TERKINI :

Monday, January 8, 2018

AKUR DAN DUKUNG KEPUTUSAN DEMI AGENDA MENYELAMATKAN MALAYSIA

Kenyataan Media
8 Januari 2017

AKUR DAN DUKUNG KEPUTUSAN DEMI AGENDA MENYELAMATKAN MALAYSIA

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 telah berakhir. Satu keputusan secara bersama telah dicapai dan diterjemah dalam bentuk kerjasama yang amat kukuh. Pakatan Harapan menghidangkan kepada rakyat Malaysia sebuah alternatif kepada Barisan Nasional yang kian merusak pentadbiran Malaysia.

Pakatan Harapan menawarkan gandingan dua doktor sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan. Hasil perundingan dan kerjasama juga menyaksikan agihan kerusi di semenanjung telah berjaya dimuktamadkan. Ini bukanlah keputusan kecil kerana ia melibatkan kerjasama politik empat buah parti.

Keputusan yang julung-julung kalinya dapat dicapai ini adalah hasil dari kerendahan hati pimpinan-pimpinan utama ke empat-empat buah parti kompenan Harapan yang lebih mementingkan kesejahteraan negara dari agenda politik sempit kepartian masing-masing.

Tentunya sebelum keputusan besar ini mampu dicapai, pelbagai aspek termasuk cadangan-cadangan dari semua pihak telah diperhalusi dan diperdebatkan. Saya kira keputusan ini telah melalui sesi perbahasan panjang dan untung nasib pertimbangan politik dari semua sudut telah ditelaah untuk dizahirkan.

Pada saya kita boleh berbeda pandangan dan cadangan sebelum keputusan dibuat. Namun setelah kata putus dicapai, ia perlu dipertahankan dan dihormati. Kita perlu berjiwa besar menerima keputusan demi meneruskan agenda yang lebih utama.

Justeru wajarlah kita semua sebagai pendukung perjuangan parti mengangkat dan mendukung keputusan ini sebagai satu agenda utama perjuangan. Tidak seharusnya timbul lagi nada-nada sinis penentangan kerana fokus utama sekarang adalah agenda menyelamatkan Malaysia.

Saya seru seluruh pendukung perjuangan untuk berjiwa besar menerima keputusan ini dan kembali fokus kepada agenda utama untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional. Hentikan segera polemik ketidak puasan hati kerana ia akan menjejaskan kestabilan politik Pakatan Harapan.

Sekian.

SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...