TERKINI :

Tuesday, October 10, 2017

Raja-Raja Melayu bimbang isu hubungan kaum

Farhana Joni

10 Oktober 2017 / Utusan

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Raja-Raja Melayu memandang berat terhadap isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama serta kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sejak kebelakangan ini, tindakan beberapa individu tertentu yang bersifat keterlaluan dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

Menurut beliau, Raja-Raja Melayu berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu dilakukan menggunakan nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang keterlaluan dan memisahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Danial, Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kes dobi untuk Muslim sahaja di Johor serta pendirian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes serupa di Perlis.

Jelas beliau, pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan mengenai pentingnya umat Islam di negara ini mengamalkan sikap toleransi, sederhana dan inklusif.

Katanya, pada masanya, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum serta agama.

“Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970 telah menggariskan lima cita-cita dan prinsip yang haru menjadi kompas kepada semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia,” katanya.

Aduan SPRM terhadap Najib beri RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM – Khairuddin Hassan

Saya sedang berada di Kompleks Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12 tengahari untuk buat satu laporan ke atas Najib Tun Razak yang cuba menyogok ‘Yayasan Prihatin SPRM’ berhubung peruntukan segera RM5 juta.

Kenyataan Najib Tun Razak ini telah dibuat pada 1 oktober 2017 ketika beliau merasmikan majlis ulang tahun BPR/SPRM ke-50 tahun serta perasmian kompleks ibu pejabat baru SPRM di Putrajaya.

SPRM adalah sebuah badan yang bebas di dalam memikul tanggungjawab memerangi rasuah di negara kita tidak boleh menerima ‘monetary reward’ dari mana-mana sumber kerana SPRM adalah sebuah badan yang sepatutnya bebas sama sekali dari amalan ini.

SPRM harus menolak tawaran peruntukan ini untuk menunjukkan mutu integriti yang tinggi pada kacamata keseluruhan rakyat Malaysia.

Badan SPRM harus benar-benar bersih dari menerima sebarang bentuk sumbangan kewangan samada dari pihak kerajaan ataupun orang awam.

Namun, ianya tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dana tambahan yang diterima dari pihak kerajaan itu adalah melalui peruntukan yang termaktub dalam ‘budget’ tahun 2018.

Tindakan Najib Tun Razak ini akan meninggalkan pelbagai persepsi negatif di kalangan keseluruhan rakyat malaysia khususnya bila yayasan prihatin SPRM menerima tawaran peruntukan segera itu!

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
3 September 2017

Melangkah ke himpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ – Tarmizi Mohd Jam

KENYATAAN MEDIA

Perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” pada 14 Oktober 2017 tidak lama lagi akan menjadi lebih mendesak dan perlu untuk rakyat tahu betapa pentingnya menukar Kerajaan BN yang ada kepada Pakatan Harapan dalam PRU14.

2. Dengan pendedahan terbaharu oleh Bank Negara (BNM) yang telah mendenda syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan, maka makin terserlah bahawa telah berlaku penyelewengan besar-besaran dalam 1MDB yang cuba dinafikan dengan pelbagai kenyataan putar belit memperdaya rakyat.

3. Pakatan Harapan telah mendedahkan sepucuk surat daripada BNM yang menyatakan 1MDB telah didenda sejumlah RM115.8 juta kerana tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Ini bermakna banyak undang-undang telah dicabuli oleh syarikat kontroversi ini.

4. Oleh itu, Himpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan pada 14 Oktober ini cukup penting untuk parti-parti gabungan memberikan penerangan yang jelas dan menuntut supaya rakyat di negara ini melakukan perubahan nekad pada pilihan raya tidak lama lagi.

5. Terang sekali pencabulan undang-undang ini dibuat mengikut arahan “seseorang” kerana 1MDB bukan sejenis makhluk yang boleh bertindak sendiri. Dan akhirnya dunia mengecam Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi.

6. Himpunan yang mensasarkan 100,000 peserta ini akan diadakan di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor bermula jam 4.00 petang. Seluruh pemimpin Pakatan Harapan akan bersama-sama menjayakan himpunan aman ini.

