TERKINI :

Sunday, July 30, 2017

LAPORAN POLIS TERHADAP ZAHID HAMIDI & KETUA PENGARAH JPN

LAPORAN POLIS TERHADAP ZAHID HAMIDI & KETUA PENGARAH JPN

Lanjutan ucapan perasmian penutup Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kelana Jaya hari ini yang dilaporkan oleh Malaysiakini, esok Isnin 31/07/2017 jam 1 tengahari di IPD Dang Wangi, saya akan buat laporan polis terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara keran telah membocorkan maklumat peribadi individu kepada khalayak.

Malaysiakini melaporkan seperti berikut :

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, "Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."

Bagaimana Ketua Pengarah JPN boleh sewenang-wenang memberikan maklumat peribadi Tun Dr. Mahathir kepada Zahid dan kemudiannya didedahkan oleh Zahid kepada orang ramai? Apa tujuannya?

Jika salinan kad pengenalan Tun Dr Mahathir boleh dihantar melalui telefon bimbit oleh Ketua Pengarah JPN, maka kita perlu bimbang data-data peribadi orang awam lain digunakan dan dibocorkan sewenang-wenang oleh JPN.

Tidak hairan jika daftar pemilih SPR penuh dengan keraguan jika kad pengenalan pun boleh dihantar melalui telefon semudah itu.

Zulhazmi Shariff

Najib teruja AJK PAS hadir ke mesyuarat Umno

30 Jul 2017

Kehadiran Anggota Jawatankuasa PAS Lipis, Mahyudin Ghazali ke Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis hari ini mencuri perhatian anggota Umno termasuk presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir bagi merasmikan persidangan itu.

Najib yang dimaklumkan tentang kehadiran pemimpin PAS tempatan itu berkata belum pernah berlaku dalam sejarah apabila pemimpin PAS datang ke majlis perasmian mesyuarat Umno.

“Jarang dalam persidangan Umno ada orang PAS. Man … (ketua Umno bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad) ini merupakan satu kejayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis Di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, hari ini.

https://m.malaysiakini.com/news/390290

Kumpulan aktivis beri amaran bahaya kelompok 'kartel'

 http://www.malaysiadateline.com/images/mydateline/JULAI_2017/Zanirun_Baba_tengah_dalam_sidang_media_di_ibu_negara_malam_tadi.jpg
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) memmberi amaran bahaya kewujudan kelompok parasit yang dipanggil sebagai 'kartel' dalam salah satu komponen blok pembangkang itu.

Menurut kumpulan aktivis diwakili penyokong Amanah, PKR, DAP dan PPBM itu, terdapat unsur yang dilihat memudaratkan Pakatan Harapan termasuk cubaan mendominasi dan membentuk proksi.

"Ada sikap pemimpin Pakatan Harapan yang memperlihatkan sikapnya enggan memperkukuhkan Pakatan Harapan sehingga terbit kata nama 'kartel'.

"Sekarang ini, GAH melihat adanya elemen-elemen yang akan dan telah pun merosakan Pakatan Harapan. Perkara ini dilihat bakal menjadi barah kepada Pakatan Harapan.

"Mereka (kelompok kartel) ini mahu menjadi tuan dan mahu mendominasi Pakatan Harapan.

"Mereka ini telah membentuk proksi sendiri bukan sahaja di Selangor malah di beberapa negeri dengan mengangkat diri sendiri dan berpura-pura mendakwa diri sebagai juara," tegas jurucakap GAH, Zanirun Baba.

Bercakap pada sidang media di ibu negara semalam, beliau mendakwa kelompok 'kartel' turut cuba membentuk persepsi kononnya pihak istana terbabit dalam mencampuri dan menghalang tindakan politik.

"Mereka ini juga sedang mewujudkan bayangan Perdana Menteri (PM) di kalangan mereka serta cuba membawa dakyah dan permusuhan antara komponen dalam Pakatan Harapan," dedahnya.

