TERKINI :

Wednesday, October 11, 2017

Awang Adek tak sedarkah kes Annuar libatkan MARA wang rakyat?

oleh Shahbudin Husin

Ketika Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Mara beberapa minggu sebelum ini, terdampar harapan yang melebar di kalangan masyarakat bahawa beliau adalah pilihan yang mampu membawa sinar baru kepada agensi penting bagi pembangunan kaum Bumiputera itu.

Ini kerana beliau dilihat mempunyai latar belakang yang kukuh dan intergriti yang tinggi dengan pernah menjadi Penolong Gabenor di Bank Negara, Timbalan Menteri Kewangan dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Berbanding pendahulunya, Annuar Musa yang terpalit dengan isu penajaan oleh anak syarikat Mara kepada pasukan bolasepak Kelantan di ketika beliau ketika itu mengetuai Mara dan juga Kafa, kehadiran Awang Adek yang selama ini bersih imejnya, tentulah suatu pilihan yang dibuat dengan niat suci lagi murni.
Advertisement

Tambahan lagi, disebabkan kes tersebut jugalah Annuar digantung jawatannya sebagai Pengerusi Mara dan disiasat oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara.

Bagaimanapun, hasil siasatan oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit itu tidak pernah diumumkan sehingga hari ini.

Tidak dipastikan sama ada kesnya itu sudah ditutup, tiada kes penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan yang boleh dibuktikan atau didiamkan begitu saja berikutan kedudukan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO yang sejak kebelakangan ini begitu gigih dan ketagih mempertahan dan mengampu Najib, sambil dalam masa yang sama tiada simpati dan mengenang budi dalam membelasah Tun Mahathir Mohamad.

Tetapi kenyataan terbaru dan pertama oleh Awang Adek berkaitan kes Annuar itu tentu saja meluka dan melumpuhkan harapan seluruh rakyat yang cintakan kebenaran dan mahu melihat undang-undang ditegakkan dengan sewajarnya. Keyakinan terhadap beliau juga musnah dengan sendirinya.

Kata Awang Adek, dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang melibatkan Annuar adalah isu lama yang tidak perlu dibangkitkan lagi.

Kes itu sudah berlalu, usah dikenang lagi, kita pandang ke hadapan.

Cerita ini sudah habis, tak perlu bincang. Kita sebagai Pengerusi baharu, mesti ada modal baharu, bukan modal lama, katanya lagi.

Ehh..ehh…boleh begitu pulak?

Apakah ini bermakna Awang Adek mahu menutup kes Annuar itu?

Apa hasil siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara terhadap Annuar?

Kenapa tidak diumumkan dan apakah kenyataan Awang Adek itu memberi gambaran hasil siasatan terhadap Annuar akan jadi barang simpanan semata-mata?

Tidakkah beliau sedar kes Annuar itu adalah melibatkan anak syarikat Mara yang bermakna ia berkaitan wang rakyat yang harus diurus dengan jujur dan telus?

Agak-agak kiranya Annuar berada di pihak pembangkang sekarang, adakah kesnya akan didiam dan akan dijadikan cerita lama yang tidak mahu dikenang juga?

Bolehkah kes samunan, penyonglapan atau kehilangan wang rakyat dilupakan begitu saja dan jangan dikenang lagi?

Dan kalau siasatan belum lagi lengkap, tidakkah pendirian Awang Adek yang mengatakan kes rasuah Annuar adalah kes lama yang tidak perlu dikenang merupakan sikap curang terhadap amanah ada dibahunya?

Adakah ini yang selalu disebut oleh ustaz-ustaz mengenai ingatan Nabi Muhammad SAW bahawa di akhir zaman nanti mereka yang bergelar pemimpin adalah penyamun-penyamun belaka di mana mereka bukan saja merompak wang rakyat, malah melindungi sesama sendiri perbuatan itu?

Selain beberapa kes samunan sebelum ini yang tidak diketahui apa hasil siasatannya, kenyataan Awang Adek ini adalah satu lagi bukti bahawa tiada apa yang mampu menyelamat dan memulihkan negara ini melainkan UMNO dan BN ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.

Selagi ia menang dan kekal berkuasa, mereka akan saling menutup pekung sesama sendiri.

Kiranya Awang Adek pula ada kes selepas ini, penggantinya juga mungkin akan berkata, itu adalah isu lama yang tidak perlu dikenang lagi. Akhirnya semua penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa tutup kes saja.

Dengan itu dan tanpa ragu-ragu, hanya perubahan kerajaan saja mampu menegakkan keadilan dan menyelamatkan wang rakyat daripada terus lesap. – ShahbudinHusin

5 tuntutan Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi 14 Oktober ini

PETALING JAYA: Sekretariat Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dijangka akan mengemukakan lima tuntutan dalam himpunan rakyat yang akan berlangsung di Padang Timur Petaling Jaya pada Sabtu ini.

