TERKINI :

Thursday, October 5, 2017

Empat sebab anak muda tolak politik


PARTI politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang sedar golongan muda hari ini enggan terlibat dalam arena politik negara.

Exco Pemuda Umno, Rahman Hussin berpendapat, terdapat empat faktor mengapa anak muda menolak untuk terlibat secara langsung mahupun tidak dalam arena politik.

Katanya, empat fakor itu adalah anak muda merasakan tiada kesan terhadap mereka, kekangan masa dan tenaga, tanda protes dan rasa tidak percaya terhadap pemain-pemain politik.

Menjelaskan faktor pertama, Rahman berkata, anak muda merasakan penglibatan mereka dalam politik negara tidak memberi sebarang kebaikan kepada mereka.

“Pandangan saya sendiri, mereka tidak dapat melihat penglibatan mereka itu memberi kesan secara terus kepada kehidupan mereka.

“Sebab itu, mereka merasakan andai terlibat atau mengambil peduli tentang politik ia tidak memberikan mereka apa-apa. Bahasa mudahnya, kalau ikut politik, bukan boleh naik gaji sekalipun,” katanya.

Beliau berkata, faktor kedua berkait dengan kekangan masa dan tenaga, malah relevan dengan kos sara hidup.

Katanya, anak muda pada hari ini lebih memikirkan masa depan dan bekalan mencukupi untuk kelangsungan hidup.

“Kita harus melihat dari sudut pandang kekangan masa dan tenaga. Ini berkaitan dengan kos sara hidup sebab kebanyakan anak muda sekarang lebih risau tentang memastikan dapur di rumah berasap daripada membabitkan diri dengan aktiviti politik.

“Sebab mereka lebih baik fokus kepada kerja bagi memastikan sumber pendapatan mencukupi. Jadi mereka merasakan tidak perlu terlibat dengan politik, janji ada makanan di dapur,” katanya.

Sementara faktor ketiga katanya, penolakan anak muda terhadap politik negara adalah isyarat protes kerana hanya individu sama menerajui politik negara.

“Kita harus melihat ini mungkin satu tanda protes terhadap politik negara di mana melibatkan pemain-pemain sama.

“Jadi oleh sebab itu mungkin ia dijadikan alasan buat mereka; alahai nak buat apa, kalau masuk politik pun masih lagi orang yang sama; Sampai sekarang pun kita masih bergantung harap pada orang yang sama.,” katanya.

Faktor terakhir menurut Rahman, fenomena orang muda tidak mahu mengambil pusing berkaitan politik adalah merupakan fenomena global.

“Maksudnya di sini, mereka tidak percaya dengan institusi politik negara. Mereka bosan.

Bagi mereka terlibat atau tidak, ambil tahu atau tidak, tidak boleh tukar apa-apa sekalipun,” katanya.

Pesawah runsing benih padi harga subsidi tiada

Pesawah runsing benih padi harga subsidi tiada
YAN - Ketiadaan benih padi dengan harga subsidi pada musim menuai kali ini membimbangkan kira-kira 470 pesawah sekitar daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Dulang Kechil, Harun Ahmad berkata, kesukaran untuk mendapatkan benih padi dengan harga subsidi menyukarkan pesawah.

"Sepatutnya pesawah sudahpun memulakan proses menabur benih sejak 20 September lalu namun sehingga kini pesawah tidak mendapat bekalan benih padi dengan harga subsidi," katanya ketika ditemui di Kampung Dulang Kechil hari ini.

Katanya, kelewatan menabur biji benih padi ini akan menggangu jadual tanaman dan juga akan membebankan pesawah.

"Kami terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membajak semula tanah sekiranya rumput mulai tumbuh di dalam kotak sawah," katanya yang juga merupakan salah seorang pesawah di kawasan itu.

Enam Beranak Harap Ihsan Jiran


SUNGAI PETANI: Ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah lebih dua tahun lalu, seorang ibu tunggal dari kampung Bukit, Sungai Pasir, di sini, terpaksa mengharap ihsan jiran dan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama lima anak.

Lebih memilukan saban hari, Nor Azura Mustafa, 30, terpaksa menebalkan muka ke kedai menjual ayam bagi mendapatkan sisa kaki, hati dan limpa ayam yang diberi percuma oleh peniaga untuk dijadikan lauk mereka anak beranak.