Akibat sikap 'kartel' itu, jelasnya, masyarakat keliru terhadap sikap kepimpinan termasuk Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk melihat kerjasama yang kukuh di dalam Pakatan Harapan lebih-lebih lagi dalam kalangan pimpinan tertinggi.

"Lebih memalukan masyarakat mahu lihat tindakan lebih bermaruah oleh pemimpin sebegini," ujarnya sambil menegaskan GAH adalah gerakan akar umbi menyokong pembentukan Pakatan Harapan yang lebih kukuh ke arah sebuah kerajaan lebih dinamik, progresif, inklusif dan berintergriti.

"GAH menyedari bahawa perjuangan haruslah melalui denyut nadi rakyat ke arah perubahan yang sebenar-benarnya di bawah kerajaan yang baru di Malaysia.

"GAH mengambil pendekatan yang serius membentuk gerakan ini bagi memantapkan Pakatan Harapan," tegas Zanirun lagi.

Dalam hal berkaitan, Pulau Pinang menjadi negeri Pakatan Harapan pertama mengumumkan jawatankuasa gabungan itu di peringkat negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng merangkap Setiausaha Agung DAP, pada 27 Julai lalu.

Penubuhan tersebut susulan daripada pengumuman struktur kepimpinan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan dengan dipengerusikan Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM pada 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, Selangor setakat hari ini masih belum lagi mengumumkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan di peringkat negeri walaupun didesak komponen parti Pakatan Harapan.

Bahkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 5 Julai lalu dilapor negeri berkenaan akan terus ditadbir Pakatan Rakyat yang dianggapnya masih wujud lantaran mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Selepas tiga hari pengisytiharan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan, Azmin kemudiannya menyifatkan struktur baru blok tersebut sebagai menggabungkan kepimpinan baru dan lama.

Timbalan Presiden PKR itu selanjutnya menganggap gabungan tersebut lebih foukus dan dijangka memberikan impak yang positif dalam menghadapi PRU-14.

Pada masa ini terdapat tiga exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor walaupun Pakatan Rakyat terbubar ekoran keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015.

Selepas Pas, kini PKR lancar jentera Permatang Pauh, yakin menang

 Nurul Izzah bersama pimpinan PKR P.Pinang semasa pelancaran jentera pilihanraya PKR Negeri P.Pinang di Ptg Pauh semalam
Selepas Pas melancarkan jenteranya untuk merampas Permatang Pauh, PKR pula melancarkan jenteranya dan yakin akan mempertahankan kerusi parlimen itu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika bercakap kepada media selepas melancarkan jentera pilihan raya PKR Negeri Pulau Pinang di Yayasan Aman, Penanti, semalam berkata, pihaknya yakin akan menang di situ.

Nurul Izzah semasa berucap di Yayasan Aman semalamMenurut beliau lagi, Parlimen Permatang Pauh mempunyai sifat sentimentalnya yang tersendiri termasuklah pengundi yang telah memberikan mandat dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam politik semua yang bertanding inginkan kemenangan dan menjadi wakil rakyat.

"Sehubungan itu kita tidak ingin zahirkan provokasi kepada mana-mana pihak ataupun golongan.

"Kemenangan adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul bagi memperjuangkan nasib rakyat," jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut berkata, kerendahan diri, ketinggian akal adalah suatu yang amat penting dalam merencanakan setiap tindakan.

Justeru, tegasnya, PKR akan tetap mempertahankan kerusi-kerusi yang ada termasuklah kerusi yang dimenangi dalam Parlimen Permatang Pauh.

"Apa yang kita perlukan ialah berjuang bagi menentang rasuah dan kleptokrasi Najib dan parti Umno-BN.

"Nasib rakyat menjadi keutamaan untuk diberi pembelaan.

"Perjuangan bagi menentang amalan korup dan penyelewengan yang begitu ketara dalam kepimpinan Umno dan BN adalah agenda utama yang kita akan terus perjuangkan sehinggalah berjaya menenangi pilihan raya yang akan datang

Sebelum ini Pas kawasan Permatang Pauh telah pun melancarkan jentera pilihan raya mereka dan berhasrat untuk bertanding kerusi tersebut.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Pas hanya mampu menang satu kerusi Dun sahaja yang menjadi kerusi tradisi mereka di Dun Permatang Pasir.

