TERKINI :

Friday, August 18, 2017

TMJ : STADIUM, BANGSA MELAYUKU, CYBERTROOPERS DAN RM100 JUTA DUIT RAKYAT

Assalammualaikum W.B.T.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan B-22 atas dua kemenangan mereka dalam peringkat kumpulan A Sukan Sea 2017. Saya juga ingin menyampaikan pesanan kepada para pemain supaya jangan pedulikan apa yang media cetak atau media sosial perkatakan. Anda harus fokus dan beri tumpuan kepada setiap perlawanan dalam pertandingan tersebut.

Ingatlah bahawa tidak ramai yang dapat menyarung jersi kebangsaan. Anda sepatutnya berasa bangga kerana ia satu penghormatan tertinggi oleh kerana anda terpilih menyarung jersi kebangsaan. Jangan dilayan dengan mereka yang semata-mata mahu mengkritik, kerana anda mewakili dan berkorban demi negara. Walau apa pun keputusan, menang ataupun kalah, biar saya yang tanggung dan berdepan dengan mereka. Biar saya yang pikul tanggungjawab tersebut di atas bahu saya. Kerana, negara dan keluarga anda tetap bangga dan berterima kasih kepada anda kerana anda sudah cuba yang terbaik dan berjuang untuk negara tercinta.

Keduanya, berkenaan dengan beberapa pihak yang mempertikaikan mengapa saya tiada di stadium untuk memberi sokongan pada skuad kebangsaan di Sukan Sea 2017 ini. Anda mungkin terlupa sumbangan saya kepada FAM sewaktu FAM, liga dan pasukan lain tidak berduit. Bukan mahu mengungkit tetapi ini satu kenyataan. Baru-baru ini juga, DYMM Sultan Johor mengurniakan RM4 juta kepada FAM untuk membantu struktur skuad kebangsaan dan liga tempatan. Insentif kepada skuad kebangsaan B-22 juga telah diberikan apabila mereka berjaya layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China.

Buat masa yang sama saya juga berjumpa dengan Astro untuk mendapatkan penajaan untuk semua pasukan yang bertanding dalam liga Malaysia. Wahai Melayu bangsaku, walaupun terdesak sangat untuk menjatuhkan orang, tidak perlu untuk membandingkan saya dengan sesetengah individu yang hanya tunjukkan muka di stadium untuk berikan sokongan tetapi tidak menghulurkan satu sen pun untuk membantu bola sepak tanah air. Tidak perlu ke stadium hanya untuk kepentingan politik. Mana pergi individu ini dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila FAM atau bola sepak Malaysia susah dan memerlukan bantuan kewangan? Walau apa pun Saya tidak salahkan pihak KBS yang tidak berikan duit kepada FAM. Maklumlah, isu duit berjumlah RM100 juta duit rakyat pun tidak dijawab lagi macam mana mereka nak bagi duit kepada kami.

Saya tidak berminat untuk berpura-pura tunjukkan muka di stadium untuk mendapatkan sokongan. Saya tidak perlu sokongan sebab saya bukannya ahli politik. Jadi, sebelum nak mempertikaikan dan menghukum sesiapa, fikir dulu. Jangan malukan bangsa melayu dengan sikap busuk hati. Daripada pengalaman saya, jika dibandingkan dengan India atau Cina, kebanyakannya bangsa Melayu sahaja yang menghina Raja mereka setiap hari. Tetapi apabila susah dan tersempit dengan ahli politik barulah bangsa Melayu ini mencari Raja Raja mereka.

Lagipun siapalah saya kerana apabila saya bersuara saya hanya berseorangan. Saya juga tidak mempunyai dan membayar 'cybertroopers' parti politik untuk memberi sokongan kepada saya seperti sesetengah individu lakukan. Saya bukan orang yang ingin menjadi popular tetapi ghaib apabila bola sepak negara memerlukan sumbangan.

Jika ada pihak yang bertanyakan dimana saya ketika ini, saya berada di luar negara sedang bercuti ketika ini. Dari awal tahun hingga sekarang, saya belum bercuti lagi bersama keluarga saya wahai encik-encik yang saya hormati sekalian. Tetapi usah risau, kerana saya sudah menghantar wakil saya iaitu Menteri Belia Sukan yang bersemangat berkhidmat untuk negara dah datang memberi sokongan.