7. Orang ramai, ahli-ahli parti dan penyokong Pakatan Harapan khususnya di Wilayah Persekutuan dinasihatkan mematuhi segala arahan pihak penganjur dan sentiasa menjaga tatatertib sepanjang berlangsungnya perhimpunan bagi mengelakan parkara-perkara yang tidak diingini.

Amanah. Progresif. Peduli.

TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengerusi & Pengarah Komunikasi
AMANAH Wilayah Persekutuan
3 Oktober 2017

Presiden Pas sendiri tidak berani pertahan amanatnya, isu RCI Memali tidak berbunyi lagi

AMPANG: Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa menyifatkan pemimpin tertinggi Pas tidak berani secara terbuka mempertahankan kenyataan mereka sebelum ini yang cenderung mengkafirkan orang di luar parti tersebut.

Menurutnya, gejala takfiri termasuk menghalalkan darah bagi sesiapa yang keluar dari Pas hanya doktrin politik yang boleh ditewaskan kerana bersifat lebih mahu mengekalkan sokongan kepada parti itu.

“Penggunaan agama terhadap penentang Pas akan ketinggalan zaman dalam masa terdekat. Jika pilihan raya kali ini Pas bersendirian dan Pas kalah teruk tetapi AMANAH, InsyaAllah berjaya, saya kira politik berasaskan doktrin cara ini akan pupus.

“Doktrin ini hanya untuk mengekalkan orang Pas untuk (terus) menyokong Pas. Dia tidak boleh mengembangkan pengaruh untuk orang di luar Pas untuk menyokong Pas,” tegasnya dalam slot Bicara Telus Bersama Pimpinan Pakatan Harapan di Ampang, malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, pengalamannya di Kelantan juga belum lagi berdepan serangan bersifat takfiri secara bersemuka.

“Kalau di Kelantan saya sendiri tidak pernah bertemu dengan masalah ini walaupun mungkin di surau-surau kecil bila orang AMANAH tiada, ustaz-ustaz ini berceramah (mengkafirkan orang lain).

“Tetapi sampai hari ini, bila kita mengajak mana-mana pemimpin Pas (dari) majlis syura, dewan ulamak berdialog atas tajuk ini, tiada siapa sanggup,” ujarnya sebagai salah seorang panel bicara telus anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan itu.

Jelasnya, Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang juga tidak tampil secara terbuka mempertahankan kenyataannya dalam ceramah umum di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang kemudian dipanggil sebagai Amanat Haji Hadi.

“Bahkan Presiden Pas, Ustaz Hadi sendiri sudah tidak lagi berani mempertahankan Amanat Haji Hadi. Beliau menulis banyak perkara sebelum dan selepas uzur tetapi beliau tidak mempertahankan isu Amanat Haji Hadi.

“Kemudian, apabila isu Memali dibangkitkan, orang Pas pada mulanya sangat bersemangat untuk RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) isu Memali tetapi bila saya bangkitkan di Perak jika RCI ini ditubuhkan Haji Hadi mestilah mempertahankan amanatnya, hari ini RCI (Memali) sudah tidak kedengaran lagi,” katanya.

Padahal, jelasnya, Amanat Haji Hadi dilihat mempengaruhi sikap dan tindakan Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud memandangkan amanat itu tertampal di surau individu yang lebih dikenali dengan Ibrahim Libya berkenaan.

“Saya tidak dengar mana-mana pihak daripada Pas membangkitkan isu (RCI Memali) ini lagi. Kemudian apabila Che Det (Tun Mahathir) menulis tentang beberapa isu yang sama untuk dijawab oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – adakah orang lain daripada Pas itu kafir, orang yang berjuang di luar parti Islam itu tidak Islam?

“Sampai hari ini Datuk Tuan (Ibrahim) tidak respon kepada kenyataan itu bermakna Pas sudah tidak berani berdepan dengan tajuk ini.

“Mungkin di kampung, pedalaman surau adanya ungkapan seperti ini (gejala takfiri) tetapi secara terbuka, pemimpin Pas tidak berani,” katanya dalam program Malam Menjunjung Amanah Rakyat itu.

Lanjut mengulas impak doktrin politik Pas yang mengkafirkan orang lain pada slot dimoderatorkan Ariffin Hassan itu, Husam berkata, pendekatan tersebut tidak menjamin kemenangan Pas dalam pilihan raya sebelum ini.

