TERKINI :

Sunday, October 15, 2017

Umno-BN manipulasi kos hidup rakyat untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/01/najib-umno-bn.jpg
Saya meneliti laporan terkini Jabatan Perangkaan yang kononnya membuktikan pengurusan ekonomi yang dirancang oleh kerajaan Umno BN mencapai keputusan yang cemerlang.

Laporan itu juga menyatakan pendapatan isi rumah kumpulan sederhana meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu pertumbuhan pada kadar 6.6 peratus setahun dengan nilai nominal.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menyatakan pencapaian itu secara tidak langsung menafikan dakwaan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak memberangsangkan dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Berikutan kesan kejatuhan nilai matawang ringgit dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semasa, boleh saya sifatkan angka yang dikemukakan ini tidak menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat.

Indikator yang menentukan angka ini ialah pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas daripada segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.

Jika benar, apa yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan tersebut, saya mendesak kerajaan segera umumkan dasar dan perancangan untuk meningkatkan paras pendapatan rakyat supaya rakyat bebas daripada dibelenggu kemiskinan.

Bank Negara di dalam data kepenggunaan isi rumah (household consumption) bagi tempoh 2000 – 2009 menyatakan bahawa perbelanjaan untuk makanan ialah 23 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah (household expenditure), perumahan sebanyak 18.9 peratus dan pengangkutan pula sebanyak 13.4 peratus.

Berdasarkan peratusan ini, jika RM950 dijadikan rujukan, bererti untuk setiap item tersebut bernilai RM220 untuk makanan, RM180 untuk perumahan dan RM130 untuk pengangkutan. Jika diteliti secara kasar pun nilai-nilai ini bolehlah dianggap terpesong daripada realiti sebenar.

Semua pihak perlu sedar bahawa takrifan kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan Umno BN adalah untuk menipu rakyat, terutama bagi keluarga miskin tegar.

Bagi saya, Program Transformasi Ekonomi hasil cetusan idea Datuk Seri Najib Razak yang dilaksanakan pada 2010 nampaknya tidak membuahkan hasil seperti yang diwar-warkan oleh Umno BN, berdasarkan pemerhatian dan realiti kehidupan sebenar rakyat pada masa kini, bahawa lebih ramai isi rumah di Malaysia berada di dalam kepompong kemiskinan.

Sementara kita melihat negara ini menghadapi krisis ekonomi dalaman ekoran pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM52 bilion.

Malah berlaku penurunan nilai mata wang ringgit secara mendadak, kenaikan harga barangan daripada minyak masak ke minyak petrol, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ‘siasatan rakus’ audit cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesemua faktor ini telah mengurangkan aliran dana dalam pasaran kewangan dan ekonomi yang menyebabkan perniagaan menurun dan kekangan wang belanja bagi para pekerja.

Purata kadar pengangguran negara adalah meningkat pada kadar 3.4 peratus pada tahun 2016. Ini merupakan peningkatan 0.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

Walaupun ia mungkin nampak rendah, tetapi walaupun kenaikan 0.5 peratus dalam 14 juta tenaga kerja akan menyebabkan 70,000 rakyat Malaysia tiada kerja.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail ialah Setiausaha Agung PKR

‘Jika DAP parti komunis, kenapa China jemput Umno ke kongres?’

 Lim-Guan-Eng-Kongres-Nasional-Parti-Komunis-China
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis berkata, beliau terluka apabila Umno dijemput ke Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) ke-19, pada 18 Oktober ini.

Katanya, CPC sepatutnya menjemput DAP yang sering dilabelkan parti komunis ke kongres itu, bukannya Umno yang memperjuangkan hak Melayu.

“Lagi gila apabila kata kita ini komunis. Bila parti komunis ada himpunan besar di Beijing, China, parti mana yang dijemput hadir dan satu-satunya parti (di Malaysia) diberikan penghormatan untuk berucap?

