TERKINI :

Saturday, December 23, 2017

FELDA PERLU SAMAN SIVIL SEGERA UNTUK SELAMATKAN TANAH STRATEGIK

KENYATAAN MEDIA KANUN

1. Kleptokrasi yang mentadbir negara hari ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan wang rakyat berbilion ringgit, malahan juga hartanah dan aset bernilai. Terkini adalah skandal korupsi yang mengemparkan negara yang didakwa melibatkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad telah mengesahkan bahawa Felda telah kehilangan tanah strategik bernilai RM270 juta di Jalan Semarak Kuala Lumpur melalui satu transaksi yang meragukan. Tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan oleh anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu ENCORP Bhd untuk manfaat peneroka Felda kini telah hilang daripada milikan Felda.

2. Laporan yang disiarkan hampir keseluruhan media mendakwa bahawa Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga tidak mengetahui bagaimana penukaran hak milik tanah tersebut itu boleh berlaku dan Felda juga tidak memperolehi sebarang duit daripada pindahmilik tanah tersebut. Syarikat yang dilantik Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd yang memperolehi Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) daripada Felda telah didakwa menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat proxy Promenade iaitu Kuala Kumpur Vertical City Sdn Bhd untuk dibangunkan sebagai Kuala Kumpur Vertical City (KLVC) di mana perlakuan ini didakwa dilakukan secara  ‘fraud’ atau penipuan. Transaksi ini didakwa berlaku dalam tempoh Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda dan pada masa yang sama Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV)  serta Pengerusi FIC. Adalah sangat mustahil transaksi pindahmilik fraud ini tidak diketahui oleh Tan Sri Isa Samad.

3. Menelusuri fakta ringkas transaksi pindah milik tanah tersebut, KANUN berpendapat Felda sebagai pemilik asal tanah tersebut masih mempunyai hak benefesial untuk menuntut dan mendapatkan kembali tanah tersebut melalui saman sivil di mahkamah. Seksyen 340(2) Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa sebarang pindahmilik hartanah yang dibuat secara fraud adalah batal dan tidak sah. Walaupun syarikat proxy Promenade didakwa membelinya, namun syarikat tersebut tidak boleh bergantung kepada prinsip ‘pembeli niat baik’ (bona fide purchaser) kerana syarikat tersebut adalah proxy kepada Promenade yang terlibat dengan fraud dan sudah pasti perkara ini di dalam pengetahuan mereka.

4. Fraud sebenar jelas kelihatan kerana FIC dan Promenade telah menyalahgunakan kuasa bagi memperolehi tanah tersebut melalui Surat Kuasa Wakil tersebut. Surat Kuasa Wakil mempunyai terma-terma tertentu dan jika ia mempunyai terma kuasa pindahmilik dan bukan sekadar kuasa pembangunan sahaja, sudah pasti elemen fraud telah wujud. Mana mungkin pemilik tanah memberikan kuasa pindahmilik tanpa sebarang balasan duit dan jika ia tidak wujud, Surat Kuasa Wakil tersebut sendiri pun tidak sah.

5. Selain itu, syarikat proxy tersebut bukanlah tergolong di dalam ‘deferred purchaser’ yang membolehkan mereka dilindungi oleh undang-undang sebagai bona fide purchaser. Syarikat proxy tersebut adalah ‘immediate purchaser’ yang tidak layak di bawah undang-undang dipanggil bona fide purchaser di mana mereka memperolehi hak milik tanah tersebut secara langsung daripada FIC melalui transaksi fraud. Prinsip undang-undang terkini ini telah digariskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San pada tahun 2010 yang telah mengatasi kes kontroversi Adorna Properties  v Boonsom Boonyanit di dalam menafsirkan peruntukan seksyen 340 Kanun Tanah Negara. Undang-undang kini memberikan hak yang lebih kepada pemilik asal hartanah yang ditipu.