“Kalau itu kekuatan Pas, lama sudah Pas menang. Di mana saja Pas guna isu ini, paling kuat di Besut, adanya masjid dua imam, kubur berasingan, dan di Marang sendiri.

“Tapi Besut secara umumnya Pas tidak boleh menang. Pengaruh politik Pas tidak boleh berkembang dengan doktrin ini dan dengan cara itu lama-kelamaan, IsyaAllah doktrin itu akan pupus.

“Cara selesaikan? Pas akan selesaikan sendiri,” tambahnya lagi.

Pemuda AMANAH Kedah dakwa kerajaan negeri berbohong kepada rakyat untuk pertahan kuasa

October 10, 2017

ALOR SETAR: Ketakutan yang teramat sangat oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah memaksa mereka untuk melakukan pelbagai provokasi bagi mengaburi mata rakyat.

Hasutan demi hasutan begitu giat dilakukan oleh mereka dalam situasi yang amat terdesak.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir, masa yang sedia ada telah digunakan semaksima mungkin oleh ‘cybertrooper’ Umno.

Lebih mengecewakan katanya, pimpinan tertinggi Exco Kerajaan Negeri Kedah turut menjadikan platform kerajaan atau agensi sebagai pentas untuk menipu daya rakyat.

Malah katanya yang terbaru di Langkawi, apabila Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mendakwa Pakatan Harapan (PH) bakal memansuhkan bantuan kepada rakyat sekiranya memerintah kelak.

“Dakwaan ini merupakan muslihat dan tipu daya kerajaan negeri untuk mempertahankan kuasa mereka yang semakin singkat.

“Lebih malang apabila ia dihasut oleh Exco Agama Negeri di hadapan peserta Amanah Ikhtiar yang terdiri daripada golongan usahawan wanita.

“Seharusnya beliau sedar bahawa PH tidaklah senaif yang didakwa,”jelasnya lagi.

Abdullah yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Sungai Petani turut berkata, dalam ceramah mahupun forum serta diskusi jawatankuasa tawaran peringkat negeri Kedah, PH amat rasional dan realistik dalam membela hak serta membantu rakyat.

Katanya lagi, semua ini jelas dan berada dalam pengetahuan umum termasuklah anak muda yang lebih mahir di alam sesawang dan maya.

“Tidak pernah ada satu pun kenyataan dari PH sebelum ini akan memansuhkan apa jua bantuan modal kepada usahawan sepertimana tipu daya Umno dan BN tersebut.

“PH akan bersungguh-sungguh bagi mengembalikan hak termasuklah subsidi yang telah dimansuhkan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Najib.

“Selain itu, anak muda amat yakin dan percaya akan segala usaha yang dirangka oleh PH bagi memansuhkan cukai yang membebankan rakyat seperti GST, ” tegasnya.

Beliau juga berkata, pemansuhan cukai ini tidak mampu dilakukan oleh Umno dan BN, sebaliknya ia akan dinaikkan lagi sekiranya mereka berjaya menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya lagi, negara ini mampu dipulihkan dengan kaedah penjimatan yang rasional seperti direncanakan oleh PH.

“Mengekang rasuah dan tabiat pemberian projek kepada kroni serta budaya ‘makan atas angin’ dapat menjimatkan jutaan wang rakyat.

“Tatkala itu, bukan sahaja bantuan modal dapat diteruskan, malah skim-skim pembangunan fasa kedua usahawan dan biasiswa kepada pelajar dapat dicambahkan demi memajukan kehidupan warga intelek.

“Rakyat akan menikmati bantuan ‘one-off’ melalui pelbagai program sepertimana yang sedang dipraktikkan di Selangor dan Pulau Pinang, ” tambahnya lagi.

Rentetan itu katanya, anak muda mesti berani untuk membuat perubahan dan bangkit untuk menolak pimpinan Umno dan BN yang dapat diumpamakan bagai kerusi-kerusi usang yang semakin mereput dan dimakan anai-anai.

Tegasnya lagi, keberanian yang bakal dibuat oleh rakyat khususnya di negeri Kedah menjelang pilihan raya yang akan datang mampu membawa perubahan yang besar kepada nasib rakyat negeri ini yang tidak dibela dan dipedulikan kerajaan Umno dan BN secara serius.

