TERKINI :

Sunday, September 24, 2017

Banjir di Kedah, Perlis dijangka pulih berperingkat

24 SEPTEMBER 2017


Traktor turut digunakan bagi memindahkan mangsa banjir dan barang-barang di kawasan yang dinaiki air di Kampung Tebing Tinggi baru-baru ni. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Banjir di Kedah dan Perlis dijangka pulih selepas berakhirnya fenomena air pasang besar esok, kata Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azmy Yahya.

Azmy berkata, walaupun jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan  meningkat, keadaan banjir di dua negeri berkenaan semakin pulih secara perlahan-lahan.

"Hujan yang turun tanpa henti selama lapan jam sejak Khamis lalu dan ditambah pula dengan fenomena air pasang besar telah menyebabkan beberapa daerah di Kedah dan Perlis mengalami banjir.

"Walaupun hujan tidak turun sejak semalam, jumlah mangsa dipindahkan meningkat berikutan air dari hulu yang mengalir bertembung dengan air pasang yang dijangka berakhir esok," katanya pada sidang media di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak enam pusat pemindahan masing-masing di Kedah dan Perlis telah ditutup.

"Pusat pemindahan ini tidak ditutup sepenuhnya kerana ia akan dibuka semula sekiranya perlu, tetapi sekiranya air surut dan hujan tidak turun esok mereka boleh pulang ke rumah masing-masing, " katanya.

Sementara itu, Azmy mengingatkan ibu bapa dan orang ramai supaya lebih peka tentang keselamatan terutamanya kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Di Kedah dan Perlis jarang berlakunya banjir jadi bila jadi ramai yang seronok main air tapi kita bimbang kesan selepas itu yang boleh menyebabkan mereka jatuh sakit berikutan keadaan air banjir yang kotor.

"Kita juga bimbang kehadiran binatang berbisa seperti ular dan paling dibimbangkan akan berlakunya kejadian lemas, " katanya.

Katanya anggota APM sentiasa dalam keadaan bersedia untuk membantu mangsa banjir dan berharap mangsa banjir dapat menyalurkan maklumat serta berpindah ke pusat pemindahan sekiranya rumah mereka dinaiki air.

Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah sehingga pagi ini meningkat kepada 2,873 orang berbanding 2,280 orang malam tadi.

Cuaca di Kedah keseluruhannya adalah cerah setakat tengah hari ini.- Bernama

Banjir: Pas Pulau Pinang lapor polis

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 SEPTEMBER 2017

Yaacob (tengah) bersama pimpinan Pas Pulau Pinang menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam.

GEORGETOWN - Pas Pulau Pinang membuat laporan polis setelah tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri yang didakwa menjadi penyebab utama kejadian banjir di negeri ini.

Pengerusi Lajnah Tanah Pas Pulau Pinang, Yaacob Omar berkata, daripada statistik yang diperolehi, lebih 20 kejadian banjir dilaporkan berlaku dalam tempoh setahun.

Menurutnya, pihaknya mendapati punca kekerapan banjir sejak kebelakangan ini adalah disebabkan tiada perancangan yang baik dibuat sebelum pembangunan dilaksanakan.

“Dahulu, banjir ada berlaku tetapi tidak sekerap ini, dalam setahun dua tiga kali saja. Tetapi sejak kebelakangan ini, banjir makin kerap berlaku. Apa yang kita lihat, kerajaan negeri tidak menjalankan kajian yang sepatutnya sebelum meluluskan projek pembangunan.

“Apabila menjalankan pembangunan, sepatutnya mereka menyediakan sistem parit dan saliran yang baik terlebih dahulu. Namun apa yang berlaku, sistem perparitan dan saliran langsung tidak diambil peduli. Jika parit tidak dibuat dengan betul, maka air akan melimpah dan menyebabkan banjir,” katanya kepada media semalam.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...