TERKINI :

Wednesday, November 8, 2017

Pas ‘kitar semula’ foto lama bantu mangsa banjir

 ARIF ATAN

Tular di media sosial apabila pemimpin dan penyokong Pas menyebarkan beberapa gambar yang diambil pada 11 tahun lalu dengan dakwaan kononnya pihak mereka membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria contohnya turut berkongsikan kiriman seorang penyokong parti itu, Hanapiah Khalid di Facebook.

“Ratusan petugas Jabatan Amal Pas telah mula turun bagi membantu mangsa banjir di Penang,” dakwa Hanapiah yang difahamkan ahli Pas Serdang.


Razman Zakaria

Status Hanapiah yang juga disertai lima keping gamabr itu kemudiannya dikongsi oleh Razman di Facebook beliau dengan menulis “UP”.

UP adalah singkatan bagi penjenaman terbaharu Pas menjelang pilihan raya akan datang yang bermaksud Undi Pas.

Bagaimanapun, kebanyakan sukarelawan Jabatan Amal dalam gambar-gambar tersebut sudah berada dalam AMANAH. Ini termasuklah kelibat ketua Biro Keselamatan dan Kebajikan (ARiF) di bawah AMANAH.

Gambar yang memuatkan wajah Pengarah ARiF Nasional, Johari Osman itu difahamkan diambil pada Disember 2006 di Sri Medan, Batu Pahat.

Bahkan, foto-foto lain sempena Jambori Amal Kebangsaan di Johor manakala gambar sekumpulan lelaki berpakaian Jabatan Amal adalah ketika demonstrasi berdekatan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakan ‘mengitar semula’ gambar lebih sedekad itu sebagai langkah terdesak Pas untuk menampilkan parti mereka relevan di mata rakyat.

(dalam bulatan) Johari Osman ketika dalam misi bantuan banjir di Johor pada tahun 2006.

 

Henti operasi Petronas keringkan dana tentera Myanmar

 ARIF ATAN

Ekoran pendekatan diplomasi yang masih tidak menunjukkan hasil positif, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhasrat untuk mengemukakan petisyen mendesak Petronas menghentikan operasi di Myanmar.

Aktivis Kempen Antarabangsa Untuk Rohingya, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi berkata, tindakan itu dilihat paling wajar disegerakan sebagai isyarat protes memerangi keganasan ke atas etnik Rohingya.

“Kita usaha secara baik dan berunding sebelum ini tetapi tidak berhasil. Jadi, lebih baik sekarang kita keringkan dana tentera Myanmar dengan cara menarik keluar pelaburan atau perniagaan masing-masing dari negara itu.

“Setiap urus niaga oleh konglomerat yang beretika tidak harus dibiar berlaku atas percikan darah orang lain,” tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Tengku Emma Zuriana di kem pelarian etnik Rohingya dekat Bangladesh baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat milik Malaysia yang melabur di Myanmar boleh memainkan peranan membawa keluar perniagaan masing-masing.

“Memandangkan Petronas adalah konglomerat terbesar di Malaysia, jadi langkah pertama untuk berbuat demikian harus dimulakan oleh Petronas terlebih dahulu.

“Ahli-ahli perniagaan Malaysia tidak harus menyokong jenayah pembersihan etnik di Rakhine. Pembunuhan dan penghijrahan ke Bangladesh masih terus berlaku sehingga negara itu bercadang untuk menghantar semula pelarian Rohingya ke Myanmar.

“Tindakan itu samalah seperti menghantar mereka untuk ‘disembelih’ kerana tiada jaminan keselamatan untuk etnik Rohingya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana NGO untuk turut serta dalam bantahan tersebut dengan menandatangani petisyen yang akan diserahkan kepada Myanmar dalam masa terdekat.

“Saya mahu lebih ramai NGO bersama dalam inisiatif ini kerana mungkin ini menjadi titik mula untuk kita hentikan tangisan dan penderitaan etnik Rohingya.

“Kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen ini dan kita akan bentangkan di Parlimen,” tambahnya lagi yang boleh dihubungi di 012-4131809.

Untuk rekod, Petronas menerusi Petronas Carigali Myanmar II Inc. diberi tanggungjawab untuk memajukan sejumlah kawasan cari gali minyak di luar pantai Myanmar.

Penglibatan Petronas dalam Projek Gas Yetagun bermula pada tahun 1997 lagi apabila ia mengambil 30 peratus kepentingan projek daripada Texaco Inc.

Gas dari projek Yetagun mula dikeluarkan pada Mei 2000 kepada Petroleum Authority of Thailand menerusi saluran paip merentasi sempadan.

Isteri Najib & Guan Eng dalam Sesi taklimat banjir bukan mesyuarat rasmi

ARIF ATAN

Gambar tular di media sosial yang menunjukkan kehadiran isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebenarnya merupakan sesi taklimat perkembangan banjir di negeri itu.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (Awan), Aiman Athirah Al Jundi berpendapat tentera siber dan penyokong tegar BN sengaja mencipta persepsi negatif rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Menurutnya, kemunculan Betty Chew bukanlah dalam mesyuarat kerajaan negeri dengan kerajaan pusat seperti yang digembar-gemburkan oleh tentera siber BN bahkan pihak parti mesra rejim itu.

“Pertemuan ini bukan mesyuarat rasmi tetapi lebih merupakan taklimat berkaitan banjir. Hakikatnya juga, Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri) ada dalam majlis itu,” tegasnya.

Athirah berkata, tindakan penyokong tegar BN menafikan kehadiran Penaung Pusat Anak Permata Negara (Permata) dalam pertemuan itu juga memberi gambaran kononnya isteri Guan Eng masuk campur urusan kerajaan.

“Saya betul-betul pelik. Baik BN atau pun rakan-rakan mesranya, semua lebih sibuk hal-hal macam ini pada saat tujuh nyawa rakyat sudah hilang,” tambahnya lagi.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus memberikan taklimat mengenai situasi banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah.

Kedua-dua pemimpin daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu turut diberi taklimat mengenai punca kejadian serta langkah jangka pendek mengatasi masalah itu oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Sabri Abdul Muluk.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...