TERKINI :

Sunday, August 27, 2017

Tidak adil jika saya tidak dipanggil jadi saksi RCI Forex – Anwar

 Tidak adil jika saya tidak dipanggil jadi saksi RCI Forex - Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau bimbang tidak akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) yang kini sedang berlangsung di Putrajaya, walaupun ada “kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat”.

Sebaliknya, ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun itu berkata beliau hanya dapat mengikuti perkembangan kes ketika kunjungan peguamnya di Penjara Sungai Buloh.

Anwar berkata apabila dipanggil kelak, beliau sedia menjawab tuduhan dibuat oleh salah seorang saksi ketika pendengaran RCI itu Isnin lalu, bekas penolong gabenor BNM, Datuk Murad Abdul Khalid.

“Saya berkata ‘apabila saya dipanggil’ kerana saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan Suruhanjaya walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama,” kata Anwar dalam kenyataan dikeluarkan menerusi PKR hari ini.

Isnin lalu, Murad mendakwa pernah memberikan taklimat kepada Anwar selaku menteri kewangan ketika itu mengenai kerugian berbilion ringgit ditanggung BNM.

Menurut Murad, Anwar memberitahunya beliau terpaksa meletak jawatan sekiranya kerugian itu didedahkan kepada umum.
“Tuduhan ini adalah palsu belaka. Saya tidak pernah berkata sedemikian kepada beliau,” kata Anwar.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah Gabenor BNM Tan Sri Jaffar Hussein untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan BNM.”

Anwar berkata beliau berurusan terus dengan Jaffar ketika itu dalam menangani isu tersebut.

Katanya, Murad memusuhinya “secara peribadi” sejak 1999, apabila mengeluarkan akuan berkanun yang terbukti palsu.

“Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan hal ini dan berkata ‘akuan tersebut meragukan (discredited)’ apabila hakim memutuskan New Straits Times bersalah di dalam kes saman saya berkenaan satu laporan akhbar tersebut yang merujuk akuan berkenaan,” katanya. – FMT

PKR kena pilih berada dalam 2 kolam atau…


August 27, 2017

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.
KOMEN

rafizi-pkr

Oleh Rafizi Ramli

Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS berpanjangan kerana ia 1 keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya PKR semata-mata.

Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya, termasuk bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS atau “berada di dalam 2 kolam” bersama PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

i. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan PKR

ii. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan 3 penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

iii. Soal tanggungjawab moral – bahawa PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.

Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun PH ditubuhkan.

Malah semasa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan PH telah mengumpul 1 petisyen untuk memecat saya dari jawatan setiausaha agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara 2 pemikiran berbeza dalam PKR.

Di 1 pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.

Hasil dari pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan 3 penjuru dalam pilihan raya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan dalam PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di 1 pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan 1 gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya PKR dalam politik tanah air adalah kerana PKR adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan PKR dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat begini adalah saya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung), Datuk Johari Abdul (ketua whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (bendahari agung), Syed Ibrahim Syed Noh (ketua penerangan) dan William Leong sendiri.

PKR terbahagi 2

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara 2 pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Dr Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH di celah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis masyarakat sivil.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan dalam PH dapat diredakan.

Matlamat utama ialah untuk membina 1 barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan 1 lawan 1 di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada dalam Pakatan Harapan atau tidak).

Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Pertembungan di antara 2 pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kaji selidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan 3 penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Datuk Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel).

Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan 1 lawan 1, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada PKR.

Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Center atau Institut Darul Ehsan. Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.

Sudah tentu dapatan kaji selidik Invoke sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan itu. Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan PH berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kaji selidik terkini iaitu Julai 2017, kaji selidik Invoke menyimpulkan undi Melayu PH adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.

Pertembungan 2 set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat 1 pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.

Invoke ditubuhkan oleh saya. Maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem yang digunakan oleh Invoke menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.

Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ihsan Menteri Besar Selangor. Malah, kaji selidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji selidik.

Bagi Merdeka Center pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Center juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab, bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Center juga diberi tanggungjawab menguruskan 1 projek bernama #teamSelangor di bawah Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.

Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari Institut Darul Ehsan dan Merdeka Center, kaji selidik mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Azmin.

Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kaji selidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan dan Mohd Noor mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR-PAS.

