TERKINI :

Wednesday, November 29, 2017

Lebih RM217 bilion hutang dijamin kerajaan, kata Najib

najib_economy_malaysia_600
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan menjamin sejumlah RM217.37 bilion hutang sehingga 30 Jun 2017.

Katanya, hutang berkenaan daripada 4 badan berkanun dan 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Tujuan jaminan kerajaan diberikan adalah untuk melaksanakan projek strategik negara yang berimpak tinggi.

“Projek berkenaan adalah bagi memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan yang terbahagi kepada sektor pendidikan, perkhidmatan, infrastruktur, kewangan, pegangan pelaburan dan utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah tanggungan “contingency liability” oleh kerajaan.

Sementara itu, Najib berkata hutang kerajaan persekutuan sehingga hujung Jun 2017 adalah RM685.1 bilion.

Katanya, jumlah itu 50.9% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang bertanyakan jumlah hutang negara terkini dan nisbahnya kepada KDNK negara.

Fauzi juga meminta jawapan berkenaan jumlah hutang dan kali terakhir Malaysia membayar hutang pokok.

“Sementara 3.3% atau RM22.7 bilion lagi adalah hutang luar pesisir (1.7% daripada KDNK).

“Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata Najib.

Tambahnya lagi, bagi 2017, pinjaman kasar kerajaan adalah RM108 bilion dengan bayaran balik pokok adalah RM67.2 bilion manakala pinjaman bagi membiayai defisit adalah RM39.9 bilion.

Najib turut menegaskan, kerajaan sentiasa memastikan bayaran pokok dan faedah sentiasa dibuat dalam keadaan teratur berdasarkan jadual pembayaran.

“Sehingga kini kerajaan tidak pernah gagal dalam membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan,” kata Najib lagi.

K'jaan digesa sahkan status pemaju induk Bandar M'sia

Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan masih belum menerima sebarang tawaran untuk memperolehi dan membangunkan projek Bandar Malaysia.

"Ia telah menjadi agak jelas bahawa pada bulan Jun Jun tahun ini, satu-satunya kemajuan yang telah kita buat ialah, dikatakan enam hingga lapan syarikat telah menyatakan minat di Bandar Malaysia, walaupun keputusan sepatutnya dibuat pada 14 Julai," kata Pua memetik kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan sebelum ini mengenai status projek itu.

"Kami menyeru Tan Sri Irwan Serigar untuk mengesahkan sama ada, pada hakikatnya, tidak ada tawaran dari syarikat Fortune 500 untuk memperoleh dan membangunkan Bandar Malaysia, terutama tidak pada harga tinggi yang diminta oleh Kementerian Kewangan," tegasnya.

Pua mengulas kenyataan Irwan, yang semalam berkata bahawa "masanya akan tiba" untuk diadakan sidang akhbar mengenai pemaju induk Bandar Malaysia.

Ditanya bila sidang akhbar itu akan diadakan, Irwan seterusnya berkata, "Tunggu, saya akan beritahu."

Pelan asal Putrajaya untuk Bandar Malaysia melibatkan penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek itu kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) and China Railway Engineering Corp (CREC).

Bagaimanapun, perjanjian itu dibatalkan selepas konsortium itu gagal memenuhi jadual pembayaran.

Berikutan ini, Permintaan untuk Cadangan (RFP) yang baru dikeluarkan pada bulan Jun.

Irwan, yang juga pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia, kali terakhir dilaporkan pada 31 Oktober sebagai berkata bahawa pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat "tidak lama lagi."

Beliau juga dilaporkan berkata pada bulan Ogos bahawa enam syarikat telah menunjukkan minat untuk menjadi pemaju induk bagi projek pembangunan multi-bilion ringgit Bandar Malaysia dan mereka akan mengemukakan cadangan mereka menjelang akhir bulan yang sama.

Sebelum itu, Irwan berkata bahawa tarikh akhir untuk mengemukakan cadangan menjadi pemaju induk ialah 30 Jun 2017. Beliau juga berkata bahawa keputusan akhir mengenai pemaju induk itu akan dibuat pada 14 Julai.

