TERKINI :

Wednesday, September 27, 2017

Tanpa perjanjian pun, Umno dan PAS boleh kerjasama, kata Annuar Musa

FMT Reporters | September 27, 2017

Annuar-pas-umno
Ketua penerangan Umno itu berkata kedua-dua parti Melayu itu boleh mencari titik persamaan pada bila-bila masa.

Annuar-pas-umnoPETALING JAYA: Umno dan PAS tidak memerlukan perjanjian rasmi seperti memorandum persefahaman untuk bekerjasama dalam politik, sebaliknya kedua-dua parti itu boleh bekerjasama membangunkan Kelantan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, sebagai parti Melayu, Umno dan PAS mempunyai matlamat yang sama namun berbeza pendapat mengenai cara dan kaedahnya.

“Tidak perlu ada perjanjian formal antara PAS dan Umno dalam mencari titik persamaan, bila-bila masa titik persamaan itu boleh bertemu, malah Umno dan PAS tidak perlu bergabung dalam satu parti, tetapi boleh bersama dan mencari ruang kebersamaan.

“Bagi pendapat saya, PAS tidak perlu masuk Umno, Umno tidak perlu masuk PAS, tapi mereka boleh bekerjasama majukan Kelantan,” katanya ketika wawancara secara langsung menerusi laman Facebook milik Berita Harian, hari ini.

Annuar berkata kerjasama PAS dan Umno akan menguntungkan orang Melayu.

“Majunya Kelantan, majulah orang Melayu,” kata pemimpin Umno dari Kelantan itu.

Menurutnya, sikap PAS yang istiqamah dalam perjuangan mereka memusnahkan ancaman politik daripada DAP.

“PAS tidak mahu bersekongkol apabila DAP cuba mengawal parti pembangkang dan menggunakan parti politik Melayu untuk memecah belahkan orang Melayu,” katanya.

Beliau memberikan perbandingan peranan Umno dalam BN dengan peranan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

“Barisan Nasional (BN) diketuai Umno dan pembangkang diketuai DAP, sebagai sebuah parti lama DAP mengawal parti-parti kecil ini.

“Parti lain hanyalah serpihan dan tidak mempunyai DNA mereka sendiri, hanya terikut-ikut seperti parti asal mereka,” kata Annuar.

Menteri dedah 6 hospital ‘sakit’


Bernama

Dr-S-Subramaniam
S Subramaniam berkata 5 hingga 6 hospital gagal disiapkan mengikut jadual.

Dr-S-SubramaniamCYBERJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini mendedahkan terdapat 5 hingga 6 hospital “sakit” yang gagal disiapkan mengikut jadual atas faktor-faktor tertentu.

“Hospital-hospital itu kini ada yang ‘sedikit sakit’ dan ada yang sangat ‘sakit’ dan sedang dalam proses ‘rawatan’,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Hospital Cyberjaya di sini.

Hospital Cyberjaya yang akan menggunakan tenaga solar yang optimum dan teknologi pengumpulan haba bakal menjadi hospital pertama bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau di negara ini.

Mengambil iktibar daripada kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam, Dr Subramaniam mahu pembinaan Hospital Cyberjaya bernilai RM475 juta itu disiapkan mengikut jadual iaitu pada November 2020 agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Dalam kes Hospital Shah Alam katanya, kementerian terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan lebih RM60 juta bagi pembinaan hospital tersebut yang hanya disiapkan pada 2015, iaitu 4 tahun lewat daripada jadual asal pada 2011.

Dr Subramaniam berkata peruntukan sebanyak RM23 bilion untuk Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2017 tidak mencukupi bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat memandangkan kos perubatan yang semakin meningkat.

Justeru beliau berharap Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang turut hadir pada majlis hari ini, mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar menambah peruntukan untuk kementeriannya pada bajet akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang turut hadir ketika ditemui pemberita berkata kementerian mendapat tambahan peruntukan antara 10% dan 15% setiap tahun.