“DAP tidak ada langsung dipanggil, terguris hati saya. Kalau dikatakan parti komunis, macam mana kita pula tidak dijemput,” katanya sewaktu berucap di himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, malam ini.

Pada 2 Oktober lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, wakil parti Melayu itu diberi penghormatan untuk berucap dan memberi maklum balas berkaitan hubungan antarabangsa pada kongres CPC.

Beliau berkata, Umno menghargai hubungan akrab dengan CPC dan menganggap ia kelangsungan 2 negara membabitkan 2 parti pemerintah saling bertukar pandangan.

“CPC mengamalkan sistem satu parti yang bukanlah bermakna tiada demokrasi dalam pentadbiran mereka, sebaliknya ia menunjukkan ketelusan di kalangan anggota kongres itu sendiri untuk saling meningkatkan kemajuan masyarakatnya,” katanya dipetik Umno Online.

Guan Eng berkata, hanya Umno dan Barisan Nasional sahaja yang berhajat besar mengangkat Lim Kit Siang sebagai perdana menteri, selepas Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka (Umno) cakap perdana menteri selepas Najib adalah Kit Siang. Kit Siang pula kata bukan dia yang akan ganti Najib, bahkan Tun Dr Mahathir Mohamad juga kata bukan. Hanya Umno sahaja mahu Kit Siang jadi perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, ketua menteri Pulau Pinang itu berjanji akan meneruskan inisiatif dibawakan BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun akan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), jika memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Kita akan hapuskan GST itu adalah yang pertama dan kita pastikan BR1M tetap dibayar kepada semua rakyat Malaysia. Saya percaya kita mampu lakukan sebab kita bersih, tidak makan wang rakyat.”

MTUC: Batal dasar benar sektor perbuatan guna 100% pekerja asing

 j-solomon
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekeja Malaysia (MTUC) menggesa Kabinet membatalkan keputusan melonggarkan syarat yang membenarkan sektor pembuatan mengambil 100 peratus pekerja asing.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, dasar terbaharu itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan 1 keputusan yang tidak wajar sama sekali.

Katanya, MTUC berpandangan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini menunjukkan kerajaan bergerak ke belakang dalam usaha mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja-pekerja asing.

“Sepatutnya kerajaan harus terus memperketatkan pengambilan pekerja-pekerja asing bagi mengurangkan kebergantungan ke atas mereka buat selama-lamanya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Nur Jazlan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan membenarkan pengambilan 100% pekerja asing oleh syarikat yang menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya mereka dapat memenuhi permintaan semasa dan masa depan.

Solomon berkata sebelum ini kerajaan pernah mengumumkan dasar mengurangkan pengimportan pekerja-pekerja asing secara berperingkat-peringkat.

“Jadi, mengapa secara tiba-tiba perlu ada satu dasar khusus bagi sektor pembuatan dengan membenarkan sektor pembuatan mengambil pekerja asing 100 peratus.”

Langkah itu menurut beliau, bukan sahaja memberi1 isyarat tidak baik dalam pasaran kerja dan penggunaan pekerja tempatan dengan maksium yang boleh.

Kata beliau, dasar terbaharu ini akan terus menafikan hak dan peluang rakyat tempatan untuk mendapatkan kerja pada kadar upah yang adil dan sewajarnya serta berkualiti bagi menyara kehidupan mereka.

“Utamakan penggunaan pekerja-pekerja tempatan. Kongres Kesatuan Sekeja Malaysia mahu kerajaan juga dengan segera memperkenalkan gaji minum RM1,800 kepada pekerja-pekerja di negara ini,” kata beliau.

Solomon menambah, MTUC berpendirian daripada terus menambah pengambilan pekerja asing hanya akan memenuhi tuntutan pihak-pihak tertentu yang mahu mendapatkan keuntungan, kerajaan harus memberi tumpuan bagi menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kerajaan telah menolak untuk melibatkan rakan-rakan sosial untuk mempersiapkan masa depan kerja kerana perniagaan membawa pekerja asing menguntungkan pihak tertentu.

