TERKINI :

Saturday, October 7, 2017

Guru kini bebas sertai parti politik selain Umno

oleh Shahbudin Husin

Susulan ajakan terbuka oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor kepada guru-guru agar mereka aktif dan memegang jawatan penting dalam UMNO dan perkara itu kemudiannya disambut positif oleh Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa, para pendidik seharusnya boleh menarik nafas lega mulai sekarang.

Mengulas tentang satu program yang jelas memaparkan bendera dan nyanyian lagu UMNO di sebuah sekolah di Putrajaya dan Tengku Adnan dalam ucapannya pula mengajak guru-guru agar kembali memegang jawatan penting dalam parti itu, Ali Hamsa berkata, beliau tidak ada masalah dengan guru-guru yang ingin menyertai UMNO.

Saya tiada masalah dalam hal itu, katanya tanpa mengulas lebih lanjut.

Prinsip dan falsafahnya mudah saja, kalau guru-guru sudah dibenarkan semula untuk aktif dan memegang jawatan penting dalam UMNO, bermakna mereka juga turut boleh untuk aktif dan memegang jawatan penting dalam lain-lain parti.

Tentulah tidak munasabah, malah suatu kezaliman jika hanya dalam UMNO saja guru-guru dibenarkan aktif dan memegang jawatan, tetapi tidak boleh berbuat perkara yang sama dalam parti-parti yang lain.

Cuma, tentulah tidak mungkin Ketua Setiausaha Negara secara terbuka mahu mengatakan guru-guru juga bebas menyertai parti-parti lain selain UMNO, tetapi kenyataan beliau itu tidaklah terlalu sukar untuk difahami maksud tersiratnya.

Hakikatnya, kedudukan semua parti adalah sama saja. Hari ini UMNO jadi kerajaan, esok lusa mungkin parti lain pula menggantinya. UMNO yang hari ini jadi kerajaan, bila-bila masa boleh bertukar menjadi pembangkang.

Itulah prinsip sebuah kerajaan demokrasi yang memberi hak kepada rakyat membuat pilihan setiap lima tahun sekali. Namun, guru-guru sebagai kakitangan kerajaan, siapa pun yang memerintah dan memegang kuasa, kedudukan mereka tidak akan berubah.

Sesuai dengan kebenaran yang sudah diberi itu, kiranya masih ada guru-guru yang sebelum ini dipindahkan ke kawasan pedalaman atas faktor politik dan menyokong pembangkang, Kementerian Pendidikan seharusnya segera memindahkan mereka semula ke tempat asal masing-masing.

Mulai sekarang, sepatutnya tiada lagi sesiapa yang dihukum atau dianiaya kerana kecenderungan dan pilihan politik yang tidak selari dengan kerajaan.

Guru-guru kini bebas membuat pilihan sebagaimana kelompok kerjaya yang lain juga.

Ayuhlah guru-guru, aktif dan peganglah jawatan penting dalam parti-parti politik mulai hari ini.

Pilihlah mana-mana parti yang sesuai, tetapi jangan lupa menunjukkan contoh teladan yang baik dan menegakkan prinsip kebenaran kepada masyarakat sekeliling, sama seperti yang dilakukan di bilik darjah seperti bercakap mengenai apa itu rasuah, apa itu pembaziran, apa itu kemewahan, apa itu kleptokrasi, cukai GST dan macam-macam lagi isu yang menjadi keresahan rakyat.

Guru-guru tentunya akan terus disanjung dan dimuliakan oleh masyarakat sebagaimana mereka dihormati di bilik darjah jika pembawaan mereka adalah sama walau di pentas politik mana mereka berada.

Noh Omar patut telefon henti kerja roboh bukan saya, kata Azmin

Khairil Ashraf

azmin-ali_Noh-Omar_600
Azmin berkata, sepatutnya Noh sebagai menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan yang membuat panggilan telefon untuk menghentikannya kerana tanah berkenaan milik kerajaan persekutuan.

