TERKINI :

Saturday, July 8, 2017

Berjayakah SPRM memukat jerung

 Berjayakah SPRM memukat jerung
SYABAS kepada SPRM yang berazam untuk menangkap ‘ikan jerung’, seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin.

Beliau menafikan dakwaan dan persepsi umum selama ini kononnya agensi anti suap itu menyasarkan dan berani memerangkap hanya ‘ikan bilis’.

Sejak dulu-dulu lagi orang selalu mendengar jeritan SPRM untuk menangkap jerung. Tetapi yang selalu kedengaran masuk jaring hanyalah anak seluang, lebih-lebih pun ikan puyu.

Perihal jaring, biasanya ikan besar yang akan terperangkap: ikan kecil boleh menyusup keluar. Tetapi dalam kes rasuah, yang tersangkut ialah anak seluang, bapak jerung terlepas.

Maka selalu sangat orang bertanya, jaring jenis apa yang digunakan SPRM?

*SETAKAT ini angka dan fakta yang diberikan, memang menunjukkan kesungguhan agensi bebas itu untuk memukat dan menjaring jerung.

Seperti yang diberitahu Shamshun, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menahan 501 orang; 223 daripadanya adalah kakitangan awam.

Daripada bilangan kakitangan awam yang ditahan, 12 orang adalah pegawai-pegawai tinggi agensi kerajaan terutama membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ertinya, sepanjang enam bulan, dalam 501 yang dijaring SPRM, termasuk juga 12 ekor jerung @ purata dua ekor jerung setiap bulan.

Apakah jerung-jerung itu sudah disiang? Apakah perlu dipanggang? Atau, apakah patut dibuat gulai lemak tempoyak?

*SEPERTI yang dijelaskan sejak Januari – Jun tahun ini, 232 orang telah didakwa di mahkamah. Daripada jumlah tersebut, 113 orang telah disabitkan kesalahan.

Tidak pula diperincikan adakah bilangan yang didakwa dan disabitkan kesalahan itu termasuk 12 ekor jerung? Atau, apakah ikan bilis sahaja yang diheret ke muka pengadilan dan dihukum, sedangkan jerung relaks-relaks sahaja?

Sebagai contoh, apa kisahnya seekor jerung di Sabah yang menyimpan wang tunai RM juta-juta-juta dalam almari di rumahnya? Sudahkan dihukum setimpal, atau setakat digantung jawatan?

Menangkap jerung adalah satu hal, tetapi apa yang lebih penting umum mahu jerung-jerung pelahap, kemaruk dan ganas itu menerima hukuman setimpal.

Ketika memegang jawatan penting, jerung-jerung ini lupa diri, lupa daratan, lupa amanah, dan sanggup menibai RM berjuta-juta duit rakyat. Maka, sampai masanya mereka pula ditibai cukup-cukup.

*MENURUT Shamshun lagi, seperti yang disiarkan media, SPRM menjangkakan memecahkan rekod tertinggi dari segi jumlah tangkapan melebihi 1,000 orang sepanjang tahun ini.

Maka ramai berharap agensi itu juga memecah rekod dari segi tangkapan jerung. Umum ingin melihat pukat harimau SPRM tidak hanya menangkap seluang, haruan, jenahak, buntal dan lain-lain ikan biasa.

Almaklumlah, semua mengetahui dalam lautan rasuah negara ada banyak lagi bapak jerung, tok ki jerung. Ada juga bapak paus, Jaws, piranha, dan lain-lain ikan buas yang ‘ngap sana, ngap sini’.

Baik jerung kerajaan, jerung GLC, jerung korporat, pendek kata apa sahaja jerung, SPRM mesti berani dan tegas untuk menangkap ikan-ikan perosak itu. Jangan nanti orang tuduh SPRM pilih jerung...

CARBON KREDIT : KELANTAN NEGERI PERTAMA TERTIPU DAN MENIPU

Dalam DUN Kelantan pada Nov 2016, Dato Anuar Tan dalam ucapannya menyebut Kelantan adalah negeri pertama terlibat dalam perniagaan karbon kredit.

Setiap satu hektar hutan nilainya ialah 20 kredit, satu kredit harganya RM25.00. Kita telah serahkan 300,000 hektar hutan simpan kekal yang bernilai 600,000 kredit X RM25 = RM150 juta.
(Sepatutnya 6,000,000 kredit, mungkin Dato Anuar Tan tersasul atau tersalah baca).

Nah sekarang apa yang berlaku????

- Bank Negara telah senaraikan hitamkan Syarikat Climate Protector (Ecobit) kerana terlibat dalam aktiviti pengambilan dana awam tanpa kebenaran.
- Menteri dah umum perjanjian tersebut tidak diiktiraf oleh PBB.
- UNDP dah isytihar syarikat swasta tersebut tidak ada kaitan dgn PBB.

Nampaknya Dato Anuar Tan perlu tampil untuk mempertahankan MB setelah TMB dan Exco Exco lain berdiam diri.

Credit che ibrahim..

TANGANI RASUAH, PENYELEWENGAN DAN KRONISME MELALUI PERALIHAN KERAJAAN

Kenyataan Media | 07 Julai 2017

Skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin mendapat perhatian rakyat. Betapa sadisnya wang rakyat yang dikatakan sebanyak RM20 bilion telah disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkait rapat dengan MO1 untuk kegunaan peibadi termasuk sewaan kapal layar mewah, perkhidmatan hotel, pembuatan filem lucah dan lain-lain perkara yang merugikan rakyat dan negara.

Kini kerajaan Umno BN pula memainkan isu forex dalam mengalih tumpuan rakyat yang berasa marah dan dukacita mengenai penyelewengan  1MDB. KEADILAN mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai mana-mana isu atau skandal yang melibatkan wang negara.

