TERKINI :

Monday, October 9, 2017

Meletakkan masa depan negara di tangan mereka yang tidak peduli



oleh Izmil Amri

https://geospatialmedia.s3.amazonaws.com/wp-content/uploads/2017/08/malaysia.jpg
Pembentangan Merdeka Center tempoh hari tentang angka bilangan anak muda yang tidak sedikit pun peduli untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, sebenarnya tidak begitu memeranjatkan.

Anak muda Malaysia sememangnya sudah biasa membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka. Dimanja dan dibesarkan dengan teknologi di tangan dan makanan disuap ke mulut, kita tidak perlu hairan.

Kita sepatutnya sedar bahawa kitalah yang telah meletakkan masa depan negara di tangan generasi yang tidak peduli.

Terbaru muncul beberapa pihak yang mengajukan usaha supaya tidak keluar mengundi pada pilihanraya umum akan datang. Dan kalau pun keluar mengundi, harusnya dirosakkan sahaja undi itu sebagai tanda protes.

Kata mereka undi nan satu itu tidak akan merubah apa-apa. Malah undi yang demikian banyak sehingga gabungan Pakatan Rakyat meraih 51% undi popular pada 5 Mei 2013 pun tidak membawa kesan.

Lebih baiklah merajuk dan marah-marah dengan keadaan, menendang-nendang sambil berteriak seperti bayi kehilangan botol susu, supaya semua orang memandang mereka dan bertanya khabar dan kemudian diberi segala yang dimahu.

Malangnya realiti politik Malaysia tidak semudah itu. Tidak semudah bayi menangis-nangis minta susu.

Kelas membebel

Di antara lapis-lapis kelas elit, borjuis dan proletariat itu sebenarnya ada satu lagi kelas yang disebut Hishamuddin Rais sebagai kelas membebel. ‘The chattering class’ katanya. Kasta masyarakat yang hidup berbekalkan kopi dan air liur. Banyak cakapnya, kurang kerja buatnya.

Kelas pemalas yang akan mengambil jalan mudah untuk duduk di rumah dan membiarkan orang lain berpartisipasi mencatur masa depannya yang sudah malas diambil peduli.

Kelas masyarakat spesis ini kini adalah majoriti. Mereka lahir daripada rahim kebangkitan media sosial dan internet laju; di mana hari demi hari boleh dihabiskan dengan menonton video kucing berlari-lari sambil membebel sesama sendiri.

Menyerahkan hak memilih adalah jalan mudah. Sebab ya lah, menyerah sebelum kalah. Meletakkan senapang sebelum berjuang. Bukankah mudah?

Ia bukan aksi melawan. Bukan aksi menunjukkan kekuatan atau menggunakan ‘hak untuk tidak memilih’. Tidak memilih ertinya menyerah. Ertinya merelakan diri dilenjan daulah tanpa mengangkat walaupun sebatang jari.

GST, korupsi, bertuankan kerajaan sarat kleptokrasi? Na’am, na’am ya sidi. Kemudian membebel berjemaah. Pahala berganda barangkali.

Menyedari hakikat

Akar kepada permasalahan ini sebenarnya bukanlah kebodohan, seperti yang kita semua sangkakan. Masalahnya juga bukan sebenarnya kelelahan. Meski kita nyata melihat begitu ramai aktivis dan anggota kelas membebel ini sebenarnya letih dan lesu dengan segala yang sedang terjadi.

Akar kepada masalah malas ambil tahu dan tidak peduli ini ialah kegagalan kita untuk memahami hakikat pergelutan puluhan tahun melawan United Malays National Organisation.

Pokok pangkal kepada masalah ini ialah tumpuan kita yang mudah dialih-alih. Dan tengkuk kita yang cepat geli dengan hal-hal yang melalaikan daripada tunjang utama perjuangan.

Seharusnya kita tidak boleh gagal daripada memahami bahawa setiap pilihanraya adalah upaya masyarakat untuk melawan rejim. Sebuah rejim yang sudah berkuasa selama 60 tahun tanpa sekali pun pernah ditewaskan.

