TERKINI :

Monday, August 7, 2017

Perlu siasat RM5.32 bilion dari anak syarikat 1MDB kepada syarikat kosong

 Tony-Pua-Irwan-Serigar
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah didesak menyiasat pembayaran sebanyak AS$1.243 bilion (RM5.32 bilion) oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Limited (1GIL) kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini berkata laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menunjukkan beberapa transaksi kepada syarikat itu dari 8 Oktober hingga 14 November 2014.

Pihak berkuasa AS sebelum ini mendakwa wang 1MDB disalurkan ke Aabar BVI, sebuah syarikat kosong yang didakwanya diberi nama yang memberi gambaran ia mempunyai kaitan dengan Aabar Investment PJS, anak syarikat sebenar syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Adakah beliau akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia – pembayar cukai – supaya pihak bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini diambil tindakan? Ataupun Irwan Serigar akan bertindak seperti pengerusi 1MDB lalu, Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin dan Tan Sri Ismee Ismail, yang terpaksa meletak jawatan?

“Saya tahu dia tidak lakukan sebarang kesalahan dalam perkara ini, tetapi sebagai pengerusi 1MDB, Irwan kena dedahkan perkara sebenar yang berlaku,” kata wakil rakyat DAP itu pada sidang media di Parlimen.

Merujuk laporan DoJ Jun lalu, Tony berkata 1GIL membuat pinjaman sebanyak AS$458 juta daripada Bank Deutsche pada 29 September 2014.

Kemudian, 1GIL memindahkan sejumlah AS$378 kepada sebuah dana perantara, yang seterusnya memindahkan sejumlah AS$375 juta kepada syarikat Bridge Global Fund pada 1 Oktober 2014.

Kemudian, pada 7 Oktober, Bridge Global Fund kemudian membayar AS$375 juta kepada syarikat Brazen Sky, yang seterusnya memindahkan wang itu kepada 1GIL.

Kemudian, 1GIL memindahkan AS$356 juta kepada Aabar BVI.

Menurut Tony, kitaran pembayaran itu dilakukan beberapa kali pada 14 Oktober, 23 Oktober, 30 Oktober dan 14 November 2014.

Tony hari ini mendakwa, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat menyiasat pembayaran itu memandangkan presiden dan pengarah eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy enggan memberikan sebarang dokumen.

“Dalam siasatan PAC ada 2 perkara berlaku, pertama beliau jelaskan bahawa bayaran AS$1.243 bilion itu adalah bayaran cagaran tambahan dan pampasan. Sebab yang teliti tidak diberikan, kita (PAC) minta juga tidak diberikan. Dia (Arul) hanya umumkan kepada PAC.

“Keduanya, 1MDB enggan berikan dokumen bank bagi syarikat di luar negeri kepada ketua audit negara dan PAC. Saya rasa sebab inilah mereka tidak dedahkan dokumen bank di luar negeri walaupun diminta beberapa kali,” katanya.

Pada Ogos 2016, seorang pegawai kewangan, Khadem al-Qubaisi, dilaporkan ditahan polis Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu selepas pihak berkuasa AS mendakwa beliau menerima ratusan juta dolar yang dicuri dari urusjanji perniagaan antara 1MDB dan IPIC.

Khadem didakwa pengarah di Aabar BVI. Khadem menerajui IPIC sehinggalah beliau meninggalkan syarikat itu secara mengejut pada 2015.

DoJ mendakwa Khadem terlibat dalam konspirasi untuk menggelapkan AS$1.37 bilion dari 2 bon jaminan IPIC yang dikeluarkan 1MDB pada 2012 dan bernilai AS$3.5 bilion. Menurut DoJ, Khadem menerima hampir AS$473 juta dari wang yang dilencongkan itu ke dalam akaun bank miliknya pada 2012.

Khadem menafikan sebarang salahlaku.

1MDB: PAS puas hati selepas jumpa Arul Kanda

tuan-ibrahim-pas

AMPANG: PAS hari ini berkata mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu dari presiden 1MDB sendiri, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sidang meja bulat itu diadakan di Hotel de Palma, Ampang pada jam 9.00 pagi tadi.

“Secara keseluruhan bagi pihak kami kita berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Arul khusus pelan rasionalisasi yang telah dicadang beliau bagi mengatasi kemelut berlaku dalam 1MDB,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media selepas sidang tersebut.

Syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 1 Ogos memberikan masa 5 hari bekerja kepada 1MDB untuk melangsaikan hutang AS$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion) yang gagal dibayar pada 31 Julai.

1MDB dalam kenyataan berkata mereka komited untuk memenuhi obligasi kepada IPIC pada Ogos nanti, tanpa memberikan tarikh khusus.

1MDB berkata semua bayaran kepada IPIC akan dibuat menerusi pelan rasionalisasi 1DMB, di mana ia akan menjual aset. Menurut 1MDB, kelewatan membayar hutang disebabkan perlu mendapatkan “kelulusan kawalan selia”.

Di sidang media hari ini, Tuan Ibrahim berharap 1MDB diberi peluang untuk menyelesaikan hutang kerana kelewatan menyebabkan kos faedah yang besar iaitu AS$1.9 bilion setahun.

Tuan Ibrahim memberitahu pemberita Arul Kanda turut menunjukkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB kepada mereka.

