TERKINI :

Saturday, August 19, 2017

Kit Siang: HARAPAN boleh menang di Kedah

 http://www.beritadaily.com/wp-content/uploads/2017/01/kedah-GE14.jpg
Pakatan Harapan boleh membentuk kerajaan negeri Kedah yang berikutnya jika DAP dibenarkan untuk bertanding di dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pemimpin kanan Lim Kit Siang.

Kerusi yang disasarkan DAP itu dimenangi MCA dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Dalam sebuah kenyataan media hari ini, Lim meramalkan tsunami rakyat Malaysia jika 10 peratus orang Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu berubah menyokong HARAPAN.

Kata beliau formula ini bukan setakat membantu HARAPAN menang majoriti di parlimen tetapi juga di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Penang dan Selangor.

"Dalam keadaan ini bagaimanapun hasil pengundian di Kedah akan menemui jalan buntu dengan masing-masing HARAPAN dan BN bakal mendapat 18 kerusi, dengan PAS gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah walaupun calon-calon PAS bertanggungjawab memberi kemenangan kepada BN dalam 14 daripada 18 kerusi tersebut kerana perpecahan undi.

"DAP dapat membantu HARAPAN untuk memecahkan kebuntuan 18 kerusi BN dan 18 kerusi pakatan pembangkang itu. Jadi HARAPAN dapat menang kerajaan negeri Kedah jika DAP bertanding di Kulim dan Gurun. Ia dapat menggerakkan sokongan untuk HARAPAN di kawasan selatan dan tengah negeri Kedah," kata beliau.

Dalam pilihan raya umum 2013, DAP bertanding dan memenangi kerusi DUN Derga dan Kota Darulaman.

Kerusi Kulim dan Gurun pula ditandingi oleh calon-calon PKR yang tewas kepada MCA.

Di Gurun, MCA menewaskan PKR dengan undi majoriti sebanyak 1,296, manakala di Kulim, PKR tewas dengan hanya 643 undi majoriti di dalam pertandingan tiga penjuru yang menampilkan calon Berjasa.

Kedah pernah jatuh ke tangan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat pada 2008 dengan PAS memenangi 16 kerusi DUN, berbanding DAP satu kerusi dan empat kerusi dari PKR.

Namun pada 2013, PAS hanya menang 9 kerusi, sementara PKR mengekalkan empat kerusi DUN mereka dan DAP pula bertambah kerusinya menjadi dua.

Pilihan raya umum ini bakal menyaksikan persaingan sengit dengan PAS bersendiri bertanding menentang HARAPAN dan BN.

Ku Nan bimbang trend penurunan sokongan kepada Umno

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/05/umno-1.jpgJentera Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menggiatkan usaha bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 dalam usaha mencapai kemenangan besar pada PRU ke-14.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jentera Umno masih mempunyai masa untuk menggiatkan usaha berkenaan.

"Anggota Umno di peringkat akar umbi juga perlu mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan rakyat tidak mahu menyokong parti sama ada ia disebabkan ada segelintir pemimpin dan wakil rakyat tidak turun ke bawah merasai denyut nadi rakyat," katanya.

"Setiap yang berlaku mesti ada sebab. Cari puncanya dan betulkan punca itu. Barangkali, disebabkan perangai kita, lagak kita," katanya berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Tanjung Piai, hari ini.

Turut hadir ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Datuk Md Othman Yusof.

Tengku Adnan berkata beliau bimbang dengan trend penurunan sokongan yang dicatatkan sejak PRU-11 dan mahu usaha dijalankan bagi memberi penerangan kepada rakyat.

Beliau berkata sehubungan itu, jentera kepimpinan Umno dan Barisan Nasional mesti mengamalkan resmi padi yang semakin 'menunduk apabila berisi'.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata beliau percaya sokongan rakyat kepada UMNO dan BN akan bertambah sekiranya jentera kepimpinan sentiasa turun padang berjumpa rakyat.

