TERKINI :

Sunday, December 31, 2017

Kebebasan Bersuara Lebih Parah Di Bawah DS Najib

KENYATAAN MEDIA

Kebebasan Bersuara Lebih Parah Di Bawah DS Najib

Saya terpanggil untuk membalas kenyataan yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, DS Salleh Said Keruak, yang berkata kebebasan bersuara di bawah DS Najib Razak lebih baik berbanding di bawah Tun Dr Mahathir.

Kenyataan DS Salleh ini sebenarnya langsung tidak bersandarkan fakta atau rujukan. Ia adalah kenyataan terdesak memandangkan Pakatan Harapan semakin kukuh dan bersiap sedia menghadapi PRU-14. Dengan kata lain, ini hanyalah retorik politik untuk menonjolkan kesetiaan DS Salleh terhadap bos beliau menjelang PRU-14.

Cukup mudah untuk mematahkan hujah DS Salleh. Sebagai contoh, jika kita rujuk Indeks Kebebasan Media Sedunia (World Press Freedom Index) terbitan Reporters Sans Frontier (RSF) - sebuah NGO antarabangsa yang memantau tahap kebebasan media - kita akan lihat bagaimana kebebasan bersuara di kalangan media di Malaysia bertambah parah di bawah DS Najib berbanding penghujung era pentadbiran Tun Dr Mahathir:

Tahun: Kedudukan (Skor)
2003: 104 dari 166 negara (32.00)
2004: 122 dari 167 negara (39.83)
2016: 146 dari 180 negara (46.57)
2017: 144 dari 180 negara (46.89)

(Nota: 2003 adalah tahun kedua RSF menerbitkan laporan tahunan skor dan kedudukan kebebasan media)

Mana tidaknya, di bawah DS Najib, begitu banyak media cetak dan online yang telah digantung atau diharamkan termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insight dan Asia Sentinel. Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB.

Jika dibandingkan dulu dan sekarang, malah lebih-lebih lagi sejak DS Salleh menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, berapa ramai rakyat biasa yang telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah hanya kerana menulis komen atau mengkritik DS Najib di Facebook atau Twitter? Ini termasuklah pereka grafik Fahmi Reza, kartunis Zunar, bekas pensyarah, peniaga, pemandu lori dan begitu ramai lagi.

Jelas, bila dibanding dulu dan sekarang, kebebasan bersuara rakyat Malaysia semakin parah kerana dihalang dari mengkritik pemimpin seperti bos DS Salleh.

Maka saya menggesa DS Salleh untuk mengurangkan aktiviti mengampu bos beliau dan berusaha lebih gigih untuk memperbaiki dan mengukuhkan kebebasan bersuara dan kebebasan media Malaysia, demi rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk semua.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

31 Disember 2017

Satu derap, satu harapan di Himpunan Turun-Turun malam ini



Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan suatu himpunan membantah kenaikan harga petrol dan diesel yang dinamakan “Himpunan Turun! Turun! – Turun Harga Minyak, Turun Najib Razak” bertempat di hadapan bangunan Sogo di ibu negara pada jam 11 malam ini bertepatan dengan sambutan ketibaan tahun baharu 2018.

Peserta himpunan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka, kata Pengarah Mobilisasi Pemuda Harapan (PH) Malaysia, Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataan hari ini.

“Kita berarak dan berganding bahu mendesak agar ditetapkan harga siling RM1.90 untuk RON95 dan RM1.80 untuk diesel. Lebih jauh, derapan langkah ini dihayun dengan satu harapan, 2018 merupakan tahun keberanian untuk rakyat bersatu lakukan perubahan. Ayuh!” seru beliau.

Harga bahan api tidak menentu tambah beliau, ditambah kegagalan kerajaan mengawal dan mengembalikan semula subsidi minyak, dalam keadaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang masih kekal, kesemua itu ibarat kecelakaan di kala rakyat menanggung keperitan meneruskan hidup sehari-hari.