PAS ada strategi baru menang 3 penjuru

PAS ada strategi baru menang 3 penjuru

PAS sudah ada strategi untuk memenangi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang terutamanya bagi kerusi campuran yang akan ditandingi oleh calon bukan Melayu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, PAS berharap akan mendapat sokongan pengundi Melayu di kerusi yang mempunyai lebih 40% pengundi Melayu tetapi ditandingi oleh calon bukan Melayu daripada BN dan PH.

"PAS yakin, dengan sokongan akar umbi, jentera dan sentimen anti Cina khasnya DAP yang dimainkan oleh mereka sekarang, kawasan sebegini akan dimenangi oleh calon PAS dalam PRU akan datang," kata satu sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber itu menambah, sekurang-kurangnya tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai banyak kerusi yang memenuhi ciri-ciri itu, berdasarkan komposisi pengundi mengikut kaum dan calon pada PRU13 yang lalu.

Jika strategi PAS ini berjaya, PKR bakal hilang banyak kerusi kerana kebanyakan kerusi yang disasarkan oleh PAS itu sebelum ini dimenangi oleh calon bukan Melayu PKR.

"Mungkin menyedari hakikat inilah, PKR masih berusaha sehingga kini untuk berbaik-baik dengan PAS," kata sumber itu.

Di Selangor, kerusi-kerusi itu termasuk kawasan Parlimen Selayang yang ada 45% pengundi Melayu, Petaling Jaya Selatan (40%), Subang (48%) dan Kapar (51%) serta kerusi Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan (39%), Sungai Pelek (45%) dan Sri Andalas (39%).

Empat kerusi Parlimen itu semuanya dimenangi oleh calon bukan Melayu daripada PKR manakala kerusi-kerusi DUN itu pula dimenangi dua oleh DAP dan satu oleh PKR.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, kerusi-kerusinya adalah Batu (44%) dan Wangsa Maju (53%). Pada PRU13, kedua-dua kerusi itu dimenangi oleh PKR.

Di Perak, kerusi yang memenuhi ciri-ciri yang dikaji oleh PAS adalah Parlimen Gopeng (43%) dan DUN Kuala Sepetang (63% Melayu). Kedua-dua kerusi ini juga dimenangi oleh calon bukan Melayu daripada PKR.

Pada PRU13, badan pembela hak Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi calon bukan Melayu menggunakan tiket Berjasa, antaranya di Parlimen Selayang, Batu dan Kuala Sepetang.

Isma bukan saja kalah teruk malah hilang wang pertaruhan kerana tidak mempunyai sokongan akar umbi serta tidak ada jentera.

Menurut sumber, PAS sebaliknya ada apa yang Isma tidak ada.

Pada 1999, PAS melaksanakan strategi ini di kawasan DUN Bandar di Kuala Terengganu dengan meminta rakannya dalam Barisan Alternatif (BA) ketika itu, DAP agar turut bertanding melawan calon BN dari MCA.

Hasilnya calon PAS, Harun Jusoh menang mengalahkan calon MCA dan DAP dalam pilihan raya itu.

PAS juga dikatakan sudah mula menggerakkan bakal calonnya untuk bergiat aktif memperkenalkan diri di kawasan-kawasan berkenaan.

Di Selayang, exco kerajaan negeri Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Talib disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon parti Islam itu pada PRU14 nanti.

Beliau merupakan penyandang kerusi DUN Taman Templar, yang terletak dalam kawasan Parlimen Selayang, yang dimenangi dengan majoriti 7,467 dalam PRU13.

Kempennya kini dikatakan tidak hanya terhad di kawasan DUN Taman Templar tetapi juga kelihatan di kawasan DUN Rawang dan DUN Kuang, dua lagi kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Selayang.

Dalam pilihan raya lalu, calon PKR, William Leong Jee Keen menang dengan majoriti 17,864 apabila mendapat 52,287 undi berbanding calon BN dari MCA Lim Siang Chai (34,441) dan calon Berjasa Mohd Hazizi Bin Ab. Rahman (4,152).

PAS juga dikatakan bakal meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamad Yusof bertanding di kawasan Parlimen Batu pada PRU14.

Kerusi ini dulunya dimenangi oleh Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama sebulan sejak akhir bulan lalu.