"Antara Abdul Hadi dan Mahathir, aku tak setuju dengan Hadi"

 Tun Mahathir dan Abdul Hadi
Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin mempunyai perbandingan menarik antara dua pemimpin sekarang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan.

Bagi bekas Adun Pas di Perlis itu, kedua-duanya ada kelebihan masing-masing tetapi beliau menegaskan, "Aku tak setuju dengan Abdul Hadi sebab mesra Umno. Dan aku setuju dengan Mahathir sebab lawan Umno. Itu saja."

"Jika Abdul Hadi dipanggil tuan guru, Mahathir dipanggil doktor. Jika Abdul Hadi pernah jadi MB, Mahathir pernah jadi PM," tulisnya dengan bahasa yang santai.

"Jika Abdul Hadi pandai cakap Arab, Mahathir pandai cakap Inggeris. Jika Abdul Hadi pernah mengajar orang di masjid, Mahathir pernah merawat orang di klinik," katanya lagi.

"Jika Abdul Hadi Presiden Pas, Mahathir pernah jadi Presiden Umno. Jika Abdul Hadi ada Khalil, Mahathir ada Mukhriz," katanya.

Dan yang pastinya kata beliau, mereka berdua orang Islam.

"Kedua-duanya pernah buat dosa, dan kedua-duanya pernah buat jasa. Kedua-duanya (dan kita juga) wajib bertaubat drpd dosa," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati agar tidak taksub kepada sesiapa sama ada Abdul Hadi atau Tun Mahathir kerana kedua-dua individu itu ialah manusia yang ada akal dan juga nafsu.

Namun di penghujung tulisannya, Zolkarnain menegaskan, "Peringatan: Ini cuma draf."

Ia dipercayai menyindir ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor yang menarik balik tulisannya mengenai Akta 164 dengan alasan ia hanya draf selepas menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak.

BETULKAH AMANAH HANYA DAPAT 1% SOKONGAN RAKYAT?


1. Saya boleh terima kalau hendak kata Amanah lemah, tidak kuat dan tiada sokongan.

2. Saya boleh terima jika hendak kata PAS kuat dan punyai sokongan akar umbi yang mantap.

3. Saya boleh terima kalau PKR mahu bekerjasama dengan PAS.

4. Saya boleh terima kalau UMNO mahu bekerjasama dengan PAS.

5. Semua kenyataan di atas pada saya masuk akal biarpun saya mempunyai pandangan yang berbeza.

6. Tetapi apabila ada ilmuan dengan bersandarkan kepada hasil kaji selidik menyatakan Amanah hanya ada 1% sokongan rakyat, saya rasa itu sudah terkeluar dari logik akal, melainkan yang dikaji itu sampelnya dikutip di kawasan pedalaman atau kajian itu adalah di Sabah dan Sarawak.

7. Merenung ke depan, saya terfikir kenapalah kita semakin jauh dari dunia realiti. Mengkajilah dengan metod yang betul supaya hasil kajian kita dihormati.

Mohamad Agus yusof

Lebuh raya sesak: Pemandu boleh tuntut pampasan

 Pretam-Singh_highway_jem_600
PETALING JAYA: Pemandu-pemandu yang mengalami kerugian disebabkan kesesakan teruk di lebuh raya walaupun membayar tol boleh merujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk mendapatkan pampasan.

Bekas pengerusi tribunal pengguna Pretam Singh berkata syarikat konsesi lebuh raya adalah pembekal perkhidmatan dan oleh itu sebarang perkhidmatan yang disediakan seharusnya sesuai untuk tujuan yang digariskan.

“Ia adalah jaminan tersirat kepada pengguna. Dalam kes ini pemandu, apabila mereka menggunakan lebuh raya, perkhidmatan yang sesuai dan sepatutnya perlu diberikan sebagai pertukaran kepada kutipan tol,” katanya.