Walaupun rekod menunjukkan Pas bertanding di enam buah kerusi Dun pada tahun 2013 yang lalu, mereka tetap hanya mampu menang satu kerusi tunggal tersebut semasa bersama Pakatan Rakyat.

Adalah difahamkan nasib mereka akan lebih parah apabila tidak bersama dengan gabungan pembangkang menjelang pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Manakala calon mereka bagi kerusi Dun Sg Acheh, Yusni Mat Piah turut hilang deposit dalam pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke 13 yang lalu.

ANWAR : KENAPA SAYA SANGGUP BEKERJASAMA DENGAN MAHATHIR?

KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

Rakan-rakan dari SUARAM, Otai Reformasi, PSM, beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merangkul Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan PH. Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda perubahan.

Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah. Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini.

Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin, yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat dan dihebah di media milik UMNO-BN.

Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat.

Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH. PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.

Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi.

Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah UMNO-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil mahakaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang. PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman. Penghayatan Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.

Pada hemat saya kehadiran Tun Mahathir dan Bersatu adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati. Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani. Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat. Struktur PH tidak boleh disamakan dengan BN. PH adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti.

Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang Pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud. Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh PH. Kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta wewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.

Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi PH dan menegur atau mengemukakan cadangan. Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14.

Sistem pilihanraya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan. Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya. Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai "penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara."

Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya; hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut dikhianati. Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar.

Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah licik mengaburi mata peneroka dan rakyat. Kecurangan berleluasa dan kerugian kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan selainnya terus dilindungi.

Menjelang PRU ke 14, UMNO-BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.

PH dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta.

Anwar Ibrahim
30 Julai 2017

Anak syarikat rugi besar, Ladang Rakyat jawab Husam

Anak syarikat rugi besar, Ladang Rakyat jawab Husam

 Husam Musa calon MB Kelantan
Penutupan empat anak syarikat kerana kerugian operasi adalah sesuatu yang lumrah dalam perniagaan, kata pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan menjawab satu pendedahan oleh Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Dalam satu kenyataan sebelum itu, Husam berkata kesemua lima anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (LR) mengalami kerugian melebihi RM9 juta dan empat daripadanya telah ditutup.

Menurutnya hanya satu anak syarikat LR yang masih beroperasi iaitu Ladang Rakyat Project Management Sdn Bhd walaupun merekodkan kerugian untuk tahun 2016 berjumlah RM8.412 juta dan jumlah kerugian sejak ditubuhkan sebanyak RM8.5 juta.

"Empat lagi lagi anak syarikat telah ditutup operasinya.

"Syarikat berkenaan adalah Ladang Rakyat Aquafarm Sdn Bhd (ditutup 2017dengan kerugian terkumpul RM 166,339), Ladang Rakyat Tropical Sdn Bhd (2016, kerugian RM 98,500), Ladang Rakyat Agro Products Sdn Bhd (2016, kerugian Terkumpul RM 101,515) dan Ladang Rakyat Herbs Sdn Bhd (2016, kerugian RM 101,500)," katanya.

Kerugian terkumpul keseluruhan menurut Husam, bagi kelima-lima anak syarikat LR adalah RM 8,970,249 atau mencecah RM9 Juta.

Beliau yakin kerugian sebenar bagi kempat-empat anak syarikat yang telah ditutup adalah lebih besar, kecuali pada tahun 2015 keempat-empat syarikat ini tiba-tiba mencatat keuntungan.

"Ini mungkin pendapatan dari penjualan aset modal yang dibuat pada tahun 2015, sebelum ditutup pada tahun 2016," katanya.

Dalam penjelasan pihak LR yang tidak menamakan pegawai, menyatakan pihaknya bertegas tiada yang mencurigakan dari penutupan anak syarikat ini kerana Ladang Rakyat telah menerima Anugerah Kecemerlangan Indeks Akauntabiliti yang dianugerah oleh Ketua Audit Negara bagi tahun 2015.