6. Di samping itu, KANUN juga berpendapat Felda perlu memfailkan relif injunksi dengan segera bagi memberhentikan segala pembangunan di atas tanah tersebut oleh kontraktor KLVC supaya syarikat proxy tersebut tidak mendapat faedah lanjut dan tindakan ini menunjukkan keseriusan Felda mendapatkan kembali aset mewah milik jutaan warga Felda ini.

7. KANUN juga menegaskan bahawa saman sivil ini tidak membataskan kuasa SPRM dan Polis untuk menyiasat individu-individu yang terbabit terutama Tan Sri Isa Samad samaada wujud perlakuan rasuah, pecah amanah dan penipuan yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM. SPRM dan Polis tidak boleh membiarkan skandal mencuri duit dan aset rakyat ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan, siasatan telus dan pendakwaan sepertimana yang berlaku kepada skandal mega 1MDB. Menegakkan keluhuran undang-undang adalah tugas asasi SPRM dan Polis.

8. KANUN juga menggesa Felda mengambil tindakan disiplin dan undang-undang  terhadap pegawainya yang terlibat dengan transaksi pindah milik tanah strategik ini dan institusi luar yang terlibat jika gagal memberikan nasihat secara diligent. KANUN juga menggesa kerajaan mengambil langkah drastik menyelamatkan tanah milik sah Felda ini dengan pihak DBKL mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap syarikat kontraktor terbabit ke atas semua bentuk pembangunan tanah tersebut.

9. Kehilangan tanah strategik ini yang mempunyai nilai komersil yang mewah ini tidak seharusnya dilepaskan kepada mereka yang rakus meratah hasil negara tanpa mempedulikan nasib peneroka Felda. Keuntungan pembangunan tanah ini seharusnya dimanfaatkan kepada peneroka Felda untuk membantu mereka dalam bantuan pendidikan dan rumah generasi kedua. Apatah lagi nilai semasa tanah strategik ini telah mencecah lebih RM1 bilion. Skandal ini menambah derita peneroka Felda yang sudah berhutang dan menanggug rugi puluhan ribu ringgit akibat skandal FGV. Peneroka Felda menjadi mangsa kepada kegelojohan kroni sang penguasa di Putrajaya sehingga terpaksa menanggung  kehilangan aset dan bebanan hutang yang bertimpa-timpa.

FAIZ FADZIL
PEGUAM/BIRO UNDANG-UNDANG PARTI AMANAH NEGARA (KANUN)
23 DISEMBER 2017

Kenapa Umno mahu Kit Siang jadi PM

Semua dah tahu, Pakatan Harapan telah menyenarai pendek nama beberapa tokoh yang akan diangkat sebagai perdana menteri (PM) jika pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-14.

Semua juga tahu, tokoh-tokoh berkenaan adalah berbangsa Melayu, cukup berpengalaman untuk mentadbir negara selain mendapat sokongan semua parti dalam pakatan tersebut.

Semua juga sedia maklumkan, tidak ada pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang yang kemaruk dengan jawatan nombor satu negara itu.

Hal ini ditegaskan berkali-kali oleh semua pimpinan DAP, terbaru oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng beberapa hari yang lalu.

Sindiran Najib

Namun, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno yang lalu menyindir Kit Siang yang didakwanya berminat menjadi PM.

Najib berkata, Kit Siang tidak boleh berselindung di sebalik seorang Melayu seperti yang dilakukannya sekarang.

Setelah Najib berkata sedemikian, media arus perdana yang dikawal kerajaan mengikut telunjuk Umno dengan terus menyiarkan berita-berita Kit Siang bakal menjadi PM.

Antaranya, media arus perdana menyiarkan kenyataan bekas naib pengerusi DAP yang mendakwa Kit Siang mahu menjadi PM demi menyelamatkan Guan Eng jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dipetik sebagai berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP itu yang bercita-cita menjadi PM kerana bukan Muslim.

