TERKINI :

Wednesday, July 12, 2017

Pakatan Harapan dijangka tawan Putrajaya menerusi kerusi marginal

 
Pakatan Harapan dijangka akan menang mudah di kerusi marginal yang dikenalpasti di Semenanjung yang dimenangi Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu untuk menawan Putrajaya.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dapatan hasil kajiselidik yang dilakukan INVOKE itu, dengan meningkatkan kempen secara tersusun di kerusi-kerusi marginal, Pakatan Harapan boleh memenangi PRU14 kelak.

"Kempen Pakatan Harapan mesti lebih berfokus dan bijak dengan menumpukan kepada sasaran pengundi yang tepat, isu yang tepat dan kerusi-kerusi Parlimen yang tepat.

"Pantauan sentimen pengundi yang dibuat oleh INVOKE (yang menelefon pengundi setiap hari) menunjukkan Pakatan Harapan kini mendahului di 97 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional mendahului di 125 kerusi Parlimen yang lain jika pertandingan 3 penjuru berlaku.

"Ini bermakna, jika pilihanraya dipanggil hari ini, Dato’ Seri Najib hanya menang dengan majoriti 13 kerusi (melebihi majoriti mudah 112 kerusi) yang hampir pasti menyebabkan beliau digulingkan dari dalam Umno sendiri.

"Oleh sebab itu, saya mengambil tugas untuk memberi tumpuan khusus di kerusi-kerusi marginal yang dikenal pasti di Semenanjung," ujarnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pandan ini juga berkata menerusi INVOKE beliau telah mengenalpasti kebanyakan pengundi atas pagar sedia maklum mengenai skandal 1MDB dan tuduhan penyelewengan dana awam yang dikaitkan dengan perdana menteri.

Bagaimanapun ujarnya pengundi atas pagar sebenarnya lebih tertarik kepada isu-isu yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

"Kenaikan harga barang yang dikira tidak terkawal sebab itu rata-rata pengundi atas pagar mahukan GST dimansuhkan dan subsidi minyak dikembalikan

"Kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan kenaikan harga barang

"Lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan yang ada kepada pekerja tempatan," ujarnya.

Justeru beliau bersama pimpinan Pakatan Harapan telah pun memulakan kempen khusus di 50 kerusi-kerusi yang dikategorikan sebagai marginal bermula di Johor Bharu pada hari Ahad yang lalu.

Menerusi kempen 'Bina Semula Negara' ujarnya lagi, turut akan menjelajah ke utara tanah air pada 15 dan 16 Julai ini yang mana maklumat lanjut berkaitan kepen ini boleh diperolehi di laman INVOKE.

"Saya yakin dengan momentum yang dibina di Johor Bharu, Pakatan Harapan akan berjaya memenangi 50 kerusi marginal yang dikenal pasti untuk membentuk kerajaan di Putrajaya kelak." ujarnya.

Bekalan darah di Kedah,Perlis kritikal perlu bantuan orang ramai


Jabatan Kesihatan Kedah menyeru orang ramai untuk menderma darah ekoran stok bekalan darah di Kedah dan Perlis semakin kritikal.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata setakat ini stok bekalan darah berada di paras bawah 500 pain berikutan penggunaannya yang meningkat sepanjang Aidilfitri lalu bagi menampung pesakit kes kemalangan jalan raya.

Beliau berkata kumpulan darah yang kritikal adalah kumpulan dan kumpulan B dan pihaknya memerlukan lebih 800 pain bagi memastikan stok bekalan darah dalam keadaan stabil.

Untuk meningkatkan kutipan, Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) serta tabung darah di seluruh hospital kerajaan menggiatkan usaha mengumpul bekalan darah menerusi program pendermaan darah, katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat sembilan buah hospital di Kedah dan satu di Perlis yang memerlukan darah.

Orang ramai boleh berkunjung ke Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Kedah dan di Perlis di Hospital Tunku Fauziah, Kangar untuk menderma darah.