PUCHONG: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyerang balik Tan Sri Noh Omar yang mendakwa menteri besar Selangor itu boleh menghentikan perobohan beberapa rumah dan kedai di pekarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAA), Subang baru-baru ini dengan hanya membuat panggilan telefon.

Beliau berkata, sepatutnya menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu yang membuat panggilan telefon untuk menghentikannya kerana tanah berkenaan milik kerajaan persekutuan.

“Suruh dia patuh undang-undang. Tanah itu tanah kerajaan persekutuan. Patutnya dia lah yang buat panggilan itu,” kata Azmin kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh yang menyatakan beliau boleh menghentikan perobohan 3 rumah dan 2 kedai di pekarangan masjid LTSAA di Subang dengan hanya panggilan telefon.

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa masjid LTSAA dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam yang mahu meletakkan S Arutchelvam dan Nik Aziz Afiq untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Azmin berkata perkara itu merupakan hak parti berkenaan untuk menamakan kawasan dan calon mereka.

“Tapi saya juga dimaklumkan mereka ada peruntukan yang mengatakan mereka sedia untuk berbincang. Jadi saya anjurkan, elok kita adakan perbincangan untuk menjamin prinsip 1 lawan 1,” katanya.

Azmin yang juga merupakan naib presiden Pakatan Harapan berkata, gabungan parti itu mengambil sikap terbuka untuk berbincang dengan semua parti yang berpegang pada prinsip reformasi.

“Sama ada PSM atau mana-mana parti politik lain yang berpegang pada prinsip reformasi untuk perubahan. Bukan Umno, kita sedia untuk berbincang,” katanya.

'Jangan bawa politik ke sekolah'


'Jangan bawa politik ke sekolah'
SEMUA parti politik dilarang membawa sebarang aktiviti berunsur politik ke kawasan sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarulzaman Abdul Razak menegaskan, sebarang hal-hal berkaitan dengan politik perlulah dielakkan daripada dibawa ke sekolah kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara ibu bapa dengan anak, serta murid dengan murid.

"Mungkin pandangan dan pemikiran ibu bapa berbeza dengan anak mereka.

"Begitu juga murid dengan murid yang mungkin boleh mencetuskan pergaduhan kerana perbezaan pendapat," kata Kamarulzaman kepada Oriental Daily.

Beliau berkata, pendidikan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk tujuan politik, tambahan pula murid dan ibu bapa mempunyai hak menyokong parti politik yang mereka inginkan.

Kamarulzaman mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa guru menyertai Umno dalam acara sekolah di Putrajaya, baru-baru ini.

"Tidak ada salah parti politik menganjurkan aktiviti di sekolah. Sebelum ini, ia memang telah berlaku. Kadangkala ada guru besar sendiri yang menjemput parti politik untuk mengadakan aktiviti di sekolah mereka.

"Kalau hanya nyanyikan lagu parti dan gantung bendera parti, ia memang tidak salah, yang salah bukan penganjuran aktiviti oleh parti politik itu, sebaliknya jika membabitkan motif penyebaran kenyataan-kenyataan berbaur politik," katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut terkejut dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang bersetuju dengan tindakan Tengku Adnan.

Kit Siang berkata, penjawat awam jangan tunduk terhadap tekanan politik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin BN.

“Penjawat awam harus menunjukkan kesetiaan kepada negara dan rakyat, bukannya kepada parti politik,” tegasnya seperti dilaporkan dalam China Press.

Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah dan murid-murid juga mengibarkan bendera Umno serta menyanyikan lagu parti.

“Mungkin Ali akan berkata bahawa guru-guru boleh menyertai DAP dan parti komponen Pakatan Harapan lain?,” soal Kit Siang.

420 sekolah berisiko tinggi masalah dadah serius

  Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan mengenal pasti 420 buah sekolah di seluruh negara berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgunaan dadah yang serius, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata jika tidak diatasi, masalah itu akan berleluasa dan sukar dibendung.