Sekutu Umno yakni Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berkata, negara akan terjejas jika Kit Siang menjadi PM dan menuduh pemimpin veteran DAP itu sebagai ahli politik yang tidak berprinsip.

Agenda, strategi Umno

Justeru, kita boleh nampak dengan jelas, mampu membuat kesimpulan bahawa agenda mensensasikan berita Kit Siang bakal menjadi PM adalah gerak kerja Umno dan sekutunya dalam BN.

Tetapi, kenapa Umno mahu Kit Siang jadi PM?

Sebelum itu, tindakan tersebut secara terang lagi bersuluh menjelas serta menegaskan Umno, BN dan sikap rasis itu, berpisah tiada.

Tujuan memomokkan Kit Siang sebagai PM hanya untuk menakutkan orang Melayu setelah sekian lama Kit Siang diadu-domba sebagai seorang anti Melayu, anti-Islam.

Mereka takutkan orang Melayu, jika Kit Siang jadi PM maka maruah bangsa itu tergadai kedudukan agama Islam akan akan tergugat.

Tetapi, mereka juga gelisah kerana pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP berjaya memakmurkan perkembangan dan kemajuan agama itu di negeri berkenaan.

Sebenarnya, mereka takut jika BN kalah, puak-puak ini akan kehilangan kuasa dan mungkin berdepan dakwaan pihak berkuasa atas salah laku yang lampau.

Kerajaan lebih baik

Mereka takutkan jika HARAPAN menang, rakyat mampu untuk melihat kerajaan mana yang lebih baik dan peluang BN untuk kembali berkuasa akan lenyap selamanya jika keputusan pengundi berpaksikan prestasi semasa BN.

Justeru, tatkala negara kini berada di ambang PRU14, rakyat dibuai dengan kisah dongeng sebegini.

Umno mungkin berharap, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat lupa derita kehidupan yang dicetuskan oleh GST.

Umno mungkin berdoa, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat negara ini lupa mengenai kenaikan harga barang yang menjurus peningkatan kos sara hidup.

Mungkin Umno juga berharap, jika cerita karut Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat akan sampai ke tahap tidak kisah jika BN terus kekal berkuasa - asalkan bukan Cina yang menjadi PM.

Tak apa, yang Umno mungkin tidak tahu, rakyat Malaysia tidak lagi bodoh, mereka tahu kerajaan mana nak bertekad untuk teruskan GST dan kerajaan mana yang nak hapuskan GST.

Rakyat juga tahu Kit Siang tidak akan menjadikan PM baru sebagai boneka, sebaliknya bekerjasama untuk memajukan negara ini dengan menjadikan usaha pembasmian rasuah sebagai antara agenda utama.

AMRAN AHMAD NOR yang kini menyertai DAP adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.

Read more at https://m.malaysiakini.com/columns/405902#tWPgpjl8fF8mpWyk.99

Himpunan solidariti Palestin: Kenapa Hadi tidak hadir?

MENAKSIR PERISTIWA


Najib dan Zahid kurang bersemangat. 

Himpunansolidariti menyelamatkan Palestin yang diadakan di perkarangan masjid Putrajaya semalam akan jadi selonggok lagi kenangan yang berlalu seperti himpunan-himpunan seumpamanya sebelum ini. Ia akan menjadi kenangan serta lambang kepada dunia yang rakyat negara ini juga peduli dengan permasalahan dan nasib bumi Palestin yang merana sudah setengah abad itu.

Tidak lebih dan tidak kurang, itulah natijahnya. Malaysia sebagai sebuah negara kecil sedang membangun dan pembangunannya ditempangkan oleh kleptokrasi, tidak dapat bertindak lebih daripada itu. Kita sebagai si pipit atau ayam serama yang boleh bersiul riang dan menunjukkan kecantikan bukan jenis turun ke medan laga.