Kita semua tidak mengundi untuk menghantar siapa-siapa ke Putrajaya. Kalau mahu ke Putrajaya, menyelinap sahaja masuk UMNO, masuklah kerajaan dan bisikkan dasar-dasar serta pembaharuan ke telinga mereka yang melilau di koridor kuasa. Mudah.

Kalau pun tak ada manifesto di pihak parti-parti lawan UMNO, perlawanannya tetap bertujuan untuk mencabut parti pemerintah itu daripada takhta kekuasaan.

Dasar dan tawaran baru sebagai langkah memulihkan negara itu kira bonus. Apa yang asas ialah mengalih kedudukan UMNO sebagai parti politik paling lama berkuasa sehingga merasakan dirinya tuan dan empunya kita semua, menjadi hamba dan pesuruh yang akan harus merayu-rayu untuk kembali diberikan kerja.

Itu dia hakikatnya.

Kita mesti menang

Pilihanraya umum yang bakal menjelang tiba adalah penentu kepada nasib negara untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi. Sekiranya UMNO dibiarkan untuk terus menang dan berkuasa, tidak akan ada lagi ruang untuk melawan ataupun bersuara.

Kemenangan UMNO pada pilihanraya kali ini, akan mempertingkatkan egonya setinggi langit dan membuatnya rasa hebat dan langsung tidak tercabar. Kenyataan terbaru Perdana Menteri Najib Razak menempelak rakyat yang ‘bising’ kerana dikenakan cukai GST 6% adalah petanda bahawa ia boleh sahaja dinaikkan sekiranya UMNO merasakan mereka diberi mandat lanjutan.

Kemenangan UMNO akan membawa erti sokongan terhadap dasar-dasarnya yang hari ini menjerut leher kita semua.

Kita tidak ada pilihan, kita mesti menang. Rakyat mesti menewaskan rejim ini. Kalau pun anda merasakan BN dan Pakatan Harapan itu sama sahaja, saya ada khabar untuk anda. Itu bukan pilihannya.

Pilihannya ialah sama ada membiarkan Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya terus merajalela. Atau menunjukkan mereka pintu keluar dari istana Putrajaya. Itu sahaja.

Kalau itu pun anda tidak peduli. Anda sememangnya berhak untuk dilenjan oleh parti pemerintah setiap hari. Padan muka anda. – Roketkini.com

*Rencana ini telah diterbitkan buat pertama kali di Malaysiakini.

Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani PRU14

 Nasruddin Hassan
SHAH ALAM - Kejayaan penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 yang berjaya mencapai sasaran 200,000 peserta membuktikan bahawa Pas bersama parti politik lain yang membentuk Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani PRU14 akan datang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, penganjuran himpunan itu jelas memperlihatkan penglibatan pelbagai pihak yang bersama-sama mendukung perjuangan Pas untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

“Himpunan ini adalah sebagai ‘roll call’ kepada semua jentera bagi mendapatkan arahan kerja daripada kepimpinan bagi mengusahakan kemenangan yang kita disasarkan.

”Kemenangan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu. Menang tidak semudah lafaz namun himpunan ini menjadi pengajaran dan latihan kepada jentera supaya berkorban dalam perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga merupakan pengerusi himpunan tersebut berkata, penganjuran Fastaqim 2.0 melambangkan struktur amal kebajikan Pas kepada masyarakat sekali gus membuktikan parti Islam itu berpotensi membina sebuah negara berkebajikan.

“Amal kebajikan terus sinonim dengan Pas dan ia telah menjadi disiplin yang terus disemai. Ia bukan sekadar himpunan biasa tetapi bagaikan satu kem latihan dan pembinaan peribadi pejuang yang soleh, berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi.

“Fastaqim 2.0 telah menghantar isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat agar bersikap optimis terhadap masa depan Islam. Gagasan Sejahtera adalah blok pilihan terbaik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata, kelemahan dan ketiadaan kuasa politik umat Islam yang mantap telah menyebabkan tekanan dan ancaman golongan anti Islam yang semakin memuncak.