"Ladang Rakyat ditubuh pada tahun 2006 dan anak syarikat ditubuh sekitar tahun 2008, termasuk syarikat Ladang Rakyat Project Management Sdn. Bhd.

"Syarikat Ladang Rakyat Project Management Sdn. Bhd. adalah anak syarikat yang mengurus ladang di Paloh empat seluas 954 ekar bermula pada tahun 2010.

"Kerugian sebanyak RM8j lebih adalah kerana perbelanjaan modal pembangunan ladang, namun syarikat mula meraih pendapatan pada tahun 2014," kata kenyataan itu.

Menurutnya, modal pembangunan ladang yang dibelanjakan adalah dari dana dalaman, tanpa sesen pinjaman bank atau pun bantuan kewangan secara langsung dari kerajaan negeri dan adalah mustahil untuk meraih keuntungan bersih dari pelaburan RM8juta berkenaan dalam tempoh tujuh tahun sedangkan kelapa sawit hanya mula keluarkan hasil tahun 2014.

"Syarikat boleh sahaja membuat keuntungan segera sama ada dengan membuat pinjaman bank secara overbajet atau menjual sebahagian tanahnya yang luas dan isytihar bonus hingga mencecah enam bulan, sebagaimana pernah dibuat sesetengah syarikat sebelum ini.

"Juga diingatkan, Adun yang membangkitkan perkara ini pernah menjadi ahli lembaga Ladang Rakyat dari penubuhannya sehingga tahun 2012, mungkin lebih mengetahui hal ehwal dalaman perbadanan dalam tempoh berkenaan," kenyataan itu dipetik.

Perbahasan Akta Keganasan Rumahtangga : Menjawab Kekeliruan Yang Ditimbulkan menara.my

Oleh DR SITI MARIAH MAHMUD

Pada 24hb Julai Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat , Datuk Rohani Karim telah membentang pindaan RUU Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) Pindaan 2017. Saya turut mengambil bahagian di dalam perbahasan tersebut. Antara pindaan yang dibuat adalah untuk mempermudahkan mangsa penderaan rumahtangga mendapat perintah perlindungan sementara (interim protection order -IPO) dan perintah perlindungan (protection order-PO) yang boleh diberi oleh pihak polis dan juga pegawai kebajikan masyarakat.  Termasuk di dalam akta ini ialah mangsa yang terdiri dari isteri/suami, ibu bapa/adik beradik, ahli keluarga terdekat dalam keluarga sahaja. Maknanya ada hubungan kekeluargaan.

Secara umumnya boleh dikatakan AKRT mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen tanpa ada satu pun bantahan. Semua yang berhujjah bersetuju peri pentingnya mangsa penderaan perlu dilindungi daripada pendera nya. Tambahan lagi statistik kes penderaan semakin meningkat setiap tahun. Walaupun  lebih 70% mangsanya ada lah wanita iaitu sang isteri, jumlah mangsa lelaki atau si suami pun semakin meningkat melebihi 20%.