Untuk mengirimkan tentera menjadi pengaman di Gaza atau ikut menentang regim zionis jauh sekali. Apa yang Malaysia mampu lakukan tidak mewujudkan hubungan diplomatik sebagai tanda bantahan, tetapi anihnya rakyat negara ini bebas masuk dan menjalankan perniagaan dengan negara Yahudi Israel itu. Apakah erti semua itu, tutup tetapi boleh masuk?


Abdul Hadi hanya kirim anaknya.

Sebagai suara kecil, apa dibantah Malaysia ke atas Isreal dan god fathernya Amerika Syarikat, samalah dengan tindakan anak-anak Palestin yang melontar batu atau melastik tentera Israel setiap kali rejim itu menceroboh dan menganggu mereka. Bahkan perbuatan atau aksi tindakan si bocah itu lebih berkesan daripada apa yang kita lakukan. Baik Israel dan Amerika tidak akan mendengar apa-apa yang kita suarakan, sebaliknya batu lontaran bocah Israel mungkin lebih bererti apabila kadang kala ia mengena ke tubuh sasa tentera regim berkenaan. 

Sumpah Najib.

Pengakuan Najib Razak semasa berucap di himpunan itu semalam, yang rela dan terus memperjuangkan Palestin walaupun anggotanya dicincang dan dikerat seketul-ketul, tidak lebih daripada sebuah lagu retorik untuk menyedapkan hati bangsa Palestin semata-mata. Sumpah dan janji itu tidak akan ke mana pun, kerana komitmen Najib untuk bangsa sendiri boleh dipertikaikan. Janji dan sumpah itu akan hanyut kemudian ghaib begitu sahaja ditelan angin lalu selepas selesai majlis itu.

Sebahagian peserta himpunan.Nama lagi himpunan itu mempunyai unsur dan bermotif politik, ucapan itu bukan untuk menyegarkan semangat rakyat Palestin tetapi sebenarnya untuk memancing jiwa umat Islam negara ini supaya melihat iltizam tinggi Najib kepada umat Islam kemudian mengundi Umno. Kecualilah ada tindakan susulan daripada kerajaan Malaysia selepas himpunan itu baru kita dapat ikhtiraf apa yang diluahkan perdana menteri itu. 

Seperti dikatakan tadi, sebagai sebuah negara pipit seperti Malaysia yang mana pemimpinnya bertindak seperti kancil yang hendak menunjukkan duburnya besar kepada gajah, maka diberak atas busut, itu saja dan ia dianggap sudah cukup dan sesuai. Selamanya Malaysia tidak bisa bertindak sehebat negara-negara yang memiliki kuasa penentu dan veto seperti Amerika, United Kingdom, Perancis, China dan Russia. 

Justeru tidak ada apa-apa signifikan atau impak perdana himpunan semalam. Ia sama dan lebih kurang sahaja, aksi pembangkang yang berarak dan mengangkat sepanduk selepas Jumaat yang baru lalu, atau sama nilainya dengan demostrasi di kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak yang diadakan beberapa kali sebelum ini. 

Subjek tersendak di kepala

Bercakap mengenai majlis himpunan semalam yang mungkin tersendak di ruang fikiran umum, bukan kesan himpunan itu kepada Israel dan Amerika, tetapi ialah mengenai absent -- ketidakhadiran Presiden Pas, Abdul Hadi Awang di himpunan berkenaan. Ini yang menjadi persoalan dan congakkan oleh para pemerhati politik di Malaysia.

Israel atau Amerika sedikit pun tidak mahu ambil tahu bahkan tidak pun mengenali siapa Hadi Awang itu dalam konteks politik mereka, demikian juga dengan himpunan itu mereka tidak pun berasa apa-apa dengan moment itu. Apabila tiada kelibat Abdul Hadi dimajlis itu, ia menjadi tanda tanya dan sesuatu yang aneh sekaligus meletakkan subjek besar dalam himpunan itu, bukannya Israel dan Amerika lagi tetapi mengenai Hadi.

