TERKINI :

Sunday, August 13, 2017

TAWARAN CHINA - JANGAN HERET MALAYSIA KE KONFLIK KUASA BESAR.

JANGAN HERET MALAYSIA KE KONFLIK KUASA BESAR.


1. Pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah atau regional counter-intelligence centre di negeri Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu adalah sangat dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

2. Tawaran ini adalah momentum negara tembok besar itu dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan. Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan bahawa China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan. Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata anti pesawat, anti peluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh.

3. Pertemuan November ini bersama Presiden China berhubung tawaran China perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar nanti Malaysia tidak akan terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

4. Negara-negara ASEAN perlu terus kekal neutral. Sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara ASEAN yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar.

5. Diharapkan agar Najib Razak tidak terburu-buru ingin menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu. Sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China, jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China. Lihat sahaja pengalaman negara-negara Africa yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini.

6. Masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
12 Ogos 2017

Akta 164 - Pas diharap memohon maaf kepada umat Islam


Pas perlu meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia ekoran kenyataan pemimpinnya yang berbaur sentimen keagamaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164).

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata, walaupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor menarik balik tulisannya bertajuk'RUU 164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini', namun permohonan maaf terbuka perlu dibuat kerana kandungan tulisan itu yang tidak tepat.

Husam Musa 340"Saya berharap Pas meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia kerana kenyataan Dr Riduan sebelum ini adalah tidak tepat dan berbaur sentimen keagamaan dengan tujuan politik dan kemudian Pas terpaksa tarik balik.

"Penarikan balik ini tidak lengkap kecuali Pas minta maaf atas perkara yang telah mereka bangkitkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan di Wisma Tok Guru, Salor, hari ini.

Menurut Husam juga, tindakan Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan yang berterima kasih kepada BN kerana membentangkan RUU itu menunjukkan parti itu pada peringkat awal tidak memahami kebaikan daripada pindaan Akta 164.

"Tulisan Dr Riduan Mohd Nor ditarik balik dan Ketua Penerangan Pas telah mengeluarkan satu kenyataan baru iaitu telah berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa pindaan 164 ini.

"Ini menunjukkan bahawa Pas pada peringkat permulaan tidak faham maksud dan kebaikan daripada pindaan ini," katanya yang juga penasihat AMANAH Kelantan.

"Kemudian Pas telah cuba mengambil ruang untuk mensensasikan sentimen umat Islam negara ini dengan kononnya pindaan akta ini menghancurkan benteng umat Islam yang terakhir di Malaysia," katanya.

Nasruddin semalam mendakwa DAP dan AMANAH menentang langkah untuk mengugurkan Fasal 88A yang berkaitan dengan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

"Terlebih dahulu, saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biar pun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan PAN," katanya.

Azmin, Wan Azizah ziarah Hadi Awang


Selepas dua hari Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, beliau menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menjalani pembedahan.

Kunjungan malam tadi itu disertai Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Hadir sama pensyarah kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis.

Gambar mereka menziarahi Hadi Awang tersebar di Facebook dan WhatsApp sejak malam tadi.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan melawat individu uzur amalan yang digalakkan dalam Islam.

Pada 28 Jun 2014, Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta anak mereka, Nurul Izzah juga pernah menziarahi Abdul Hadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pada masa itu, Abdul Hadi baru 10 hari pulang ke Malaysia selepas diberi kebenaran oleh doktor yang merawatnya di sebuah pusat perubatan di Istanbul, Turki.

Walau bagaimanapun, Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia berkenaan difahamkan tidak pernah menziarahi Anwar apabila dirawat sebelum ini.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada 2015 memberi sokongan kepada Anwar ketika prosiding akhir rayuan kes liwat kedua bekas Ketua Pembangkang tersebut.

Malah, sebelum itu tersebar kenyataan media Abdul Hadi yang menyatakan saranan untuk menyertai perhimpunan solidariti terhadap Anwar bukan pendirian rasmi Pas sebelum dinafikan kemudiannya oleh Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, penyokong tegar Pas dalam reaksi mereka menganggap PKR pada masa ini tiada pilihan melainkan terpaksa 'berlutut' kepada Pas walaupun telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Reaksi tersebut dilihat ekoran keputusan Pas yang muktamad akan meletakkan calon di Permatang Pauh yang sinonim dengan keluarga Anwar sejak Pilihan Raya Umum Ke-10 pada tahun 1999.