Usaha yang mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah 1 usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan Amanah, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan PPBM semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan dari PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada 2 kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Shamdul Iskandar, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin. Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah (yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan), Datuk Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan N Surendren. Ahli MPP pula termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Latheefa, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin, Nik Nazmi, Tan Yew Kew, Syed Ibrahim, Johari, Sim Tze Tzin (pengarah strategi), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), William Leong, Jeneral (B) Datuk Hadi (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah). Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya 1 kongres khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada 1 pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.

Rafizi Ramli adalah naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan

Pas tutup pintu rundingan dengan pihak bawa imej PH

27 Ogos 2017 | MALAYSIA DATELINE
1 Comment

khairuddin aman razali

Pas tidak akan lagi mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana parti atau individu yang membawa imej Pakatan Harapan (PH) menjelang pilhan raya umum ke-14 (PRU14) melainkan menerusi Gagasan Sejahtera, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Datuk Khairuddin Aman Razali.

“Tak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik untuk pilihan raya dengan mana-mana pihak kecuali menerusi Gagasan Sejahtera. Termasuk atas nama individu sekalipun selagi ia membawa imej PH,” katanya daam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menegaskan bahawa perbincangan antara PKR dan Pas tidak melibatkan PH.

Menteri Besar Selangor itu juga menegaskan bahawa perbincangan itu bukan merupakan inisiatifnya sendiri, sebaliknya beliau hanya mewakili PKR.

Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, ahli dan pimpinan Pas telah bersedia dari sudut psikologi untuk menyertai PRU14 atas nama Gagasan Sejahtera menentang Umno-BN.

"Moto kita Pas ganti Umno dan Gagasan Sejahtera ganti BN dan PH," katanya.

Biro Politik PKR minggu lalu dilaporkan memberi laluan kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin untuk berbincang dengan Pas bagi meneruskan kerjasama politik.

Azmin sebelum ini telah memulakan rundingan tidak rasmi bersama Pas walaupun parti Islam itu telah memutuskan hubungan politiknya dengan PKR berikutan keputusannya pada muktamar parti itu April lalu.

PKR sedia berbincang dengan Pas Selangor meskipun Pas berhasrat untuk bertanding sebanyak 42 kerusi DUN



http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/08/azmin-ali1.jpg
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang dengan Pas Selangor meskipun Pas negeri itu berhasrat untuk bertanding sebanyak 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata isu itu dapat diselesaikan dalam bentuk perbincangan. PKR sedia berbincang dengan semua pihak.

"Ia adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita apabila ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya ke tanah air dari lawatan kerja ke Zurich, Switzerland.

Khamis lalu, Pas Selangor mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 42 kerusi Dun Selangor, termasuk kerusi yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Dun Kajang) dan Mohamed Azmin (Dun Bukit Antarabangsa).

Pas juga mahu bertanding semula di kerusi Parlimen Gombak yang kini turut disandang Mohamad Azmin.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu menafikan bahawa terdapat perbincangan rasmi antara PKR dengan Pas berhubung pembahagian kerusi berikutan tersebarnya gambar kunjungan beliau bersama Wan Azizah terhadap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

"Ini merupakan satu ziarah kerana masalah kesihatan beliau (Hadi). Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, kita menziarahi antara satu sama lain," katanya.

Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Universiti Selangor (UNISEL) dan Menteri Besar Incorporated (MBI), Mohamed Azmin berkata beliau mahu SPRM bertindak adil dan profesional.

"Kerajaan negeri, MBI dan UNISEL akan memberikan semua dokumen dan kerjasama (yang diperlukan).

"Siasat secara terbuka, telus dan profesional... tiada perkara akan disorok. Semua proses (pembayaran) berjalan dengan telus dan terbuka demi menjamin perjalanan akademik dan keselesaan di Unisel," katanya.

Selasa lalu, SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta dipercayai oleh MBI kepada sebuah syarikat swasta.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk UNISEL di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Kecamukan Memali, Bank Negara

 Kecamukan Memali, Bank Negara
DUA isu diperkatakan dalam ruangan ini. Pertama, Memali. Kedua, Bank Negara. Peristiwa berdarah Memali berlaku 32 tahun dulu, sedangkan penyangakan wang Bank Negara, 20 tahun dulu.

Memali ialah pokok renek berduri yang memberikan bahan berkhasiat untuk ubat kanser. Penyangakan bererti melakukan perbuatan kotor.