Ketiadaan Hadi menjadi satu kepelikan dan keganjilan walaupun hal-hal sebegitu lumrah baginya. Mengubah kata, menghenti langkan dan memusing perjalanan biasa baginya. Ini kerana sebelum ini Hadi diumumkan akan bersama Najib di himpunan itu dan mereka menjadi penunggal kepada himpunan berkenaan yang diberikan tugas dan tanggungjawab menyampaikan amanat dan pesan dalam pidato pemecah semangat.

Rasanya lebih 20 kali televisyen (PB) membuat pengumuman dan menyiarkan poster himpunan itu yang menerakan wajah Hadi bersama Najib di kaca-kaca televisyen.

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Ahmad Zahid Hamidi sendiri berkali-kali membuat seruan persis seperti Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan tarikh mulai puasa dan raya di tv meminta orang ramai hadir. Cara majlis itu dimobiliskan menunjukkan ia agenda besar dan hebat, dan Umno ingin menjadikan ia detik bersejarah. Saya sendiri juga turut terpanggil untuk menghadirinya sehinggakan meringkaskan kepulangan menziarahi ibu ke Kelantan.

Malangnya Hadi tidak hadir tanpa apologitik. Ketiadakhadiran Hadi itu sesuatu yang sangat megecewakan banyak pihak. Ketidakhadirannya sepertilah kegagalan pengantin tiba, setelah majlis kenduri sudah diadakan. Majlis itu menjadi tidak meriah, gagal dan tidak ada makna lagi. Tentunya tindakan Hadi itu paling mengecewakan ialah Umno nan sudah berangan-angan untuk memerangkapkan Hadi dan mengorbankan Pas dengan lensa kamera kemudian dijual dan dijaja.

Paling jelas yang kecewa dengan kejadian itu ialah Zahid selaku pengerusi himpunan. Dalam pemerhatian saya di skrin tv, muka Zahid mengeruh macam air sungai di Kelantan di sepanjang majlis itu. Zahid tidak bersemangat dan gembira langsung. Apa lagi bukan Hadi sahaja "absen" tetapi pemimpin tertinggi Pas lain juga tidak menampakkan bayangnya. Ketiadaan pemimpin tertinggi Pas itu disaat dua pemimpin tertinggi Umno hadir bolehlah dianggap Pas tidak menghormati majlis itu.

Kalau pun Abdul Hadi keuzuran, tetapi timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengganti tempatnya, atau sekurang-kurangnya naib-naibnya, Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah atau pun Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung kena hadir. Kenapa semasa himpunan solidariti untuk Rohingya tokoh-tokoh ini dan beberapa lagi wakil rakyat Pas boleh hadir dan duduk "berdempet" dengan pemimpin Umno? Apakah isu Palestin berada di bawah isu Rohingya. Atau apa?

Atau pun mereka itu khasnya Tuan Ibrahim tidak dapat hadir kerana jemputan ke atas Abdul Hadi itu atas kapasiti beliau sebagai Naib Presiden Ulama seDunia, maka beliau tidak pantas hadir? Jadi ertinya kehadiran ketua pemuda Pas yang merupakan putera Abdul Hadi itu mewakili dirinya secara peribadi bukan atas sifat parti? Begitukah?

Sehingga Hadi memberi penjelasan di atas apa yang berlaku, ketidakhadirannya terus dan tetap menjadi persoalan menarik. Jaminan dan penjelasan dibuat oleh anaknya itu tidak menuntaskan persoalan. Nampak semasa menjawab pertanyaan wartawan anaknya tidak memahami maksud yang dikehendaki oleh media massa dan dia teraba-raba mencari kata-kata.