“Bagaimanapun masih belum terlambat,” kata beliau sambil kerajaan agar lebih bertanggungjawab untuk membawa bersama penglibatan yang bermakna dengan rakan kongsi sosial dalam menyediakan pekerja Malaysia untuk membina dasar yang lebih komprehensif demi masa depan pekerja-pekerja tempatan selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Dalam kenyataannya semalam, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan pengambilan 100% pekerja asing dalam sektor pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, ini kerana cadangan itu dilihat tidak praktikal dan bakal memberi kesan seperti pengurangan tenaga kerja mahir dalam negara, terutama di sektor berkenaan.

Hadirin rendah bukti tokoh Pakatan tiada pengaruh banding Hadi, kata PAS

 Mahfodz-Mohamad
GOMBAK: PAS berkata parti itu sudah menjangkakan himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi semalam tidak boleh menandingi Fastaqim 2.0, malah tokoh-tokoh utama Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak memperlihatkan pengaruh untuk menarik penyertaan jika dibandingkan dengan kepimpinan presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, ia jelas terbukti apabila jumlah peserta himpunan anjuran PH di Padang Timur Petaling Jaya jauh lebih rendah berbanding Fastaqim 2.0.

“Saya sudah jangka sebab dia (PH) sendiri sudah ‘down’. Dia kata dia bukan nak lawan Fastaqim, jumlah yang hadir ke Fastaqim adalah seramai 250,000,” kata beliau kepada pemberita di Dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) di sini, hari ini.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi melabuhkan tengah malam tadi tirainya dengan mengumumkan seramai 25,000 orang hadir. Jumlah itu meleset dengan sasaran dibuat penganjur sebelum ini yang menyasarkan seramai 100,000 orang akan hadir.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan jumlah kehadiran peserta perhimpunan sekitar 4,000 orang.

Mahfodz berkata, PAS tidak memerlukan tokoh-tokoh besar dalam PH seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menarik kehadiran.

Bahkan kata beliau, tidak memerlukan kehadiran Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebaliknya cukup dengan kehadiran Hadi seorang.

“Kehadiran peserta kuliah hari ini membuktikan Hadi walaupun ditohmah dengan pelbagai tohmahan dan macam-macam, pengikut PAS tetap memberikan sokongan padu,” katanya.

Hadi turut hadir di KUIZM bagi memberikan kuliah dihadapan kira-kira 1,000 peserta.

Lokasi Fastaqim anjuran PAS lebih jauh terpencil tanpa sebarang pengangkutan awam manakala lokasi perhimpunan antikleptokrasi dapat dihadiri dengan mudah menggunakan LRT.

Bukan itu sahaja, lokasi fastaqim diadakan di negeri Terengganu yang diperintah Umno manakala lokasi perhimpunan antikleptokrasi diadakan di Selangor yang dipimpin pembangkang.

PAS mahu bawa RUU355 ke Parlimen selepas PRU14

 Mahfodz-Mohamad-ruu-2
GOMBAK: PAS yang mengusulakan undang-undang persendirian berkaitan usaha menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah mahu membawa rang undang-undang berkaitan ke Parlimen hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, partinya perlu mengambil kira beberapa aspek dalam isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) memandangkan PRU14 juga semakin dekat.

“Kalau boleh kita bentang mahu menang. Kita kena buat perkiraan, sekarang ini beberapa orang Umno bahkan penganut agama Islam lain tidak sokong, lebih baik kita tangguhkan dahulu.

“Lepas pilihan raya, selepas banyak kerusi yang kita menang, barulah (bawa semula RUU355 ke Dewan Rakyat),” katanya sewaktu ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.

RUU 355 tidak dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang bersidang Julai lalu atas faktor kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Parlimen Ke-13 akan bermula 23 Oktober ini.

Tambahnya, dalam usaha memastikan RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat, PAS bertekad untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen berbanding sebelum ini. Parti itu mahu bertanding di 100 kawasan.

