antara legasi ustaz Fadzil Noor yang berpengaruh secara khusus utk negeri Kedah adalah almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato Mahfuz Omar.

2) Ustaz Azizan menjadi bualan ramai setelah menjadi Menteri Besar, apabila semua orang kagum dengan potensinya yang unik dan hebat. Malah gaya kepimpinan dan pengucapan mirip Ustaz Fadzil Noor sendiri. Ramai yang terkenang Ustaz Fadzil Noor apabila menghayati cara ustaz Azizan berpencak dalam dewan undangan negeri.

3) Setelah pemergian Ustaz Azizan, Dato Mahfuz Omar dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah. Walaupun tidak sehebat Ustaz Azizan dari segi kepimpinan, beliau turut mewarisi kehebatan Ustaz Fadzil dari sudut kehebatan berhujah dan bersilat dalam Parlimen. Atas dasar itu, PAS Kedah melihat beliau sebagai legasi ustaz Fadzil yang boleh menjadi nakhoda PAS Kedah.

4) Namun ia tidak lama. Cuaca dalaman PAS menjadi panas secara mendadak dan setelah ketiadaan TGNA panas itu mula membakar. Pendek cerita, Dato Mahfuz Omar tiba-tiba direhatkan. Malah beliau sebagai ketua PAS Pokok Sena juga dipangku.

5) Jiwa beliau yang mesra AMANAH membuatkan beliau terus dipinggir dan dicemuh oleh ahli dan pimpinan PAS negeri bahkan PAS pusat. Walaupun beliau Ahli Parlimen PAS, suaranya tidak mahu dikira sebagai suara PAS. PAS sudah lama memutuskan hubungan dengan beliau akibat mesra AMANAH dan PH.

6) Pengumuman untuk keluar daripada PAS menang ditunggu oleh orang PAS dan pimpinan PAS. Malah ada suara-suara yang mahu beliau bertanding di Pokok Sena atas nama parti lain (Pakatan Harapan) untuk berdepan dengan PAS. betapa marahnya mereka kepada beliau sehingga merancang untuk kasi total defeat kepada beliau. Lupa kot yang BN pun bertanding situ juga.

7) Tepat 12.00 malam tadi, beliau secara unilateral keluar PAS. Belum putuskan untuk sertai mana-mana parti. Bagi saya, dengan keluarnya daripada PAS, Dato Mahfuz rugi, dan PAS juga rugi. Yang untung adalah BN dan PH. BN untung sebab mereka dah letih nak bersilat dengan Dato Mahfuz Omar. PH untung sebab tokoh yang hebat dan berpengalaman dalam politik akan menyetai mereka.

8 ) PAS rugi. Samada rugi besar atau rugi kecil bergantung kepada persediaan PAS mengisi kehilangan Dato Mahfuz Omar. Dato Mahfuz rugi kerana meninggalkan perjuangan beliau dalam parti yang beliau sama-sama berjuang dengan almarhum Ustaz Fadzil Noor.

9) Tiada lagi legasi Ustaz Fadzil Noor yang boleh mengembalikan PAS kepada era Ustaz Fadzil Noor. Kini PAS dianggap dikuasai sepenuhnya oleh TG Haji Hadi dan sedang membina legasinya yang besar.

10) Selamat berjuang dalam kapal baru, Dato Mahfuz Omar. Jasamu dikenang.

Sekian

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...