“Ikan kembung yang dahulunya santapan rakyat kebanyakan; harganya kini melambung tinggi, sikit sahaja lagi menghampiri bawal dan siakap. Pilihan yang ada hanyalah cencaru, diselang-seli dengan keli. Itu pun tidak tahu esok lusa masih kekal rendah atau naik makam sebagai menu orang-orang kaya.

“Beras usah dicerita. Kalau sebelumnya masih boleh berangan untuk merasa beras gred A cap rambutan selang beberapa bulan menyimpan, kini berpada dengan beras gred C, cap yang entah apa-apa. Asalkan murah dan mampu dibeli. Sampai bulan yang perlukan persiapan sekolah anak-anak, mata hanya mampu memandang beras kilo sahaja.

“Susu formula dan lampin pakai buang sudah menjadi dilema bulanan. Jika seorang anak sudah terasa, inikan pula bersusun tiga ke empat orang cahaya mata. Pembelian ‘clearance stock’ walau berdepan risiko luput tarikh, terpaksa digagahkan. Tidak termasuk risiko susu formula tiruan di pasaran yang mampu membunuh! Allah.. Besarnya cabaran menjadi ibu dan ayah menjelang 2018,” kata beliau lagi.

Sambung beliau, rakyat usah lihat pada menteri dan konco-konco yang gaya hidupnya seolah-olah Malaysia sudah capai status negara maju.

“Mereka ini golongan yang mati akal budi. Simpati dan kasihan yang keluar dari mulut mereka sekadar lintasan lisan yang tidak bermakna apa-apa. Rakyat akhirnya menjadi perkakas yang terpana dengan lakonan-lakonan menakjubkan menjelang pilihan raya.

“Ketika harga bahan api naik, mereka kata mengikut harga pasaran. Ketika harga turun, mereka suruh berterima kasih dengan kerajaan. Jadinya sekarang, memang sepenuhnya mengikut harga pasaran atau masih dikawal kerajaan? Senyap. Setiap minggu harganya masih naik dan turun.

“Ya, perhatian kita sering terarah pada harga RON95. Itu betul dan bagus. Namun amat jarang kita memerhati rapat harga diesel yang menjadi nadi kenderaan berat dan punca kenaikan kos pengangkutan. Dalam tempoh dua minggu mutakhir ini harga diesel telah naik sebanyak 6 sen. Diesel yang sepatutnya lebih murah kini sama harganya RON95, RM2.26 per liter!

“Dalam menuntut pemerintah melaksanakan dasar baik dan menguntungkan rakyat, tidak cukup sekadar bising-bising di media sosial. Kalau bukan artis atau selebriti yang menulis dan bercakap, sampai ke sudah tidak akan jadi apa-apa. Maka kekallah status-status di media sosial itu sekadar coretan peribadi. Lima tahun akan datang, naik semula di garis masa untuk dikongsi sebagai memori. Kepincangan kerajaan akan kekal dan tidak berubah apa-apa,” kata Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu.

Ajaib Najib tak tahu isu tanah Felda di Jalan Semarak kena jual RM270 juta..!!!

Ajaib Najib tak tahu


MUNGKIN Perdana Menteri Najib benar-benar tidak tahu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang nilai semasanya kini sekitar RM270 juta telah ditukar milik kepada satu syarikat yang dikatakan orang penting Felda ada kepentingan.

Dia adalah bukan sekadar Perdana Menteri bahkan pegawai besar paling berkuasa di Felda yang statusnya boleh dikira seperti raja Felda. Cuma ladang negara itu tidak distatuskan sebagai Felda Diraja.

Maka amat ajaiblah jika sungkelap tanah Felda itu tidak diketahuinya. Bukan pula mustahil dia tidak tahu seperti sindiran cerita rakyat barat yang popular iaitu Raja Berbaju Baharu. Raja tidak menyangka dia ditipu penyangak yang mengaku boleh sediakan pakaian ajaib yang tidak dapat dilihat oleh orang bebal.

