TERKINI :

Thursday, September 28, 2017

Ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang

Oleh Hasmi Hashim

SUDAH sampai masanya Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu. Kalau bukan daripada Umno-BN, dia boleh datang daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Mungkin ramai yang merasakan BN takkan mampu melaksanakan idea itu. Lebih-lebih lagi, BN sendiri yang memulakan tradisi sedemikian. Sejak merdeka lagi.

Kalau Pulau Pinang kekal di bawah BN, maka sampai kiamat pun Pulau Pinang takkan mengubah formula yang ditinggalkan Umno-BN. Entah dari mana perjanjian setan itu datang, tak siapa tahu dan kekal misteri.

Sekiranya dari satu PRU ke PRU yang baru jawatan ketua menteri Pulau Pinang hanyalah wajib untuk etnik Cina sama ada dari DAP dan Gerakan, maka apa pun yang terjadi, orang Melayu Pulau Pinang hanyalah percaturan dua parti itu saja.

Maka benarlah tuduhan bahawa mujur saja jawatan Yang di-Pertua Negeri satu jawatan lantikan. Kalau tidak, jawatan itu pun tak pasti selamat kepada orang Melayu. Macam di Singapura.

Baru-baru ini riuh di media sosial apabila presiden Singapura terkini kembali kepada tangan seorang berketurunan Melayu. Lebih digembar-gemburkan dia seorang perempuan. Bertudung pula. Tinggal pun hanya di rumah pangsa.

Terakhir Singapura memiliki presiden Melayu ialah Yusof Ishak dari 1965 sampai 1970. Yusuf seorang wartawan – dengan lantikan itu mudah difahami tak lain adalah untuk membeli jiwa wartawan dan surat khabar Melayu supaya meredakan perjuangan atas nama bangsa. Terimalah seadanya.

Singapura pun pada tahun itu baru berpisah dari Malaysia. Dengan lantikan Yusuf, warga Melayu Singapura paling tidak masih dibenarkan untuk berangan-angan bahawa masa depan politik tetap milik mereka. Nama jawatan itu pun belum dipanggil sebagai “presiden”. Dipanggil sebagai “Yang di-Pertuan Negara”: satu nama yang mirip kepada “Yang di-Pertuan Agung” bagi Malaysia.

Hari ini jumlah Melayu Singapura sekitar 500,000, lebih kecil daripada populasi penduduk Petaling Jaya sekalipun. Jumlah keseluruhan rakyat Singapura sekitar 6 juta dan hampir 1.5 juta daripadanya pendatang luar. Dalam kata lain, Melayu yang dulunya menguasai dan menjadi penduduk terbesar Singapura lebih rendah waima berbanding para pendatang.

Kuasa presiden sebenarnya pun tidaklah sebesar mana. Jawatan itu tak ubah sebagai “lambang negara” dan segala urusan harian masih tetap ditadbir oleh perdana menteri. Demikian sorakan “kemenangan” segelintir kaum liberal termasuk Malaysia bahawa konon Melayu Singapura mencipta pencapaian hebat hanyalah peluru kapur. Kampung tetap tergadai jua.

Di Pulau Pinang, kesnya sama tapi tak serupa. Sama ada BN atau Pakatan Harapan, keduanya masih gagal melihat peri penting seorang ketua menteri Melayu diangkat ke tampuk kuasa. Sudah tentu Melayu yang perlu diangkat itu seorang Melayu yang layak dan tanpa menafikan unsur merit. Kalau tak lebih hebat daripada Lim Guan Eng, sama hebat pun cukuplah.

Mustahil bagi sebuah negeri dengan penduduk lebih 1.7 juta tak ada seorang pun tokoh pemimpin Melayu yang layak. Perdana menteri ke-5 adalah dari Pulau Pinang. Mantan TPM yang kini ketua umum PKR, bahkan ketua pembangkang Parlimen juga dari sana. Senarai tokoh besar anak jati Pulau Pinang bukti yang pulau mutiara itu sebenarnya tidak kurang tokoh politik dan kepimpinan Melayu.