Pretam berkata dalam undang-undang Akta Perlindungan Pengguna 1999, Parlimen memberi perlindungan awam daripada “gergasi perniagaan.”

“Ini kerana pengguna, yang juga seorang pemandu tidak mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik jika dibandingkan dengan pembekal,” katanya.

Pretam berkata demikian susulan surat seorang pembaca FMT, TK Chua yang menulis tentang pengalaman beliau terperangkap dalam kesesakan berhampiran Seremban pada Sabtu lalu ketika menggunakan lebuh raya PLUS.

Chua berkata oleh kerana kesesakan tidak menurun, ramai termasuk beliau memutuskan untuk keluar dari lebuh raya tetapi kemudiannya terperangkap dalam 1 lagi kesesakan lalu lintas.

Chua berkata kemudian beliau mendapati kesesakan lalu lintas di lebuh raya itu disebabkan oleh kemalangan berhampiran tol Jalan Senawang pada awal pagi.

Oleh itu, Chua mahu PLUS, sebagai syarikat konsesi lebuh raya, mengembalikan tol yang dikutip dan mencadangkan beberapa bentuk pampasan kepada pemandu apabila kesesakan lalu lintas berlarutan lebih daripada 2 jam.

“PLUS benar-benar menjejaskan hari saya pada hari ini. Saya membazir masa dan membayar tol tetapi gagal sampai ke destinasi saya,” kata Chua.

Peguam Harpal Singh Grewal berkata konsesi lebuh raya akan memasuki kontrak ketika tiket dikeluarkan kepada pemandu.

“Kontrak hanya tamat apabila pemandu menunaikan bayaran tol,” katanya sambil menambah, pengendali tol harus memenuhi tanggungjawabnya untuk melaksanakan kesepakatan sebagai pertukaran kepada tol yang dikutip.

Pretam, yang kini merupakan aktivis hak pengguna aktif berkata, penyedia perkhidmatan lebuh raya umumnya harus mematuhi tahap minimum perkhidmatan (LOS), langkah kualitatif yang digunakan untuk mengaitkan kualiti perkhidmatan trafik.

“LOS digunakan untuk menganalisis lebuh raya dengan mengkategorikan aliran lalu lintas dan menetapkan tahap kualiti lalu lintas berdasarkan ukuran prestasi seperti kelajuan dan kepadatan,” katanya.

Beliau berkata tahap “A” adalah aliran bebas, yang bermaksud kepadatan lalu lintas yang rendah, “B” adalah kelewatan minimum dan aliran trafik yang stabil, “C” adalah keadaan yang stabil dan pergerakan agak terhad disebabkan oleh jumlah yang lebih tinggi tetapi tidak sesuai untuk pemandu.

Tahap “D” adalah di mana pergerakan lebih terhad dan kelajuan perjalanan mula merosot sementara “E” di mana lalu lintas memenuhi kapasiti jalan dan kenderaan jarak jauh dan kejadian boleh menyebabkan kerugian serius.

Pretam berkata, tahap “F” bermakna terdapat aliran melebihi kapasiti, menyebabkan pecahan jumlah aliran lalu lintas.

“Ia adalah norma yang diterima umum di lebuh raya yang pembekal perkhidmatan harus membenarkan trafik pada tahap minimum ‘C’,” katanya.

Bagaimanapun, Pretam berkata pengendali lebuh raya sepatutnya diberik pengecualian apabila lalu lintas perlahan semasa musim perayaan kerana ramai pemandu akan menggunakan lebuh raya untuk mencapai destinasi mereka.

“Tuntutan hanya dapat diterima jika pemandu mengalami kesesakan setiap hari di jalan raya terpilih,” katanya.

Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan pada tahun 1999 dan matlamat utama adalah untuk menyediakan forum alternatif kepada orang ramai mendapatkan perlindungan undang-undang dengan mudah, murah dan cepat.

Akta Perlindungan Pengguna juga mentakrifkan pengguna sebagai orang yang membeli barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan peribadinya atau untuk tujuan domestik.

