TERKINI :

Monday, August 14, 2017

Akta 164: AJK Pas Pusat dinasihati agar tidak 'merapu'

 Ustaz Zolkharnain Abidin
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor kononnya AMANAH menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) sebagai merapu.

"Dalam tulisannya, Riduan Md Nor (RMN) menyerang AMANAH secara merapu berkaitan isu pindaan Akta 164, apabila dia berkata pindaan akta itu membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini, dan AMANAH menyokongnya," ujarnya.

Menasihatkan pemimpin Pas itu supaya tidak merapu, beliau menyenaraikan tujuh hujah membidas dakwaan Riduan yang menuduh Ahli Parlimen beragama Islam dari AMANAH dan PKR tidak menyertai Ahli Parlimen Pas mengambil bahagian membantah usul pindaan tersebut.

Ustaz Zolkharnain berkata, jika seorang anak dilahirkan oleh ibu bapa Islam, anak tersebut secara langsung beragama Islam memandangkan peruntukan yang dicadang akan dimasukkan ialah jika anak bawah umur yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, anak itu tidak terus menjadi Islam.

"Mana ada dalam akta itu peruntukan sebaliknya. Tetapi, seksyen itu ditarik balik. Jika tidak ditarik balik sekalipun, seksyen itu dibuat demi maslahah anak di bawah umur itu iaitu mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sepatutnya," jelas beliau.

Menurutnya, tidak boleh berlaku orang bukan Islam yang mahu berkahwin dengan orang Islam tidak perlu memeluk Islam kerana orang Islam yang ingin berkahwin perlu membuat permohonan.

"Jika orang Islam memohon untuk berkahwin dengan orang bukan Islam, permohonannya akan ditolak. Macam mana perkahwinan akan berlaku jika permohonan ditolak?" bidasnya.

Terdahulu, Riduan dalam tulisannya mendakwa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

Dakwaan pemimpin Pas berkenaan kononnya orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang juga dilihat sebagai merapu.

"Orang Islam yang ingin keluar Islam perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah. Wujudkah undang-undang yang menghendaki mahkamah membenarkan orang Islam untuk keluar Islam jika ingin berkahwin dengan non muslim?" soalnya.

Mengulas lanjut dakwaan Riduan kononnya seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak, Ustaz Zolkharnain berkata, seorang anak itu akan tinggal dengan ibunya yang Islam jika masih di bawah umur dan yang memeluk Islam adalah ibunya.

"Jika pihak yang memeluk Islam adalah bapanya, anak bawah umur itu akan tinggal bersama ibunya walaupun ibunya belum Islam sebab tempat seorang anak adalah bersama ibu demi kepentingan kehidupan anak.

"Bapanya yang Islam hendaklah terus menyara anak itu, mengambil berat dan mendidik anak itu supaya terpikat dengan Islam setelah dia berhak memilih agamanya sendiri.

"Di sinilah peranan bapa sangat diperlukan dalam dakwah dan jika bapa berupaya menampilkan akhlak yang baik, anak itu akan terpikat dengan keislaman bapanya," jelas beliau.

Menyentuh soal tuntutan harta pusaka, beliau turut membidas dakwaan Riduan kononnya orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan individu yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematian.

"Bukan diberikan hak menuntut harta pusaka tetapi hak menuntut harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan.

"Harta sepencarian itu hendaklah diagihkan secara adil antara pasangan suami isteri itu. Nafkah anak mesti ditanggung oleh bapa. Jika timbul pertikaian tentang harta pusaka, rujukannya adalah mahkamah syariah," tegasnya lagi.

'Kalau nak kata Perdana Menteri haram jadah pun boleh'

 Mazlan Aliman bersama Chang Lih Kang dan pemimpin AMANAH di Felda Sungai Klah Sungkai petang semalam
Mazlan Aliman bersama Chang Lih Kang dan pemimpin AMANAH di Felda Sungai Klah Sungkai petang semalam.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, warga peneroka boleh memulangkan kembali kata makian yang diucapkan Perdana Menteri pada 2012 lalu ekoran kepincangan Felda pada masa ini.

Menurutnya, jaminan Datuk Seri Najib sebelum ini kononnya penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad di Bursa Malaysia akan meningkatkan pendapatan peneroka sebaliknya menyaksikan peneroka menanggung lebih banyak hutang.

"Selepas ini kalau nak kata Perdana Menteri haram jadah pun boleh sebab dulu Najib sebut FGV sebagai penyenaraian kedua terbesar selepas Facebook.

"Dia (Najib) kata dengan penyenaraian itu juga akan membawa masyarakat Felda ke era global, pendapatan naik mendadak dan kehidupan lebih baik.