Sebarang perlindungan penyelewengan 1MDB hanya akan memalukan nama negara bahkan dengan mudah masyarakat antarabangsa melabel Malaysia sebagai sebuah negara korup atau negara ditadbir golongan kleptokrat.

1. Saya ingin menyeru rakyat memikirkan tentang kos rasuah, penyelewengan dan kronisme yang selama ini diamalkan oleh Umno BN. Perkara ini bukan sahaja melibatkan 1MDB, malah juga merangkumi kes-kes besar seperti penyelewengan air di Sabah, kekayaan luar biasa pemimpin pemerintah secara tidak sah dan skandal perumahan bumiputera di Johor.

2. Hakikatnya kerajaan Umno BN, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan segelintir penjawat awam kini terlibat dalam gejala-gejala yang merugikan negara sendiri.

3. Hanya melalui reformasi dan peralihan kerajaan, maka peluang-peluang untuk mengatasi masalah ini akan terbuka, dibandingkan dengan mengekalkan Umno BN yang sudah terpalit dengan pelbagai cerita buruk dan isu yang memalukan negara.

Malahan jika peralihan kerajaan direalisasikan, rakyat sendiri akan mengetahui pelbagai kes yang sebelum ini tidak diketahui umum mahupun disebarkan oleh pihak media. Apa yang diketahui selama ini hanyalah “tips of the iceberg”.

4. KEADILAN bertekad untuk menyiasat skandal-skandal besar negara, terutama yang 'melenyapkan' sejumlah wang besar rakyat untuk tujuan kemewahan peribadi. Penubuhan RCI akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menyiasat kes-kes skandal dengan lebih mendalam.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Audit Negara dan pihak mahkamah perlu adil dalam proses siasatan dan penghukuman. Badan-badan pelaksana ini tidak seharusnya dicampur tangan oleh mana-mana parti politik demi memastikan orang yang bersalah diheret ke muka pengadilan.

5. KEADILAN akan bekerjasama dengan pihak-pihak negara luar dan Interpol bagi memastikan mereka (penjenayah) ini tidak lari berlindung di luar negara atas nama suaka politik, apabila kemenangan diberikan kepada Pakatan Harapan pada PRU14 kelak.

6. Pakatan Harapan juga akan melaksanakan siasatan khas bagi menjejaki semula wang-wang yang telah 'hilang', sama ada dicuri, disimpan di lokasi-lokasi tertentu atau dijadikan aset-aset mewah yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Dana-dana ini seharusnya dikembalikan kepada negara untuk membiayai hutang-hutang tidak produktif yang dijana oleh Umno BN, menyusun semula polisi percukaian negara bagi tidak membebankan rakyat, serta lebihan digunakan untuk program kebajikan yang menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan jurang lebar antara golongan kaya dan miskin.

Saya percaya dana-dana yang telah diseleweng mampu dikembalikan kepada rakyat demi membina semula negara Malaysia yang telah dirosakkan teruk oleh Umno BN akibat kegagalan membendung gejala rasuah, penyelewengan dan kronisme yang dimulakan sendiri oleh pimpinan atasan mereka.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat

ISU CARBON CREDIT & ECOBIT, MB KELANTAN BOLEH BANTU SELAMAT ORANG AWAM.

MB KELANTAN BOLEH BANTU SELAMAT ORANG AWAM.

Inisiatif Husam Musa mendedahkan projek Musang Ngenge, kerajaan Kelantan Carbon Credit yang telah meluluskan 1 juta ekar hutan simpanan kekal kepada Cilmate Protectors Sdn Bdh telah membongkar suatu jenayah bertaraf 1MDB yang pada masa ini sedang meratah orang awam yang ghairah untuk kaya.

Syarikat Climate Protectors Sdn Bhd yang menanda tangani perjanjian dengan kerajaan Kelantan itu rupanya terlibat dengan skim cepat kaya menerusi intenert yang menggunakan EcoBit. Skim berkenaan telah menggunakan projek Carbon Credit itu sebagai modal atau aset untuk mengabui mana awam yang melabur dalam skim berkenaan.

Dalam masa dua minggu sahaja, skim cepat kaya itu berjaya mengumpul RM17 juta. Para pelaburnya bukan sahaja dari Malaysia, tetapi di seluruh dunia, termasuk juga di kalangan pegawai kerajaan di Kelantan sendiri. Bayangkan kalau tanpa pendedahan Husam berapa banyak orang terlibat dan berapa banyak dana haram dikumpul.

Justeru MB Kelantan Ahmad Yakob tidak perlu marah dan terkilan dengan tindakan Husam. Walaupun sakit dan menyentuh kredibiliti kerajaanya namun ia masih membawa kebaikan. Orang ramai dapat dielakkan dari terus tertipu dengan kelicitan pengendali skim berkenaan. Sepatutnya Ahmad berterima kasih kepada Husam kalau tidak dimulut pun di dalam hati.

Sehubungan itu Ahmad Yakob bukan sahaja setakat meminta orang yang tertipu dengan skim EcoBit itu buat laporan polis, tetapi tindakan tegas perlu diambil dengan membatalkan segera perjanjian tersebut. Beliau harus membuat kenyataan terbuka dan tegas membatalkan perjanjian berkenaan serta merta.

Tindakan itu akan menyedarkan orang ramai dan juga mengejutkan pengendali skim berkenaan yang juga dipercayai pemegang saham terbesar dalam Climate Proctectors.

Sama-sama kita bergerak menghapuskan jenayah cyiber kerana ia merugikan rakyat dan negara. Dan sama-sama kita membuat pahala. Trims.

Mohd Sayuti Omar





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...