“Implikasinya, agenda Islam dipersenda dan suara Islam diabaikan oleh mereka,” katanya.

Tiada sebab untuk halang "Oktoberfest" di Johor kata Khaled Nordin

KETIKA kontroversi melanda berhubung langkah pihak berkuasa menghentikan 2 pesta arak, di Kuala Lumpur dan Selangor, Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata, beliau tidak akan menghalang program Oktoberfest yang akan berlangsung di sebuah hotel di Johor Bahru kerana ia telah bertahun-tahun dianjurkan.



The Straits Time (TST) melaporkan, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan telah mengharamkan penganjuran pesta minuman arak di Kuala Lumpur dan Bandar Klang di Selangor, kerana ancaman keselamatan walaupun ia pernah dianjurkan tanpa sebarang insiden tahun-tahun sebelum ini.

Kontroversi terhadap program tertutup yang melibatkan orang bukan Islam di Malaysia itu dilihat sebagai satu lagi langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyebelahi golongan Muslim Konservatif yang lantang, lapor sumber berita itu.

Sebahagian melihat kerajaan melakukan pengharaman itu bagi menunjukkan ia memberi sokongan kepada sensitiviti bank pengundinya iaitu pengundi-pengundi Melayu Islam.

Pesta minuman arak Jerman dilapor telah dianjurkan sejak beberapa tahun di Malaysia tanpa mendapat banyak tentangan.

Parti Islam Se Malaysia, PAS dua minggu lalu berkata bahawa penganjuran Oktoberfest yang dijadualkan di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur, tidak menghormati orang-orang Islam.

Ahli jawatankuasa pusat Pas, Riduan Mohd Nor dipetik sebagai berkata:

"Walaupun orang Islam bukanlah disasarkan sebagai peserta, dalam masa yang sama tidak ada had ataupun halangan halangan sekiranya orang Islam mahu menyertai."

"Apakah jaminan ataupun keselamatan yang boleh diberikan kepada awam yang tidak terlibat, seperti jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain."

Pihak polis kemudian mengesahkan bahawa program itu telah dibatalkan kerana bimbang ia mungkin boleh mencetuskan serangan dari kumpulan-kumpulan militan.

Satu lagi acara Oktoberfest yang dirancangkan di sebuah pasaraya di Bandar Klang juga telah dibatalkan.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mohamad Yasin Bidin, kelulusan yang dikeluarkan kepada penganjur Centro German F&B Party di Centro Mall telah ditarik balik selepas pihak polis menarik balik surat sokongan terhadap program itu.

Semua acara tertutup dan terbuka berskala besar perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak polis sebagai langkah keselamatan, katanya seperti yang dipetik oleh akhbar Sin Chew Daily pada hari Ahad.

"Dengan kata lain, ia mesti mendapat kelulusan pihak polis, kerana inilah yang diperlukan dalam peraturan. Tidak ada kena mengena sama ada minuman alkohol akan dihidangkan sewaktu festival tersebut ataupun tidak."

"Acara itu bersifat komersial, dan oleh kerana penganjur tidak dapat kelulusan pihak polis, maka kami juga tidak dapat meluluskannya,"


Sumber — The Straits Time

Rugi RM200j tapi terus bernyawa, siapa ‘payung’ Utusan?


Pada 5 Oktober 2017
oleh Amran Ahmad Nor

http://media.themalaymailonline.com/uploads/articles/utusan_malaysia_03112013.jpg
Saya bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad mulai tahun 2001 hingga 2009, meninggalkan syarikat itu pun kerana ‘dihalau’ buang kerja dan tak mungkin meletak jawatan dengan sendirinya.

Tidak dinafikan, saya menimba banyak pengalaman sebagai wartawan di syarikat tersebut selain memulakan kehidupan berkerjaya dalam erti kata yang sebenar bersama rakan-rakan Utusan di seluruh negara.