Kepada En. Ibdillah, tidak perlulah sibuk-sibuk dengan 'cybertroopers' awak untuk menghentam-hentam saya dan menjulang 'bos' awak. Tiada sesiapa yang nak jatuhkan 'bos' awak. Awak perlu ingat sokongan terbesar parti politik awak datangnya dari Negeri Johor. Fikirlah sebaik-baiknya.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia

PKR cari pasal ditolak pengundi bilamana berunding dengan PAS

PKR ambil risiko besar berunding dengan PAS kerana ia boleh merugikan parti itu sendiri terutama di Selangor, kata penganalisis politik, mengulas usaha parti itu cuba memastikan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata usaha PKR berbaik-baik semula dengan PAS boleh menyinggung perasaan pengundi Cina, yang tentu akan menjejaskan sokongan terhadapnya.

“Jika PKR berbaik semula dengan PAS besar kemungkinan pengundi Cina akan lari meninggalkan parti itu. Jika 20% saja mereka lari, PKR akan kalah di semua kerusinya di Selangor,” kata Hisomuddin.

Hisomuddin berkata kemarahan pengundi Cina terhadap PAS sudah tidak boleh diperbetulkan lagi bahkan kajian terbaru badan pemikir strategik di bawah kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE), turut mengesahkan pandangannya itu.

“IDE hanya memberikan 1% saja pengundi Cina akan memberikan sokongan kepada PAS di Selangor sekarang. Jika mereka yang marah kepada PAS ini juga marah kepada PKR kerana bekerjasama dengan PAS, PKR juga akan habis,” kata Hisomuddin.

Pada PRU13, ketika PKR mendapat 80% undi Cina di Selangor, PAS hanya memperoleh purata 60% dan kini hanya tinggal 1% saja, kata Hisomuddin.

The Malaysian Insight pada Isnin melaporkan PAS di tiga negeri – Selangor, Kedah dan Kelantan sedang cuba mendapatkan mandat autonomi daripada PAS Pusat untuk memberi restu kepada mereka bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan parti Islam itu bertanding satu lawan satu dengan BN dalam PRU14 nanti.

PAS dalam muktamar tahunannya di Alor Setar pada Mei lalu memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR.

Kerjasama itu bagaimanapun tidak terjejas di Selangor apabila menteri besarnya Azmin Ali tidak cenderung mahu memutuskan kerjasama yang sedia terjalan selepas dua PRU itu.

Azmin mengekalkan hubungan PKR dengan PAS di Selangor kerana dikatakan mahu mengelak pertandingan tiga penjuru yang boleh menyebabkan PKR terjejas teruk di negeri itu.

Dalam pada itu, Hisomuddin melihat selain risiko kehilangan undi daripada pengundi Cina, PKR juga berhadapan dengan penentangan daripada ahlinya sendiri jika ia terus berunding dengan PAS.

“Golongan reformis atau pejuang reformasi, atau anti apa yang dinamakan ‘kartel’ dalam PKR ini akan menentang kerjasama dengan PAS. Jangan mengecilkan peranan dan pengaruh mereka ini,” katanya.

Sementara itu, Hisomuddin bersetuju Amanah dan Bersatu adalah pihak yang paling terkesan dengan usaha PKR mahu berbaik-baik dengan PAS ini.

“Jika PKR bekerjasama dengan PAS, bermakna Amanah dan Bersatu yang akan terjejas daripada segi bilangan kerusi yang mereka hendak tandingi kerana terpaksa membahagikan kerusi dengan PAS.

“Jika begitu, apakah Amanah dan Bersatu akan bersetuju dengan rancangan ini sedangkan saya tahu, bagi Bersatu sekarang, berunding dengan PAS banyak membuang masa mereka,” kata Hisomuddin.

Katanya, jika ia berlaku besar kemungkinan Amanah dan Bersatu akan turut meletakkan calon mereka di kerusi yang PAS bertanding walaupun kerusi itu dipersetujui oleh PKR untuk diberikan kepada PAS.

“Jadi PAS yang akan terjejas nanti kerana kerusinya akan ada pertandingan tiga penjuru kerana siapa yang boleh memberikan jaminan kepada PAS ketika mereka bukan parti komponen PH,” katanya yang banyak membuat kajian tentang politik Melayu.

Bagi pemimpin Amanah walaupun tidak senang dengan perkembangan terkini itu, mereka sedia menerima hakikat PKR mahu terus berunding dengan PAS tetapi ia hendaklah dibuat dalam kerangka PH, bukannya PKR saja.

“Kita boleh menerima PKR berunding dengan PAS tetapi biarlah ia dibuat atas nama PH, bukan PKR. Jadi ia perlu dirujuk kepada Majlis Presiden PH sebelum apa-apa keputusan dibuat,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Pengarah pilihan raya PH yang baru dilantik, Azmin pada Isnin berkata PH menyambut baik hasrat PAS yang membuka pintu rundingan itu tetapi menegaskan ia mesti dibuat antara PAS dan PH secara konsensus.