Digayanya pakaian yang tidak nampak oleh semua di badan raja. Maka yang tak nampak raja berpakaian kata ajaibnya pakaian itu. Pakaian itu sebenar dongeng dan raja tidak sedar dia ditipu.

Dalam keadaan raja tertipu seperti ini saja Najib boleh ditipu oleh penyangak mencuri tanah Felda itu. Sebagai pemimpin berwibawa, Perdana Menteri dibekalkan dengan semua maklumat dan nasihat oleh sekalian pegawainya. Maka tiada sesuatu dirahsiakan kepadanya. Jika mungkin PM ditipu seperti pencurian dalam 1MDB, maka amat rendah wibawanya unuk menjadi Perdana Menteri dan hilang kelayakan menjadi Raja Felda.

Tidak tahunya itu mungkin, tetapi tarafnya sudah sama dengan raja yang sangka dia berbaju tadi.

Tanah Felda itu dalam usaha untuk diambil balik. Semua setuju siasatan diambil dan penyangak mesti dikenakan tindakan. Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu siasatan hingga ke akar umbi. Jika siasatan demikian, Najib tentu tidak terlepas daripada disiasat. Setujukah menteri itu dan sekalian pacal dalam UMNO memasukkan Najib dalam siasatan?

Jika boleh disiasat dan ditakdirkan ada kes setujukah dia dikenakan tindakan?

Setakat ini Najib bebas daripada tohmah. Sama ada dia bersubahat atau penipuan dirahsiakan daripadanya, tidak terlepaslah dia daripada pertanggungjawaban dan akauntabiliti.

Bagi mana-mana pemimpin yang bermaruah dalam amalan politik yang bermaruah akan mengambil tanggungjawab memelihara maruahnya dengan melepaskan jawatan.

Willy Brandt, Censelor kafir Jerman Barat tahun 1970 meletak jawatan kerana skandal seorang menterinya. Bukan salahnya. Demi menjaga maruah politik, dia letak jawatan.

Malulah Melayu/Islam tidak peka dengan maruah politik. Orang kafir pekakan maruah, orang Islam persetankan maruah.

Najib telah banyak mencatutkan maruah yang dikira rendah. Menggelapkan tanah Felda ini adalah yang terakhir daripada banyak kekacauannya. Sama ada dia selamat atau tidak, dia patut lepaskan jawatan atas nama maruah Melayu/Islam/UMNO dan lain-lain. Biarlah ada dalam UMNO itu seorang Perdana Menteri yang bermaruah.

Biar TPM Zahid Hamidi teruskan pimpinan menghadapi PRU.

Sekalian Melayu/Islam dan Malaysia sudah penat dengan politik kacau bilau PM Najib dan tipuan demi tipuan, skandal demi skandal. UMNO tidak mampu selamatkan Melayu dengan timbunan skandal. Jika UMNO rasa hendak selamatkan Melayu, mesti setuju dulu gantikan Najib.

Tengok dulu apa Zahid boleh buat bagi menyelesaikan kecurian tanah Felda dan hadapi Dr. Mahathir dalam PRU14.

Bukan kita hendak menghukum sesiapa. Tetapi Malaysia perlu keluar daripada timbunan skandal. Tidakkah kecurian tanah di Jalan Semarak itu satu puaka semua. Maka kita mahu keluar daripada puaka itu. – SUBKY LATIF / HARAKAHDAILY 26/12/2017

KHIANAT | Skandal tukar status hartanah Bumiputera gemparkan Johor

arrest-sprm
PETALING JAYA: Ketika rakyat menghadapi kesukaran memiliki kediaman sendiri, skandal menukar status hartanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera di Johor tentunya menggemparkan.

Lebih-lebih lagi apabila seorang bekas exco kerajaan negeri didakwa di mahkamah sesyen atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta, di mana beliau mengaku tidak bersalah.

Berikut kronologi skandal hartanah Johor sepanjang 2017.

