TERKINI :

Friday, September 8, 2017

Persamaan fikrah PAS, Umno bukan lagi kebetulan?

http://kualalumpurpost.net/wp-content/uploads/2015/10/Umno-PAS-.jpg

Kenyataan dibuat pemimpin Pemuda PAS yang mengaitkan sokongan kepada Pakatan Hararan (HARAPAN) dengan undi untuk DAP adalah mengulangi kenyataan dibuat Presiden Umno pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil berkata pada tahun lalu Datuk Seri Najib Razak pernah membuat dakwaan bahawa ketuanan HARAPAN adalah DAP.

Justeru kata Faiz, persamaan nada itu membayangkan wujudnya keseragaman fikrah antara kedua-dua parti yang memusuhi HARAPAN kini.

"Mungkinkah persamaan fikrah antara PAS dan Umno sekarang adalah suatu kemahuan dan bukan lagi kebetulan?" katanya.

Semalam Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Ibrahim mengulas panjang mengenai hubungan parti itu dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan kedudukan HARAPAN.

Sambil mengulangi keyakinan parti itu untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dan menguasai empat negeri, Muhammad Khalil berkata setiap undi kepada parti di dalam HARAPAN bermakna memberi undi kepada DAP.

Anak kepada presiden PAS itu juga mendakwa DAP dibayangi agenda mubaligh Kristian yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular.

Bagaimanapun Muhammad Khalil tidak menjelaskan percanggahan antara takrif sekular itu - yang memisahkan hal ehwal pentadbiran daripada agama - dengan Kristian sebagai sebuah anutan.

Kenyataan seperti itu pernah diucapkan Najib semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2016.

Malaysiakini melaporkan Najib bertekad untuk terus memperjuangkan nasib Melayu dan bumiputera bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan "liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya".

Kata Faiz kenyataan Muhammad Khalil juga jelas berbaur perkauman dan menampakkan PAS membantu Najib serta Umno mengekalkan kuasa mereka dalam politik Malaysia.

"Kenyataan tersebut begitu meleset kerana perjuangan HARAPAN ialah untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan kleptokrasi Najib yang banyak melakukan jenayah rasuah dan salah urus tadbir wang negara sehinggakan skandal-skandal rasuah berskala mega seperti 1MDB dan Felda mendapat perhatian antarabangsa," katanya.

Jika memang impi bersama Umno, umum sajalah


Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi semalam bahawa satu undi untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) bermakna satu undi untuk DAP pasti membuatkan orang ramai semakin keliru membezakan antara PAS dan Umno.

Strategi memfokuskan serangan ke atas DAP dan memburuk-burukkan parti itu dengan mempergunakan isu kaum dan agama tidaklah asing kepada Umno.

Malangnya kini PAS juga turut bermain propaganda yang sama dengan mengangkat politik kebudak-budakan dan politik huru-hara.

Sehingga kita sudah sukar membezakan yang mana PAS dan yang mana Umno.

Sepertinya kini, undi untuk PAS bermakna mengundi untuk meneruskan gaya politik Umno.

Terdesaknya PAS mengikut jejak langkah Umno menyebabkan mereka mencapai apa saja propaganda yang ada lalu dilambakkan kepada umum.

Hal itu berlarutan sehingga mengatakan DAP menggerakan gerakan Kristian untuk menjadikan Malaysia negara sekular.

Suatu masa dahulu, penceramah-penceramah PAS sendiri yang mengajar bahawa sekular itu bermakna "agama suku negara suku".

Dalam erti kata lain, negara tidak lagi beragama. Nah, sekarang bagaimana pula PAS boleh mengatakan sebuah gerakan agama Kristian mahu mewujudkan sebuah negara tidak bergama seperti yang PAS fahami?

Indah khabar dari rupa

Politik menghasut api kebencian antara umat Islam dan Kristian ini merupakan politik kebudak-budakan dan politik huru-hara.

Muhammad Khalil perlu berhenti menabur janji yang hanya indah khabar dari rupa. Beliau menceritakan tentang mahu mengubah Malaysia supaya menurut kepada ideologi PAS dengan sasaranya memenangi 40 kerusi parlimen.

Sesiapa yang waras boleh nampak dengan jelas, sekiranya PAS memenangi 40 kerusi parlimen, mustahil PAS boleh membentuk kerajaan Persekutuan lantas mengubah Malaysia menjadi lebih PAS.