Dalam DAP sendiri, umum tahu ramai sudah tokoh hebat berbondong-bondong menyertai DAP.

Daripada seorang peguam sehinggalah pensyarah dan pakar perlembagaan sudah menganggotai parti itu. Malah satu-satunya Sasterawan Negara yang kini bersama parti politik adalah seorang ahli DAP.

Senarai itu belum lagi disebut saf tokoh agama dan aktivis masyhur yang bersedia mempertahan parti itu daripada apa juga serangan luar.

Sama ada mereka memang orang Pulau Pinang atau tidak, pertimbangan itu bukan segala-galanya. Guan Eng sendiri bukanlah anak jati Pulau Pinang. Dia orang luar yang dibawa masuk untuk menjadi ketua menteri. Lantikan itu lebih mudah kerana Guan Eng anak Lim Kit Siang.

Sedangkan keturunan Jenatun yang membuka Pulau Pinang pun tidak dipandang besar, maka persoalan anak jati atau tidak bukanlah pra-syarat memilih ketua menteri.

Apabila tamat saja penggal kali ini yang diramal dalam beberapa bulan lagi – dan kebetulan ketua menteri Guan Eng sudah menjawat jawatan berkenaan selama dua penggal, maka nama ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang sudah wajar diwar-warkan. Perkara ini juga janji Pakatan Harapan untuk mengehadkan jawatan tertinggi hanya untuk dua penggal.

Janji itu bukan baru. Sudah dibeberkan sejak 2008 dan menjadi antara kempen penarik sehingga berjaya menumbangkan BN.

Inilah waktunya kata dikotakan. Paling tidak, keadaan di Pulau Pinang akan menjadi seberkas bukti sejunjung azimat bagaimana komitednya Pakatan Harapan mahu membuka tirai Malaysia baru. Namun andainya tidak, sekali lagi semua kata-kata tak lebih hanyalah ungkapan pemanis bibir, dalam ceramah, pada malam bicara.

Paling tidak PM kena bawa pulang AS$1.7b dari AS


Pada pertemuan rasmi kurang 10 minit di antara delegasi Datuk Sri Najib Razak dan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada 12 September lalu, ayat kedua dan ketiga yang diucap Perdana Menteri Malaysia ialah:

"I want to say that we come here with a strong value proposition to put on the table. Number one, we want to help you in terms of strengthening the US economy." (Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS.)

Beliau seterusnya berkata bahawa MAS akan menambah jumlah kapal terbang Boeing yang akan dibeli. Pembelian tambahan ini dijangka bernilai sekitar AS$10 bilion (RM42 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Najib turut berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur AS$4 bilion (RM16.8 bilion) ke dalam ekonomi AS, manakala Khazanah juga akan meningkatkan jumlah pelaburan di negara itu daripada AS$400 juta yang ada sekarang.

Ini bermakna Malaysia akan memasukkan hampir RM60 bilion ke dalam ekonomi AS untuk lima tahun akan datang.

Tetapi di dalam pertemuan tersebut, kita tidak mendengar sepatah perkataan pun dari Trump tentang apa yang akan dimasukkan AS ke dalam ekonomi Malaysia.

Bermakna kepada rakyat

Jika dirujuk nilai perdagangan Malaysia - AS dari 2013 hingga 2016 jelas pihak yang menerima manfaat langsung paling besar daripada pertemuan itu adalah AS,.

Ekonomi AS akan menyaksikan pertambahan purata ekspot ke Malaysia bernilai lebih kurang RM8.4 bilion setahun untuk lima tahun akan datang dengan pembelian kapal terbang Boeing tersebut.

Namun sehingga kini tidak jelas apa manfaat langsung yang akan dinikmati ekonomi Malaysia daripada pertemuan Najib dan Trump itu.

Laporan Bernama bertarikh 14 September 2017 ada disebut bahawa "kedua-dua negara komited mengkaji semula kerangka pengawalseliaan dengan tujuan memudahkan pelaburan di dalam ekonomi negara masing-masing" (The two countries also committed to review regulatory frameworks with the aim of facilitating investment in their respective economies).
Mengikut dakwaan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, nilai aset yang terlibat dalam kes 1MDB di AS mencecah hampir AS$1.7 bilion.