Yang jelasnya Hadi tidak keuzuran syrie' untuk membatalkan niatnya. Pada sebelah pagi beliau dilihat tampil menyampaikan kuliyyah mingguannya di masjid Rusila, Terengganu dengan gagah. Ertinya beliau sehat dan segar bugar. 

Hendak tidak hendak Hadi perlu membuat penjelasan di atas apa yang berlaku. Beliau tidak boleh mendiamkan diri, kerana gambarnya telah ditular dan berita mengenai dia akan hadir telah tersebar luas. Mendiamkan diri bermakna tidak menghormati jemputan dan pihak penganjur. Majlis itu sebenarnya penting dan menjadi tumpuan kerana ia bukan sahaja rakyat yang mahu melihat wujud solidariti di kalangan Melayu di Malaysia, tetapi rakyat Palestin juga tentu terkilan dengan apa yang berlaku. Sebagai naib presiden Ulama seDunia tiba-tiba absen majlis untuk Palestin tentu ganjil.

Kita bersangka baik dengan ahli parlimen Marang itu.  Sebelum beliau membuat penjelasan di sini ingin saya mengulas dan menyelami makrifat kenapa beliau membatalkan hasrat untuk hadir. Apa yang terdampar dalam fikiran saya ialah mungkin beliau sudah dapat berasakan kehadirannya akan dieksploitasikan oleh Umno untuk kepentingan politik parti itu menjelang pilihan raya. Makanya untuk tidak memberi laba besar kepada Umno elok beliau tidak hadir. Sudah pasti kalau beliau hadir gambarnya bersalam, dan Najib akan memeluk mesra dengannya akan dijadikan signboard kempen "piraum" nanti.

Keputusan dibuat Hadi itu walaupun mengecewakan setengah pihak, mungkin Hadi dan Pas sudah menyedari keadaan sekarang apa yang berlaku dalam partinya. Hubungan rapat Pas dan kebersamaannya dengan Najib sebelum ini telah memberi kesan tidak baik kepada partinya. Mungkin kerana itu. Tindakan taktik begini bijak.

Sebelum ini Hadi pernah sepentas dan sedondon dengan Najib dalam himpunan solidariti Rohingya di Taman Tasik Tititwangsa. Hubungan itu, dan pengakuan Pas menjalinkan ta’awun dengan Umno mungkin tidak begitu menyenangkan ahli Pas peringkat bawahan sehinggakan berlaku kekeliruan dan perpecahan dalam Pas. Bagi ahli dan penyokong yang tidak boleh menerima Umno, marah dengan apa yang berlaku. Apa lagi dengan kewujudan Amanah menyebabkan ahli dan penyokong Pas yang benci Umno melarikan diri kepada Amanah sebagai alternatif. Kekeliruan itu ditambah lagi oleh dakyah daripada pembangkang, khasnya DAP.

Bahkan di dalam hierarki kepimpinan tertinggi Pas sendiri berbelah bagi dengan usaha kerjasama dan ura-ura tahalul syiasi dengan Umno itu. Ada pemimpin yang bersetuju dan ada yang tidak apabila proses tahalul syiasi itu telah menguntungkan individu tertentu. Polemik hal ini berlaku dalam Pas secara senyap. Paling nyata ialah, kerjasama Pas dengan Umno itu dibantah sendiri oleh Lembaga Penasihat Pas terdiri daripada veteran Pas, antaranya Mustapa Ali, Daeng Sanusi Daeng Meriok, Subky Latif dan Abdul Halim Abdul Rahman.

Badan ini katanya telah mengemukakan kajian dan pandangan mereka akan untung dan rugi kalau Pas meneruskan kerjasama alias ta’awun dengan Umno. Badan ini menyarankan agar Pas membatalkan niat untuk berkerjasama dengan Umno demi survive parti. Katanya nada badan ini sangat tegas dan konsisten.