Bahkan Mahfodz berkata, parti Islam itu kini dalam rangka usaha memperkasakan jentera bagi menakluk dan merampas semula beberapa negeri di Semenanjung.

“PAS yakin menang lebih kerusi daripada Amanah. Sasaran kita adalah kekalkan kerusi di Kelantan dan Selangor, ambil semula Terengganu dan Kedah serta menambah beberapa kerusi lain.

“Kita selesa dengan blok kita, yang terdiri daripada beberapa parti dan badan bukan kerajaan. Kita setakat ini langsung tidak pernah berbincang dengan Umno untuk perkongsian kerusi di Pantai Timur ” katanya.

Pada 6 April lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat seterusnya selepas dibentangkan Hadi.

Pandikar memberi alasan beliau menggunakan kuasanya untuk menangguhkan sesi perbahasan itu kerana kakitangan Parlimen tidak cukup rehat memandangkan pada 5 April, sehari sebelum RUU 355 dibentangkan, persidangan Dewan Rakyat berlangsung hampir 20 jam.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi pada Mei 2016 dan kali ke-2 pada November lalu yang mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Dr M: Usaha SPRM hapus rasuah tiada makna tanpa siasatan RM2.6 bilion

 mahathir-macc
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghapuskan rasuah di negara ini tidak bermakna, jika agensi itu mengaburi mata rakyat dengan serbuan kecil tanpa menyiasat sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak usahlah cuba bohong, kononnya mereka (SPRM) begitu kuat hapuskan rasuah, selagi tidak ada siasatan terhadap RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selagi tidak diadakan siasatan, maka tidak usahlah SPRM dan ketua pesuruhjayanya kaburi mata rakyat,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” malam tadi.

Najib sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan RM2.6 bilion yang diterimanya adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya BN.

Pada 26 Januari 2016, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Peguam negara itu berkata, beliau berpuas hati dengan siasatan itu dan mengarahkan 3 kertas siasatan dikemukakan SPRM berkaitan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International, ditutup.

Katanya, hasil siasatan menunjukkan jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib ialah RM2.08 bilion yang merupakan sumbangan peribadi keluarga diraja Saudi pada 2013, sebelum RM2.03 bilion dipulangkan kepada penderma pada tahun sama.

Ia disusuli pengesahan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir pada 14 April 2016 yang RM2.6 bilion itu ialah derma yang diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Dr Mahathir percaya tindakan SPRM menahan 8 individu di Sabah baru-baru ini berkaitan penyelewengan dana RM1.5 bilion untuk pembangunan luar bandar di negeri itu, dibuat demi kepentingan politik BN dan untuk melemahkan PH.

“Kita tahu siasatan ini bukannya disebabkan ada bukti rasuah yang berlaku, tetapi adalah satu cara yang mahu lemahkan PH semata-mata.

“Tetapi, percayalah kami tidak akan gentar walau segala derma, sokongan daripada orang-orang kepada kami sudah dihentikan dan disekat.”

Beliau berkata, corak pemerintahan Najib ketika ini memalukan bapanya, Tun Abdul Razak yang sangat dihormati rakyat.

“Tidak sangka anak Tun Razak jadi seperti ini, ini anak orang yang kita hormati. Sepatutnya tiru seperti bapanya, tetapi sedikitpun tidak seperti bapanya,” kata pengerusi PPBM itu.

Bekas perdana menteri itu berjanji akan mengembalikan wang rakyat dan mengambil semula penjawat awam yang dipecat kerana menyokong pembangkang, jika mereka berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Jangan sesiapa takut, jika mereka rampas harta kamu, bila kami menang, kami akan kembalikannya semula. Jangan takut jika ada yang tidak benarkan kami ikuti himpunan ini.”

Jamal sahkan foto tular di pusat judi pemimpin Umno

 Jamal sahkan foto tular di pusat judi pemimpin Umno
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan kehadiran seorang pemimpin kanan Umno Selangor bersama seorang wanita yang berada di pusat judi yang menjadi tular hari ini.