Apakah pokok memali yang berbahaya kerana berduri itu sekali gus jadi penawar adalah satu persoalan menarik. Satu lagi ciri-ciri memali ialah ia berbunga dua tiga kuntum dalam satu rumpun, tetapi bunga cantik yang berwarna-warni itu tidak mengeluarkan bau harum.

Ini ditambah pula dengan minat semut gatal (semut merah atau semut api) yang suka membuat sarang dalam pasir di mana rumpun memali itu berada. Seseorang menghadapi risiko tercocok duri di rantingnya, di samping menanggung bisa dari gigitan semut itu. Adakah begitu perlambangan peristiwa Memali itu?

Tun Musa Hitam yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu baru-baru ini berkata, bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bergopoh gapah kerana ia mungkin bersifat kepentingan politik jangka pendek dan sempit. Beliau tentu beri perhatian berat tentang tragedi itu memandangkan sejak berlaku dulu beliau dirundungi tuduhan beri lampu hijau bertindak sehingga berlakunya pembunuhan begitu ramai, termasuk Ibrahim Libya.

Tan Sri Abdul Rahium Noor, mantan Ketua Polis Negara, menyuarakan sikap awas-awasnya apabila beliau menegaskan Datuk Seri Haji Abdul Hadi, Presiden Pas, patut disiasat sebab didapati beliau mendorongkan Ibrahim Libya dan pengikutnya bertindak liar melalui ucapan ‘pengkafiran’. Kisah Memali ini amat intriging. Dalam bertindak untuk mencemarkan Tun Dr Mahathir Mohamed, ia boleh merosakkan nama Tun Musa dan Tun Haniff (mantan IGP).

Sudah lama perkhabaran berputar bahawa Tun Mahathir berada di Malaysia dan bukan di negara China ketika letusan itu berlaku. Ini hanya soal siapa yang cakap benar dan siapa berbohong. Persoalannya, apa dan kenapa ia berlaku. Orang yang berprinsip dan teguh tidak mudah bertindak atas arahan orang lain. Dia pun sanggup meletak jawatan untuk itu. Namun apa yang berlaku sudah menjadi sejarah terbuka.

Manusia menjadi lebih bijak apabila ia sudah bertindak – apalagi jika tindakan itu terbukti sesuatu yang buruk. Logik rantaian arahan (chain of command) ialah: Menteri Dalam Negeri arahkan KPN dan KPN mengarahkan stafnya bertindak. Ketika itu, ramai berpendapat jika Ibrahim Libya dan pengikutnya dibiarkan terkepung dalam kawasannya, dari minggu ke bulan dan seterusnya, nescaya mereka kehabisan makan-minum; lemah dan mungkin menyerah diri ataupun mereka senang diambil tindakan tanpa pertumpahan darah.

Akibat penyangakan di BNM 20 tahun dulu, Gabenor Tan Sri Jaafar Hussein dan Noor Mohamed Yakcop (belum Tan Sri) telah meletak jawatan kerana mengaku bertanggungjawab terhadap episod hitam itu, Jaafar meninggal tidak berapa lama selepas itu. Noor dijadikan penasihat; selepas itu Pengarah Eksekutif oleh PM Tun Dr Mahathir.

Tun Abdullah Badawi apabila menjadi PM melantik Noor sebagai Menteri Kewangan II (MK2); diberikan tempat bertanding dalam pilihan raya 2008; disambungkan jawatannya sebagai MK2. Di bawah PM DS Najib, Noor kekal sebagai MK2 hingga pilihan raya 2013. Selepas pilihan raya itu, beliau dilantik oleh PM Najib sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, badan pelaburan Kerajaan Pusat paling besar.

Dengan menoleh ke belakang, tidak sukar menyimpulkan bahawa Najib sudah lama menampung keraguan terhadap penyangakan RM30 bilion itu. Beliau sedia maklum tidak ada sebarang penyelidikan dan penyiasatan yang pernah diambil. Soalnya, kenapa tidak bertindak mesra - jika tindakan kasar tidak mahu diambil – dengan hanya membiarkan Noor pergi tanpa heboh-heboh, selaras dengan prinsip integriti dan urus tadbir. Oleh itu mengekalkan beliau hingga sekarang boleh menimbulkan soal ‘malintent’ atau ‘niat buruk’. Bukan kecil pula masalah ini untuk Najib beri penjelasan kepada RCI yang sedang melaksanakan tugasnya.