Kajian tidak menguntungkan Pas

Barang kali tindakan dan pandangan lembaga berkenaan berpandukan kepada beberapa kajian badan bebas mengenai perkembangan terkini dalam Pas. Ada beberapa kajian dibuat setelah Pas mengagaskan kerjasama dengan Umno untuk melihat senarionya. Hasil kajian itu menunjukkan sokongan dari pengundi Melayu kepada Pas merosot, hanya tinggal di antara 14% hingga 17% sahaja berbanding sebelum ini jauh ke depan.

Sementara dalam kajian satu lagi menunjukkan sekiranya berlaku kerjasama Pas dengan Umno di Kelantan, memberi dapatan, 60% ahli Pas peringkat akar umbi akan menolak Pas dan mereka akan mengundi parti selain Pas dan Umno. Dapatan hasil kajian ini membimbangkan kemungkinan Pas Kelantan akan kehilangan kerajaan peninggalan Nik Abdul Aziz. Dapatan dan perkembangan inilah yang memungkinkan Pas membuat penilaian semula atau membatalkan hasrat untuk bekerjasama dengan Umno secara politik menerusi pilihan raya.

Walaupun ada pemimpin Pas mendakwa pertambahan keahlian parti itu memberangsangkan sehingga mencapai 4,000 orang sebulan, ia tidak menyakinkan serta merupakan fakta yang sahih. Kerana kalau ia yakin dan fakta itu benar Pas tidak perlu bimbang dan mengambil "pot' atas cadangan dan larangan lembaga penasihat parti itu.

Apakah disebabkan fakta dan perkembangan ini maka Abdul Hadi membuat muhasabah untuk tidak hadir pada majlis himpunan semalam, mengelakkan agar beliau dan Pas tidak terus dilihat intim dengan Umno? Kalaulah tindakan itu berdasarkan perkembangan dan realiti itu, ini bermakna ada keinsafan dalam minda politik Pas khasnya Abdul Hadi Awang.

Ketidakhadiran itu juga boleh jadi kerana Pas membuat ketetapan melarang Abdul Hadi serta pemimpin kanan lainnya dan cukup mengirimkan ketua pemuda dan budak-budaknya sahaja sebagai menandakan simpati kepada Palestin, bagi mengelakkan dunia tidak melihat Pas terasing dengan solidariti itu seperti mana Parti Amanah Negara mengirimkan Hasanuddin Mohd Yunus dan PKR mengirimkan Saifuddin Nasution Ismail sebagai anggota penal forum.


Sebelum titik, ketidakhadiran Abdul Hadi semalam terus menjadi polemik dan ia sesuatu yang menarik dan boleh dianggap suatu kejutan yang mungkin akan ada perkembangan baru dalam politik parti agama itu. Apakah Pas sudah merombak ikatan ta’awun setelah menyedari ia tidak menguntungkan parti itu?  Atau pun sudah ada formula baharu dikemukakan oleh Pakatan Harapan kepada Pas secara senyap-senyap, bahawa parti itu diajak bersama PH dengan memberi keistimewaan agar Pas mengepalai PH demi menjatuhkan UBN?

Apakah begitu dan peristiwa ketidakhadiran Abdul Hadi itu sebagai pembuka tirai baharu pembangkang untuk menyatu menentang UBN bagi memastikan Najib jatuh?  [wm.kl.10:08 am 23/12/17]

mohd sayuti Omar 

Benarkah meletakkan calon PM dan kabinet bayangan bercanggah dengan adab Islam?

Saya membaca kenyataan seorang ilmuwan yang merupakan presiden sebuah parti di Malaysia yang seolah membayangkan bahawa meletakkan calon PM dan meletakkan kabinet bayangan bercanggah dengan adab Islam. Antara dalil yang beliau gunakan ialah kisah Bani Amir.

Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komentar atas artikel beliau ini. Berikut komentar saya:

1. Penulis membuka bicaranya tentang politik Islam dengan sangat baik. Penulis berjaya menunjukkan keanjalan sistem politik Islam. Hadis yang bermaksud: "pemimpin dari Quraisy" tidak difahami secara literal tetapi ia bermaksud seseorang yang ingin jadi pemimpin perlu mendapat sokongan majoriti.