Pada PRU13, Chua menang dengan majoriti 13,284 apabila mendapat 41,672 undi mengalahkan calon BN daripada Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai (28,388) dan calon Berjasa, Hashim Abdul Karim (949), serta dua calon Bebas, Nazariah Abbas (209) dan Atan Jasin (164).

Di Perak, kerusi yang menjadi sasaran dan mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki oleh PAS adalah Parlimen Gopeng dan DUN Kuala Sepetang.

Di Parlimen Gopeng, calon PKR, Dr Lee Boon Chye menang dengan majoriti 15,309 mengalahkan calon BN daripada MCA, Tan Chin Meng.

Calon PKR Chua Yee Ling menang di Kuala Sepetang mengalahkan calon BN daripada MCA dengan majoriti 758 undi.

Calon Berjasa, Zainal Abidin Bin Abd Rahman hanya mendapat 430 undi. – 10 Oktober, 2017.

80% sekolah tahfiz di Kedah tiada aspek keselamatan


Bernama| October 10, 2017

Bomba berkata 80% daripada 62 sekolah tahfiz yang beroperasi di Kedah tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan.

tahfiz_bomba_600
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti sekurang-kurangnya 80% daripada 62 sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Zaidi Maat berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan keselamatan di 31 sekolah tahfiz sejak awal bulan lalu.

“Pemeriksaan mendapati ada antara sekolah ini yang tidak mempunyai alat pemadam api, tiada sistem gelung hos, tiada tangga ke-2 sekiranya berlaku kecemasan dan susunan katil di asrama yang tidak mengikut jarak yang ditetapkan.

“Baki 31 sekolah tahfiz lagi akan diperiksa dalam masa terdekat dan sekolah yang tidak mematuhi aspek keselamatan juga diberi teguran secara bertulis daripada pihak bomba,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pertandingan Bomba di Dapur hari ini.

Katanya sebanyak 147 sekolah tahfiz, pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) berdaftar di bawah JBPM negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 118 premis diperiksa sehingga Julai lalu.

Mohd Zaidi berkata hasil pemeriksaan itu juga membawa kepada penemuan punca kegagalan pihak sekolah menyediakan alat pemadam api dan tangga ke-2 antaranya kerana kekurangan dana.

“Kekurangan dana merupakan antara punca pihak sekolah gagal menyediakan peralatan keselamatan yang mencukupi, jadi saya harap pihak korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah ini.

“Aspek keselamatan ini perlu diambil berat kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru tahfiz berulang lagi,” katanya.

Katanya, demonstrasi dan ceramah berkaitan aspek keselamatan juga sentiasa dijalankan untuk pelajar dan pihak pentadbiran sekolah supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di premis mereka.

Sementara itu, beliau berkata daripada 147 premis sekolah tahfiz, pondok dan SAR yang berdaftar di bawah JBPM negeri, sebanyak 90 sekolah didaftarkan di bawah skuad bomba tahfiz bagi membantu mengurangkan insiden kebakaran membabitkan bangunan institusi pendidikan agama di negeri ini.

Bayangkan apa jadi kalau DAP berucap di kongres Parti Komunis China

SELASA, 10 OKT: Baru-baru ini media melaporkan Parti Komunis China (CPC) memilih UMNO untuk menghantar wakil bagi berucap dalam kongresnya 18 Oktober depan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ia merupakan kelangsungan hubungan kedua-dua parti pemerintah untuk saling bertukar-tukar pandangan.

Namun, cuba bayangkan apa yang bakal berlaku sekiranya DAP atau wakil kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang atau Selangor diberi penghormatan berbuat demikian soal Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.

Beliau berkata, sudah pastinya DAP akan diserang habis-habisan kononnya menjadi tali-barut komunis China sebagaimana yang sering dimomokkan selama ini oleh jentera propaganda parti lawan itu.

“Cuba bayangkan jika parti komunis itu menjemput Lim Kit Siang berucap dalam kongres nasional mereka, sudah tentu media pro-BN akan memainkan propaganda jahat menyerang DAP pagi, petang, siang malam,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Adun Mentakab itu berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN) akan menggunakan apa sahaja muslihat jika memberi faedah kepada parti itu.

