TERKINI :

Saturday, January 6, 2018

Anak muda hari ini bergelut mencari pendapatan





Tahun 2017 jadi saksi majoriti anak muda terus dibelenggu dengan himpitan ekonomi pada ketika kerajaan Umno-BN galak memasang angan-angan dalam tempoh 30 tahun akan datang melalui apa yang dicanang sebagai Transformasi Nasional 2050 (TN50).


Realiti ini turut diakui pimpinan Pemuda Pakatan Harapan yang terdiri daripada AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP dalam pelbagai slot ceramah dan forum sepanjang tahun 2017.

“Anak muda hari ini tertekan dengan isu ekonomi yang lebih teruk berbanding 2013. Menteri pun suruh buat dua kerja.

“Anak muda sebahagiannya buat dua kerja, balik lewat malam,” kata Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor berkenaan dalam slot Diskusi ‘Hala Tuju Pemuda Harapan’ anjuran Invoke Malaysia, baru-baru ini.

Nik Nazmi Ahmad


Kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkaitan dengan penerimaan gaji yang tidak mencukupi dengan 85 peratus tenaga kerja di negara ini sedang bergelut untuk mencari nafkah dan pada masa sama dikejar pelbagai jenis hutang.

Peratus kenaikan gaji tahunan yang kecil sekali gus mengheret kepada pendapatan bulanan bersih yang amat rendah diburukkan lagi dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2015.

Paling terkesan tentunya golongan 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah (B40) bahkan golongan menengah (M40) terutama di bandar dan memiliki banyak tanggungan juga menerima tempias ekoran tindakan kerajaan menarik balik subsidi petrol dan barangan lain.

Bahana GST yang mengundang kenaikan berantai terhadap hampir keseluruhan segmen makanan, barangan keperluan dan perkhidmatan inilah kerap disebut oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil dalam banyak slot forum dan ceramah yang disertainya.

“Dahulu tidak ada cukai-cukai yang menekan rakyat, tapi hari ini kerajaan mengenakan cukai yang membebankan rakyat seperti GST.

“Kita di Pakatan Harapan mahu hapuskan GST tapi Najib bercakap GST di Malaysia jauh lebih rendah dari India. Cara perbandingan itu tidak adil dan tidak tepat,” tegasnya dalam satu forum menjelang Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi, Oktober lalu.

Faiz Fadzil


Penghapusan GST seperti yang disebut peguam berkenaan terbukti turut menjadi iltizam Pakatan Harapan sebaik diberi mandat di Putrajaya apabila menjadi antara inti utama dalam Belanjawan Alternatif 2018.

Dijangka akan mengembalikan hampir RM26 bilion kepada rakyat jika kadar cukai enam peratus itu dimansuhkan, Pakatan Harapan serius untuk mengurangkan peningkatan kos hidup yang ditanggung majoriti rakyat.

Kerakusan rejim Umno-BN memugar segenap inci tanah, hutan dan kampung untuk projek mega bertopengkan jampi pembangunan tidak lebih hanya untuk memenuhkan kantung mereka ketika Pakatan Harapan mengunjurkan hutang negara terus melambung RM710 bilion pada 2018.

Pola pembangunan merosakkan alam dan budaya yang hanya mengkayakan lagi syarikat-syarikat yang sudah sedia 2.5 kali lebih kaya daripada keseluruhan 14 juta tenaga kerja di negara ini sama sekali tidak memberi manfaat ekonomi kepada anak muda.

Walhal, pada ketika sumber semakin terhad, parti pemerintah yang bertanggungjawab akan mengutamakan pembangunan lestari dengan pulangan ekonomi dinikmati secara menyeluruh sehingga generasi pada masa depan.

Ashraf Mustaqim


Agro pelancongan

Ahli Exco Pemuda Bersatu, Ashraf Mustaqim Badrul Munir dalam forum anak muda baru-baru ini ada menyebut tentang pemerkasaan agro pelancongan sebagai dimensi ekonomi yang membolehkan golongan belia tidak bergantung pada sektor makan gaji di bandar.

“Agro pelancongan akan memastikan keterlibatan anak muda untuk pulang ke kampung bangunkan tanah di kampung.

“Kita sudah ada Lazada contohnya. Kita jualkan barang-barang pertanian (melalui media sosial). Pembaharuan teknologi baru ini penting,” ujarnya.

Penangan Revolusi Industri 4.0 yang menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan juga akan semakin ketara dengan lebih 70 peratus pekerjaan pada hari ini mungkin dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang sudah tidak wujud lagi.

Hakikat ‘menakutkan’ itu jika kita pada hari ini tidak bersedia telah dibangkitkan Ketua Setiausaha Pemuda Harapan yang juga Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee.

“Jadi, apabila bercakap tentang peluang pekerjaan dalam konteks Revolusi Industri 4.0, kita bukan sahaja bercakap tentang pengangguran hari ini tetapi program latihan untuk anak-anak muda pada masa depan.

“Kami (Pemuda Pakatan Harapan) telah memberi cadangan, kita perlukan ekonomi kita mempelopori sub-sub ekonomi di Malaysia yang belum ada.

“Contohnya menjelang 2030, Malaysia akan jadi negara berusia dengan lebih 15 peratus daripada populasi rakyat negara ini berusia 65 tahun ke atas.

“Umur purata kematian akan meningkat. Walaupun nampak hari ini, satu masalah tapi buka ruang ekonomi baru iaitu ekonomi penjagaan,” ujar Adun Pasir Pinji itu.

Howard Lee


Lontaran Howard berkenaan model Ekonomi Insani yang berteraskan kesejahteraan segenap lapisan masyarakat itu adalah lanjutan pada apa yang ditegaskan dalam perutusan Pemuda Pakatan Harapan sempena Hari Belia, Mei tahun lalu.

Jelas, Pemuda Pakatan Harapan merupakan pelapis pemimpin negara masa depan yang paling relevan lantaran memiliki hala tuju dalam usaha menjadikan kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih sejahtera dan adil pada masa depan.

Cabarannya sejauh mana mesej itu diterjemah di kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti oleh 14.6 juta pemilih termasuk anak muda ketika 3.8 juta rakyat lagi berusia 21 hingga 39 tahun setakat pertengahan tahun 2017 masih belum mendaftar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...