Antara kriteria yang ditetapkan untuk syarikat yang ingin menjadi pemaju induk ialah mereka mestilah sebuah syarikat Fortune 500, mempunyai pendapatan kumulatif selama tiga tahun RM50 bilion daripada keseluruhan rantaian nilai harta tanah dan perniagaan yang berkaitan, dan mempunyai pengalaman dalam projek pembangunan hartanah antarabangsa.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/403699#T5IRr4BgMDg3buOh.99

Bagaimana MARA rugi RM60j dalam urus niaga hartanah di Australia

Majlis Amanah Rakyat (MARA) didapati membayar A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) kepada sebuah "syarikat lahu" (syarikat tanpa operasi atau shell company) bernilai US$2 di Caribbean, yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam sebuah bangunan di Melbourne, Australia.

Dengan menggunakan jaringan transaksi atas kertas yang rumit dan syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI), berjuta ringgit bertukar tangan melalui perjanjian jual beli, dan dengan bantuan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dalam urus niaga itu.

Dua lagi urus niaga diperlukan untuk melengkapkan pembelian itu. Pembelian itu dikaburi lagi dengan transaksi yang dibuat melalui syarikat di BVI oleh beberapa warga Malaysia, termasuk bekas pegawai MARA.

Malaysiakini dan media berpangkalan di Melbourne, Fairfax Media, memperolehi dokumen menggemparkan ini yang memberi gambaran tentang penipuan yang berlaku.

Ia telah menjejaskan kepentingan MARA, menyebabkan badan yang ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu miskin itu kerugian berjuta ringgit.

Dokumen itu mendedahkan:
  • Walaupun tiada kepentingan perundangan dalam hartanah itu, Scarlett Nominees Ltd membuat perjanjian dengan Mara Incorporated (Mara Inc) untuk "menjual" syarikat BVI, Thrushcross Land Holdings Ltd, yang "dikatakan memiliki hartanah itu" - bangunan 12 tingkat bernama Unilodge di 746, Swanston Street, Melbourne.
  • Perjanjian ditandatangani pada 28 Ogos 2012. Tidak sampai seminggu, Mara Inc membayar 10 peratus daripada harga pembelian. Pada hujung November 2012, jumlah yang dibayar Mara Inc kepada Scarlett adalah A$41.8 juta untuk "syarikat lahu" , Thrushcross, kononnya bersekali dengan Unilodge.
  • Pada 16 Januari 2013, Thrushcross membayar pemilik Unilodge sebenar, HRSV Pty Ltd sebanyak A$23.5 juta bagi bangunan itu.
  • Transaksi jualan melibatkan harga A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta), walaupun lima bulan sebelum itu Scarlett telah "menjual" Thrushcross (yang ketika itu tidak memiliki Unilodge) kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (Kira-kira RM138 juta).
  • Nilai A$41.8 juta itu berdasarkan penilaian oleh syarikat penilai dan surveyor berpangkalan di Malaysia, dan dimasukkan sebagai tambahan (annexure) kepada perjanjian jual beli Thrushcross antara Mara Inc dan Scarlett.
  • Sehingga pemindahan rasmi dilaksanakan pada 16 Januari 2013, pemilik sebenar Unilodge adalah HRSV. Ini bermakna berdasarkan undang-undang, Thrushcross bukan pemilik kepada hartanah itu sebelum tarikh tersebut. Begitu juga dengan Scarlett.
  • Walaupun Thrushcross dikatakan menjadi milik Mara Inc selepas penjualannya, perjanjian pemindahan tanah dengan HSRV ditandatangani oleh dua warga Malaysia yang tiada apa-apa kaitan dengan Mara Inc. Mereka juga memberikan alamat tempat tinggal yang sama di Melbourne.
  • Pada 19 Julai 2013, dua individu yang menjadi pegawai tinggi Mara Inc pada ketika itu membuat gadai janji terhadap hartanah itu untuk meraih wang bagi membeli sebuah lagi hartanah di Melbourne - Dudley House.
  • Pembelian itu kini sedang disiasat atas dakwaan penipuan, rasuah dan pengubahan wang haram.


Read more at https://www.malaysiakini.com/news/403719#kY8wtbMiTUrHTVMJ.99

Pas Kedah terus diserang "bena perang"

SESUDAH SUBUH

https://assets.bharian.com.my/images/articles/27amirr.transformed.jpg
Amiruddin serah borang keahlian PPBM.

Berita besar dalam jelumu politik negara dan sedikit memeranjatkan semalam ialah tindakan Ketua Pembangkang Pas di DUN Kedah, Ir Amiruddin Hamzah yang keluar meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM).