"Hari ini sejak tahun 2012, ternyata apa yang disebut Perdana Menteri mengenai FGV adalah tersasar sama sekali. Harga saham pun tinggal RM1.60 sahaja daripada RM4.55.

"Kalau dulu dia kata haram jadah, sekarang kita pulangkan balik yang haram jadah adalah Perdana Menteri dan Barisan Nasional. Hakim kata tak salah," tegasnya di Felda Sungai Klah, Sungkai semalam.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH Nasional itu memberitahu penggunaan kata haram jadah tersebut diputuskan pihak mahkamah sebagai terlalu umum dan digunakan dalam amalan seharian.

"Ada lima peneroka dari Jengka bawa kes ke mahkamah kerana tidak puas hati dengan penghinaan Perdana Menteri itu," jelasnya mengulas ungkapan kesat Najib di Majlis Sejahtera Peneroka di Jengka 8, Pahang empat tahun lalu itu.

Turut hadir dalam dialog bersama peneroka itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dari PKR, Chang Lih Kang.

Sultan Kedah murka pemimpin politik, ulama hangatkan permusuhan sesama Islam

14 Ogos 2017 | BERNAMA

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/04/kedah.jpg
Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita atas tindakan sesetengah pemimpin politik dan individu berkepentingan mengambil kesempatan menghangatkan lagi permusuhan sesama Islam menerusi ruang maya.

Malah, titah baginda, ilmuan agama turut tidak terkecuali mengeluarkan fatwa, tuduh-menuduh dan berdebat di alam siber sehingga masyarakat sendiri berbelah bagi.

"Janganlah kerana perbezaan ideologi yang sempit atau kerana kepentingan diri yang lain, isu sensitif seperti kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum, hukum-hakam serta agama Islam diperdebatkan secara tidak beradab di laman sosial sekali gus mengundang tafsiran negatif," titahnya.

Titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah sempena perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima yang ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Titah baginda, pada ketika ini pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan bebas tanpa ada satu sistem tapisan yang boleh membezakan antara yang hak dan batil.

Malah penggunaan telefon dan gajet sudah menjadi satu budaya hidup, menyaksikan lebih 17 juta penduduk di negara ini mempunyai akses kepada ruang maya dengan separuh daripadanya mempunyai akaun Facebook, titah baginda.

"Natijahnya, fitnah dan cerita palsu menjadi tular dan dijaja serata tempat, senario ini menjadi virus yang memporakperandakan dan mengelirukan rakyat, memecahbelahkan dan mengucar-ngacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah," titah Sultan Abdul Halim.

Dalam pada itu, baginda melahirkan rasa bangga apabila Kedah menjadi antara negeri dan pelopor awal dalam usaha memartabatkan keunggulan pendidikan, terutama pendidikan Islam.

"Hal ini dapat dibuktikan menerusi sistem pengajian pondok di mana sistem pondok kini telah dibuat penambahbaikan dan kesannya kini kita sudah memiliki Maahad Tahfiz Sains di Kulim,\" titahnya

Sultan Kedah turut memuji kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilihat baginda konsisten dalam melakar dasar prorakyat, misalnya melalui program Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) yang memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Kedah sejak diperkenalkan pada April 2016.

"Beta juga amat tertarik dengan daya usaha memanda Menteri Besar yang menjadikan usaha gilapan modal insan sebagai dasar utama negeri, meskipun 'Gen-Y' hanya mewakili 38 peratus daripada keseluruhan penduduk Kedah, beta difahamkan kerajaan negeri memberi fokus lebih kepada 40 peratus pelaksanaan dasar kepada generasi muda," titahnya.

Titah baginda pelaksanaan program seperti 'Internship Mahasiswa Anak Negeri Kedah (IMAN), tuisyen BARAKAH, insentif persatuan mahasiswa, Skim Mikro Kredit Usahawan Muda dan Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) adalah antara program yang memberi tumpuan kepada anak muda dan berjaya dilaksanakan dengan baik.

Sultan Kedah bertitah kewujudan projek Bandaraya Getah di Padang Terap dengan nilai pelaburan awal

RM417 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan, mampu mewujudkan kesan limpahan ekonomi dan prospek baharu kepada 40,000 penoreh getah di negeri itu.

"Beta difahamkan melalui Makmal Pengurusan Nilai yang baru diadakan, sejumlah peruntukan tambahan telah diluluskan bagi merangka pembangunan fasa satu yang akan bermula tahun depan," titahnya.

Persidangan bersambung pada 9 pagi esok.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...