TERKINI :

Saturday, December 9, 2017

Mahfuz bangga sebilangan artis berani ungkap derita rakyat


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata, beliau begitu teruja membaca berbagai komen daripada artis dan personaliti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil), Datuk Sheila Majid,Fathia Latiff, Adibah Nor dan Yassin yang begitu berani mengangkat suara keluh resah hati rakyat yang bertarung dengan kesempitan hidup akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi.


Datuk Haji Mahfuz Omar

“Lebih membanggakan saya apabila mereka berani keluar daripada status sosial mereka untuk berada di tengah realiti kehidupan rakyat marhaen.

“Komen serta luahan isi hati mereka bukan pada sebarangan orang tetapi ditujukan kepada MO1 yang sedang berkuasa.

“Mereka sanggup keluar daripada alam kehidupan membodek untuk kepentingan diri kepada keberanian memperjuangkan kepentingan negara dan kehidupan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tetapi malangnya kata Mahfuz, mereka ini dicemuh oleh spesis 3P (penjilat, pembodek dan pengampu) tegar PM Najib Razak dengan berbagai tuduhan untuk menutup kelemahan pentadbiran MO1 Najib Razak mengurus tadbir kerajaan.

“Saya percaya mereka sedang merasai kerosakan yang sedang berlaku akibat daripada politik 3P (penjilat, pembodek, pengampu). Malangnya di Malaysia kebenaran adalah musuh nombor satu negara,” kata Mahfuz lagi.

Kata beliau lagi, Pak Nil, Sheila Majid, Fathiah Latiff, Adibah Nor, Yassin serta personaliti yang lain juga, bagi beliau adalah ‘YB’ di luar Parlimen yang tidak mengambil sikap berkecuali dalam masalah keperitan hidup rakyat.

“Anda berani kerana benar, anda berani untuk menjadi berani demi negara dan rakyat. Terima kasih ‘YB’!” puji beliau.

1MDB lebih rugikan negara berbanding urusniaga Forex BNM atas urusniaga yang silap

KUALA LUMPUR: Walaupun menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tidak adil membandingkan isu kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga mata wang asing (forex) dengan dakwaan kerugian yang dialami 1MDB, ia tidak diterima ramai khususnya pengguna media sosial.

Ini kerana walaupun kerugian forex yang dialami BNM didakwa berjumlah lebih RM30 bilion, ia adalah kerugian akibat keputusan urus niaga yang silap dan tidak mendatangkan keuntungan peribadi kepada mana-mana individu terlibat.

Berbanding skandal 1MDB yang kini menanggung hutang melebihi RM50 bilion, beberapa individu ternyata mengaut keuntungan daripada penyelewengan yang berlaku dalam syarikat pelaburan negara itu.

Malah Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions dilaporkan berkata hampir separuh hasil kutipan korupsi membabitkan 1MDB yang berjumlah US$3.5 bilion (RM14.18 bilion) telah dirampas oleh AS.

Jeff Sessions turut menyifatkan pengsonglapan wang 1MDB adalah kleptokrasi paling teruk apabila pegawai 1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih US$4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga haram yang kompleks.

Selain Amerika Syarikat, skandal berhubung urusniaga 1MDB juga disiasat di Switzerland, Singapura, Hong Kong, Luxembourg, UAE, Britain, Anustralia dan Thailand berbanding kerugian forex BNM yang hanya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) setelah lebih 30 tahun ianya berlaku (1992-1994).

RCI kerugian Forex BNM juga tidak menyenaraikan individu yang mendapat keuntungan daripada urusniaga tersebut sedangkan dalam kes 1MDB, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada 5 Jun lalu mahu menyita aset berjumlah US$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar mewah dan hak cipta filem dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Antara aset itu termasuk hak cipta 2 filem komedi “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home lakonan Will Ferrell.

Tindakan itu susulan saman sivil DoJ pada Jun 2016 yang mahu mendapatkan kembali semua aset yang tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet persendirian dan karya seni mahal serta pembiayaan dikaitkan dengan filem arahan Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio.

Kerugian akibat urusniaga forex BNM juga memaksa bekas penolong gabenor BNM yang akhirnya dilantik Timbalan Pengerusi Khazanah Holdings di era pentadbiran Najib meletakkan jawatan; selepas mengakui bertanggung jawab penuh terhadap kerugian urusniaga itu di hadapan panel RCI sekaligus membersihkan nama bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Sedangkan skandal 1MDB berlaku ketika rakyat dibebani cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang dan minyak, serta subsidi bagi barang keperluan harian dihapuskan pentadbiran Najib.

Najib selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas menafikan sebarang salah laku dan namanya dibersihkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...