Pencapaian terbaik PAS memenangi 27 kerusi parlimen adalah melalui pakatan pembangkang manakala pencapaian terburuk PAS pula jika dicermati adalah sewaktu mereka mereka bertanding secara sendirian.

Bagaimanakah Muhammad Khalil membayangkan kemungkinan sedemikian? Adakah beliau sebenarnya merasakan 40 kerusi itu mencukupi mengambil kira sekali kerusi yang mungkin dimenangi Umno lantas membentuk satu gabungan Umno - PAS?

Jika tidak, maka jelas itu hanya merupakan strategi igauan di siang hari.

Kenyataan Muhammad Khalil itu juga memperkukuhkan lagi tanggapan bahawa PAS sememangnya tidak mengerti akan semangat sebuah pakatan.

Dan itulah puncanya mengapa suatu masa dahulu mereka bertindak memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP.

PAS dan sifat ujub

Oleh kerana sifat ujub (kagum terhadap diri sendiri) kebanyakan pimpinan PAS mereka berasakan parti itu yang paling kuat, lalu mula bertindak mengikut kepala sendiri sehingga akhirnya berseteru dengan PKR dan DAP.

Jelas selama ini PAS tidak faham bahawa kebanyakan kerusi yang mereka menangi sekarang adalah hasil usaha sebagai satu pakatan pembangkang suatu masa dahulu.

Rakyat tidak kira kaum dan agama memberikan undi kepada PAS kerana mereka merasakan pakatan politik yang terbina dahulu merupakan satu pakatan yang terbaik untuk membentuk kerajaan.

Undi diberikan kerana rakyat merasakan bahawa idea yang dibawa semua parti secara gabungan itu adalah apa yang mereka perlukan. Bukannya kerana ideologi khusus mana-mana parti dalam gabungan.

Begitulah juga nanti untuk PRU ke-14. Satu undi untuk HARAPAN merupakan satu undi untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), AMANAH, PKR dan DAP.

Ia sebuah pakatan politik yang benar-benar berpotensi membentuk sebuah kerajaan stabil, progresif dan bersih.

Saya menyeru kepada Muhammad Khalil supaya bermuhasabah dan membuang rasa ujub yang membarah di dalam PAS.

Selain itu berhentilah meniru-niru Umno. Jika memang sudah ada mimpi-mimpi untuk bersekedudukan dengan Umno, umumkan sajalah!

EDRY FAIZAL EDRY YUSOF ialah Ketua Pemuda DAP Subang dan anggota Jawatankuasa DAP Selangor.

STATUS PERMOHONAN PERLESENAN KELAB FAM/AFC OLEH PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH DARUL AMAN (KFA).

KENYATAAN MEDIA
=================
STATUS PERMOHONAN PERLESENAN KELAB FAM/AFC OLEH PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH DARUL AMAN (KFA).

1. Merujuk kepada kenyataan media bertarikh 7 September 2017 oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin di laman sesawang www.fam.org.my berkenaan status permohonan perlesenan kelab untuk Liga Super dan AFC 2018, KFA telah menerima maklumbalas secara rasmi pada 30 Ogos 2017 berkenaan status permohonan tersebut.

2. KFA telah dimaklumkan oleh FAM berkenaan status First Instance Body (FIB) bahawa KFA tidak mendapat kelulusan dan perlu memberi penjelasan lebih lanjut hanya berkenaan 1 kriteria dalam kriteria kewangan. Proses seterusnya KFA perlu mengemukakan pengesahan samada untuk membuat rayuan kepada Appeal Body (AB) Badan Perlesenan Kelab FAM sebelum 4 September 2017. Dokumen sokongan untuk rayuan perlu dihantar sebelum Appeal Body bersidang yang dijadualkan pada 15 September 2017.

3. Untuk makluman, syarat-syarat perlesenan kelab, ada 6 kriteria utama pelesenan kelab perlu disediakan terlebih dahulu. 6 kriteria utama tersebut adalah:

i. Kriteria kesukanan;

ii. Kriteria infrastruktur;

iii. Kriteria pentadbiran;

iv. Kriteria undang-undang;

v. Kriteria kewangan;

vi. Kriteria perniagaan.