Menurutnya, dia kini menumpang di rumah usang milik ayahnya bersama lima anak, Nur Aina Fadhilah Mohd Fairuz, 11, Nur Arina Dayana,9, Muhamad Yusof 8, Muhammad Aidil Syawal,7, dan Nur Azila Mazlin berusia tiga tahun selepas ‘digantung tidak bertali’ oleh suami.

“Selepas dia (bekas suami) menghilangkan diri lebih dua tahun lalu, langsung tiada khabar berita darinya, malah saya juga tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Nor Azura berkata, dalam kedaifan hidup dia tetap bersyukur masih ada insan berhati mulia sanggup memberi sedekah bahan makanan termasuk beras yang diberi seorang pesara guru di Tikam Batu, dekat sini.

“Tiga anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir (SKSP) tidak pernah membawa wang saku kerana saya tidak ada wang untuk diberi kepada mereka,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff di rumahnya kelmarin.

Pada kunjungan itu Shahanim turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Nor Azura serta wang persekolahan.

Menurut Nor Azura lagi, dia juga lega apabila ketiga-tiga anaknya menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

“Saya juga ada membuat aduan ke Pejabat Agama Kuala Muda bagi pengesahan cerai yang dilafazkan suami, namun disebabkan suami tidak dapat dihubungi kes saya ditutup,”katanya.

Sementara itu, Shahanim yang simpati dengan nasib Nor Azura sekeluarga berjanji akan membantu mereka.

Katanya, selepas diperhalusi nasib keluarga terbabit, beliau mencadangkan empat daripada lima anak Nor Azura diletakkan di rumah anak yatim dan dipersetujui Nor Azura.

- Harian Metro

Umno, PAS miliki DNA sama


Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa meramalkan akan terbentuk kerjasama antara Umno dan PAS dari masa ke semasa kerana kedua-dua parti itu mempunyai DNA (asid desksiribonukleik) yang sama.

Beliau berkata walaupun PAS menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun parti itu mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan Umno iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Katanya, jika dahulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, namun di bawah pucuk kepimpinan PAS yang ada sekarang menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

"Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya.

“Ia tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)...tetapi titik-titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting. Atas dasar itu saya meramalkan akan terbentuk kerjasama yang lebih kukuh dari masa ke semasa antara Umno dan PAS.

“Tunggulah beberapa minggu, beberapa bulan lagi bila pilihan raya semakin dekat saya percaya antara pucuk pimpinan PAS dan Umno selagi mana titik kebersamaan dan taawun itu ada, akan ada pengumuman yang seharusnya menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All, di Balik Pulau, malam tadi.

Program itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau dan Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar yang bertindak sebagai moderator.

Terdahulu, Annuar berkata lawan Umno yang sebenarnya adalah DAP kerana parti itu mempunyai DNA yang berbeza iaitu menentang apa yang dibawa oleh Umno berbanding parti-parti lain seperti PAS, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas merupakan parti serpihan Umno.

Beliau berkata DNA DAP jelas berbeza dengan parti-parti politik yang lain di negara ini kerana dasar perjuangan mereka berkiblatkan parti PAP di Singapura.

"DAP juga mempunyai DNA tertentu dan terbukti daripada perjalanan PAP hingga membentuk parti itu dan mereka sering menakutkan kaum Cina untuk membangkitkan kemarahan terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada," katanya.

-Bernama

PENTADBIRAN NAJIB MESTI BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KEGAGALAN KR1M

Perkembangan terkini berkaitan kes Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) amatlah merisaukan, kerana ia memberi kesan buruk kepada ratusan, mungkin juga ribuan, pekerja.

Berdasarkan kenyataan terkini Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah Zainudin, masa depan pekerja KR1M adalah di tangan syarikat yang mengendali projek tersebut iaitu Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd.

Pada masa yang sama, laporan sebelum ini pernah memetik kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, yang menyatakan bahawa syarikat tersebut telah membuat kerugian yang besar akibat project kerajaan tersebut.

Nampaknya kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk masalah ini, dengan pihak kerajaan menyalahkan Mydin kerana meningkatkan harga barang, manakala Mydin pula menyatakan bahawa projek itu hanyalah CSR syarikat.

Seperti kebanyakan projek 1Malaysia yang lain, pentadbiran Najib Razak telah gagal untuk merancang inisiatif ini secara menyeluruh, dan akibatnya lebih ramai orang yang terkena impak negatif kegagalan projek.

Masalah pokok kenaikan kos sara hidup - pengenalan cukai GST, kadar gaji dan upah yang rendah - yang mesti diatasi.

Sudah masanya kerajaan bertanggungjawab terhadap kesemua kegagalan ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA PAKATAN HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...