Maka, adalah cukup bermakna untuk rakyat dan ekonomi negara jika kerangka pengawalseliaan ini dikaji semula untuk membolehkan segala "pelaburan" di AS yang didakwa menggunakan wang haram diseleweng daripada 1MDB akan diekspot - yakni dipulangkan - kembali ke Malaysia.

Oleh itu, perdana menteri perlu segera menjelaskan apakah beliau ada berbincang dengan Trump berkaitan pemulangan aset-aset bernilai AS$1.7 bilion ini ke Malaysia.

Walaupun pemulangan aset bernilai AS$1.7 bilion dari AS tidak menyamai hampir AS$60 bilion yang akan dimasukkan Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya maruah negara dapat ditebus.

FAHMI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi PKR.

Tokoh Wartawan Negara kemuka enam soalan


Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin hari ini mengemukakan enam soalan berhubung perkembangan isu semasa di negara ini di blognya dan memohon jawapannya.

Sambil menyatakan beliau sekadar bertanya dan bertanya tidak salah serta tidak boleh dikenakan saman malu, bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press yang kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu berkata "manalah tahu ada orang yang tahu mahu jawapannya."

Berikut soalannya itu:

1. Apakah implikasi penahanan Ketua Pemuda Umno Bagan Datuk oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Bahagian merangkap Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan “pemangku” Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

2. Apakah benar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyimpan rahsia siapa dalam Umno dan Kabinet yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak percaya?

3. Apakah benar duit yang kononya dibagi oleh Najib/Umno kepada PAS digunakan untuk berniaga (antaranya kosmatik) tetapi rugi?

4. Apakah benar Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sudah hilang peranan sebagai peneraju National Transformation (TN50)?

5. Apakah benar berlaku keretakan besar di antara KJ dengan bosnya sehingga jemputan untuk berpow-wow pun tidak diendahkan?

6. Apakah benar sebuah GLC yang diaspirasikan oleh Najib yang kini mengalami masalah perniagaan gagal menunaikan syarat hutang kepada sebuah bank GLC yang penting kepada pelaburan Bumiputera?

“Banyak rakyat jelata hendak tahu kerana soalan-soalan di atas adalah respons saya kepada soalan yang mereka tujukan kepada saya,” katanya.

PAS juga tolak pelawaan saringan SPRM

 
Selain Pakatan Harapan yang menolak pelawaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring, PAS juga berkata, parti itu tidak berhasrat berbuat demikian.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tapisan oleh Majlis Syura sudah memadai .

"PAS tidak akan menyerahkan senarai calon kerana kita mempunyai tapisan oleh syura yang turut meneliti kelayakan calon daripada aspek syarak,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.


Tuan Ibrahim juga mengingatkan SPRM bahawa dalam PAS, calon yang fasik pun tidak layak menjadi calon parti.

"Pandangan saya, SPRM tak perlu campur tangan urusan politik. Memadai bagi parti politik memastikan calon mereka tidak terlibat dengan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang undang negara," katanya.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak melihat keperluan bagi gabungan pembangkang menyerahkan senarai calonnya dan mempersoalkan “SPRM itu siapa?”

Apabila diberitahu bahawa adalah amalan biasa untuk parti BN mengemukakan senarai calon mereka kepada suruhanjaya itu, Wan Azizah berkata bahawa ini adalah kerana BN "mempunyai masalah" dengan calon mereka yang perlu melalui proses saringan.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula mencabar SPRM supaya memastikan calon-calon BN yang terpalit dengan skandal 1MDB tidak diletakkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, jika Dzulkifli (foto, atas, no 2 dari kiri) berjaya, maka beliau akan mencadangkan kepada jawatankuasa eksekutif pusat DAP supaya semua calon parti itu turut dikenakan proses saringan oleh SPRM.

Banyak kes rasuah belum selesai

Mengulas isu sama, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, pelawaan SPRM terhadap parti politik itu secara tidak langsung telah mencampuri urusan parti.