Beliau berkata jumlah kes yang menerima rawatan meningkat setiap tahun dengan tahun lalu sahaja kes pesakit luar mencatatkan pertambahan 10 juta kepada 55 juta kes berbanding 45 juta pada 2015.

“Malah pesakit yang dirawat di dalam hospital juga meningkat lebih 100,000 pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata bajet yang diperuntukkan kerajaan digunakan untuk rawatan pesakit, emolumen, subsidi perubatan dan pembangunan.

PRU14 diramal Mac atau April

MALAYSIADATELINE

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/04/pru14.jpg
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin mengadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun ini selepas lawatan ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu Presiden Donald Trump mendapat publisiti buruk daripada media antarabangsa.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib mungkin mengadakan PRU14 pada bulan Mac atau April, sebelum Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibahim dibebaskan dari penjara.

“Mungkin Najib rasa lawatan beliau ke Rumah Putih menjadikan dia selesa untuk bubar parlimen tapi oleh kerana yang berlaku dalam lawatan ke Rumah Putih adalah satu mala petaka nampaknya tak mungkin.

“Bila PRU14? Mungkin PRU tahun ini selepas Najib bentang bajet 2018 pada 27 oktober tapi nampaknya tak begitu mungkin.

“Kalau begitu PRU tahun depan. Bulan Mac atau April kerana bulan Mei puasa, bulan Jun Anwar keluar. Sungguhpun Anwar tak boleh jadi calon tapi anwar boleh bergerak ke seluruh negara untuk berkempen.

“Jadi mungkin PRU14 Mac atau April,” katanya dalam ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Hulu Langat malam tadi.

Rancangan Najib untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atasnya oleh skandal 1MDB melalui lawatannya ke AS baru-baru ini kelihatan gagal apabila rakyat semakin marah terhadap tindakannya menawarkan dana awam seperti KWSP, Khazanah dan MAS untuk membantu ekonomi AS.

Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah juga mencabar Najib berani membiarkan peralihan kuasa berlaku dalam keadaan yang aman pada PRU14.

“Malam ini saya mahu cabar Najib, beranikah kata kalau rakyat Malaysia mahu tukar kerajaan kepada Pkataan Harapan beliau akan hormat keputusan itu dan peralihan kuasa akan dilakukan secara aman atau sebaliknya akan berlaku,” katanya.

Najib makin terdesak bandingkan GST 6 peratus rendah dengan negara India

MALAYSIA DATELINE

Najib makin terdesak bandingkan GST 6 peratus rendah dengan negara India
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat semakin terdesak apabila mengeluarkan kenyataan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST) sebanyak 6% di negara ini rendah jika dibandingkan dengan negara India, kata Pemuda AMANAH Nasional.

Timbalan Pemudanya Faiz Fadzil berkata, dengan nada yang bermegah dan nada menghina kononnya rakyat negara ini tidak perlu marah dengan pelaksanaan GST kerana kadar GST di India jauh lebih tinggi iaiti 28% dakwanya, dilihat naif oleh rakyat.

“Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dilihat naif oleh rakyat.

“Tiada lagi suara-suara seperti Datuk Ahmad Maslan yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa GST akan mengurangkan harga barang.

“Ternyata, kenyataan tersebut meleset setelah 2 tahun pelaksanaan GST, harga barang semakin melonjak naik.

“Kini, Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan seumpama itu di mana beliau gagal melakukan kaji selidik berkaitan fakta lengkap pelaksanaan GST di India.
“Jelas, Perdana Menteri semakin terdesak dan kehilangan sokongan menteri kabinetnya,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional(BN) ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC 2017 pada Sabtu, yang dipetik berkata,bahawa di India kerajaan negara itu mengenakan GST sebanyak 28 peratus.

Sedangkan kata Najib lagi, kita (di Malaysia) baru kena 6 peratus pun dah riuh-rendah bising, marah kerajaan, katanya.

Sambung Faiz lagi, hakikatnya pelaksanaan GST di India jauh berbeza dengan dasar GST kerajaan Barisan Nasional.