“Tapi jika perkara sama dilakukan oleh pihak pembangkang, sudah tentu pembangkang akan dicemuh dengan kata-kata nista, tidak bermaruah dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Tengku Zul memandang sinis propaganda UMNO selama ini yang tidak habis-habis menyebar fitnah mengaitkan DAP sebagai parti komunis, cauvinis, anti-Melayu dan Islam.

Ini termasuk kempen fitnah jahat melalui pengedaran carta ‘Keluarga Komunis Malaya’ yang mengaitkan beberapa pemimpin DAP dengan pengasas Parti Komunis Malaya.

Carta fitnah yang mula tersebar dipercayai sejak tahun 2016 itu menunjukkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng; bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, dan Kit Siang sebagai sepupu dan kononnya mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin DAP lain seperti Teresa Kok, Ngeh Koo Ham, Nga Kor Ming, Anthony Loke, Tony Pua dan Lim Guan Eng.

“Tapi hari ini UMNO sendiri berbangga bila dijemput berucap di kongres Parti Komunis China,” sindir Tengku Zul. – Roketkini.com

Kuarters guru terbiar di Sungai Petani bukti menteri Umno tidak peduli


 MOHD ALI HASHIM

Ketidakpedulian kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan, sehingga mengakibatkan kuarters guru di Taman Semarak, Sungai Petani, terbiar adalah sikap tidak bertanggungjawab sebuah kerajaan yang memerintah.

Seratus unit kuarters guru yang terbiar tersebut turut dipenuhi dengan tumbuhan liar yang menjalar sehingga menyakitkan mata memandang.

Projek yang gagal ini menyebabkan wang yang telah dikeluarkan bagi pembinaan kuarters-kuarters tersebut tidak langsung dapat dimanfaatkan sehingga kini.


Asmirul Anuar Aris

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, kegagalan ini membuktikan menteri terlibat yang kini adalah juga orang Kedah gagal menguruskan negeri Kedah dengan baik.

“Menteri terlibat serta exco pendidikan negeri sepatutnya prihatin dan mengambil peduli mengenai kuarters guru yang terbiar setelah beberapa kali ia dibangkitkan dalam sidang Dun dan juga Parlimen.

“Secara jelas ia membuktikan kerajaan Umno dan BN gagal menyelesaikan kemelut penempatan staf pendidikan sehinggkan 100 unit kediaman tersebut kini menjadi sarang penagihan dadah.

“Lebih parah lagi, apabila ia menjadi lokasi maksiat yang dikhuatiri menjejaskan keselamatan penduduk setempat,” katanya.

Asmirul juga berkata, kuarters yang cukup menyakitkan mata memandang ini turut menjadi tempat lepak pelajar yang ponteng sekolah dan pembiakan binatang berbisa.

Malah ujarnya lagi, sebelum ini penduduk kawasan sekitar serta beberapa pertubuan bukan kerajaan telah pun membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun begitu tiada apa-apa tindakan diambil.

Tegasnya lagi, seharusnya Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sedar kedudukan perkara sebenar kerana beliau juga adalah orang Kedah.

“Sekiranya kerajaan peduli masalah rakyat, mereka boleh mengubah suai dan membangunkan semula kuarters-kuarters tersebut untuk didiami oleh penduduk Kedah yang memerlukan kediaman.

“Kuarters ini seeloknya disewakan atau dijual kepada penduduk tempatan khususnya golongan muda yang baru mempunyai keluarga mahupun kepada mereka yang tidak mempunyai rumah.

“Namun begitu apabila kerajaan yang memerintah seperti Umno dan BN tidak menyedari keperluan rakyat yang begitu mendesak, akhirnya mereka tulikan dan pekakkan telinga mereka,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Mahdzir seharusnya lebih bijak untuk menangani masalah ini dengan segera tanpa membiarkan kuarters ini terbiar tanpa dipedulikan dalam jangkamasa yang begitu lama.

Tambahnya lagi jika mandat terus diberikan kepada Umno dan BN untuk menjadi kerajaan sekali lagi dalam pilihan raya umum yang akan datang, banyak lagi kerosakan yang akan mereka lakukan seperti yang jelas terpampang di hadapan mata tatkala ini.