4. Keperluan setiap 6 kriteria utama ini yang kemudian dipecahkan kepada beberapa sub kriteria akan dinilai mengikut 3 gred iaitu:

i. Gred A – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred A, mereka tidak akan diberi lesen memasuki pertandingan AFC dan FAM.

ii.  Gred B – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred B, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM jika mendapat kebenaran pemberi lesen.

iii. Gred C – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred C, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM. Boleh berubah menjadi gred A dan B pada bila-bila masa.

5. Proses yang ditetapkan oleh badan perlesenan kelab FAM adalah seperti berikut:

a.  31 Julai: KFA telah menghantar semua dokumen permohonan Perlesenan Kelab melalui sistem kepada Badan Perlesenan Kelab FAM;

b. 25 Ogos: First Instance Body Perlesenan Kelab FAM bersidang untuk menentukan status keputusan permohonan;

c. 30 Ogos: Status keputusan mengenai permohonan Perlesenan Kelab dihantar kepada setiap pemohon.

d. 15 September: Appeal Body Perlesenan Kelab FAM dijadualkan akan bersidang untuk menyemak status rayuan permohonan yang tidak diluluskan oleh First Instance Body, keputusan akan dimaklumkan beberapa hari selepas Appeal Body bersidang;

e.  30 September: FAM akan merekodkan pasukan yang layak atau tidak layak diberikan lesen kelab oleh FAM bagi kejohanan Liga Malaysia serta kejohanan AFC musim 2018;

f. 31 Oktober: Badan Perlesenan Kelab FAM akan memaklumkan kepada AFC status muktamad kelab-kelab Liga Malaysia yang melepasi syarat Perlesenan Kelab FAM/AFC.

6. Permohonan KFA telah diputuskan belum mencapai kriteria oleh First Instance Body atas 1 aspek di dalam kriteria kewangan yang melibatkan perkara subjektif yang akan diselesaikan oleh pengurusan KFA sebelum Appeal Body dijadualkan bersidang pada 15 September ini.

7. KFA telah membuat permohonan kepada Badan Perlesenan Kelab FAM untuk mendapatkan lesen kelab bagi pertandingan anjuran FAM dan AFC bagi musim 2018.

8. Melalui keputusan yang dikeluarkan oleh FAM pada 30 Ogos lepas, 7 pasukan telah mendapat kelulusan iaitu JDT FC, PKNS FC, Selangor FA dan Pahang FA (lesen kelab FAM dan AFC) dan Perak FA, Pulau Pinang FA serta T-Team FC (lesen kelab FAM).

9. KFA (akan/telah) menghantar rayuan kepada Appeal Body dengan dokumen sokongan berkaitan untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengikut keperluan First Instance Body melalui surat makluman asas alasan KFA tidak diberi kelulusan oleh First Instance Body.

10. KFA percaya semua persediaan yang telah dilakukan bermula dari pemohonan awal perlesenan kelab FAM dan AFC teratur mengikut aspek yang telah ditentukan oleh Badan Perlesenan Kelab FAM serta AFC dan akan terus memberi komitmen penuh bagi memastikan KFA mendapat lesen kelab.

11. Appeal Body dijadualkan akan bersidang pada 15 September ini bagi menilai rayuan pasukan yang tidak mendapat kelulusan perlesenan kelab melalui First Instance Body.

12. Selagi proses perlesenan kelab masih terbuka dan tidak muktamad, semua pihak berkepentingan dapat mengikuti perkembangan positif perlesenan kelab di Malaysia dan terus menyokong usaha KFA untuk mencapai tahap piawai dalam pengurusan bolasepak moden.

Sekian, terima kasih.

Kenyataan media oleh,

Dato’ Aminuddin Omar,
Setiausaha Kehormat
Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman

Memangkah bulan di dada dacing

 
ULASAN | Beberapa tahun sudah, ketika Parti Islam Semalaysia mula bermanja secara terbuka dengan Umno, suatu sesi bergambar melibatkan sayap pemuda parti itu diadakan.

Seingat saya, ia berlaku beberapa ketika sebelum muktamar yang menampilkan pertunjukan silat, memotong kek dengan keris dan pimpinan parti berbusana Melayu tradisional itu berlangsung di Kota Bharu.

Sesi bergambar tersebut, saya kira dilakukan bertujuan menampilkan sisi Melayu Pemuda PAS pada muktamar berkenaan, selepas muktamar sebelumnya memperlihatkan segerombolan besar pimpinan tunjang parti berkenaan disingkirkan.