Lima tuntutan itu adalah berkaitan untuk mendesak kerajaan;

1. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.
2. Mengembalikan semua aset dan wang rakyat yang telah dirompak.
3. Tangkapa Malaysian Official No 1 (MO1).
4. Bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia daripada sebarang tekanan.
5. Mahu menghapuskan rundingan terus (direct tender) dalam sebarang kontrak kerajaan.

Menurut Pengarah Mobilasi Himpunan Mohamad Sabu, himpunan itu sebagai memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kleptokrasi dan rasuah yang berlaku dalam negara.

“Tuntuan ini lebih ditujukan kepada rakyat, mahu mereka faham tentang isu kleptokrasi dan penyelewengan, rasuah.

“Kini jelas apabila Bank Negara telah mendenda intitusi kewangan sebanyak RM115.8juta terhadap penyelewengan yang berlaku di bawah 1MDB ketika diterajui oleh Pengerusi 1MDB ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

“Pendedahan Bank Negara ini lebih kuat untuk rakyat Malaysia faham selain kenyataan daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ). Malah pendedahan Bank Negara menjawab surat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menambahkan lagi penjelasan kepada rakyat memang benar berlaku rompakan wang Bank Negara.

“Himpunan lebih didedahkan kepada kesedaran rakyat bukan sahaja nak tuju kepada kerajaan tetapi dedahkan perkara ini kepada rakyat kerana mahu rakyat faham apa yang sedang berlaku,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya petang semalam, lapor Malaysia Dateline.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya AMANAH Dr Hatta Ramli, Ketua DAPsy Perak Howard Lee, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Abu Bakar Yahya dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Kata Mohamad yang juga Presiden AMANAH lagi, walaupun diantara yang dituntut ini walaupun tidak akan berjaya diambil perhatian oleh kerajaan, tetapi ujarnya, jika Pakatan Harapan mendapat kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, lima tuntutan ini akan dilaksanakan oleh kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan kelak.

Dimaklumkan juga setakat hari ini mobilasi himpunan yang akan diadakan Sabtu ini sudah dimaklumkan kepada pihak polis dari segi kelancaran perhimpunan untuk mengawal lalu lintas ke Padang Timur di mana himpunan berlangsung kelak.

“Dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012 mana-mana pihak yang hendak berhimpun perlu maklumkan kepada pihak polis 10 hari lebihawal. Kita sudah maklumkan dan telah mendapat kebenaran dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

‘Himpunan aman meraikan semua rakyat yang hadir dan diharap ia berjalan lancar.

“Program tumpuan kepada hal kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan khasnya 1MDB yang turut disertai NGO yang bersetuju hadir yang mana himpunan ini dalam suasana santai.

“Hadirin boleh bergerak santai di sekitar kawasan himpunan, kita ada pelbagai aktiviti, solat hajat, ceramah disamping melihat pameran mengenai 1MDB dan kleptokrasi.

“Setakat ini tinjauan kami kehadiran seperti dirancangkan mencapai sasaran 100,000 walaupun pada hari itu ada dua acara iaitu Hari Sukan Negara dan pada sebelah malamnya perlawanan bola sepak antara Liverpool dan Manchester, ujarnya.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi ini akan bermula jam 4 petang hingga 12 malam pada 14 Oktober ini.

NEGARA INI BUKAN UMNO YANG PUNYA

Satu keburukan paling nyata kepada rakyat jelata yang disebabkan UMNO tidak pernah kalah sejak pilihanraya pertama pada 1955 ialah parti itu dan pemimpinnya merasakan negara ini adalah kepunyaan mereka.

Ketika sedang memegang kuasa, tidak saja segala-galanya seperti masjid, sekolah, harta kerajaan, wang rakyat dan sebagainya umpama hak mereka, semasa pilihanraya pula akan selalu terdengar gambaran seolah-olah mengalahkan UMNO adalah sama dengan menumbangkan kerajaan.

Keadaan itu sebenarnya tidak baik kepada rakyat. UMNO hanyalah parti yang diberi kuasa mentadbir kerajaan secara sementara, tetapi yang berkuasa selama-lamanya adalah rakyat dan pengundi.

Setiap lima tahun apabila pilihanraya diadakan,  rakyat mesti memilih semula kerajaan baru untuk lima tahun berikutnya dan begitulah seterusnya. Ini bermakna tuan sebenar adalah rakyat dan parti-parti yang bertanding, termasuk UMNO, perlu mendapat mandat baru dalam pilihanraya yang diadakan itu.

Jika parti yang menguasai kerajaan itu memuaskan hati dan menjaga kebajikan rakyat, kemungkinan ia dipilih semula adalah tinggi. Sebaliknya, kalau khianat dan tidak amanah kepada kuasa yang dipegang itu, rakyat biasanya akan memilih parti lain sebagai pengganti.