Maklumat kempen derma darah boleh dibuat melalui Facebook 'Derma Darah' Kedah/Perlis atau menghubungi talian 04-7746051 (Unit PRO PDWU), 04-4457371Â (HSAH) atau 04-4272733 sambungan 3123Â (Hospital Kulim).

Speaker DUN Kelantan tolak usul bahas perjanjian perdagangan karbon kredit

 Abdullah-Ya’kub-carbon-agreement1
KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini menolak usul yang dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) bagi membahaskan isu perjanjian perdagangan karbon antara kerajaan negeri dengan syarikat Climate Protector Sdn Bhd.

Speaker Datuk Abdullah Ya’kub ketika memutuskan perkara itu berkata walaupun isu berkenaan adalah perkara tertentu dan berkepentingan awam, namun ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan.

“Saya dimaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti perkara itu… dengan itu saya menolak usul ini,” katanya pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Adhan ketika mengemukakan usul berkenaan mencadangkan agar kerajaan negeri menangguhkan perjanjian dengan syarikat tersebut tanpa perlu menunggu tempoh kajian selama 2 tahun yang dicadangkan oleh kerajaan negeri selesai.

Mohd Adhan ketika ditemui di luar dewan menzahirkan rasa kesal usul itu ditolak, menegaskan usul itu dibawa selepas mendapati perjanjian yang ditandatangani pada tahun lepas amat meragukan.

“Pada sidang DUN Mac lepas saya juga telah mengemukakan soalan sama dan kerajaan negeri melalui Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) sendiri memberikan jawapan bahawa mereka telah melakukan apa yang patut seperti kajian kemungkinan dan lain-lain.

“Mereka (kerajaan negeri) yakin syarikat ini akan membawa hasil kepada kerajaan negeri sehingga di dalam bajet pada tahun lepas, mereka menjangkakan pulangan sebanyak RM50 juta akan diraih daripada usaha ini tetapi sehingga sekarang pun kita tak nampak apa-apa hasil yang dapat disumbangkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Mohd Adhan berkata jika usul berkenaan dibenarkan untuk dibahaskan, beliau akan memberi cadangan supaya kerajaan negeri menangguhkan kewajipan mereka untuk meneruskan syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian tersebut sehingga kerajaan negeri membuat kajian yang sewajarnya.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa mendakwa kerajaan Kelantan meluluskan sejuta ekar (404,685 hektar) hutan simpan kekal kepada syarikat Climate Protector Sdn Bhd untuk pelaksanaan projek itu.

Husam turut mempersoalkan kelayakan syarikat itu untuk menguruskan perdagangan karbon dengan kerajaan Kelantan yang didakwa tidak mendapat kelulusan Bank Negara untuk beroperasi.

UMNO BN & PAS jangan bermimpi, Permatang Pauh terus akan kekal di tangan Pakatan Harapan

 
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Selain daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir dijangka mampu dikekalkan oleh Pakatan Harapan sekali lagi.

Keyakinan ini diluahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa meraikan lebih 5000 hadirin yang membanjiri Rumah Terbuka Parlimen Permatang Pauh dan Dun Seberang Jaya di padang Taman Pauh kelmarin.

Menurut beliau lagi, kubu kuat PKR yang telah diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap dipertahankan kerana ia merupakan tapak permulaan perjuangan reformasi sehingga berjaya menjadi ketakutan Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga kini.

"Kemenangan PKR dan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat menjadi harapan menggunung rakyat yang inginkan perubahan.

"Rakyat semakin tertekan dengan pelbagai birokrasi, ketirisan, pemborosan dan kleptokrasi yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN kini.

"Oleh kerana itu kepimpinan yang menyiksa rakyat melalui pelbagai polisi mereka yang lemah dan menekan tidak harus dibiarkan berterusan, " jelasnya.

Katanya lagi, pengundi Parlimen Permatang Pauh sedia maklum mengenai pelbagai kebobrokkan yang menjadi amalan pemimpin kerajaan sedia ada.