“Apabila SPRM mencadangkan parti politik menghantar senarai bakal calon pilihan raya kepada mereka, SPRM telah melibatkan diri dalam urusan politik.


“SPRM sepatutnya kekal bebas tidak perlu masuk campur urusan parti politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Iskandar berkata, pembabitan SPRM itu menyebabkan keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terhakis.

“Apabila mereka terlibat di dalam politik maka keyakinan rakyat terhadap mereka akan terhakis,” katanya.

Iskandar berkata, tindakan SPRM itu dibimbangi mempengaruhi keputusan parti politik.

"Walaupun yang menentukan calon masih parti politik tetapi SPRM berupaya mempengaruhi keputusan dengan ulasan-ulasan mereka,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada usaha untuk mencegah rasuah dan bukan menentukan siapa calon.

“Banyak kes rasuah yang masih belum selesai. Beri tumpuan kepada kes-kes tersebut.

“Biar parti politik membuat keputusan dan menanggung apa sahaja kesan daripada keputusan tersebut,” katanya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/396562#rZbY7iiUrgHTwo1W.99

1MDB SAH ADA KESALAHAN, SIASATAN PELBAGAI AGENSI PENGUATKUASA LAIN WAJIB DIBUKA SEMULA





PAKATAN HARAPAN GESA BANK NEGARA GUNAKAN SEPENUH KUASA AMBIL TINDAKAN KE ATAS INDIVIDU TERBABIT DI DALAM 1MDB

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Bank Negara Malaysia yang memberi maklumbalas rasmi kepada satu memorandum dari ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang dihantar pada 2 Ogos lalu.

Sementara saya terkejut dengan jumlah penalti yang dikenakan iaitu RM115.8 juta, saya ingin menarik perhatian rakyat bahawa Bank Negara Malaysia belum menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk berlaku adil kepada rakyat dalam skandal 1MDB ini.

Saya menyeru pengurusan Bank Negara Malaysia menyertai rakyat Malaysia yang lain dalam mempertahankan kebebasan Bank Negara Malaysia sebagai institusi penguatkuasa yang bebas untuk mengelakkan skandal kewangan yang serupa berulang di masa akan datang.

Sebab itu saya berpendapat adalah wajar Bank Negara Malaysia menggunakan sepenuh kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 seperti berikut:

1. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(3)(b) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda sebanyak RM5 juta atau tidak lebih dari tiga kali jumlah wang yang terlibat di dalam setiap kesalahan yang dilakukan 1MDB; 


2. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(5) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda atau apa-apa hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini ke atas pengarah, pengurusan kanan dan mana-mana orang perseorangan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB.


Setakat ini, Bank Negara Malaysia hanya menggunakan kuasa di bawah Fasal 234(3)(b) untuk mendenda 1MDB dan entiti-entiti berkaitan sebanyak RM115.8 juta. Malangnya, tindakan mengenakan denda ke atas 1MDB sebenarnya samalah seperti mendenda rakyat Malaysia kerana segala tanggungan hutang dan denda ke atas 1MDB kini ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Dari denda berjumlah RM115.8 juta ini, laporan media ada menyebut bahada RM53.7 juta telah dikenakan terhadap AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Saya ingin mendapat kepastian sama ada baki berjumlah RM62.1 juta yang telah dikenakan sudah dibayar, dan jika ya, siapa yang telah membayarnya. Jika 1MDB atau entiti berkait 1MDB yang membayarnya, ini bermakna sudahlah rakyat Malaysia menjadi mangsa penyelewengan dana rakyat di dalam 1MDB, kini rakyat Malaysia terpaksa juga menanggung denda yang dikenakan ke atas 1MDB.