Semuanya menjadi pengakhiran setelah saya mengepalai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu yang akhirnya menyebabkan saya dibuang kerja atas ‘kesalahan’ memfitnah syarikat dalam isu pembelian tiang gol RM360,000.

Saya berani katakan bahawa tak mungkin saya meninggalkan syarikat itu jika tidak kerana dibuang kerja pada 2009 kerana Utusan syarikat yang ‘maha’ hebat. Kenapa saya kata Utusan hebat?

Masalah kewangan Utusan

Saya mulakan jawapan ini dengan berkongsi rasa ‘kagum’ dengan Utusan setelah menjenguk laporan tahunan syarikat itu tahun 2016, baru-baru ini dan mendapati syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai selama lima tahun berturut-turut.

Dalam laporan tersebut, ia memetik Utusan rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20 juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16 juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun lalu dengan RM66.7 juta.

Di sebalik terus mengalami kerugian tersebut, Utusan terus beroperasi dengan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad selain pelbagai majalah antaranya Wanita, URTV, Harmoni, Al Islam, Mastika, Saji dan Infiniti.

Walaupun jumlah edaran beberapa akhbar dan majalah keluarannya semakin hari semakin menurun, Utusan terus gah dengan jenamanya yang berusia berdekad lamanya serta sering dilabel dengan pro-kerajaan semata-mata.

Dengan menerbitkan produk berkenaan, ia menjadi periuk nasi kepada ribuan tenaga kerja syarikat itu yang diletakkan di seluruh pelusuk negara dalam jabatan pengarang, pengurusan dan pengilangan termasuk Sabah dan Sarawak walaupun bukan semua adalah propemerintah.

Utusan terus gah

Jadi, Utusan itu hebat kerana, walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta dalam tempoh lima tahun tetapi masih mampu beroperasi dengan kapasiti maksima tanpa sehari pun, akhbar-akhbar atau majalah keluarannya tidak berada di pasaran.

Utusan juga hebat kerana walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi tidak pernah membuang pekerja secara beramai-ramai mahupun menawarkan VSS atau skim pemberhentian sukarela bagi mengurangkan kos operasi.

Utusan lagi hebat kerana walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi mampu mendepani kos guaman dan membayar denda ratusan ribu ringgit apabila kes fitnah membabitkan syarikat itu kalah di mahkamah.

Terbaru, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi Utusan tempoh 48 jam untuk memohon maaf berhubung artikel muka depan akhbar itu yang bertajuk ‘Azmin benar pesta arak’.

Dalam hal ini, saya cukup yakin Utusan tidak akan meminta maaf dan sanggup berdepan Azmin di mahkamah walaupun syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul RM200 juta sejak lima tahun lalu.

Utusan juga terus gah dan mampu membayar gaji semua kakitangannya tepat masa pada setiap bulan (hanya sekali, dua sahaja yang terlewat sebelum ini) walaupun berhabis duit untuk membayar peguam dan denda yang dikenakan.

Timbulnya persoalan

Justeru, ramai yang sama seperti saya, menyimpulkan bahawa Utusan itu hebat kerana mampu terus beroperasi pada kapasiti maksima dan masih terus mempunyai perancangan untuk mengambil pekerja baru.

Tidak kurang juga di kalangan mereka yang bertanya kepada saya, bagaimana Utusan mampu mencapai tahap begitu dalam aktiviti perniagaan walaupun boleh dikatakan tenat dari segi kewangan.

Mereka ini yang rata-ratanya golongan usahawan tertanya-tanya bagaimana Utusan mampu untuk melangsaikan kos bulanan terutama gaji para pekerja sedangkan jumlah edaran akhbar tersebut semakin hari makin berkurangan.

Mereka tertanya-tanya, apakah Utusan sebagai sebuah syarikat senaraian awam ada menerima sumber kewangan lain yang tidak dilaporkan kepada Bursa Malaysia sehingga menjadikan syarikat itu terus gah beroperasi.

