TERKINI :

Sunday, October 8, 2017

‘Tsunami Melayu’ bukan jaminan kemenangan PH, kata Merdeka Center


Ibrahim-SuffianKUALA LUMPUR: Sebuah firma penyelidik berkata “tsunami Melayu” tidak menjamin kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun pembangkang mendakwa ia akan menjejaskan Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan akan.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata walaupun terdapat tindak balas terhadap Barisan Nasional, pengundi Melayu mungkin akan mengundi PAS dan bukannya pakatan pembangkang.

Katanya, pengundi Melayu mempunyai kebimbangan lain seperti isu hak Melayu yang mesti ditangani.

“Tsunami ini adalah kesan dari ketidakpuasan terhadap perkara seperti GST, kos sara hidup tinggi yang boleh mengubah undian.

“Tetapi faktor ekonomi semata-mata bukan isu penting bagi mereka. Hak Melayu juga menjadi faktor. Jadi kita tidak pasti orang Melayu akan undi siapa. Ia mungkin tidak menyokong PH, tapi jika sokong PAS, ia seperti menyokong BN,” katanya kepada FMT selepas ceramah di forum bertajuk “Multi-Cornered Contest: Bane or Boon?”.

Ibrahim merujuk istilah “tsunami Melayu” sebagai “perubahan undian” bagi pengundi yang tidak setia kepada mana-mana parti.

Pengundi, katanya, tidak akan menyokong parti yang mereka rasa tidak mempunyai peluang untuk menang atau tidak memenuhi kriteria yang mereka tetapkan.

“Mereka mungkin membuat keputusan untuk menjadi pragmatik dan mengundi calon yang akan membawa pembangunan di kawasan mereka.”

Ibrahim juga berpendapat pembangkang mengambil pandangan mudah apabila mengatakan mereka boleh membentuk “tsunami Melayu”.

Julai lalu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata “tsunami Melayu” dalam PRU akan datang tidak dapat dihentikan kerana orang Melayu telah hilang kepercayaan kepada Umno.

“Insya Allah, ‘tsunami Melayu’ yang dicetuskan oleh PPBM akan meranapkan virus ‘Cash is King’ yang sedang dideritai oleh Umno dan memulihkan kembali negara kita yang tercinta. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Ilahi,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Umno bersedia bantu PAS pinda RUU355 sekali lagi


Umno bersedia bantu PAS pinda RUU355 sekali lagi

UMNO sudah bersedia untuk bekerjasama dengan PAS bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walaupun kedua-dua parti tidak dapat berkompromi dalam perkara-perkara lain, kata Annuar Musa.

Menurut laporan Bernama, Ketua Penerangan Umno itu berkata Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam dan pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan.

"Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya tiada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita pada majlis santai bersama media di Bachok, malam tadi.

Annuar berkata walaupun Umno tidak boleh berkompromi dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu masih banyak perkara lain yang boleh dibuat bersama melalui konsep ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) seperti dalam meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata Umno kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita ingin menegaskan siapa-siapa (parti) yang menyokong DAP kita akan tentang seperti Bersatu dan PKR.

"Bagi saya pada PRU-14 akan datang, mana-mana yang menyokong DAP kita wajib tentang kerana kita tidak mahu DAP 'menguasai' walaupun mereka tidak memerintah seperti yang berlaku di Selangor," katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April mencipta sejarah apabila menjadi ahli parlimen dari kalangan pembangkang yang pertama dibenarkan membentang Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat.

Pada hari terakhir sidang pertama tahun ini, Ahli Parlimen Marang itu membentangkan usulnya kepada kerajaan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355.

Hadi mahu kerajaan menaikkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, denda sebanyak RM100,000 dan 100 sebatan.

Bagaimanapun, Speaker Pandikar Amin Mulia menghentikan perdebatan RUU355 sebelum mereka yang menentangnya menyampaikan hujah mereka, dan menangguhkan prosiding, menyebabkan kekecohan di Parlimen. Pandikar membuat pengumuman itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melengkapkan hujahnya terhadap usul itu.

Pada Muktamar PAS di Alor Setar bulan berikutnya, Hadi melahirkan penghargaan dengan mengucapkan berterima kasih kepada Putrajaya dan berkata tidak akan melupakan jasa kerajaan kerana memberinya peluang membentangkan rang undang-undang persendiriannya di Parlimen – 8 Oktober, 2017.

Jadi atau tak nak bergabung, tanya Pemuda PAS kepada Umno

Jadi atau tak nak bergabung, tanya Pemuda PAS kepada Umno

TINDAKAN Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed menerima borang permohonan menyertai Umno daripada ahli PAS mengguris hati pimpinan parti itu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berasa dukacita dengan tindakan itu.

"Saya berasa dukacita dengan sikap Tokpa (Mustapa) yang menerima borang ahli PAS masuk Umno di kampung saya.

"Sepatutnya dalam situasi PAS dan Umno nak bergabung (katanya Annuar Musa lah) benda- benda begini tak sepatutnya berlaku. Fokus sahaja kepada usaha penggabungan.

"Ke Tokpa (Mustapa) tak percaya kepada ketua penerangan Umno? Jadi ke dok nak bergabung ni?" tanya Fadhli dalam satu catatan di Facebooknya bagi melahirkan perasaan dukacita itu.

Semalam Berita Harian melaporkan yang 50 ahli PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Pasir Mas menyertai Umno.

Ia berlaku di kampung Fadli yang juga ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat itu.

Sebelum ini, Annuar Musa dilaporkan berkata, PAS dan Umno mempunyai DNA yang sama yang menyebabkan kedua-dua akan bekerjasama.

Annuar berkata, "Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan."

"Ia tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)...tetapi titik-titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting. Atas dasar itu saya meramalkan akan terbentuk kerjasama yang lebih kukuh dari masa ke semasa antara Umno dan PAS.

"Tunggulah beberapa minggu, beberapa bulan lagi bila pilihan raya semakin dekat saya percaya antara pucuk pimpinan PAS dan Umno selagi mana titik kebersamaan dan taawun itu ada, akan ada pengumuman yang seharusnya menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan4All, di Balik Pulau, 3 Oktober lalu. – 7 Oktober, 2017.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...