TERKINI :

Thursday, January 4, 2018

Amiruddin nafi bakal MB, Pas tidak sepatutnya dalam Gagasan Sejahtera



Ketua pembangkang Dun Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah menafikan bakal dilantik menteri besar jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit itu menyertai Pas pada 1999 namun mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 November lalu.

Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Anak Bukit pada 2002 yang diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Fadzil Mohd Nor.

Selama empat penggal mewakili Pas bagi Dun Anak Bukit, Amiruddin ialah salah seorang yang disebut-sebut sebagai calon menteri besar (MB) jika Pas dan Pakatan Rakyat berjaya menawan negeri itu.

“Pandangan saya sesiapa sahaja yang bertanding boleh menjadi MB. Untuk menjadi MB parti yang diwakili calon itu perlu memenangi kerusi yang banyak daripada parti dalam gabungan.

“Kita pun tak tahu parti mana yang akan bertanding kerusi yang lebih banyak daripada parti yang lain dalam PH. Kita juga tidak tahu sejauh mana kemampuan PH memenangi kerusi yang dipertandingkan untuk menumbangkan BN.

“Untuk mengatakan saya masuk PPBM kerana ditawarkan menjadi MB itu dakwaan tidak betul. Insya Allah saya doakan PH menang di Kedah. Sudah tentulah parti komponen PH yang terbanyak kerusi dimenangi akan ada calonnya menjadi MB. Mungkin PKR, AMANAH atau PPBM tetapi tidak DAP kerana bilangan kerusi DAP paling sedikit di negeri ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tindakan Amiruddin keluar Pas telah mengubah kedudukan kerusi PH di Dun Kedah yang kini mempunyai 9 kerusi manakala Pas (7) dan BN (20).

Datuk Ir Amiruddin Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada satu majlis ringkas yang diadakan di Alor Setar. 26 Nov lalu.


Dipelawa oleh 4 parti

Amiruddin juga tidak keberatan untuk berterus terang ketika ditanya sebab beliau memilih Bersatu, parti serpihan Umno berbanding menyertai AMANAH parti serpihan Pas.

Beliau mengakui pernah dipelawa oleh keempat-empat parti gabungan dalam PH, sebaliknya beliau memilih Bersatu.

“Saya berpandangan semua parti gabungan dalam PH punya kredibiliti untuk menumbangkan BN dalam PRU akan datang.

“Saya merasakan diri saya bersedia dan mampu memberikan sumbangan kepada PPBM dalam usaha untuk menjatuhkan BN.

“Setiap parti mempunyai kekuatan masing-masing. Dalam senario di negeri Kedah dan di Dun Anak Bukit saya rasakan dapat beri sumbangan lebih bermakna kepada PH berbanding kekal dalam Pas,” ujarnya.

Menurut Amiruddin, beliau memilih untuk bersama Bersatu bagi memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam misi untuk menjatuhkan BN.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk mengekalkan kerusi Dun Anak Bukit dalam PRU14,  Amirudin  menyerahkan kepada keputusan pucuk pimpinan Bersatu Negeri.

“Saya pulangkan keputusan itu kepada pimpinan PPBM. Saya menjadi ahli parti sahaja, jika merasakan di tempat yang saya sudah jadi wakil rakyat selama empat penggal ini masih dianggap ‘winable candidate’ atau ditempat lain terserahlah pada PPBM menentukannya,” ujarnya.

Mengenai dakwaan beliau akan membawa masuk lebih ramai ahli dan pemimpin Pas menyertai PH, Amiruddin berkata perkara itu sudahpun berlaku.

“Ramai yang bertanya saya soalan ini. Di Kulim dan Kubang Pasu sudah berlaku. Mahfuz pun dah keluar Pas (MP Pokok Sena). Sebagai sebuah negara demokrasi, jangan sesekali kita meletakkan intelektual seseorang di peringkat rendah.

“Kita harap jangan pandang rendah intelektual mereka itu (yang berhasrat keluar parti). sebenarnya mereka boleh menilai sendiri dan membuat keputusan sendiri sama ada untuk kekal dalam Pas atau berhijrah ke parti baharu yang dirasakan dapat membawa harapan mereka,” ujarnya yang tidak sekali-kali berhasrat untuk menarik ahli Pas di negeri itu keluar parti.

Senario Pas dan ‘Harumanis’

Ini kerana Amiruddin dilihat antara pemimpin Pas yang dikategorikan sebagai ‘harumanis’.

Mengenai kelompok ‘harumanis’ yang dilihat lebih cenderung kepada PH terutama di Selangor apabila mula tersebar desas-desus enam Adun Pas akan menyertai PKR, Amiruddin berkata, Adun Pas di Selangor mempunyai pertimbangan sendiri untuk menghabiskan penggal mereka sebagai wakil rakyat.

“Mungkin ada pertimbangan sendiri untuk menghabiskan penggal mereka sebagai Adun atau MP yang dipilih rakyat.

“Saya mengenali kawan-kawan bukan sehari dua tapi cukup lama. Mereka mempunyai prinsip tersendiri bukanlah menjadi satu faktor bagi mereka untuk lompat parti kerana tidak dipilih sebagai calon PRU, itu bukan puncanya, saya tidak fikir begitu.

“Kami di dalam Pas dididik dan diasuh untuk tidak bertindak bertanding di mana-mana tempat,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan Adun Pas sedang menunggu ‘tawaran’  kerusi daripada PH, beliau berkata, “Saya sendiri bukan tunggu tawaran untuk masuk PPBM, tetapi ‘tawarannya’  bukan kerusi… iaitu ‘mari bersama kami, jika saudara merasakan penyertaan saudara itu memberi impak yang baik untuk PH.”

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “kewujudan parti kerana rakyat untuk rakyat”.

“Itu tidak bermakna semua keahlian parti itu yang ada hari ini semua mereka menawarkan diri untuk bertanding atau berebut jawatan? Tetapi mereka merasakan dapat memberikan sumbangan di dalam politik untuk menyelamatkan negara daripada jurang kemusnahan,” hujahnya.

Mengenai pendirian Pas hari ini yang tidak bersama PH, Amiruddin, berpandangan Pas tidak seharusnya berada dalam Gagasan Sejahtera.

“Kalau dulu Pas pernah menyertai Pakatan Rakyat (PR), mengapa tidak hari ini dalam PH? PR dan PH itulah sepatutnya menjadi ‘blok kedua’.

“Bagi rakyat kita mahu hanya ada dua blok pilihan mereka sama ada BN atau PH. Sementara saya secara peribadi mengharapkan semua parti pembangkang hanya ada satu pakatan sahaja.

“Dengan masa yang berbaki kurang daripada 100 hari ini, saya fikir inilah masa dan peluang PH untuk memenangi lebih kerusi berbanding Pas walaupun terpaksa menghadapi tiga penjuru,” ujarnya yang menjangkakan dalam tempoh kurang 100 hari pilihan raya umum ini, Pas tidak akan berkompromi untuk bekerjasama dengan PH bagi memastikan BN tumbang dalam PRU14 kali ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...