Ini kerana GST di India berbeza kadar bermula 5% sehingga kadar 28% dan kadar 28% hanya dikenakan pada barangan tertentu seperti penghawa dingin dan peti sejuk yang melibatkan kenaikan 5% daripada cukai semasa 23% serta perjudian serta tidak melibatkan sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“Secara realitinya, golongan berpendapatan rendah di India tidak merasai GST. Berbeza dengan dasar GST di negara ini, hampir kesemua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST dan ditanggung oleh kesemua segmen rakyat tanpa mengira kelas dan tempat,” terangnya.

Justeru, Pemuda AMANAH sekali lagi membuat desakan agar GST dihapuskan untuk meringankan beban rakyat.

“Cukai regresif ini tidak pun membantu rakyat di mana dalam masa kerajaan mengutip GST hampir RM42 bilion setahun, subsidi komoditi rakyat seperti minyak, minyak masak, gula dan beras ditarikbalik dan bajet bidang ekonomi utama negara seperti pendidikan dan kesihatan dipotong,” ujarnya.

“Perdana Menteri digesa untuk tidak terus menjustifikasikan GST dengan membuat perbandingan dengan negara asing sedangkan masalah utama rakyat akibat tekanan GST tidak diselesaikan kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Pas tidak akan bersama BN atau PH, kata naib presiden

 Pas tidak akan bersama BN atau PH, kata naib presiden
Naib Presiden Pas Idris Admad menegaskan, Pas tidak akan bersama dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Namun beliau berkata, ada pihak yang ‘sengaja buat tidak jelas’ kerana ‘tidak ada modal’.

“Modal Pas bersama dengan Umno yang dituduh kepada Presiden Pas sejak 2008. Kalau ada anak sekolah sudah masuk belajar darjah tiga. Pas masih tidak bersama.

“Kalau hendak tuduh Pas mesra Umno kerana atas beberapa isu seperti RUU355 dan isu bantuan Rohingya. Pas tidak tuduh PH mesra dengan Umno dan BN, apabila sanggup untuk bekerjasama supaya dapat undi 2/3 di Parlimen untuk pinda Perlembagaan bagi membolehkan 88A dalam Akta 164?

“Cuba bayangkan kalau Pas yang sebut untuk kerjasama dengan BN dalam perkara ini. Puak-puak ini akan canang seantario dunia Pas sudah bersama BN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa bahawa Pas memang berniat untuk bekerjasama dengan BN pada PRU14 tetapi gagal dilaksanakan apabila mendapat tentangan sebahagian pemimpin kanan parti itu.

Husam berkata, disebabkan itu, permukiman Pas di Pulau Pangkor tidak menerima cadangan untuk bekerjasama dengan Umno-BN.

“Apa perlu kita hendak bincang mengenai hubungan dengan Umno dan Pakatan Harapan kerana perkara ini sudah jelas, Pas akan bersama Gagasan Sejahtera.

“Permukiman pimpinan Pas tidak perlu bincang perkara yang sudah jelas sebelum pimpinan Pas mendarat di Pulau Pangkor. Buat apa hendak bincang perkara yang membuang masa dan membazir air liur sahaja,” kata Idris yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga berkata, pihak yang menuduh Pas akan bekerjasama dengan BN bertujuan menimbulkan keraguan ahli dan masyarakat kepada Pas.

“Mereka bukan ada kerja, yang ada hanya bermain persepsi, fitnah dan andaian.

“Setakat hari ini senjata mereka tidak dapat meruntuh kekebalan saf kepimpinan Pas. Pas terus mara ke hadapan.

“Setiap bulan hampir 2000 ahli baru diterima. Sehingga ada di kalangan mereka sudah naik meroyan apabila Tuan Guru Presiden Pas menyeru ahli Pas supaya hadir ke Fastaqim 2.0 di Tok Jembal Kuala Terengganu pada 29-30 Sepetember 2017.

“Tuan Guru Presiden hanya ajak ahli Pas sahaja tiba-tiba mereka pula sakit hati. Barangkali ada masalah dalaman,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...