Keterkejutan besar ialah bagi Pas, manakala terkejut kecil ialah bagi orang-orang Amanah. Penyertaan Amiruddin itu memberi pukulan buat Pas Kedah. Walaupun kata seorang pemimpin Pas Kedah tindakan Ir Amiruddin itu sudah dijangkakan kerana beliau sudah lama berada dalam majlis-majlis Pakatan Harapan tetapi ia tetap sesuatu mengejutkan.

Kenyataan atau ulasan pemimpin Pas itu bak kata orang hanya untuk memaniskan mulut sahaja tetapi peritiswa itu tetap menyakitkan hati. Ianya bagaikan si musang tidak dapat anggur dikatakan anggur itu masam. Begitulah sikap Pas dalam menerima takdir menimpanya ekoran keluarnya Amiruddin.

Pas Kedah khasnya terpaksa mencari alasan tepat untuk membalas tindakan itu serta meredakan perasaan kecewa ahli dan penyokongnya dengan tidakan Amiruddin yang mengejutkan itu.

Kalau benar pemergian Amiruddin itu tidak memberi apa-apa kesan kepada Pas, buat apa timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man memberi reaksi segera dengan nada mengugut Amiruddin memberi ingatan berkenaan dengan baiah (bahalul)? Untuk apa. Bukankah ingatan terhadap sesuatu yang "bahalul" itu untuk menekan Amiruddin?

Begitu juga kalau Pas Kedah sudah menduga apa yang berlaku kenapa dikekalkan lagi Amiruddin sebagai ketua pembangkang. Kalau Pas Kedah bijak sudah tentu ia menukar Amiruddin dengan wakil lain, biarkan Amiruddin keluar tanpa memegang title Ketua Pembangkang. Tindakan itu juga dilihat yang Pas dapat mengesan gatal dalam kain sarung.

Kata Tuan Ibrahim, Amiruddin masih ada tanggungjawab terhadap baiah yang dilafazkan. Tampaknya Tuan Ibrahim mahu menggunakan baiah itu sebagai suatu hukum dari Allah terhadap Amiruddin yang meninggalkan Pas seperti mana dikenakan kepada wakil rakyat Pas lain yang meninggalkan parti tersebut.

Cukuplah Tuan Ibrahim, hentikan menggunakan hukum agama untuk dijadikan tali rapuh mengikat ahli-ahli Pas. Berpolitiklah dengan rasional dan menggunakan akal yang sihat. Eara mengikat orang dengan menggunakan agama sudah pun berlalu. Hari ini golongan yang arif mengenai hal ehwal agama dan hukumnya bukan lagi hanya terdiri daripada pemakai serban dan kopiah putih.

Sudah pasti sebelum membuat keputusan Amiruddin sudah berfikir panjang dan telah mendapat keputusan jelas (yakin) berhubung apa yang bimbangi oleh Tuan Ibrahim itu. Bagi Adun Anak Bukit itu sudah tentu dia telah yakin bahawa baiah itu tidak memakan diri dan ia sesuatu helah politik semata-mata yang tidak ada kena mengena dengan soal baiah. Pas jangan ingat hanya puak partinya sahaja takutkan neraka, orang juga tidak minat dengan negara.

Apa dapat difahami apabila Amiruddin mengambil keputusan meninggalkan Pas bahawa baiah yang diagung-agungkan oleh Pas serta dijadikan senjata menakut-nakutkan orang itu hanya perkara karut marut semata-mata. Ia menakut-nakutkan bagi mereka yang bertahkid buta. Manakala mereka yang memahami agama dan titik tara dengan baiah itu tidak pun berasa apa-apa melainkan ia dianggap sebagai hantu tujuan menakutkan mereka yang bodoh semata-mata.

Tuan Ibrahim tidak payah menggunakan perkara-perkara yang karut untuk mengubati hati yang sakit. Kalau sakit telanlah ubat jangan main jampi serampah. Sebaiknya beliau membiarkan sahaja Amiruddin berlalu bagaikan angin lalu daripada cuba memberi ingatan mengenai baiah bahalul itu. Cara itu lebih lunak.

Berkaitan dengan penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM itu timbul persoalan kenapa beliau menyertai parti Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menyertai parti Mohammad Sabu, AMANAH? Kalau hendak dikira Amiruddin patut menyertai AMANAH memandangkan dalam parti itu penuh dengan kawan-kawannya. Dia lebih mengenali orang-orang dalam AMANAH daripada orang dalam PPBM.