Pada hakikatnya, sejak dulu lagi kesumbangan berlaku. Nick Leeson yang meruntuhkan Bank Barings kepunyaan Inggeris di Singapura pada 1995 dengan membuat silap seperti Noor di BNM telah dihukum dan dipenjarakan. Jerome Kerviel di bank Societe Generale di Paris juga dihukum teruk. Noor bukan saja tidak menerima layanan buruk begitu, beliau malah diberi pangkat dan gelaran tinggi. Ini sendiri menjadi cabaran kepada Najib dan RCI.

* Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

Tandukan Thanabalan menyebabkan Indonesia tewas dan membawa Malaysia ke final

 Thanabalan
Jaringan tunggal penyerang negara, N. Thanabalan pada lewat perlawanan membawa Malaysia ke final acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas mengalah Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Skuad negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan bertemu Thailand dalam pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Terdahulu, Thailand, selaku juara bertahan, sebelum itu, melangkah ke final selepas mengalahkan Myanmar juga dengan 1-0 pada satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Selayang.

Beraksi di hadapan kira-kira 80,000 penonton, Malaysia terlebih dahulu memberi amaran awal menerusi Muhammad Safawi Rasid yang berjaya melakukan larian deras ke dalam kotak penalti Indonesia sebelum membuat hantaran tepat kepada Thanabalan, namun gagal disudahkannya.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sekali lagi mengancam kubu pertahanan skuad kendalian Luis Milla apabila sepakan penjurunya melencong ke arah gawang Indonesia namun berjaya ditepis penjaga, Satria Tama Hardiyanto, pada minit ke-29.

Seminit kemudian, Thanabalan melakukan percubaan jarak dekat namun selagi diselamatkan oleh Satria sebelum Indonesia menadapat peluang pada minit le-33 menerusi sepakan percuma Septian David Maulana yang gagal membawa perubahan kepada skor pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Muhammad Jafri Muhammad Fridaus hampir mengukir senyuman di wajah puluhan ribu penyokong Malaysia menerusi tandukan pada minit ke-65 yang hanya seinci melewati tiang gol Indonesia.

Lima minit berselang, penyerang pasukan Pulau Pinang itu sekali lagi melakukan lompatan tinggi untuk menanduk hantaran rakan sepasukan dari sebelah kanan, namun masih gagal memecah kebuntuan.

Memasuki 20 minit terakhir permainan, Indonesia, yang kali terakhir mara ke final pada edisi 2011, mula menggandakan asakan bagi memburu gol pembukaan, namun kekebalan benteng pertahanan negara yang diketuai kapten Muhammad Adib Zainudin berjaya mematahkan serangan negara jiran itu.

Akhirnya, penantian gol muncul pada minit ke-87 apabila Thanabalan menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Nor Azam Abdul Azih untuk meletakkan Malaysia selangkah untuk mengulangi sejarah merangkul ibu segala pingat di laman sendirii selepas edisi 1989 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Kim Swee berkata beliau gembira dengan kejayaan itu tetapi menuntut anak buahnya supaya tidak terlalu yakin malah akan berdepan dengan ujian hebat menentang Thailand.

Kami berjaya melepasi halangan getir ini tetapi jangan terlalu cepat untuk meraikan kejayaan ini kerana misi kita belum selesai. Saya akan menggunakan tempoh rehat tiga hari ini untuk menyediakan strategi yang baik, katanya.

Jurulatih itu berkata pasukannya bersedia menghadapi Thailand dengan semangat baharu setelah kalah 3-0 kepada pasukan itu pada pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun di Bangkok, bulan lepas.

Kami tidak gentar menghadapi Thailand kerana pemain sudah bersedia memberikan yang terbaik di pentas final, katanya.

Dalam pada itu, Milla berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan memuji anak buhanya kerana memberi tentangan sengit walaupun berdepan dengan ribuan penyokong tuan rumah.

"Saya ingin memohon maaf kepada penyokong kami yang datang dari Indonesia tetapi perjuangan ke pentasi final sudah berakhir," kata jurulatih berusia 51 tahun dari Sepanyol itu.

Beliau juga berharap anak buahnya dapat menebus kekecewaan ini dengan mengalahkan Myanmar pada perlawanan menentukan pingat gangsa yang akan ditentukan kemudian.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...