TERKINI :

Sunday, December 10, 2017

Sah Marcote Kendali Kedah!

SERI KEMBANGAN: Jurulatih dari Sepanyol, Ramon Marcote bakal mengendali skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika ditemui di sini pada Ahad.

Katanya, jurulatih berkenaan telah berada di Alor Setar untuk proses menandatangani kontrak perjanjian selaku ketua jurulatih Kedah dengan pihak pengurusan KFA.

“Kita dah buat keputusan dan jurulatih baharu sudah pun berada di sini cuma saya belum jumpa lagi. Kita akan jumpa dan tandatangan kontrak tidak lama lagi tapi kita masih belum putuskan tempoh kontrak sama ada setahun atau dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort and Country Club, Ahad.

Marcote yang dikhabarkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 6 Dis menghangatkan spekulasi beliau bakal dilantik secara sah sebagai ketua jurulatih Kedah bagi musim 2018.

Marcote menjadi bualan selaku calon bagi menggantikan khidmat Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menyatakan kesediaan untuk berundur selepas gagal membantu Lang Merah mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia 2017.

Bekas penolong jurulatih Atletico Madrid itu pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan, berjaya membawa Kedah ke pentas final ketika memangku tanggungjawab jurulatih berikutan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan profesional di China.

Selain Marcote, KFA juga dikatakan meneliti khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim, Mario Gomez yang dianggap pilihan sesuai untuk membimbing pasukan Kedah berdepan cabaran Liga Malaysia musim 2018.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata skuad Hijau Kuning mengekalkan dua pemain import dari musim lepas, Liridon Krasniqi dan Sandro Mendonca, manakala yang selebihnya akan ditentukan oleh ketua jurulatih nanti.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan rasuah ke atas enam pemain dan jurulatih Kedah, beliau berkata perkara itu telah pun disiasat oleh polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita telah mendapatkan penjelasan daripada pemain dan jurulatih. Kita pun tak tahu siapa yang buat dakwaan itu, jadi serah semuanya pada polis sebab laporan telah dibuat. Ini mungkin luahan daripada peminat yang kecewa dan tidak berpuas hati,” katanya, sambil menegaskan tindakan akan dikenakan jika ada pemain terbabit dengan rasuah.

Sebelum ini tular di media sosial mengatakan ada pemain skuad Lang Merah itu disogok RM200,000 seorang pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 4 Nov lepas. - Bernama

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/12/10/marcote-jurulatih-kedah/#Kc4x4RKqcdLLc3v1.99





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...