Mengenai ini saya berasa ianya pasti ada strategi tertentu setelah menyedari keadaan dan suasana politik di Kedah kini. Boleh jadi juga penyertaan beliau kepada PPBM itu kerana ia lebih memberi keselesaan kepadanya daripada menyertai AMANAH. Seperti mana kata pengerusi AMANAH Kedah Dr Ismail Salleh, penyertaan Amiruddin itu ke dalam PPBM ia tetap menyuntik kekuatan untuk PH.

Seperti mana maklum sesetengah orang Pas di Kedah yang masih berfahaman konservetif, akur buta kepada dogmatik agama sukar untuk menerima AMANAH yang dianggap sebagai pengkhianat. Maki hamun kepada mereka yang menyertai AMANAH masih bertaburan di Kedah. Mungkin untuk mengelakkan perkara itu menimpa dirinya maka Amiruddin memilih PPBM yang dikira ruang berkecuali untuk beliau terus mengendalikan kolek perjuangannya.

Pun begitu beliau tidak dapat lari akan dicemuh dan dimaki hamun oleh orang-orang Pas terutamanya yang menganggap Paslah satu-satu parti maksum dan membimbing orang ke syurga. Tetapi sekali lagi dirasakan Amiruddin sudah pun menyiapkan kekuatan mantal dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran itu.

Antara alasan yang diberikan kenapa beliau bertindak keluar Pas ialah kerana tidak dapat menerima pendirian parti itu untuk terus bersendirian dan enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Umno. Itu yang mengecewakan beliau. Beliau tidak pula memberi tahu atau membayangkan yang Pas akan bekerjasama dengan UMNO sehingga menyebabkan beliau tidak lagi betah berada dalam parti itu. Mungkin ada dalam kamus politiknya yang Pas akan bersalaman dengan Umno.

Kesimpulannya tindakan Amiruddin itu sesuatu tindakan yang berani yang dilakukan untuk menyedarkan pihak-pihak tertentu dalam Pas. Paling mustahak sekali ialah tindakan itu sebagai menafikan pegangan karut Pas terhadap baiah yang dijadikan rantai untuk mengingatkan ahli Pas agar sujud dan bersetia secara buta tuli dengan parti berkenaan.

Dan dengan keluarnya Amiruddin dari Pas itu ia tidak menambahbaikkan buat Pas sebaliknya menjadikan sawah Pas di Kedah seperti terus diserang "bena perang" - Hopper Burn. Dengan keluarnya Amiruddin boleh dikatakan pemimpin Pas yang berpengaruh dan profesional sudah tiada lagi dalam Pas negeri itu. Sebelum ini tokoh-tokoh seperti Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, Dr Ismail Salleh telah pun meninggalkan Pas. [wm.kl.6:55 am 27/11/17]

mohd sayuti Omar

PAS tiada peluang jadi progresif, kata ahli seumur hidup Wan Saiful

Wan-Saiful
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata beliau masih merupakan ahli seumur hidup PAS.

“Saya masih bawa kad ahli PAS saya ke mana-mana, kerana keahlian adalah seumur hidup,” katanya pada persidangan antarabangsa anjuran Istanbul Network di sini di mana beliau membentangkan kertas kerja mengenai hala tuju parti Islam itu.

Bagaimanapun, Wan Saiful menjangkakan beliau akan disingkir keahliannya.

“Lambat laun mungkin mereka akan pecat saya… tetapi saya tunggu mereka pecat saya,” katanya.

Wan Saiful menyertai PAS pada 1997 ketika masih belajar.

Badan pemikir beliau, Ideas, kerap dikaitkan dengan pendekatan liberal, sesuatu yang kerap diserang PAS.

“Semua orang pernah buat salah,” katanya bergurau merujuk keputusannya menyertai PAS.

Dalam kertas kerjanya bertajuk “Evolusi Islamisme dalam Politik Malaysia: Perpecahan Parti Islam SeMalaysia dan Penyebaran Idea Progresif”, Wan Saidul berkata PAS tidak akan sesekali bertukar menjadi parti progresif.

Sebaliknya, kumpulan yang cuba membawa idea progresif dalam parti itu kini tersingkir dan membentuk Amanah.

“Ada yang kata antara 1998 hingga 2010, PAS berubah menjadi lebih progresif dan golongan progresif diberikan jawatan dalam parti.

“Golongan itu bagaimanapun dalam pemilihan ketika muktamar mereka pada 2015 ditendang keluar kerana dilihat terlalu berpengaruh,” katanya.