Di dalam perbahasan saya telah membawa cadangan supaya kes penderaan yang berlaku kepada wanita yang bukan dan belum bertaraf isteri juga dimungkinkan di bawa dibawah akta ini. Ini termasuklah pasangan kekasih - teman lelaki dan wanita dan juga bagi mereka yang walaupun tidak berkahwin tetapi tinggal bersama dan berfungsi seperti suami isteri.  Saya tidak berbahas panjang setelah memberi cadangan atau mengupas isu ini dengan baik. Alasan saya ialah di dalam kes-kes seperti ini, dinamiknya seperti dalam perkahwinan yang sah jua sebab hubungan intim bukan secara fizikal sahaja tetapi juga secara emosi. Walaupun Menteri mengatakan penderaan dan keganasan boleh ditangani dengan Kanun Keseksaan seksyen 323 dan 324 dan seterus. Kebanyakan pasangan kekasih tidak akan melapurkan kepada polis penderaan ini kerana kebegantungan  emosi serta ekonomi kepada pasangan dan bagi yang sudah ada anak, kepentingan anak juga perlu diambil kira.  Kalau dilapurkan pun mereka tidak akan mendapat sebarang perintah perlindungan dan mendapat manafaat kaunseling dan pemantauan seperti kalau mereka isteri atau ahli keluarga yang sah. Dalam kategori ini juga ialah mereka yang telah berkahwin secara tidak sah disegi undang-undang dan jika sah disegi syara’ pun ada yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. Kes berkesedudukan ini bukan sahaja  berlaku dikalangan rakyat bukan Islam tetapi juga mereka yang beragama Islam. Bagi mereka yang bukan beragama Islam tidak menjai masalah untuk digolongankan dalam istilah “keluarga”.  Malah YB Setiu bangun mengatakan jika golongan ini dimasukkan dalam AKRT ini maka ia tidak termasuk yang beragama Islam. Saya tidak memberi respon kepada cadangan beliau kerana saya tahu yang ini adalah cadangan baru yang pertama kali di bawa dalam dewan dan tidak akan lulus pun sebab tiada dalam cadangan pindaan. Ia lebih kepada supaya Menteri mula memikirkan dan bersifat inklusif di masa hadapan.

Memang di dalm jawapan Menteri beliau mengaku  keterbatasan kementerian untuk menambah lagi satu skop ke dalam pindaan buat masa ini. Menteri pun sudah biasa mendengar cadangan ini mungkin dari NGO NGO wanita namun Kerajaan mungkin bimbang isu ini akan dipolitikkan dan kementerian tidak mampu hendak mempertahankan keputusan sebegini.

Keesokkan harinya sebuah portal (MENARA.MY) melaporkan berita ini tanpa menulis nama pelapornya.  Tajuknya pun sensasi .. “BERI HAK PERLINDUNGAN KEPADA PASANGAN BERSEKEDUDUKAN - SITI  MARIAH MAHMUD” dan diakhir laporan menulis BACA DAN FIKIR SENDIRI.  Tentulah komen-komen yang diberi semuanya menghentam saya dan menggambarkan saya ini teruk dan tidak Islamis kerana hendak melindungi orang yang berdosa. Tiada seorang pemberita pun yang memanggil saya untuk mendapat penjelasan mengenai cadangan tersebut. Kepada yang membuat tohmahan dan omen negatif terhadap saya, saya sudah maafkan anda (ada yang mengatakan, “maybe anaknya terlibat lah sebab itu Siti Mariah nak protect”)

Ramai yang gagal melihat secara mendalam dan luas dan faedah jika AKRT ini inklusif terhadap pasangan yang tidak berkahwin.

Dalam kes pasangan yang tidak berkahwin tetapi berkesedudukan, ada dua isu yang berbeza. Tidak dinafikan, untuk orang Islam, ia adalah satu dosa dan kesalahan disegi undang-undnag syari’ah. Di dalam perbahasan saya sebut yang bukan tujuan kita memberi pengiktirafan kepada perbuatan mereka . Bagi orang bukan Islam, it is a “non issue” dan memang inilah yang dikehendaki.

Ada dua isu disini -  keganasan /penderaan dan berkesedudukan.  Kedua-duanya salah di segi undang-undang (Islam). Menjadi tanggungjawab kerajaan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan dan penderaan walaupun mereka melakukan dosa. Dua isu ini perlu diasingkan. Jikalau kita membuat premis yang orang berdosa tidak ada hak untuk dilindungi , ia bertentangan dengan agama Islam dan juga hak asasi manusia. Kita juga membuat andaian yang semua mereka yang berkesedudukan melakukannya dengan  rela hati dan adalah orang-orang “jahat” yang tidak boleh diberi pembelaan .  Mereka perlu dihukum. Tidak ada satu ayat pun yang saya membela mereka berkesedudukan. Saya menumpu kepada perlindungan mangsa yang didera atau yang diganasi.