24 Februari – Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor ditahan SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Media melaporkan semua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis.

SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan. Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan.

28 Februari – SPRM menangkap seorang kontraktor bagi membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor. Beliau dibebaskan atas jaminan SRPM selepas direman selama 7 hari.

1 Mac – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Latif Bandi diumumkan bercuti sehingga tempoh yang tidak diberitahu selepas tangkapan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan pegawai khasnya, Muhammad Idzuan Jamalludin.

9 Mac – Abd Latif ditahan SPRM bagi membantu siasatan sementara anak dan pegawai khasnya dibebaskan. Media melaporkan sejurus penahanan itu, SPRM turut merampas kira-kira 150 beg tangan berjenama mewah, sebuah Toyota Vellfire dan wang tunai RM41,000 dalam serbuan ke atas kediamannya.

19 April – Abd Latif dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin didakwa di mahkamah sesyen dengan 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta.

Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor.

Mereka mengaku tidak bersalah.

20 April – SPRM mengenal pasti kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera di Johor.

14 Jun – Abd Latif bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, dan Amir didakwa di mahkamah sesyen dengan 21 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM35.7 juta.

Mereka mengaku tidak bersalah.

27 November – Adun Senai Wong Shu Qi diarah keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana enggan menarik balik kenyataan berhubung skandal hartanah di negeri itu.

Wong ketika membahaskan Bajet Johor 2018 meminta Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin menjelaskan tuduhan menerima RM12 juta daripada pemaju pada Mac untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.

Wong mendakwa mendapat tahu mengenai perkara itu melalui dokumen lebih 140 muka surat “dokumen siasatan SPRM berserta jadual transaksi wang” yang dimuat naik di satu laman web, dan meminta menteri besar menjawab dakwaan itu.

28 November – SPRM membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam kes rasuah hartanah melibatkan bekas exco Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diadakan-adakan untuk mengelirukan masyarakat,” tambahnya.

30 November – Amir membuat laporan polis selepas mendapat tahu satu dokumen yang dikatakan dokumen siasatan SPRM berkait dirinya tersebar dalam sebuah laman blog dan satu akaun Facebook.

Amir menegaskan dokumen yang dimuatnaik itu bukan dokumen yang beliau serahkan kepada peguam, dan terdapat perbezaan ketara dan banyak halaman yang ditinggalkan serta wujud dokumen langsung tidak ada dalam pengetahuan beliau atau peguam bela.

Abd Latif mengalu-alukan siasatan polis ke atas dokumen tersebut dan berkata maklumat yang dipertikaikan itu bukan daripadanya.

“Tidak ada apa nak sembunyi,” kata peguamnya, Hasnal Rezua Merican.

4 Disember – Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menerima suapan jutaan ringgit seperti yang terkandung dalam “dokumen” yang dikatakan dokumen siasatan SPRM.

“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan,” katanya.

8 Disember – Polis menahan seorang penulis blog, Yusof Al-Siddique Suratman atau dikenali sebagai Milo Suam, dan direman selama 3 hari berhubung kebocoran dokumen yang dikatakan dokumen SPRM.

10 Disember – Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mempertikaikan tindakan SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Khaled sejak skandal terbongkar pada Februari atau selepas dakwaan terhadapnya ditimbulkan oleh Adun Senai di DUN Johor.

LEGASI USTAZ FADZIL NOOR YANG DIRUNTUHKAN HJ HADI

Ada seorang Pemuda PAS bertanya kepadaku, mengapakah aku kelihatannya rimas dengan Abdul Hadi Awang?

Aku menjawab, “Kerana dia meruntuhkan apa yang dibina arwah ustaz Fadzil.”

Sebagai orang muda yang tidak pernah merasai kenikmatan menemui dan belajar daripada arwah Fadzil Noor, dia memang terpinga-pinga. Dia tidak pernah bertemu Ustaz Fadzil.