Beberapa keping gambar daripada sesi tersebut dikongsikan ke media sosial. Salah satunya memperlihatkan anak kepada Tuan Guru Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi sedang berkeris dengan timbalannya di Pemuda PAS kini, Khairil Nizam Khirudin.

Khalil memperlihatkan langkah menangkap tikaman keris Khairil, sambil kerisnya sendiri ditusukkan ke rusuk rakannya itu.

Khairil bagaimanapun, menampan serangan itu dengan hanya telapak tangan. Mungkin Khairil ada ilmu kebal, dan tikaman itu tidak lut pada tapak tangannya. Kita tidak tahu. Namun jika itu bukan lakonan, Khairil pastinya cedera terkena tikaman rakannya itu.

Politik juga bukan sekadar lakonan, meski lakonan adalah sebahagian daripada politik. Seperti juga aksi bertikam Khalil, PAS dan Umno juga boleh berlakon.

PAS boleh sahaja bersahaja seolah-olah ia tidak punya hubungan dengan Umno. PAS juga boleh berlakon seolah-olah ia tidak tahu bahawa Umno sedang mempermainkan hati dan perasaannya. Tetapi seluruh negara tahu, malah anggota PAS - di peringkat akar rumput - juga tahu bahawa hubungan PAS dan Umno tidak banyak beza dengan pertarungan ‘sengit’ Khalil dan Khairil tadi.

Dalam PRU ke-13, arwah Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya apabila PAS gagal memenangi sebanyak kerusi yang sepatutnya mereka menangi.

Aneh sekular tapi Kristian

Sebahagian besar khabarnya digagalkan oleh jentera PAS sendiri yang dalam diam-diam menanam ranjau, menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan mengatur langkah menggagalkan usaha calon mereka sendiri yang cenderung memihak Anwar.

Gerombolan yang sama juga kini gigih menyuarakan bantahan terhadap usaha Pengarah Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Azmin Ali untuk berunding dan memastikan tidak terjadi pertembungan tiga penjuru.

Tembikai-tembikai ini (yang luarnya hijau, dalamnya merah Umno) masih jelas menjalinkan hubungan sulit dengan Umno meski beriya menafikannya.

Tidak sedikit sumber tiris di Putrajaya yang memberitahu betapa akrabnya hubungan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sejak ‘muktamar keris’ itu, PAS dengan terang dan nyata menolak serta membuang sahabat-sahabat lama mereka demi persahabatan baru yang menurut mereka lebih menguntungkan agama, kononnya.

Demi persahabatan baru itu, juak-juak PAS terpaksa mengeyakan fatwa dan ijtihad tanzim menggunakan hujah-hujah lama Umno bagi menyerang HARAPAN dengan membingkainya sebagai "dikemudi demi kepentingan DAP".

Parti itu pula didakwa PAS kononnya menjalin hubungan dengan evangelis demi membangun sebuah negara sekular.

Demikian cubaan kelakar anakanda Haji Hadi membingkai keadaan politik parti kawan-kawan lama sebagai "undi HARAPAN ertinya mengundi DAP".

Apalah mengarut negara sekular tidak bertuhan mahu dibangunkan dengan usahasama mubaligh Kristian?

Kekalkan Najib sebagai PM

Cubaan ini tidak banyak beza dengan cubaan Khairil menikam dan menampan serangan dengan tapak tangan itu tadi.

Dalam tak sedar, diri sendiri bakal cedera dan ditimpa malu kerana tidak pandai menyambut pukulan, tetapi ada hati pula melancarkan serangan.

Khalil pastinya sedar, setiap satu undian kepada PAS adalah tanda setuju dan akur kepada persandingan rahsia dengan Umno.

Setiap satu undi kepada PAS adalah pernyataan reda dan rela kepada persekongkolan terhadap rompakan berbilion ringgit terkait 1MDB.

Setiap satu undi ke parti bulan adalah talian hayat kepada Umno yang sedang gembira melihat parti-parti pembangkang bukan sahaja saling bercakar, malah melihat PAS menyerang parti kawan-kawan dengan peluru yang dibekalkan oleh mereka.

Mengundi PAS, ertinya memilih Najib Razak sebagai perdana menteri, dan mengekalkan Datin Seri Rosmah Mansor di Sri Perdana.

Memilih PAS, ertinya memilih Umno. Inilah pengertian budaya politik matang dan sejahtera PAS. Bersanding diam-diam, menipu terang-terang.

IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...