Bulan lalu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh dan memberitahu bahawa parti tersebut sudah mula mengerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.


Selain itu, penyokong Pas juga dilihat berpuas hati kerana kunjungan pimpinan PKR tersebut dijangka membangkitkan rasa marah penyokong AMANAH khasnya sekali gus memecahkan Pakatan Harapan.

Najib berkata Pas mengamalkan prinsip 'tabbayun'

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/08/najib-pas.jpg
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pas yang kini mengamalkan politik matang dan konstruktif tidak lagi membuat serangan semberono terhadap sesuatu isu.

Beliau berkata Pas mengamalkan prinsip 'tabbayun' iaitu parti itu membuat siasatan terlebih dahulu dan barulah ia membuat kesimpulan atau keputusan terhadap sesuatu isu.

"Dalam hal isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dia (Pas) panggil (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) dan selepas penjelasan oleh Arul Kanda, baru dia buat pendirian dia.

"Pendirian dia ialah memahami bahawa kita perlu beri peluang kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dan apabila berjaya nanti bererti masalah 1MDB boleh selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, Najib yang juga Presiden Umno turut merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Machang.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata, hasil daripada kematangan dalam berpolitik itu menjadikan Pas parti pembangkang yang konstruktif.

"Kita bersaing (berlawan) tetapi dalam hal-hal tertentu yang boleh memberi manfaat dan kebajikan, kita boleh bekerjasama," katanya.

Ditanya adakah kerjasama itu akan melangkah lebih jauh iaitu kerjasama politik, Najib berkata: "Itu tak tahu lagi, kita tengok keadaan."

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Arul Kanda mengenai hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang tersebut, hasil sidang meja bulat yang diadakan di Kuala Lumpur.

Dakwaan Chef Wan tak berasas kononnya tiada kemudahan dialisis di Pulau Langkawi

 Dakwaan Chef Wan tak berasas
ALOR SETAR - Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail menyangkal dakwaan kononnya tiada kemudahan dialisis di Pulau Langkawi, di mana Hospital Langkawi merupakan sebuah hospital pakar.

“Perkhidmatan itu boleh didapati di Hospital Langkawi dan di sebuah pusat dialisis swasta. Jumlah mesin dialisis yang ada di Hospital Langkawi adalah 26 buah,” katanya.

Menurutnya, pada masa kini seramai 103 penghidap End Stage Renal Failure (ESRF) atau kegagalan buah pinggang mendapatkan rawatan di Hospital Langkawi.

“Pusat dialisis swasta di Pulau Langkawi mempunyai enam mesin dan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan hanya dua orang. Selain hemodialisis terdapat alternatif lain iaitu CAPD di mana pesakit dilatih dan boleh lakukan dialisis di rumah,” katanya.

Dr Norhizan berkata, kerajaan menyediakan kemudahan hemodialisis di hospital kerajaan, malah bagi meningkatkan bilangan mesin dialisis dan kemudahan kepada rakyat, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan turut menyediakan perkhidmatan hemodialisis di klinik kesihatan terpilih.

“Perkhidmatan hemodialisis di klinik kesihatan sedang ditingkatkan ke beberapa klinik kesihatan lagi di seluruh negara termasuk Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Chef Wan melalui akaun media sosialnya, yang kecewa berikutan kerajaan gagal menyediakan pusat dialisis di Langkawi.

Kenyataan itu menyebut pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Alor Setar dan Pulau Pinang sehingga menelan kos tinggi.

Najib hanya ada dua pilihan: Rafizi

 Najib hanya ada dua pilihan: Rafizi
ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya ada dua pilihan, sama ada menahan Jho Low dan melakukan siasatan dalam negara, atau bercuti serta-merta sehingga kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, susulan perkembangan terbaru Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengemukakan permohonan penangguhan saman sivilnya dan melakukan siasatan jenayah, ia boleh mengancam kedudukan Najib mahupun negara.

“Ini bermakna DOJ ada asas kukuh tahan Jho Low untuk disiasat dan beri kesan kepada masa depan politik Najib, termasuk Malaysia kerana Jho Low tahu banyak rahsia berkaitan,” katanya selepas siri jelajah Invoke ‘Bina Semula Negara’, semalam.

Justeru katanya, adalah lebih baik Najib sendiri yang arahkan Jho Low ditahan dan dibawa balik ke Malaysia untuk pastikan AS tidak dapat berbuat demikian.