Saya beri beberapa contoh bagaimana berkesedudukan berlaku. Ini kes betul yang saya sendiri temui namun Alhamdulillah tiada keganasan atau penderaan pasangan.

1) Perkahwinan yang  sah disegi syara’. Berlaku diluar negara. Namun bila balik tidak di daftarkan mengikut undang2 Malaysia. Dari segi undang2 perkahwinan mereka tidak sah. Apa kata kalau setelah beberapa tahun atau beberapa bulan berkahwin si isteri mendesak suami untuk mendaftarkan perkahwinan kerana sedar yang dia tiada hak sebagai seorang isteri tambahan pula jika sisuami berpoligami.  Ataupun selepas duduk bersama baru tahu sisuami kaki pukul. Si isteri pula mengandung. Si isteri dipukul, di dera…. Di mana dia hendak membawa kesnya?  Kepada polis? Mana bukti perkahwinan? Dokumen dengan sisuami….
(Saya boleh dengar pembaca Menara.My akan berkata… ini lainlah mereka bukan berkesedudukan.. .. mereka dah kahwin.. Boleh selesai masalah??… disegi undang-undang, akta mana nak pakai untuk melindungi dia ni?? Nak selesai secara undang-undang Islam…. Tahukah anda berapa banyak wang yang diperlukan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk selesaikan?? Sementara itu hari hari kena penampar)

2) Kes cinta terhalang. Seorang gadis melarikan diri dari rumah mengikuti kekasihnya yang berjanji mengahwininya. Tiba di bandar setelah menyerahkan dirinya kepada teman lelaki masih tidak dinikahi atas pelbagai alasan teman lelakinya. Kerana selalu mendesak hendak dikahwini, si wanita ni dapat sepak terajang… mana nak pergi?. (saya boleh  dengar sesetengah pembaca mengatakan… padan muka dia . siapa suruh menggatal?? Atau you deserve it. Yang “alim” sikit akan berkata.. ini balasan mereka yang melakukan maksiat, ambil Allah bayar cash didunia lagi… familiar responses isn’t it?? ).

Hari hari kita baca di dada akhbar yang gadis hilang dari rumah, Sebahagiannya mereka beginilah akhirnya. Sambung cerita di atas… akhirnya wanita seperti ini akan  dilacurkan. Teman lelakinya jadi ibu ayam. Beliau tidak dapat melepaskan diri sebab tiada undang-undang yang boleh melindunginya. Dia terperangkap dalam dunia pelacuran dan hidup dalam suasana keganasan.

Kedua-dua kes dia atas adalah cerita dan kisah benar mereka yang beragama Islam. Mari tengok contoh untuk bukan Islam pula.

3) Terjadi di kalangan orang India dan kes dalam kawasan saya. Memang tidak berkahwin. Berkesedudukkan. Sudah ada anak. Miskin. Kadang-kadang dipukul. Tidak boleh buat apa. Bila ditanya kenapa tak lapor kepada polis. Dia tanya balik.. apa polis boleh buat YB? Nanti repot lagi kena pukul ada …Allah hati saya rasa undang2 telah menzalimi mereka

4) Ramai yang pilih untuk tinggal bersama sebab nak kahwin leceh, kalau tak menjadi nak cerai … leceh juga. Mereka tidak menganuti mana-mana agama. Pilih untuk tinggal bersama sebagai suami isteri. Maka mereka juga tak sunyi dari perkara-perkara yang di alami oleh pasangan yang berkahwin secara sah termasuk penderaan dan keganasan

Cukuplah contoh-contoh  sebagai menggambarkan bahawa kita ada kes-kes/prima facie untuk memberi  mereka perlindungan dari keganasan. Setakat ini tiada undang-undang yang boleh melindungi mereka dari keganasan. Kalau nak buat undang-undang lain macam tak logik sahaja dan akan mengambil masa yang lama. Yang paling mudah ialah mengintegrasi golongan ini dalam definisi mereka yang layak dilindungi dari kekerasa di dalam AKRT.