"Jika aktiviti gejala dadah ini dibendung dari awal kita boleh mengekalkan cara kita dan tidak menjadi seperti mereka yang menggunakan dasar ekstrem," katanya pada sidang media selepas melancarkan CIPTA 2018 di Universiti Malaya, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), turut mendedahkan ujian rambang yang dijalankan terhadap 36,675 pelajar sekolah pada 2015 mendapati 1,475 daripada mereka positif dadah.

Daripada jumlah itu, 1,075 orang atau 73 peratus positif dadah jenis stimulan amfetamina manakala selebihnya positif dadah jenis kanabis.

Ditanya mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nur Jazlan berkata jumlah yang terlibat adalah kecil.

Saringan yang dibuat terhadap 11,000 pelajar IPT awam di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mendapati hanya 250 positif dadah manakala bagi IPT swasta, seramai 158 didapati positif dadah daripada 4,000 pelajar yang disaring, katanya.

"Salah satu sebab mereka ambil adalah tekanan belajar ketika peperiksaan yang mahu berjaga pada waktu malam untuk belajar," katanya.

Terdahulu, Pemadam melancarkan kempen CIPTA 2018 bagi mendekatkan persatuan itu dengan golongan muda melalui pertandingan mencipta logo, cogan kata, lagu dan video untuk Pemadam.

Pertandingan yang akan berlangsung dari 25 Okt hingga 6 Dis ini menawarkan hadiah utama RM10,000 dan penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu boleh didapati di laman sesawang Pemadam di pemadam.org.my.- Bernama

Umno mahu rosakkan pemikiran anak bangsa

Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Tindakan ahli politik yang menggunakan sekolah sebagai medan berpolitik adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan.

Bagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan ahli politik itu seolah berniat untuk merosakkan pemikiran anak bangsa di negara ini.

"Sekolah sepatutnya jadi tempat belajar. Dahulu di sekolah, kita gantung bendera Malaysia, sekarang mereka nak ajar gantung bendera parti politik pula," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Baru-baru ini, portal tempatan melaporkan suasana sebuah sekolah rendah di Presint 14, di sini, bertukar menjadi majlis parti politik.

Difahamkan, sebuah kementerian telah menetapkan syarat untuk menggunakan tema sebuah parti dan 'kemerdekaan' bagi pertandingan menghias bilik darjah dan upacara penyampaian hadiah sekolah itu.

Bercakap kepada pemberita, guru besar, Mohd Amin Hamzah berkata, tema majlis itu ditentukan oleh sebuah kementerian.

Namun, katanya sekolah itu mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan.

Umno perlu saring akidah calon

 Mustapha Yaakub
SHAH ALAM - Veteran Umno mendesak pucuk pimpinan parti menyaring pegangan akidah calon-calon beragama Islam yang akan bertanding pilihan raya.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, saringan itu perlu bagi memastikan calon berkenaan benar-benar berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Calon yang tidak berpegang dengan Sunnah Wal Jamaah khususnya berfahaman Wahabi dan Syiah tidak diberi peluang bertanding atas tiket BN.

“Ia juga bagi memastikan kumpulan berkenaan tidak menggunakan pengaruh politik untuk mengembang dan menyebarkan fahaman wahabi, syiah atau apa juga fahaman yang bertentangan dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan pucuk pimpinan Umno-BN yang bersedia menyaring bakal calon-calon BN dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mustapha berkata, kesucian agama Islam perlu dipelihara agar umat Islam tidak terpengaruh dengan fahaman bertentangan.

Dalam pada itu, Mustapha juga mahu saringan membabitkan SPRM perlu dibuat ke atas semua calon sama ada yang baharu atau lama.

“Ia bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang rekod rasuah yang boleh menjejaskan kredibiliti sebagai calon BN,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...