Untuk penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Akidah dan Perjuangan' oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor (13 Mac 1937 – 23 Jun 2002) yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda PAS adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Almarhum Ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Pada tahun 1974 ustaz Fadzil turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah.

Beliau menonjol dalam bidang kepimpinan ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, ketika itu Ustaz Fadzil Noor diamanah menjadi pemangku presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap aku, pada hujung tahun 1970-an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, pihak polis telah mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah arwah Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Oleh kerana kedegilan ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap.

Penangkapan itu telah meledakkan kemarahan orang di Kuala Terengganu. Kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera.

Hasil perundingan dengan pihak polis, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Kemudian, beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah.

Seingatku ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan Umno mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama yang dipertua (YDP) PAS kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin.

Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan.

Apakah yang telah dibina oleh almarhum Fadzil Noor dan diruntuhkan oleh Hadi Awang? Ada empat tunjang yang ditegakkan oleh gemulah ustaz Fadzil dan kini menjadi tebusan.

DAHULUKAN RAKYAT SEMUA KAUM

Pertama, tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban PAS paling besar. Beliau perlu mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengah-tengah tragedi Memali.

Sebagai antara pembantu Profesor Zulkifli Muhammad beliau sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan bukan Islam. Profesor Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzillah maka beliau menggerakkan pakatan Majlis Perundingan Cina (CCC), di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam.

POLITIK MELAMPAUI ZAMAN

Kedua, idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan terus menguasainya sehingga hari ini. Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan.

Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat “membantu” Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Beliau adalah orang yang menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru.

Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara. Ketika Wan Azizah Wan Ismail 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir Mohamad, ustaz Fadzil merintis kerjasama ini.

Pendek kata Ustaz Fadzil menyelamatkan Parti Keadilan Nasional dari hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.

Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini".

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dalam pilihan raya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Lain daripada itu, kebijaksanaan ustaz Fadzil telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam.

Ia sekali gus menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

TIDAK LUPA SEJARAH

Ketiga, kepintaran almarhum bermain dengan tahaluf siyasi itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini.

Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu bahawa PAS adalah berakar umbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.

Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya mampu dijadikan model baharu bagi perjuangan PAS.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Aku berpandangan idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA.

POROS ISLAM

Empat, kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengetengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS bawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islamlah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang gila syariah. Beliau, dengan penuh bijak bangkit menjuarai Islam aktual yang berteraskan waqi atau keadaan setempat.

Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju dengan Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana:

(a) Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; (b) Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; (c) Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan (d) PAS perlu bekerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS dengan itu telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Kesimpulan; tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin PAS hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi' yang menjadi keutamaan.

Hari ini PAS bergelut untuk menentukan sikap dan kedudukan politiknya. Syariah telah mengatasi keadilan. Dan fikah mengatasi akhlak. Peri perjuangan Rasulullah SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak telah berakhir.

Adalah menyedihkan, apa yang pernah dibina oleh arwah Fadzil Noor itu diruntuhkan sekelip mata oleh Hadi Awang (seorang alumni Saudi).

Hari ini PAS mendahulukan hudud dari rakyat Malaysia berbilang kaum. PAS mengundur zaman. Bahkan PAS sama sekali mengenepikan sejarah penubuhan dan kebijaksanaan pimpinan terdahulu.

PAS malah tidak lagi komited dengan idea-idea murni dalam Manifesto Bersama Barisan Alternatif seperti dikemukakan ketika pilihan raya tahun 1999.

Lebih menyayat hati PAS kini dikenal orang bukan Islam bukan lagi sebagai   Islam, tetapi sebagai parti khianat dan lebai mungkir janji.

Awang

“54 kerusi parlimen, 92 kerusi Dun di Felda tidak lagi selamat buat BN”



Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata, berdasarkan situasi semasa di Felda, apatah lagi skandal membabitkan Tanah Felda di Jalan Semarak, Anak berkeyakinan 54 kerusi parlimen dan 92 Dun di Felda, bukan lagi simpanan tetap bagi kerajaan sedia ada.