Saya tahu ada yang mengatakan kalau  cadangan ini diterima maka kita akan menggalakkan rakyat berkesedudukan tanpa perkahwinan yang sah. Masyarakat akan jadi kucar kacir. RUU AKRT ialah langkah menangani segera keganasan dan penderaan dalam keluarga. Bagaimana mencegah keganasan berlarutan terhadapa wanita  ianya tentulah melalui pendidikn.  AWAN sudah melancarkan kempen STOP Violence Against Women (Stop VAW).  Kita membela di mana yang patut dibela.

Kita perlu betulkan pandangan kalau kita fikir kebanyakan manusia suka hidup tanpa perkahwinan. Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrah dan naluri yang bersih dan jika mereka tersilap langkah pun ingin kembali kepada kebaikan.

Sebagai pendakwah kita patut mencari peluang membawa manusia kembali ke pangkal jalan. Jika pasangan yang bersekedudukan itu muslim, tiada siapa boleh menghalang pihak berkuasa dari mendakwa mereka kerana telah melanggar undang-undang. Silakan. Terpulanglah kepada yang pegang kuasa. Mereka berpeluang dikaunsel dan peluang taubat terbuka luas. Bantulah mereka untuk berkahwin dengan sah  dengan tidak payah menyusahkan mereka dengan pelbagai birokrasi yang ada. Jangan kita asyik nak menghukum tanpa memberi solusi.

Mudah kita berslogan Islam penyelesai segala masalah. Mari kita zahirkan kebijaksanaan kita sebagai khalifah Allah SWT menyantuni mereka yang mungkin jahil agama dan tidak mempunyai ruang dan kesempatan mempelajari dan mengamalkan agama.

AWAN menggalas politik empati dan peduli dan akan menjadi jurucakap golongan terpinggir kerana perjuangan kami inklusif terhadap semua golongan masyarakat.

AMANAH mendukung ISLAM RAHMATAN LIL ‘ALAMIN

*Siti Mariah adalah Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional

ANWAR, MAHATHIR DAN DOA ALMARHUM US FADZIL NOOR

ANWAR, MAHATHIR DAN DOA ALMARHUM US FADZIL  NOOR

Skandal 1MDB ini mula keluar dari mulut Anwar sejak 2010 lagi.  Hasilnya skandal ini mencapai kemuncaknya dan menjadi kontroversi hebat pada tahun 2016 sehingga sekarang apabila Sarawak Report dan DOJ turut menjadikan skandal ini sebagai satu skandal terbesar di abad ini.  Najib popular di dunia kerana isu ini saja.

Hasilnya lagi, Tun M bersama Muhyiddin serta Shafie Apdal membentuk parti untuk menentang Najib, Umno/Bn.  Isu ini juga menghantui Tun M sehingga beliau sanggup bersama Anwar, Azizah, Kit Siang dan Mat Sabu bagi menentukan kejatuhan Umno/Bn. 

Tindakan Anwar yang berani membuka mata rakyat terhadap skandal 1MDB ini menjadikan Tun M tertarik untuk turut serta dan ini satu kejayaan moral terbesar buat Anwar.  Tun M pula berjaya menembusi kubu-kubu kuat Umno terutamanya di kawasan-kawasan felda yang mana harus kita akui kita agak gagal untuk melakukannya sebelum ini. 

Kita telah berdepan dengan Pemuda Umno begitu lama dan kita tahu benar sikap dan perangai mereka.  Kini, ARMADA satu sayap pemuda di dalam parti Tun M mula mengenali perangai pemuda-pemuda Umno.  Kini kita bersama, sejarah lampau membawa kita untuk duduk bersama dan melakukan muhasabah.

Sesungguhnya doa Almarhum Us Fadzil Noor agar Tun M dapat menyaksikan kezaliman Umno/Bn itu dimakbulkan Allah.  Hikmahnya, Tun M mulai sedar siapa itu Umno.  Malangnya, Almarhum mungkin lupa untuk mendoakan lebai-lebai agar istiqomah melawan rejim Umno/Bn.

WFAUZDIN NS





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...