Oleh itu, saya sendiri sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan akan membuat laporan polis minggu depan untuk membolehkan Bank Negara Malaysia menyiasat Dato’ Sri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB (dahulu dan sekarang) serta pengurusan kanan 1MDB (dahulu dan sekarang) di bawah Fasal 234(5). Perlu diingatkan bahawa pada ketika pelbagai dakwaan terhadap 1MDB ini berlaku, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan bahawa sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Secara logiknya, jika Bank Negara Malaysia sudah pun mengenakan denda sehingga RM115.8 juta ke atas 1MDB, itu bermakna berlaku banyak pelanggaran undang-undang dalam urusan 1MDB. Sudah tentu urusniaga dan tindakan yang melanggar undang-undang ini dibuat atas arahan seseorang atau sesuatu pihak kerana 1MDB bukanlah satu makhluk yang bertindak sendiri.

Maka, apabila Bank Negara Malaysia sudah mengenakan denda di bawah Fasal 234(3)(b) ke atas 1MDB sebagai badan korporat, ia mesti juga disertai dengan tindakan di bawah Fasal 234(5) ke atas individu yang bertanggungjawab memberikan arahan sehingga menyebabkan 1MDB melanggar peraturan-peraturan di bawah akta.

Saya berharap pengurusan Bank Negara Malaysia tidak akan berdolak dalih mengenai perkara ini. Jika pun pengurusan Bank Negara Malaysia tidak berani mengambil tindakan ke atas Dato’ Seri Najib, sekurang-kurangnya ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan perlulah dikenakan tindakan. 

Pakatan Harapan tidak akan membiarkan rakyat dihukum kali kedua dengan tindakan denda ke atas 1MDB sementara individu di belakangnya dibiarkan terlepas.

YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden Pakatan Harapan
27 September 2017


Ulasan - Selama ini tiada siapa tahu dan seperti mahu disembunyikan berapa jumlah denda yang telah dikenakan oleh Bank Negara kepada 1MDB atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 berhubung beberapa urusniaganya.

Sekian lama jumlah itu cuba dirahsiakan dan Bank Negara selalu mengatakan mereka tidak berhasrat mendedahkannya. 1MDB lagilah cuba menutup jumlah denda yang dikenakan ke atas mereka itu.

Tetapi, segala-galanya terdedah semalam. Dalam surat jawapannya kepada Pakatan Harapan, Bank Negara akhirnya mendedahkan jumlah denda yang dikenakan kepada 1MDB adalah sebanyak RM115.8 juta.

Jumlah denda itu tentunya merupakan yang terbesar dalam sejarah skandal kewangan di negara kita. Ia juga dengan jelas memperlihatkan kesalahan yang besar juga telah dilakukan oleh 1MDB.

Jika ada kebenaran berhubung laporan media sebelum ini yang mengatakan Ambank telah didenda sejumlah RM53.7 juta kerana melanggar peraturan kewangan berhubung dana 1MDB, bermakna jumlah selebihnya iaitu RM62..1 juta adalah denda yang ditanggung oleh syarikat pelaburan itu.

Jumlah tersebut pun masih dikira besar dan menampakkan syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib Razak dan beliau sendiri menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya telah melakukan kesalahan yang dikira besar juga.

Selepas jumlah denda ini terdedah, apa yang seharusnya dilakukan?

Oleh kerana denda itu membuktikan wujudnya kesalahan yang besar dan serius telah dilakukan oleh 1MDB, maka sebagaimana yang ditekankan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, langkah seterusnya ialah Bank Negara harus segera mengambil tindakan ke atas individu-individu tertentu yang menyebabkan peraturan Bank Negara itu dilanggar.

Tentulah tidak masuk akal jika hanya 1MDB yang didenda, tetapi individu yang bertanggungjawab menyebabkan peraturan Bank Negara itu dicabuli, terlepas begitu saja?

Tidak kira siapa individu-individu tersebut, merekalah sebenarnya perancang dan "lahanat" dalam skandal 1MDB selama ini.

Yang kedua, pembuktian bersalah melalui denda besar oleh Bank Negara itu seharusnya turut menggerakkan agensi-agensi penguatkuasa lain untuk mengambil tindakan yang sama ke atas 1MDB dan individu-individu berkaitan dengannya.

Jika sudah dibuktikan dan sah ada kesalahan oleh Bank Nagara terhadap 1MDB, apakah tidak mustahil kesalahan tertentu telah dilakukan juga dan ia boleh disiasat oleh pihak PDRM dan SPRM?