Beliau berkata foto yang dimuat naik oleh netizen di facebook itu berlaku ketika beliau bersama ahli Umno dan NGO melakukan risikan di beberapa kedai judi haram di sekitar Selangor.

“Gambar ni saya fikir lebih kurang empat bulan yang lalu. Tapi saya tak pasti kedai judi di kawasan mana kerana banyak tempat kita lakukan risikan sebelum kita serbu.

“Dia (Zein Isma) ada ikut kita buat risikan, lagipun dia, orang (pengusaha pusat judi) tak kenal sangat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau ditemui sebelum sidang media untuk mengumumkan pelancaran Restoran NGO 1Malaysia yang menyediakan makan percuma untuk rakyat di Jalan Pahang hari ini yang akan dibuka bermula esok jam 11 pagi hingga 3 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Hari ini tular di laman facebook yang dipercayai susuk tubuh seperti Ketua Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail bersama seorang wanita di sebuah pusat judi.

“Tengok berita channel CNN dengan orang rumah ke…hebat orang Amino ye hihihi,” yang ditulis di facebook.

Sebelum itu Malaysia Dateline cuba mendapatkan pengesahan daripada Zein Isma yang juga Ketua Umno Bahagian Subang tetapi beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai foto yang tular itu yang dipercayai oleh netizen adalah beliau.

Rasuah pegawai tinggi k’jaan buktikan ‘ikan busuk dari kepala’ itu benar

HUSEIN MAHAT


Budaya rasuah yang semakin menular sehingga melibatkan pegawai tinggi kerajaan kini di tahap serius dan masyarakat perlu memandang berat perkara ini, kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

“Saya ambil maklum kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bahawa seramai 38 daripada 44 individu yang ditahan SPRM negeri itu kerana terbabit rasuah dan salah guna kuasa sejak Januari tahun ini hingga Khamis lepas,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar itu.

Azan merujuk kenyataan Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan bahawa sejumlah 33 pertuduhan rasuah membabitkan penjawat awam sudah dibuat manakala baki 11 individu masih menunggu tarikh pertuduhan.

Menurut beliau, statistik itu menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan dan pertuduhan rasuah di Terengganu berbanding hanya 15 tangkapan dengan 18 tuduhan sepanjang tahun lalu dan peningkatan ini jelas menunjukkan gejala ini semakin berleluasa.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana jika kita mahu menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bebas daripada amalan rasuah maka amalan menolak dan membanteras gejala rasuah menjadi budaya. Amalan ini bukan hanya perlu dibendung tetapi perlu dihapuskan demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Menurut Azan, berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM, sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu.

Sejak 2014 hingga tahun lalu, katanya SPRM telah menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah.


“Jelas dalam isu ini, 635 individu atau 50 peratus dalam lingkungan usia itu merupakan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah,” jelas beliau.

Beliau bagaimanapun berharap SPRM tidak hanya memandang kes-kes rasuah kecil namun perlu memberi perhatian terhadap skandal rasuah berskala besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah tambah beliau, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah menangguhkan saman sivil untuk menyita sejumlah aset yang dipercayai diperolehi menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB bagi memulakan siasatan kes jenayah.

“Tetapi jelas bagi saya, nampaknya SPRM sedang digunakan untuk menutup amalan ‘rasuah tingkat tertinggi’ yang merupakan satu tindakan merugikan negara.

“Ia mengesahkan ini satu kleptokrasi dan ‘kakistokrasi’ – sebuah negara yang ditadbir oleh orang yang paling teruk, sangat tidak layak, paling tidak berprinsip dan rasuah,” kesalnya merujuk kepada Malaysian Official No. 1 (MO1) seperti terkandung dalam laporan DoJ.

Beliau turut menasihati pemimpin Umno-BN agar bersikap jujur kepada rakyat dan tidak mendidik kakitangan kerajaan sebagai penjenayah rasuah kerana ‘busuknya ikan itu selalunya bermula di kepala’.