2. Namun setelah itu penulis seolah membayangkan bahawa adab Islam tidak meletakkan calon PM. Sebab itulah partinya tidak meletakkan calon PM.

3. Penulis menggunakan riwayat Ibn Ishaq berkaitan kisah Bani Amir. Saya bawakan riwayatnya supaya kita sama-sama lihat:

أَرَأَيْتَ إنْ نَحْنُ تَابَعْنَاكَ عَلَى أمْرِكَ، ثُمَّ أَظْهَرَكَ اللهُ عَلَى مَنْ خَالَفَكَ، أَيَكُونُ لَنَا الأَمْرُ مِنْ بَعْدِكَ؟ قَالَ: «الأَمْرُ إلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ».
Maksudnya: kata wakil Bani Amir lepada Nabi: apa pandangan kamu jika kami mengikuti kamu dalam urusan kamu, kemudian Allah menangkan kamu ke atas orang yang memusuhimu, adakah kami akan menerima kuasa selepas dari kamu? Sabda Nabi: kekuasaan dari Allah dan Dia akan letakkan pada siapa yang Dia mahukan.

Riwayat ini dinukilkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya terputus dari jalur al-Zuhri.

Jika dilihat ia tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin. Sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan. Jika dilihat dari teks ini jelas bahawa Bani Amir sudah dapat gambaran bahawa Nabi akan menjadi pemimpin mereka. Ini seolah mereka sudah dapat gambaran calon pemimpin apabila menang dan membentuk kerajaan nanti. Justeru mereka mahu berkuasa setelah Nabi.

4. Cubaan menggunakan riwayat ini untuk mengatakan menamakan calon pemimpin bukan adab Islam adalah tersasar bagi saya. Perlu diingatkan bahawa ulama tidak sepakat terhadap isu larangan meminta jawatan secara mutlak. Sebahagian ulama memperincikan hukumnya. Ia dibenarkan bagi mereka yang layak. Dan inilah pandangan yang kuat bagi sebahagian pengkaji moden.

5.  Saya tidak tahu ke mana penulis ingin bawa pembaca artikel beliau. Ia seakan flip flop. Sekejap berpegang dengan maqasid (objektif) di sebalik hadis sepertimana dalam mukadimahnya. Sekejap mahu berpegang dengan literal hadis yang melarang meminta jawatan.

6. Jika meletakkan calon PM itu dikira sebagai meminta jawatan, mengapa penulis tidak terus sahaja katakan bahawa bertanding dalam pilihanraya juga meminta jawatan dan ia dilarang juga? Bahkan ia lebih direct meminta jawatan dari pengundi.

7. Jika meletakkan calon PM dikatakan menyalahi adab Islam, bagaimana pula dengan meletakkan manifesto? Bukankah kedua-dua isu ini berkait rapat iaitu meyakinkan pengundi tentang visi dan misi parti yang bertanding untuk meraih undi dan keyakinan dari pengundi?

8. Saya ingin tegaskan bahawa isu politik dalam Islam kebanyakannya bersifat ijtihad dan anjal. Oleh itu, khulafa' rasyidin juga berijtihad dalam politik. Abu Bakar pernah mencadangkan Umar sebagai pemimpin selepasnya. Adakah Abu Bakar tidak mengamalkan adab Islam? Tidak sama sekali. Ia isu ijtihad.

9. Maka kenyataan yang mengatakan menamakan calon PM bukan adab Islam itu sebenarnya yang menyalahi adab Islam. Jangan digunakan nama Islam untuk tindakan kita sewenangnya kerana bimbang nanti bila kita tukar pandangan nama Islam akan dibawa tukar juga.

Dr Rozaimi Ramle





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...