“PAC tak boleh selesaikan masalah sebab dianggotai 8 ahli Parlimen BN dan 5 ahli Parlimen pembangkang, dan tindakan belum ada.”

Tuan Ibrahim mengulangi gesaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk melihat isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda dibawa masuk ke dana milik kerajaan itu.

“Cadangan tersebut telah dikemukakan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada 13 Oktober 2015. Saya fikir paling awal cetuskan idea RCI diwujudkan dalam isu 1MDB,” tambahnya.

“Kita harap tak banyak campur tangan politik sebab sudah ada pelan telah dikemukakan beliau (Arul).”

Arul Kanda tidak turut serta dalam sidang media PAS dan tidak mahu memberi sebarang ulasan kepada media.

Semua lantikan politik PKR Kelantan letak jawatan serta merta

 
Seramai tujuh Ahli Majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan yang dilantik dan yang masih belum mengangkat sumpah telah meletakkan jawatan serta merta semalam sebagai melaksanakan arahan dan mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Biro Politik parti itu.

Dalam satu kenyataan rasmi PKR Kelantan yang dikeluarkan lewat malam tadi menjelaskan, nama-nama pimpinan PKR yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis bersetuju untuk meletakan jawatan serta merta adalah Mohd Khairul Anwar Mohd Azhan Ahli Majlis Daerah Ketereh.

Manakala enam lagi pimpinan PKR Kelantan yang telah disenaraikan sebagai Ahli-ahli Majlis Daerah tetapi belum mengangkat sumpah terdiri daripada Mohd Khairul Amin (Tumpat); Mohd Syahid Mohd Kamaruddin (Dabong); Zulqarnain Zakaria (Gua Musang) dan; tiga ahli Majlis Daerah Machang Muhammad Arif Mukhtar, Chu Jok Lan dan Tan Teck Seng.

Menurut Ketua Penerangan PKR Kelantan Mohammad Azihan bin Che Seman keputusan yang dibuat adalah sebagai melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai anggota parti yakni mematuhi setiap arahan pucuk pimpinan tertinggi PKR.

"Keputusan ini juga dibuat dengan keyakinan bahawa pucuk pimpinan parti telah mengambil kira semua aspek demi memelihara maruah dan kewibawaan parti.

"Kami juga mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi PKR dan berikrar akan meningkatkan gerak kerja parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke 14 yang akan datang," ujarnya dalam kenyataan.

Krisis kerjasama politik PKR dan Pas tercetus apabila Majlis syura Pas Pusat telah memutuskan hubungan dengan PKR sejurus selepas muktamar Pas 2017.

Ekoran keputusan tersebut PKR melalui keputusan Biro Politik parti telah bermesyuarat dan bersetuju mengarahkan semua lantikan politik PKR negeri Kelantan meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini telah disampaikan melalui surat Setiausaha Agung PKR bertarikh 17 Mei 2017.

Majlis Pimpinan PKR Negeri Kelantan (MPN) telah mengadakan mesyuarat khas MPN pada 17 Mei dan sekali lagi pada 5 Jun 2017 dengan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR.

Walau bagaimana pun, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.

Awat ZAHID HAMIDI sehari dua nie macam tak keharuan aja kerja buat dia??

ZAHID HAMIDI KALUT SENDIRIAN?

Mula-mula Zahid Hamidi menolak dakwaan Tun Mahathir Mohamad bahawa kunjungannya ke rumah bekas Perdana Menteri bertujuan meminta sokongan untuk menjatuhkan Najib Razak.

Kata Timbalan Perdana Menteri, beliau ada rakaman berhubung pertemuan itu.

Kemudian, Zahid Hamidi bergerak selangkah lagi dengan mengatakan beliau sedia bersumpah laknat bagi menafikan dakwaan Tun Mahathir itu.

"Saya sedia bersumpah laknat di mana-mana masjid pun bahawa yang merancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri adalah "orang itu" dan bukan saya," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau juga mencabar Tun Mahathir untuk sedia bersumpah bersama-sama dengannya.

Tetapi, belum pun cabarannya berhubung sumpah laknat atau kenyataannya tentang memiliki rakaman itu mendapat respon daripada Tun Mahathir, Zahid Hamidi sendiri akhirnya tidak sabar-sabar melafazkan sumpah wala'nya kepada Najib.

"Wallahi, wabillahi, watallahi...selagi saya diberi kepercayaan, saya akan membantu YAB Presiden parti dan Perdana Menteri. 

"Saya akan terjemahkan ketaatsetiaan dan kerja keras saya untuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Insya Allah," demikian lafaz sumpah yang diikrarkan oleh Zahid.

Hanya dalam tempoh tidak sampai 24 jam, berturut-turut kenyataannya - daripada mendakwa memiliki rakaman, kemudian mencabar bersumpah dan akhirnya bersumpah sendirian tanpa menunggu pun jawapan daripada Tun Mahathir.

Kenapa sampai begitu sekali?

Mengapa kelihatan terlalu kalut, kelam-kabut dan tidak sabar-sabar untuk menunjukkan kesetiaan kepada Najib yang sebenarnya ia sudah pun dilafazkan berkali-kali sebelum ini.

Apa apa-apa ke?  (ShahbudinHusin 05/08/2017).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...