“Gesaan itu juga pernah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya gejala rasuah perlu dihapuskan bermula daripada kepala-kepala, dan tentunya ia merujuk kepada pimpinan teratas dalam pentadbiran kerajaan Umno-BN,” ujarnya.

75% peserta Melayu petanda tidak baik untuk BN dan Pas, kata penganalisis

BORHAN AHMAD

Peserta perhimpunan malam ini dijangka 75% adalah Melayu.

Penyertaan kira-kira 75% Melayu dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrat malam ini membayangkan kejayaan Bersatu dan AMANAH menarik sokongan.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali dalam ulasannya berkata, peserta Melayu yang ramai dan majoriti (75%) dan ini memberi mesej kurang baik kepada BN dan PAS.

“Kehadiran ramai peserta Melayu menggambarkan Bersatu kini suatu ancaman kepada BN,” katanya.

“Segmen pengundi Melayu adalah merupakan pengundi kritikal bagi pembangkang sejak dua PRU mutakhir,” kata beliau dalam ulasan itu.

Beliau percaya Bersatu dan AMANAH menjadi menyumbang dan faktor kepada kehadiran ramai peserta Melayu.

“Ini jelas sekiranya PPBM dapat mengalihkan sekurang-kurangnya 15% undi teras Umno dalam PRU 12 kepada PH, maka BN bermasalah besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kehadiran yang dijangka 100,000 tidak mencapai sasaran.

“Faktor permulaan cuti sekolah mungkin mempengaruhi kehadiran,” katanya.

Katanya, pengundi Cina walaupun kurang dalam perhimpunan ini, tetapi dipercayai masyarakat Cina sudah membuat pilihan siapakah yang mereka akan undi dalam PRU 14 nanti.

“Bersihkan Malaysia dari Najis Rasuah”

Pakatan Harapan bertekad menjadikan Malaysia di antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030.

Untuk setiap satu ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah satu ringgit peruntukan pembangunan sekolah. Untuk setiap sepuluh ringgit yang dicuri dengan rasuah, maka kuranglah sepuluh ringgit subsidi perubatan hospital kerajaan. Berbilion ringgit telah hilang akibat Najis Rasuah yang diamal pimpinan utama UMNO-BN.

Skandal-skandal mega yang dibongkar sejak Dato’ Sri Najib Razak menjadi Perdana Menteri membuka mata rakyat bahawa Rasuah itu Najis yang mengotori dan menghancurkan badan-badan seperti 1MDB, MARA, FELDA, Tabung Haji, KWAP dan YAPEIM. Negara boleh bankrap kerana Najis rasuah.

Wang lebih RM 20 bilion yang dicuri dalam skandal mega 1MDB sebenarnya boleh membina 460,000 rumah kos rendah, menyediakan pendidikan percuma, atau membina 50 buah hospital baru.

SPRM sekarang melapor terus kepada Perdana Menteri. Mereka hanya berani menangkap dan mendakwa “ikan bilis” - pegawai-pegawai rendah kerajaan atau pimpinan pertengahan kerajaan. “Ikan-ikan jerung” seperti MO1 yang merasuah masih bebas.

Apabila pemimpin atasan mencuri wang rakyat menerusi amalan rasuah dan salah guna kuasa, kita lah yang terpaksa bayar hutang negara dengan cukai GST, kenaikan harga minyak dan potongan subsidi beras, gula dan minyak masak.
Pakatan Harapan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan. Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi RasuahTransparency International menjelang tahun 2030.

Maka selepas menang PRU14, kami akan melaksanakan agenda anti-rasuah seperti berikut:

5 Tindakan dalam 100 Hari Pertama Kerajaan Pakatan Harapan:

1. Menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain;
2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA;
3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah;
4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan
5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

Pakatan Harapan berikrar untuk hapuskan Najis Rasuah demi masa depan negara tercinta.

Dibaca oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan

Pada

14 Oktober 2017
Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...