Atau soalan yang lebih tepat, siapa atau apa yang ‘memayungi’ Utusan dan atas tujuan apa menyalurkan dana jutaan ringgit sebulan walaupun atas kertas Utusan dianggap kronik dan gagal dalam perniagaan.

Mungkinkah Utusan masih menjadi pembentuk pendapat umum atau shaping people opinion sehingga pihak yang memayungi syarikat media tersebut mendapat manfaat daripada berita-berita yang disiarkan oleh akhbar atau majalahnya.

Apapun jawapan atau realitinya, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui dan merencanakan perjalanan ini sehingga Utusan terus gah di persada media negara walaupun terus rugi selama lima tahun dan dihambat persaingan akhbar dan portal media lain.

*Amran Ahmad Nor adalah anak kepada bekas pemimpin DAP Allahyarham Ahmad Nor dan bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu

*Rencana asal telah diterbitkan di portal Malaysiakini

‘Sayalah orangnya yang mempersetankan DAP’



Ramai orang Melayu percaya jika UMNO-Barisan Nasional (BN) kalah maka DAP akan memerintah Malaysia. Lebih dari itu Lim Kit Siang akan jadi Perdana Menteri.

Ada antara mereka yang anggap saya sudah mengkhianati Melayu dengan bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP. Mereka tidak boleh terima DAP sama sekali kerana DAP ini anti Melayu.

Sebenarnya sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukkan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri.

Pendekatan saya amat berkesan walaupun saya juga dipersetankan oleh DAP.

Demikian kesannya usaha saya dan rakan-rakan saya dalam mempersetankan DAP sehingga orang Melayu tidak boleh terima DAP dan sesiapa yang mendampingi DAP sama sekali.

Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang UMNO terutamanya, saya sudah khianati mereka.

Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan) dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

Pemimpin PAS, Hadi Awang biasa peluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada PRU12 dan 13. PAS menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP.

Saya mula bekerjasama dengan Kit Siang apabila beliau menyokong Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Pada ketika itulah perjuangan politik kami menjadi sama. Kedua-dua kami berpendapat menjatuhkan Najib lebih penting dari sengketa antara kami.

Hakikatnya ialah di Malaysia yang berbilang kaum, tidak ada satu parti atau satu kaum yang boleh menang dalam PRU sehingga menubuhkan Kerajaan Malaysia. Hanya parti campuran sahaja yang boleh kuasai cukup bilang untuk mendirikan kerajaan.

UMNO dengan sendirinya tidak mungkin menang dan tubuh kerajaan. Hari ini pun UMNO hanya mempunyai 88 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 220 kerusi. UMNO perlu sokongan MCA, MIC dan banyak parti-parti lain (13 buah parti).

Demikian juga dalam parti-parti yang menentang BN. Tidak ada satu parti yang boleh diri kerajaan dengan sendirinya. Hanya parti campuran yang boleh menewas BN.

Pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu. Tetapi Melayu berpecah kepada empat buah parti iaitu UMNO, PKR, AMANAH dan PPBM. Apabila UMNO berlawan dengan parti lain samada dua penjuru atau tiga atau lebih, undi pengundi Cina yang akan menentukan UMNO menang atau tidak. Demikian juga dengan parti lawan.

Menyedari hakikat ini maka parti lawan juga perlu mendapat sokongan pengundi Cina. Sebab itulah Pakatan Harapan bekerjasama dengan DAP. DAP juga sedar untuk menang lawan dengan MCA atau Gerakan, pengundi Melayu diperlukan.

Setelah menyetujui DAP menjadi rakan dalam Pakatan Harapan, gabungan ini dapati DAP bukanlah seburuk seperti dikatakan oleh saya dahulu.

DAP bukan parti Cina. Tidak seperti MCA, DAP terbuka kepada semua kaum. Kepimpinannya, bahkan wakil rakyatnya bukan semuanya Cina seperti MCA. Ada wakil rakyat Melayu dan India dalam DAP.

Sebagai parti berbilang kaum DAP tidak boleh guna hanya bahasa Cina sahaja seperti MCA. DAP mengguna Bahasa Kebangsaan dalam mesyuaratnya. Wakil rakyat Cina dari DAP boleh bertutur dalam bahasa Kebangsaan lebih baik dari wakil MCA.