PAS yang berkrisis dengan DAP sehingga membawa keretakan dan seterusnya pembubaran Pakatan Rakyat, tidak menyertai PH yang menggantikan gabungan pembangkang selepas PRU12 dan semasa PRU13 itu.

PH disertai oleh PKR dan DAP serta Amanah dan Bersatu, iaitu dua parti serpihan PAS dan Umno. – TMI

Ketika Isa direman, Felda beli senyap-senyap saham Eagle High Plantation

 Tindakan Felda membeli EHP menimbulkan banyak tanda tanya.
Tindakan Felda membeli secara senyap-senyap saham syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantation (EHP) walaupun dibantah pelbagai pihak dan ketika mantan pengerusinya Tan Sri Isa Samad diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan kecurigaannya terhadap tindakan Felda membeli saham EHP walaupun harga yang ditawarkan melebihi 2.5 kali lebih tinggi dari harga pasaran.

Beliau juga hairan dengan tindakan Felda membelanjakan RM2.3 bilion untuk membeli saham syarikat terbabit dalam keadaan Felda tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai operasinya.

Malah pihak pengurusan Felda, katanya telah dinasihatkan oleh JP Morgan dan Bank of America supaya tidak membeli 37% saham EHP milik Peter Sondakh yang menerajui Kumpulan Rajawali itu.

Dr Dzulkefly Ahmad"Saya tahu isu positif dan negatif debat pembelian ini. Ya, saya akur tentunya ada baik-buruknya dalam 'cost-benefit analysis'nya.

"Yang diperlukan Felda dan negara, khasnya graduan di negara ini adalah pekerjaan! Ya, bukan menambah pekerjaan untuk warga asing dalam perladangan dan pembinaan.

"Najib pernah secara megah menguar-uarkan tentang 1.8 juta pekerjaan yang beliau kononnya telah jana setelah program transformasi ekonomi (ETP) dan segala program membangun ekonomi," ujarnya.

Menurut beliau, Felda dan entiti perniagaannya Felda Global Ventures Holding (FGV) tidak perlu menambah ladang atau membeli hotel di Kensington atau New York, tetapi perlu melabur dalam industri hiliran (downstream activities) yang berteraskan kelapa sawit.

Beliau merujuk kontroversi pembelian dua hotel mewah melebihi harga pasaran oleh anak syarikat FGV, Felda Investment Corporations (FIC) di London dan Kuching.

Mantan Pengerusi Felda dan FGV Tan Sri Isa Samad direman lima hari oleh SPRM berkaitan isu pembelian dua hotel mewah itu yang turut menyaksikan beberapa pegawai FIC disoal siasat.

Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan peranan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembelian aset Felda di London memandangkan setiap pelaburan entiti berkaitan kerajaan di luar negara perlu diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan olehnya.

Sudah terlambat, kami sedia lawan 3 penjuru, PAS beritahu PKR

 wan-azizah

PETALING JAYA: PAS berkata adalah sukar menjalinkan semula kerjasama dengan PKR selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin berkata kedua-dua parti itu masih boleh berbincang soal kerusi pada pilihan raya umum (PRU) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) ditentang satu lawan satu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki berkata berdasarkan kajiannya, pengundi Melayu kebanyakannya mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Apa yang dicadangkan itu teramat sukar tetapi tidak mustahil,” katanya, mengulas kenyataan Wan Azizah yang berkata PKR masih boleh bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada PRU walaupun kedua-dua parti menamatkan kerjasama secara rasmi hampir 3 bulan lalu.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan BN. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” kata Wan Azizah kepada FMT Rabu lalu.

Bagi Zuhdi, ia sesuatu yang sukar dicapai.

“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, sebarang rundingan semula dengan PKR akan menyebabkan strategi PAS terpaksa “berpusing 180 darjah”.

“Persiapan jentera kita sudah hampir siap dan sudah hampir 100% dengan sasaran pilihan raya.”

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sementara itu, DAP tidak faham tindakan PKR yang tidak menolak kerjasama dengan PAS sedangkan “tahaluf siyasi” (kerjasama politik) sudah dibatalkan.

“Saya tidak faham setelah hubungan diputuskan tetapi sekali lagi ingin bekerjasama,” katanya.

Manakala Amanah berkata sebarang rundingan perlu berpegang kepada matlamat menjatuhkan BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata rundingan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak komited dengan matlamat PH.

“Soalnya, adakah PAS mempunyai matlamat sama, dan jaminan bahawa setelah menang, tidak akan khianati PH?” soalnya.

“PAS kena akur dengan keadaan di mana kita sekarang ada 4 parti. Ia tak boleh kata Amanah, PPBM tak boleh bertanding dan semua kerusi untuk PAS.”




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...