Bermakna, membuka semula siasatan adalah sesuatu yang wajar dan perlu selepas ini. Langkah Pakatan Harapan membuat laporan polis pada minggu depan adalah pilihan terbaik dan tiada pihak harus berdolak-dalik lagi dalam menegakkan kebenaran sebagaimana yang dituntut Tuhan. (ShahbudinHusin 28/09/2017)

PH Kedah buktikan turun padang bantu mangsa banjir


MOHD ALI HASHIMSeptember 28, 2017 10:49 am 0

PH Kedah buktikan turun padang bantu mangsa banjir
Parti Amanah Negara, Negeri Kedah khususnya menafikan dakwaan berunsur fitnah yang dilemparkan oleh Pemuda Umno Negeri Kedah yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak mempedulikan isu banjir yang sedang melanda negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir.

Jelasnya lagi, adalah amat dikesali apabila Pemuda Umno Negeri Kedah gemar mempolitikkan musibah ini bagi menyerang pimpinan PH.

“Banjir yang melanda sebahagian kawasan Parlimen di negeri ini serta sebelah utara sejak seminggu yang lalu adalah satu musibah dan bencana alam.

“Namun demikian, terdapat sebahagian tempat dimana sungai-sungai yang tidak diselenggarakan dengan baik sehingga menyebabkan air melimpah apabila sungai tidak lagi mampu menakung air.

“Bencana ini harus dilihat sebagai satu tanda untuk terus kuat mengambil peduli dan membantu mangsa banjir samada dalam bentuk kewangan, tenaga maupun doa dan sokongan, ” tegasnya lagi.


Abdullah Suady Ramdhan ketika menziarahi salah seorang mangsa banjir bersama pimpinan PH di Kedah.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Sungei Petani turut berkata, gerak kerja PH tatkala ini adalah pantas dan segera bagi membantu mangsa-mangsa banjir bersama-sama dengan pihak berwajib.

“Kita juga turut sama menghulurkan bantuan membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPAM dan juga JKM.

“Dalam misi membantu dan menyelamatkan mangsa, keperluan makanan dan bantuan tenaga menjadi fokus utama PH ketika ini.

“Pada masa yang sama kita juga turut menilai cadangan-cadangan yang boleh diketengahkan kepada pihak yang mempunyai kuasa demi kepentingan rakyat terbanyak, ” ujarnya lagi.

Malah katanya, kajian-kajian semula mengenai sistem slairan dan kaedah penyelenggaraan yang praktikal akan dibawa oleh PH.

“Setakat ini semua kawasan yang terjejas akibat bencana banjir telah diziarahi oleh PH khususnya Amanah.

“Antara kawasan yang terjejas adalah dalam kawasan Dun Pantai Merdeka, Tokai dan juga Kubang Rotan.

“Disamping itu katanya tumpuan juga turut diberikan kepada kawasan Anak Bukit dan Kota Siputeh, ” tambahnya lagi.

Manakala Ketua Pemuda PH Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris pula berkata, turut ke lapangan adalah Skuad Medik PH yang turut membantu anggota Jabatan Kesihatan Negeri dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjaga.

“Pemuda PH sedar ini adalah masanya rakyat dibantu dan diselamatkan.

“Harta benda yang musnah, kerugian perniagaan malah kebimbangan terhadap kesihatan warga emas menjadi fokus utama PH.

“Sehubungan itu Pemuda Umno Negeri Kedah tidak sepatutnya memainkan sentimen politik murahan dengan mendabik dada kononnya hanya Umno sahaja yang ‘kelam-kabut’ bekerja, ” jelasnya.

Mohd Asmirul yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah turut berkata, kenyataan kebudak-budakan Pemuda Umno Negeri Kedah khususnya Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah sengaja dicetuskan bagi mencemarkan imej seteru politik dikala rakyat sedang diuji dengan musibah.


Mohd Asmirul bersama petugas Pakatan Harapan di kawasan Kuala Kedah menyediakan makanan untuk mangsa banjir.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...