Oleh kerana itu jelasnya, rakyat negeri Kedah khususnya harus berani untuk membuat perubahan dengan menolak Umno dan BN serta mana-mana parti yang sekutu dengannya dari terus berkuasa dalam menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

AMANAH pertahan politik Nik Aziz tolak prejudis perkauman

Sebagai wadah penerus perjuangan Islam, AMANAH akan mempertahankan legasi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang keras sebarang prejudis berasaskan perkauman.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berkata semua orang selalu mendengar ungkapan almarhum yang berkata semua manusia ialah anak cucu Adam.

“Bangsa-bangsa dan puak-puak seperti diajar al-Quran hanya untuk kita kenal-mengenal dan yang terbaik adalah atas ukuran taqwa,” katanya di majlis Asyura bersama Datuk Husam di Wakaf Mek Zainab Kota Bharu kelmarin.

Menurut Husam, di bawah pentadbiran almarhum, pertimbangan politik perkauman ditolak sama sekali.

“Dalam mentadbir negeri, seluruh rakyat dilihat sama rata tanpa mengira kaum.

“Jawatan politik dari peringkat penghulu kampung hingga pegawai-pegawai di pejabat Menteri Besar, semua diberi peluang tanpa mengira kaum,” katanya.

Sebagai pemimpin utama parti pula katanya, dasar terhadap isu perkauman amat jelas dimana tiada prejudis sama sekali berasaskan perkauman.

“Dalam parti, penyertaan bukan Islam begitu jelas bersemangat kerana pendangan dan sumbangan mereka dihargai.

“Di luar parti pula jelas semua orang melihat kita boleh dijadikan sahabat dan begitu mesra untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi hala tuju perjuangan,” katanya.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana AMANAH kini muncul sebagai parti penerus untuk menjadikan Islam tanpa prejudis perkauman.

“Parti saya dulu (Pas) telah kembali mengekori Umno menggunakan sentimen perkauman untuk tujuan politik.

“Dulu kita tuduh Umno guna perkauman, sekarang bekas parti saya itu pula begitu kuat menjadi jaguh menimbulkan prejudis perkauman,” katanya.

Beliau yakin akan membuat penilaian tepat untuk membezakan AMANAH dengan Pas.

“Prejudis perkauman inilah yang membezakan AMANAH dan Pas,” katanya.

Husam dalam ucapannya turut mengimbau kembali sejarah tuan rumah tempat majlis itu diadakan.

“Arwah tuan rumah ini, Nik Li adalah ketua petugas pejabat Pas ngeri Kelantan semasa saya mula menyertai parti itu.

“Hanya beliau yang ada kunci pejabat itu dan bila kami mahu gunakan pada waktu malam untuk mensyuarat atau tamrin sayalah akan datang ke rumah ini ambil kunci,” katanya.

Beliau meminta hadirin menghadiahkan al-fatihah kepada semua pejuang yang ikhlas berjuang bersama dahulu yang telah pulang ke rahmatullah.

Peruntukan RM30 juta naik taraf pusat tahfiz bukan bayar gaji guru, kata Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan peruntukan RM30 juta untuk pusat tahfiz di seluruh negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaik taraf infrastruktur dan bukannya bagi membayar gaji kakitangan.

Ini kerana, kata Timbalan Perdana Menteri, 80 peratus daripada dana RM30 juta disediakan di bawah Bajet 2017 untuk penyelarasan pendidikan tahfiz digunakan untuk membayar gaji kakitangan pusat betrkenaan.

“Apa yang digunakan lebih 80 peratus digunakan untuk membayar gaji sedangkan matlamatnya adalah untuk menaik taraf,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di di sini hari ini.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf maahad tahfiz swasta susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur, yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar, 14 September lalu.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan peruntukan tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan menaik taraf infrastuktur dan kemudahan maahad tahfiz.

“Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini telah menyerahkan peruntukan tersebut kepada saya untuk menaik taraf maahad tahfiz,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kebakaran Pondok Pak Ya pada 1989, telah berlaku lebih 100 kejadian kebakaran sekolah tahfiz melibatkan 57 kematian, namun masih ada pihak yang berkompromi mengenai isu keselamatan.

Pada pembentangan Bajet 2017 tahun lepas,Najib mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi membolehkan persekitaran pembelajaran di sekolah tahfiz adalah lebih selamat dan kondusif.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...