Kehadiran Tun Dr Mahathir telah menarik sokongan ribuan warga Felda. Ia suatu gelombang yang tidak pernah berlaku sebelum ini melainkan era reformasi pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

“Kerjasama erat melalui taskforce Anak-PPBM dengan aktiviti utama Jelajah Semarak Kasih Felda telah mendapat sambutan hebat masyarakat Felda.

“Insya-Allah kesedaran warga Felda khususnya Generasi Baru Felda, akan membuka ruang dan peluang pembentukan kerajaan baru yang telus dan beramanah,” kata beliau.

Jelas Mazlan, pelan pemulihan 100 Felda akan memberi keutamaan terhadap isu hutang dan pendapatan peneroka, rumah Generasi Baru Felda, dasar Belia & Wanita, yang tentu sekali diharapkan dapat mengembalikan Felda dilandasan yang betul.

“Pemulihan Felda, FGV, KPF dan Yayasan Felda serta pembangunan sosio ekonomi; melalui kepakaran anak anak peneroka sendiri, yang sedia berbakti, pastinya bakal memberi harapan baru yang dinanti-nantikan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama Mazlan berkata, sebagai mewakili Anak, beliau mengucapkan tahniah dan syabas buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) atas kejayaan Perhimpunan Agung Tahunan kali pertama semalam.

“Terima kasih mengundang Anak,” kata beliau.

2018 : TAHUN RAKYAT TUNTUT PERUBAHAN DAN KEADILAN

PERUTUSAN TAHUN BARU SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN: TAHUN RAKYAT TUNTUT PERUBAHAN DAN KEADILAN

_30 Disember 2017_

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah pertama sekali marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kita diberi peluang untuk melangkah ke tahun 2018. Waktu yang datang dan pergi adalah satu bentuk amanah dan boleh menjadi satu kerugian besar kepada mereka yang membiarkan waktu berlalu tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Sesungguhnya, walaupun tahun 2017 telah dilalui dengan suasana penuh mencabar, namun rakyat Malaysia perlu bangkit menuntut perubahan dengan mengambil segala kesilapan sebagai pengajaran yang perlu ditempuh demi generasi anak cucu kita.

Meskipun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara sebagai seorang tahanan politik, beliau perlu dibebaskan segera kerana sudah terlalu banyak kritikan dan kecaman didengari di peringkat antarabangsa.

KEADILAN dengan tegas percaya bahawa perbicaraan Anwar Ibrahim hanyalah sandiwara pihak kerajaan Umno BN dan sememangnya tidak punyai asas keadilan.

Tahun 2018 ini bakal diingati sebagai antara tahun yang penting dalam kalendar politik negara kerana tahun ini Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dianggap ibu segala pilihan raya bakal diadakan.

Justeru, pengundi perlu menginsafi bahawa kenaikan harga barang keperluan, cukai GST dan ketidaktentuan harga minyak amatlah membebankan. Manakala sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan sangat membebankan generasi muda untuk meneruskan kehidupan yang sempurna.

Saya pasti pilihan raya kali ini akan menunjukkan rakyat bergerak jauh ke depan bersama Pakatan Harapan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti kepada isu rakyat. Besar harapan daripada rakyat ialah untuk melihat perubahan pada sistem dan kepimpinan negara supaya Malaysia dapat diselamatkan.

Pakatan Harapan akan memastikan bahawa tiada lagi pimpinan yang merompak kekayaan negara, membiarkan khazanah negara diambil untuk golongan elit penguasa, memperkayakan diri, keluarga dan kroni mereka.

Inilah tekad kami bersama dengan rakyat menjelang tahun baru masihi 2018, mudah-mudahan kuasa rakyat ini dapat diterjemahkan di peti undi dalam pilihan raya umum yang bakal menjelang tiba.

Selamat Tahun Baru 2018!