“Beliau orang yang rapat dengan Najib jika disoal siasat di AS, banyak bukti akan terlondeh dan dedahkan kerahsiaan negara, selain memalukan kita.

"Pilihan lain ialah Najib berkorban dan ambil cuti serta-merta daripada jawatan Perdana Menteri, kerana kita tak boleh kompromi Perdana Menteri ada hubungan rapat dengan individu dikaitkan skandal 1MDB,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga harus diambil tindakan segera oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Khalid tak boleh lagi bagi alasan, apabila AS buru Jho Low, ada kemungkinan beliau akan ditangkap. Khalid patut ketepikan kedudukan Najib selaku Perdana Menteri dan bersikap amanah dan telus,” katanya.

Menurutnya, Najib tidak boleh ambil mudah dengan perkembangan terbaru itu kerana jika siasatan dilakukan di luar negara dan mengikut perundangan luar, risikonya lebih besar.

“Eloklah Najib bercuti sementara perkara itu diselesaikan secara baik kerana selagi bergelar Perdana Menteri, ia berisiko kepada negara dan ancam kedudukan Malaysia dari perspektif kepentingan negara,” katanya.

Mohd Rafizi berkata, hasil siasatan itu kelak akan menyebabkan integriti Najib dan negara lemah, selain jejaskan hubungan dua hala.

Jalan Changlun-Kuala Perlis akan diaudit


KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya akan menghantar pasukan daripada Jabatan Kerja Raya untuk membuat audit tentang aduan penyelenggaraan proses naik taraf jalan persekutuan daripada Changlun, Kedah ke Kuala Perlis.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, audit ini merangkumi dengan kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Menurutnya, selain itu, tanda-tanda atau papan tanda yang mungkin tidak berada di kedudukan yang sepatutnya serta permukaan jalan dan bahu jalan yang perlukan penambahbaikan juga akan dipantau.

"Kesemua ini mungkin memerlukan penambahbaikan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Permohonan yang dibuat untuk melihat bagaimana kita dapat memperbaiki penghadang jalan menggunakan 'wire rope' kepada penghadang jalan konkrit juga telah diterima," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ir Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) yang meminta kementerian menyatakan rancangan kerajaan menaik taraf Jalan Persekutuan daripada Changlun ke Kuala Perlis di mana struktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik.

Tambah Fadillah, kos bagi kerja penyelenggaraan rutin seperti penampalan lubang jalan, penyenggaraan bahu jalan, memotong rumput, cuci sistem saluran dan perparitan mencecah RM41,250 sebulan dan RM495,000 setahun.

Katanya, bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala pula untuk tempoh dari 2014 hingga 2016, kementerian telah membelanjakan bagi penyenggaraan berkala berkaitan pavemen sebanyak RM2.5 juta untuk laluan tersebut.

Jelasnya, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan RM1.8 juta untuk penyelenggaraan berkala tahun ini, manakala RM200,000 lagi telah diluluskan untuk perbaiki dan menggantikan sistem penghadang jalan dengan menggunakan kaedah 'wire rope' di tempat tersebut.

Anak Exco Kedah maut kemalangan jalanraya petang semalam

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ex-1_1502537986.jpg
Gambar Ehsan Harian Metro

JITRA - Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Kubang Pasu yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN) dekat sini dihentikan sejurus selepas exco kerajaan negeri, Datuk Aminuddin Omar menerima berita kematian anaknya.

Aminuddin yang duduk bersama beberapa pemimpin Umno Kubang Pasu di atas pentas dilihat bergegas meninggalkan majlis ketika Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Khairul Azwan yang terkejut apabila dimaklumkan berita itu selang beberapa minit turut meminta kira-kira 360 perwakilan Pemuda yang hadir untuk membacakan Al-Fatihah.

“Saya tidak dapat meneruskan ucapan ini, saya amat bersedih, Al-Fatihah untuk anak lelaki Datuk Aminuddin Omar yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya sebentar tadi,” katanya.

Aminuddin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Anggota Dewan Undangan Negeri Jitra serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Irfan Aminuddin, 20, dan rakannya maut apabila kereta jenis Toyota Hilux dinaiki mereka melanggar sebatang pokok dan terbabas di KM 12.7, Kampung Bendang Perang, Changlun.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian. –Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...