DAP tidak dapat memiliki lebih dari 50 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat kerana jumlah kawasan Parlimen Cina terhad. (Sekarang DAP hanya mempunyai 35 wakil rakyat) Bukan semua wakil rakyat DAP terdiri dari orang Cina.

Jika Pakatan Harapan menang DAP tidak boleh tuntut jawatan Perdana Menteri untuk partinya. Dan Kit Siang tidak mungkin jadi Perdana Menteri. Dakwaan bahawa Kit Siang akan jadi Perdana Menteri ini diguna oleh Najib untuk menakutkan UMNO dan orang Melayu.

Majoriti dari wakil rakyat, jika Pakatan Harapan menang akan terdiri dari orang Melayu. Ramai dari mereka berminat untuk menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak akan serah keputusan kepada DAP untuk pemilihan Perdana Menteri.

DAP sendiri dan Kit Siang juga telah mengatakan DAP tidak akan tuntut jawatan Perdana Menteri.

Sebaliknya sila teliti dasar-dasar Najib. Ia percaya orang Melayu boleh ditakutkan dengan cerita Kit Siang menjadi Perdana Menteri. Pendapat Najib ialah orang Melayu lebih mudah disuap dengan wang. Kerajaan Najib yang ada sekarang berharap wang yang dicuri dari 1MDB boleh beli orang Melayu.

Percayalah jika Najib menang orang Melayu akan menderita kerana dasar-dasar Najib hanya untuk mengekal dirinya sebagai Perdana Menteri. Hari ini pun orang Melayu merasai tekanan.

Pakatan Harapan bukan milik DAP atau Kit Siang. Pakatan Harapan adalah untuk Malaysia yang berjaya dan dihormati seluruh dunia. – Roketkini.com

*Tun Dr Mahathir Mohamad adalah mantan Perdana Menteri keempat dan Pengerusi Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM).

*Rencana ini pertama kali disiarkan di chedet.cc

Mubarak - Tun Mahathir, Najib kena berbaik demi Melayu

 Tun Mahathir, Najib kena berbaik demi Melayu
KOTA BHARU - Tun Mahathir (Tun M) perlu berbaik-baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam usaha mencapai kesepakatan antara orang Melayu supaya masa depan politik negara lebih baik.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Mahathir perlu memikirkan masa depan negara supaya Melayu tidak berpecah belah dan kembali kepada perjuangan asal.

“Jika dulu, Tun M menentang perjuangan Lim Kit Siang yang jelas tidak sehaluan dengan Umno, mengapa kini, Tun M bersama DAP?

“Perjuangan mereka hanya mahu memecah belah bangsa Melayu dan saya nasihatkan supaya Tun M fikir semula apa yang dilakukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Majlis Makan Malam Sempena Perhimpunan Agong Tahunan Bekas Wakil Rakyat Malaysia di Hotel Perdana, di sini.

Abdul Aziz berkata, beliau mengharapkan Tun M dapat memikirkan semula perjuangan asal orang Melayu yang dibawanya sebelum ini dalam Umno.

“Saya merayu kepada bangsa dan pimpinan parti Bersatu kembali kepada kepercayaan asal dan dapat kembalikan maruah Melayu.

“Memang kami amat kecewa dengan senario politik kini yang menyebabkan keadaan pecah belah. Kita perlu pentingkan peluang dan masa depan untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Abdul Aziz menyeru supaya mereka yang menyanjung tinggi agama dan bangsa agar rapatkan semula hubungan.

“Kita mahu Melayu terus kuat, lagipun kita tidak ramai, kalau Tun M sayangkan Umno, beliau sepatutnya kuatkan perpaduan dan jangan pecah belah.

“Saya minta agar mereka sedar dan Mubarak mengharapkan Melayu kembali semula kepada pimpinan terdahulu yang memperjuangkan hak-hak Melayu yang disanjung tinggi,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...