Dalam pilihan raya umum ke-13lalu menyaksikan Anwar berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti 13,388 undi.

Manakala kerusi Dun Seberang Jaya dan Penanti dimenangi oleh PKR dan kerusi Permatang Pasir dimenangi oleh calon Pas, Datuk Mohd Salleh Man.

Sementara itu pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh pada 2015 menyaksikan sekali lagi kemenangan kerusi Parlimen itu oleh Dr Wan Azizah.

Dalam PRK ituWan Azizah berjaya mengekalkan sekali lagi kemenangan yang pernah dimenangi oleh Anwar apabila berjaya memperolehi majoriti 8841 undi.

Sekali gus kemenangan yang berjaya dikekalkan oleh beliau menangkis segala dakwaan bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh akan kecundang dan jatuh ke tangan BN.

Konsert Awie, gelek dangdut warnai 'Membangun Bersama Islam'

Persembahan penyanyi rock Awie menggegarkan stadium di Kota Bharu malam tadi
Slogan Membangun Bersama Islam yang menjadi identiti Kelantan sejak Pas menerajui negeri itu pada 1990 telah diwarnai dengan persembahan hiburan malam tadi yang berlangsung hanya pada jarak kurang 10 kilometer.

Tular di media sosial, konsert penyanyi rock Awie berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV manakala gelek dangdut oleh artis tempatan pula di Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan di Kampung Padang Tembesu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, membuat persembahan pada hari kedua Kelantan International Bike Week 2017 anjuran bersama kerajaan negeri Kelantan di bawah Urusetia Belia dan Sukan (Ubes) dengan Darulnaim Bikers.

Difahamkan seorang pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menyanyikan lagu di konsert vokalis kumpulan Wings itu.

Semalam, Awie bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood menyempurnakan gimik pelancaran program yang dilapor disertai 100 kelab motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara.

Gelek dangdut oleh dua penyanyi tempatan juga berlangsung malam tadi hanya 10 kilometer dari konsert Awie. Sementara itu, persembahan gelek dangdut di khalayak awam termasuk sekumpulan remaja lelaki dipercayai kumpulan dikir barat pula menampilkan dua penyanyi tempatan dikenali Wanie dan Linda yang masing-masing berpakaian warna hijau dan merah jambu.

Satu rakaman video menunjukkan sebelum bergelek lagu 'Secawan Madu', Linda yang berambut perang meminta hadirin meluangkan masa dua minit untuk menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada arwah anaknya yang meninggal dunia Februari lalu.

Kemudiannya, sebaik muzik bermula terdengar suara penonton lelaki yang membuat rakaman secara amatur itu berkata, "pusing kot ni etek" apabila kedua-dua penyanyi membelakanginya.

Laman Facebook salah seorang penyanyi itu atas nama Ayue Rosalinda II turut memuatkan gambar dan rakaman video secara langsung program tersebut berserta catatan penghargaan kepada semua pihak terlibat.

"Alhamdulillah. Selesai show mlm nie bersama rakan2 seperjuangan, trima ksih byak pda pihak tuan kerja krna mnjemput kami smua.

"Hope smua puas hati dgn prsembahan kami... Especially Die Kecana krna sudi mnjemput kami smua... Trima kasih byak2 smua,maaf klau ada salah silap dri kami...," dipetik daripada status yang dimuat naik kira-kira pukul 6 pagi hari ini.

Ayue Rosalinda adalah antara penyanyi tempatan yang terkenal dan dapat dilihat pada status Facebook tersebut yang mencatat lebih 1,100 'likes' hanya selepas empat jam dimuat naik manakala rakaman videonya menerima lebih 1,800 tontonan.

Walau bagaimanapun, banyak pihak mengecam kerajaan negeri yang dikuasai Pas tersebut yang sekarang dianggap banyak menyimpang hanya selepas dua tahun bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Pengguna media sosial turut menyifatkan kedua-dua persembahan hiburan tersebut bercanggah dengan ciri Kelantan yang sebelum ini digelar Serambi Mekah dan mempunyai banyak sekolah pondok dan ramai ulamak itu.