Semua tuntutan mesti difailkan dalam masa 3 tahun dari tarikh punca pertikaian.

15 daripada 100 graduan negara menganggur

 Pengangguran di kalangan siswazah membimbangkan.
Sejumlah 23% belia yang menganggur di negara ini mempunyai pendidikan tinggi malah yang lebih membimbangkan 15.3% daripada mereka yang berpendidikan tinggi (tertiary education) tidak bekerja atau menganggur.

Ini bermakna 15 graduan dari 100 graduan yang dilahirkan negara adalah penganggur, kata pengarah strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr Dzulkefly, walaupun kadar pengangguran di negara ini dianggap rendah iaitu 3.1% (atau full employment), pengangguran di kalangan belia telah mencecah 10.57% (sumber Bank Negara Malaysia).

"Ini bermakna belia mengalami tiga kali ganda (pengangguran) melebihi dewasa yang lain. Amat mencemaskan serta membawa kesan sosioekonomi dan gejala yang berat. Tidak perlu saya huraikan," katanya.

Beliau menyorot kembali diskusi 'Bicara Srikandi' oleh Media Oren atas tajuk 'Graduan & Kerjaya' yang disertainya baru-baru ini yang turut menampilkan graduan muda lepasan Universiti Melbourne Australia, Madihah Akmal.

"Saya tekun mengikuti kisah bagaimana Madihah, pastinya bekas pelajar cemerlang yang mendapat biasiswa melanjutkan pelajar telah sangat kecewa setelah menemui kegagalan mendapatkan kerjaya setelah pulang dengan ijazah Ekonomi dari Australia.

"Tidak perlu saya sebutkan kes graduan kejuruteraan dan sains yang hari ini mencuci tandas dan membersih rumah atau berhijrah mencari rezeki ke Australia dan UK untuk buat kerja 'fruit picking' (memetik buah). Tak kurang juga yang hanya jadi juruwang di 7 Eleven atau 99 SpeedMart," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan agar merancak industri hiliran di negara ini bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya para graduan.

"Ketika rancak kegiatan hiliran ini sekaligus 'permintaan' untuk graduan kita akan dijana, sama ada ijazah sarjana dan PhDs. Begitulah pada seluruh bidang lain termasuk aeroangkasa, teknologi solar, elektrik dan elektronik, bioteknologi, pembuatan dan sebagainya," ujar beliau.

Negara juga, katanya perlu keluar daripada menjadi hab pemasangan kepada memasuki kegiatan rekabentuk dan pembentukan.

"Kita perlu mempergiatkan industri hiliran yang punya nilai tambah yang tinggi. Kegiatan oleo-chemicals hari ini hanya menyumbangkan 17% dari pendapatan industri ini, sementara 75% adalah dari menjual CPO atau minyak sawit mentah, yang pastinya terdedah kepada kuasa pasaran yang tidak menentu," katanya.

Beliau menambah, apabila kegiatan hiliran berbentuk kosmetik, produk kesihatan dan pemakanan, vitamin, kimia-agro, bio-polypols, pelincir-bio, surfactants dan pelbagai lagi diwujudkan, negara akan mengecapi produltiviti yang tinggi, sekaligus menjana permintaan dan pekerjaan buat graduan biotek dan kejuruteraan kimia.

"Ringkas dan tegasnya negara memerlukan kepimpina baru di Putrajaya yang kompeten, punya visi dan amanah buat memacu pertumbuhan yang lestari serta menjana pekerjaan yang berpendatan tinggi buat rakyatnya.

"Ia tidak selesai dengan hanya dislogankan atau diwiridkan secara lisan.

"Hanya sebuah kerajaan komited untuk 'Bina Semula Negara' dan memerangi rasuah, salah guna kuasa dan kleptoktasi akan dapat membangunkan kembali negara yang tenat (failing state) ini," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...