Wan Saiful berkata, dalam senario di Malaysia, tiada kumpulan yang benar-benar progresif.

Begitu juga, tambahnya, Amanah hanyalah membawa fahaman neo-konservatif.

“Bagi saya progresif ini mengatakan mengenai tanggungjawab individu, di Malaysia parti politik masih memperkatakan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.

“Progresif di Malaysia masih belum menjadi ‘arus perdana’,” tambahnya.

Polis mahu keterangan enam pemain Kedah berkenaan isu rasuah

Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

Nidzham Adzha & Datuk Iszam Kamal Ismail


POLIS mahu mengambil keterangan enam pemain Kedah yang didakwa terbabit rasuah bersama jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff pada aksi final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Perkara itu disahkan penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail sambil menjelaskan ia bagi membantu siasatan berhubung pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan yang didakwa memfitnah mereka.

Iszam berkata, polis juga akan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan maklumat terperinci pemilik akaun Facebook berkenaan termasuk lokasinya.

“Pegawai penyiasat kes ini memaklumkan kepada kami yang mereka mahu menemubual enam pemain Kedah untuk mendapatkan maklumat lanjut sama ada mereka mengenali suspek atau tidak.

“Selepas itu polis akan menilai sama ada betul atau tidak pemilik Facebook itu dalang yang membuat fitnah sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sekarang ini polis tak tahu lokasi dia (Ridzwan) dan maklumat itu mungkin boleh diperoleh daripada SKMM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 9 November lalu, Nidzam membuat laporan polis selepas wujud dakwaan beliau bersama enam pemain Kedah - Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan kapten, Khairul Helmi Johari - menerima rasuah dan menjual aksi final Piala Malaysia seperti mana tersebar di Facebook.

Bermula 18 November lalu, Iszam menjelaskan pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada Ridzwan untuk tampil ke mana-mana balai polis bagi memberi keterangan dan menunjukkan bukti berhubung dakwaannya itu.

Namun, sehingga hari ini, Iszam berkata, Ridzwan masih belum tampil memberi sebarang keterangan dengan tempoh untuknya berbuat demikian hanya tinggal empat hari.

“Kami akan tunggu siasatan polis dahulu sebelum mempertimbangkan untuk ambil tindakan undang-undang termasuk saman,” katanya.

SIK : Pembalakan didakwa jadi punca banjir lumpur

 Pembalakan didakwa jadi punca banjir lumpur
SIK - 1000 hektar Hutan Simpan Bukit Enggang didakwa digondolkan bagi projek tanaman petai belalang dan Timber Latex Clon (TLC) menjejaskan bekalan air bersih serta penyebab banjir lumpur bagi Kampung Balong Ayam, Kampung Chong, dan Kampung Durian Burung dalam Dun Belantik.

Pembalakan tersebut dilesenkan kerajaan negeri kepada Perbadanan Menteri Besar ( MBI) dan kontraktor projek terbabit adalah Jaentique Sdn Bhd.

Aktiviti sejak awal 2016 itu dijalankan di kompartment 13,14,dan 15 seluas 500 hektar sejak manakala baki 500 hektar dibuat di kompartment 12.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar ( Latas) Pas Pusat dan Pas Kedah memandang serius aktiviti pembalakan di kompartmen 12, 13,14 dan 15 Hutan Simpan Bukit Enggang yang mengancam kelestarian alam sekitar, kehidupan manusia, sumber bekalan air, dan mengakibatkan banjir lumpur dan kerosakan ekosistem.
Advertisement

Menurutnya, beberapa kampung lain berpotensi mengalami masalah sama seperti tiga kampung terlibat banjir lumpur dan masalah bekalan air bersih.

"Kesan buruk daripada aktiviti penggondolan Bukit Enggang mula mengancam kehidupan penduduk sekitarnya.

"Latas difahamkan bahawa pembalakan tersebut berselindung di sebalik alasan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman (TLC) dan pokok Albizia salah satu spesies balak cepat matang yang akan ditebang dalam tempoh beberapa tahun lagi," Katanya kepada pemberita di dalam tinjauan di Bukit Enggang hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah merangkap Pengerusi Latas berkata, kesudahan kepada penggondolan Bukit Enggang ini adalah aktiviti pembalakan yang lebih kerap dan kehilangan hutan asli selama-lamanya.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengesahkan mengetahui aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

Laluan utama Sungai Ular ditutup sehingga 12 Disember

Laluan utama Sungai Ular ditutup sehingga 12 DisemberKULIM - Laluan utama Sungai Ular menghala ke Serdang akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula 4 hingga 12 Disember ini bagi memberi laluan pembinaan jambatan sementara di situ.

Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, laluan itu terpaksa ditutup kerana jambatan berhampiran Taman Seri Mahkota kerana strukturnya berisiko untuk semua kenderaan.

"Kita terpaksa tutup dalam tempoh seminggu laluan itu kepada semua pengguna, kerja-kerja membina jambatan sementara akan dilakukan.

"Mengikut laporan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Kuala Lumpur yang turun ke sini pada 20 November lalu mendapati struktur jambatan atau rasuk-rasuk jambatan mulai retak ini mungkin kerana faktor usia jambatan dan persekitaran," katanya pada sidang media.
Advertisement

Beliau berkata, papan tanda pemberitahuan penutupan laluan itu akan dipasang selewatnya pada 29 November ini untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan.

"Kita akan pasang beberapa papan tanda di jalan-jalan utama untuk memudahkan pengguna membuat perancangan menggunakan laluan alternatif," katanya.

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya bersabar dan merancang perjalanan dengan bijak kerana jalan alternatif mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.

"Kita tak boleh nak elak untuk tidak menutup laluan ini kerana ia berisiko, kita minta semua pengguna bersabar dan merancang perjalanan dengan bijak.

"Antara laluan yang boleh dilalui pengguna ialah Jalan Mahang untuk akses ke Serdang, Jalan Junjung untuk akses ke Bandar Baharu, atau terus melalui lebuh raya untuk akses ke Kulim," katanya.

ANAK: Selesaikan segera isu hutang peneroka!

Kenyataan Media ANAK: Selesaikan segera isu hutang peneroka!

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) mengalu alukan dan menghargai usaha yang dilakukan Dato' Dzulkifli Abd Wahab selaku Pengerusi Felda Technoplant Sdn Bhd(FTPSB)yang dipertanggungjawabkan menguruskan ladang seluas 239,909.49 hektar milik 59,569 peneroka Felda seluruh negara.

Beliau dilantik mulai 1 Jun 2017.

Beliau menamatkan perkhidmatan lebih 30 tahun di Felda sebagai Pengarah Besar Felda yang bermula dari bawah.

Malangnya, beliau dilayan dengan begitu buruk oleh Tan Sri Isa Samad, hanya kerana mempunyai pandangan berbeza mengenai penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Tuan Hj Abd Ghani Ali pula adalah Pengarah Besar Felda yang baru, mulai 5 september 2017. Pengalaman berkhidmat dengan Felda sejak tahun 1981.

Memulihkan keyakinan para peneroka diketika Felda dan Felda Technoplant sedang bermasalah adalah misi sangat sukar.

Isu hutang peneroka tidak kunjung reda, samalah juga soal penyelenggaraan kebun peneroka yang tidak sempurna, yang mengakibatkan pendapatan peneroka rendah dan tidak berbaloi dengan harga yang agak stabil.

Pengalaman luas kedua dua tokoh ini seharusnya mampu menangani isu isu di atas yang telah lama menghantui para peneroka.

ANAK tidak tahu apa jaminan yang dibuat oleh TS Shahrir ketika berkali kali memujuk Dato Dzulkifli menerajui FTPSB. Juga kesediaan Hj Abd Ghani,60, yang berada di ambang pencen.

Antara Felda dengan FTPSB mestilah sekata dan sepakat dalam isu hutang peneroka. Kegagalan kedua dua pihak menyelesaikan isu ini telah menimbulkan kemarahan peneroka.

Dengan tidak menafikan hak Felda/FTPSB mendapatkan semula kos tanam semula dan pinjaman Sara hidup, mestilah disusuli dengan tindakan profesional dan adil bagi kepentingan bersama.

Pendekatan dua hala dan situasi menang menang(win win situation) dimanfaatkan tanpa emosi dan ego.

Ugutan untuk mengambil tindakan Undang Undang dan arahan bayar dalam tempoh 14 hari hutang peneroka kepada Felda, akan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

ANAK mengulangi kesediaan dan ruang kerjasama dengan berbagai pihak, bagi mempastikan isu isu utama yang di alami peneroka dapat diselesaikan secara baik.

Menerajui Perubahan.

Mazlan Aliman
Presiden ANAK
28 Nov 2017





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...