*Dato' Saifuddin Nasution Ismail*
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat

Bersatu muktamad putuskan kerjasama dengan Pas




Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini secara rasmi mengumumkan keputusan untuk menamatkan rundingan kerjasama dengan Pas.


Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam ucapan pengulungannya pada Mesyuarat Agung Pertama parti itu lewat petang ini berkata, keputusan itu diambil kerana gagal mencapai kata sepakat disebabkan parti itu menolak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi saya berpeluang berunding dengan pelbagai pihak termasuk Pas.

‘Pemimpin tinggi Pas kebelakangan ini mesra Umno. Mereka menyatakan nak tanding 100 kerusi Parlimen dan berpuas hati jika menang 40 kerusi Parlimen tidak mampu tubuh kerajaan hanya nak jadi kuasa penentu apabila keputusan belah bagi antara Pakatan Harapan dan BN.

“Ini menunjukkan kepimpinan Pas tidak berprinsip. Tidak ada kekuatan untuk tolak kleptokrasi.

“Isu tanah Felda Pas kata untuk selesaikannya amat mudah tidak perlu tubuhkan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja), maka dengan itu PPBM buat keputusan untuk putus rundingan dengan Pas.

“Malah kita sanggup berhadapan tiga penjuru dengan Pas.

“Kita yakin usaha gigih kita tarik sokongan rakyat untuk menang majoriti undi perlu memihak pada PH, setiap satu undi itu berharga buat Pakatan Harapan,” ujarnya.

Mukhriz juga berkata sehingga kini bagi rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan masih lagi berlangsung.

Ada apa PAS Selangor ketepi Khairuddin?



Ada apa PAS Selangor ketepi Khairuddin?

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman digugurkan daripada jawatannya sebagai ahli jawatankuasa (AJK) perhubungan PAS Selangor selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan dilantik.

Menurut Khairuddin, beliau digugurkan dari jawatan itu sejak dua bulan lepas.

Ditanya sama ada pengguguran itu disebabkan PAS Selangor membuat rombakan barisan pimpinan negeri, Khairuddin berkata hanya beliau seorang saja yang digugurkan.

Cukup-cukuplah drama Felda, kata Nurul Izzah

“Sekarang saya ahli biasa saja, tapi benda (pengguguran jawatan) ini sudah lebih dua bulan lepas. Cuma baru-baru ini orang mula tanya (alasan pengguguran).

“Sebab kenapa saya digugurkan, itu kena tanya pimpinan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Khairuddin merupakan seorang pemimpin kanan PAS yang pernah mendapat kepercayaan sekurang-kurangnya daripada tiga pesuruhjaya PAS negeri.

Di bawah pimpinan Datuk Dr Hasan Ali, Dr Abd Rani Osman dan Datuk Iskandar A Samad, Khairuddin diberi kepercayaan sebagai setiausaha perhubungan PAS Selangor.

Jawatan itu biasanya hanya diberikan seseorang pesuruhjaya kepada individu yang diyakininya dan komited kepada parti.

Semasa Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi menyusun saf pimpinan PAS Selangor pada 9 Mei lalu, jawatan setiausaha perhubungan diisi oleh Abdul Halim Omar, manakala Khairuddin dilantik sebagai AJK biasa.

Sementara itu, Sallehen yang juga merupakan ADUN Sabak ketika dihubungi berkata pengguguran Khairuddin adalah kerana gagal beberapa kali menghadiri mesyuarat AJK Perhubungan PAS Selangor.

“Dia banyak kali tak datang mesyuarat, jadi kami gantikan dengan orang lain,” kata Sallehin.

Ketika dimaklumkan berkenaan alasan pengguguran yang diberikan Sallehin, Khairuddin sebaliknya berasa alasan itu tidak meyakinkan.

“Kalau itu sebagai alasan, saya yakin ramai patut kena pecat,” katanya.

Read more at https://m.malaysiakini.com/news/407061#m6yrYmPkurMvy1lr.99





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...