Tidak kurang juga menyindir Pas yang menerajui kerajaan negeri Kelantan pada masa ini sudah 'maju' Membangun Bersama Rock selain Membalak dan Melombong Bersama Ulamak.

Tindakan kerajaan negeri Kelantan membenarkan Awie yang merupakan pemilik kelab malam Malai Rock Station Bistro di Ipoh menyanyi juga dianggap bertentangan dengan peringatan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelang Ramadan lalu.

Beliau melarang pembelian makanan di bazar Ramadan daripada "orang yang tidak taat pada perintah Allah" termasuklah penjual yang tidak menutup aurat dan meninggalkan sembahyang.

Meterai perjanjian baru dengan PKR & DAP jika Pas mahu dilihat bermaruah

 Pakatan Rakyat
Pas harus memeterai perjanjian baharu dengan PKR dan DAP jika mahu dilihat bermaruah untuk terus berada dalam kerajaan Selangor, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, jika Pas tidak berbuat demikian parti itu akan terus dilihat mahu mengambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan Selangor.

"Rakyat memahami bahawa yang 'menceraikankan' hubungan kerjasama politik dengan PKR dan DAP ialah Pas oleh itu saya tidak mahu lihat 'parti saya' dan sahabat-sahabat saya dari 'parti saya' akan terus ditertawakan rakyat dan dilihat mahu ambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan Selangor.

"Sedangkan Pas telah isytihar akan menentang PKR dan DAP pada PRU14 nanti," kata Mahfuz dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pas Selangor bahawa rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas dalam PRU13 di negeri itu.

Menurut Mahfuz, PR adalah tahaluf siyasi tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP selepas PRU12 yang mengangkat kemenangan parti pembangkang sehingga dapat menguasai beberapa negeri.

Kesinambungan kerjasama antara tiga parti atas suara PR terus terjalin hingga kepada penyertaan dalam PRU13 yang lalu.

Namun jelasnya, tahaluf siyasi ini terungkai satu demi satu apabila Pas mengambil keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan DAP melalui muktamarnya di Kuala Selangor dan disahkan pula oleh Majlis Syura Ulamak Pas.

Ini katanya berlaku walaupun dalam masa yang sama pimpinan Pas masih mempertahankan kedudukan dalam kerajaan PR Selangor atas alasan PR masih wujud kerana Pas bekerjasama dengan PKR.

"Akan tetapi dalam keadaan ikatan hubungan masih terjalin di Selangor, terkini 'parti saya' juga telah memutuskan hubungan dengan PKR melalui keputusan muktamar di Kedah dan disahkan pula oleh Majlis Syura Ulamak.

"Ya, betul mandat rakyat pada PRU13 untuk PR tetapi persoalannya bagaimana pula pimpinan Pas mahu menghalalkan kehadiran keberadaan PAS dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sedangkan kerjasama politik dengan gabungan suara parti-parti pembangkang yang bersama sertai PRU13 atas sudah terlerai dan ditamatkan oleh Pas?" soalnya.

Beliau juga berkata, jika dahulunya Pas berhujah bahawa mereka boleh terus berada dalam kerajaan negeri kerana masih mempunyai hubungan dengan PKR, kini parti itu juga memutuskan hubungan PKR.

"Senario kini hanya yang masih ada kerjasama dari PR terdahulu ialah PKR dan DAP sahaja.

"Hujah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang juga MB Selangor ada kebenarannya juga kerana masih lagi mengharapkan kerjasama dengan 'parti saya' iaitu Pas untuk dapat berjalan terus dan terjalin semula," katanya.

"Jika pembangkang kususnya Pas mahu dihormati rakyat dan parti lawan mestilah sentiasa 'subur mekar' dengan amalkan sikap 'serumpun bak serai, sesusun bak sirih'," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...