TERKINI :

Friday, January 19, 2018

Ambil pengajaran dari Brexit: Jangan kerana undi rosak BN akan terus berkuasa



Golongan muda di negara ini adalah ‘king maker’ sebenar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menyertai arus perubahan menjatuhkan BN, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kedah, Asmirul Anuar Aris.

Menurutnya, anak muda perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Brexit dua tahun lalu yang kemudiannya membebankan kelompok tersebut.

“Keputusan referendum merekodkan jumlah orang muda yang keluar mengundi adalah rendah berbanding orang tua. Walaupun kira-kira 74 peratus anak muda berusia bawah 24 tahun dilaporkan mahu kekal dalam Kesatuan Eropah (EU), namun orang tua yang lebih ramai keluar mengundi akhirnya menentukan keputusan akhir referendum tersebut.

“Maka orang muda di UK diwariskan bukan sahaja dengan keadaan ekonomi yang lebih buruk berbanding dulu tetapi juga mereka perlu hidup dengan keputusan yang membebankan mereka yang dipaksa ke atas mereka oleh generasi yang lebih tua akibat daripada tindakan mereka sendiri,” jelasnya.

Mengulas tindakan kumpulan anak muda tertentu yang akan membuang undi rosak sebagai tanda protes, beliau berpendapat sikap tersebut hanya akan mengembalikan BN untuk terus berkuasa.

“Persoalannya, apakah ia langkah terbaik bagi sebuah negara yang belum pernah mangalami peralihan kuasa di peringkat persekutuan?

“Apakah anak muda bersedia membayar harganya, jikalau undi rosak mereka menyumbang kepada kembalinya majoriti dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat?” soal Ketua Pemuda AMANAH Kedah itu.


Lebih memburukkan keadaan, kata Asmirul, statistik terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mendedahkan sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September 2017.

“Sejarah dunia juga merakamkan peranan besar anak muda seperti yang direkodkan dalam peristiwa pemuda gua (Ashabul Kahfi), Usamah bin Zaid yang mengetuai peperangan pada usia muda serta ketokohan Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluki Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun.

“Nasi sudah menjadi bubur bagi anak-anak muda UK. Ayuh anak muda marilah sama-sama menyertai arus perubahan ini. Sedarlah kalian bahawa nilai undi anda amat berharga ke arah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...