Tidak dinafikan UMNO ketika dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn atau Tun Mahathir, ada jasa-jasa tertentu yang mereka lakukan yang menyebabkan mereka sentiasa dikenang, selain keutamaannya ialah menjaga kepentingan rakyat. Hak rakyat sentiasa dipelihara sambil negara dibangunkan berdasarkan era serta kemampuan masing-masing.

Itulah antara sebab dan penyumbang kekalnya UMNO tanpa henti-henti berkuasa sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi, UMNO ketika era Najib Razak ini sudah terlalu jauh berbeza. Selain hak rakyat tidak dijaga, berlakunya begitu banyak skandal sehingga menjadi sebutan dan siasatan di pelbagai negara telah menjadikan UMNO tidak layak lagi untuk terus diberikan kuasa dalam negara ini. Negara yang dulu harum sudah jadi busuk disebabkan oleh Najib.

Di pelbagai negara lain, pemimpin seperti Najib ini sudah lama "ditendang"  daripada puncak kuasa. Beberapa negara jiran kita dan negara-negara Arab misalnya, mereka lebih dulu tidak rela mempunyai pemimpin yang penuh skandal, banyak membazir dan ghairah kepada kemewahan atas nama kuasa yang rakyat berikan.

Tetapi, oleh kerana UMNO mempunyai sejarah kuasa yang agak panjang dan dengannya merasakan negara ini mereka yang punya, bukan saja pemimpin yang penuh skandal itu tidak sedar diri, para penyokong dan pengikutnya juga sama begitu.

Mereka kini mempertahankan UMNO untuk terus berkuasa bukan lagi untuk menjaga kebajikan atau kepentingan rakyat, sebaliknya lebih untuk mengelakkan pemimpinnya daripada diadili dan didakwa atas kecurangan besar yang dilakukannya itu.

Selepas kekal berkuasa, tidak mustahil kecurangan yang lebih besar akan terus berlaku dan berlaku lagi tanpa titik noktahnya.

Setelah beberapa kali pilihanraya umum diadakan, PRU 14 akan datang adalah satu-satunya peluang terbaik untuk rakyat menukar kerajaan dan seterusnya menyedarkan UMNO bahawa negara ini bukan mereka yang punya.

Selain kerana alternatifnya iaitu Pakatan Harapan sedang berada di landasan yang betul dan dipimpin oleh Tun Mahathir yang pernah memberi kebahagian dan dan kesejahteraan selama 22 tahun kepada kita sebelum ini, kelebihan kepada perubahan juga disebabkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekarang mempunyai reputasi dan imej paling buruk dalam sejarahnya.

Gagal menukar parti yang menguasai kerajaan dalam pilihanraya akan datang samalah seperti mengekalkan bala bencana yang sudah sedia ada.

Negara akan menjadi lebih baik dan rakyat turut menerima lebih manfaat jika perubahan kerajaan dan parti yang memegang kuasa mudah bertukar ganti. Parti yang terlalu lama memerintah dan sukar bertukar ganti biasanya hanya menggalakkan gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan samunan terhadap harta rakyat semata-mata.

Parti yang mudah bertukar ganti untuk menguasai kerajaan akan menyebabkan masing-masing berlumba untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. Pemimpinnya pula lebih takut untuk melakukan kesalahan kerana bimbang ia akan dibongkar dan diadili oleh pihak yang berkuasa selepasnya.

Malaysia, didorong oleh gejala buruk dan kecurangan besar yang dilakukan oleh UMNO ketika ini, sudah sampai waktunya kita harus berani melangkah ke arah perubahan. Bukan UMNO tidak ada jasanya, tetapi kesalahan dan pelbagai gejala buruk di era Najib ini jauh lebih besar dan tidak boleh dibiarkan lagi, berbanding jasa masa lalunya.

Dengan parti boleh bertukar ganti, tidak saja UMNO akan sedar bahawa  negara ini bukan mereka yang punya, malah akan menyebabkan bermulanya era berlumba-lumba di kalangan parti-parti yang bertanding untuk menawarkan yang terbaik kepada rakyat.

Jika selepas berkuasa, Pakatan Harapan tidak menjadi sebaik yang dijanjikan, ia boleh dan lebih mudah dikalahkan dalam pilihanraya berikutnya. Kalau UMNO ketika itu sudah insaf dan dibarisi pemimpin-pemimpin yang boleh diharapkan, kuasa boleh dikembalikan semula kepadanya.

Yang penting, keadaan itu dapat mengukuhkan lagi keyakinan rakyat betapa Malaysia ini milik mereka dan siapa yang mahu diberi kuasa untuk menguruskannya juga adalah kebebasan mereka menentukannya.

Langkah Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik akan bermula sebaik UMNO dan Najib dikalahkan terlebih dahulu.

Rakyat Bangkit
*gambar sekadar ilustrasi sahaja





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...