TERKINI :

Thursday, July 6, 2017

Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan membidas Husam berkenaan isu Karbon Kredit dan Hutan Simpan..

1. Belum lagi reda isu pertabalan Menteri Besar Negeri Kelantan oleh Kit Siang, yang banyak memberi impak negatif kepada parti Amanah di Kelantan berbanding nilai positif, maka satu isu perlu diperbesarkan segera yang bertujuan untuk mengalih isu pertabalan tersebut. Lalu dibuat dan disebar satu tulisan yang penuh dengan 'link' di sana sini dan 'copy paste' dari laman itu dan ini. Ia menyukarkan pembacaan seolah olah tulisan Datuk dibuat dengan tergesa gesa.

2. Dan sejurus itu juga, juak juak Tuan mulai menularkan tulisan berkenaan. Umpama peluru penabur yang ditembak secara rawak ke hutan, belum pun tahu ada tangkapan yang mengena atau tidak, tapi juak juak tersebut terus sahaja berlari menonong ke hutan untuk menunjukkan taat setia mereka.

3. Mereka sebut sejuta ekar tanah Kelantan 'digadai' dan dipertaruhkan. Mereka kait secara langsung Ecobit, Bitcoin, token, dana dan apa jua yang tidak berkaitan dengan Kerajaan Negeri untuk menampakkan betapa seriusnya isu ini.

4. Namun, apa cerita sebenarnya di sebalik Inisiatif Melindungi Alam Sekitar daripada Pemusnahan Hutan dan Degradasi (REDD) itu yang ditandatangani kerajaan Kelantan dengan sebuah syarikat swasta ini?

5. Tanah seluas 396,000 hektar atau hampir sejuta ekar ini dicagar atau digadai? Ia tercagar macam mana tuan? Hutan kita ada dua jenis iaitu Hutan Simpan Pengeluaran dan Hutan Simpan Perlindungan.

6. HS Perlindungan langsung tidak terlibat dengan apa apa aktiviti pengusahasilan seperti pembalakan dan perladangan. Ia hanya berfungsi untuk mengawal alam sekitar, yang bermaksud dari sudut 'monetary value', atau nilai ringgit, ia tidak dapat dinilai secara langsung kerana tidak dibalak dan diusaha-hasil untuk menjana ekonomi.

7. Jadi karbon kredit diberi kepada HS Perlindungan atas nilai karbon. Ia menilai stok karbon dalam kayu dan boleh dinilai dalam stok karbon antarabangsa. Sejuta ekar yang kumpulan tuan sebut sebagai digadai itu tidak akan terusik pun, tidak akan dibalak. Apa masalahnya? Apa maksud gadai itu?

8. Dalam tempoh 30 tahun, Kerajaan Negeri perlu dan wajib terikat dengan sejuta ekar kepada Climate Protector ini yang mana hutan tidak boleh dibalak atau dibuka untuk perlombongan mahupun perladangan. Bahkan ia lebih mudah kerana keluasan HS berkenaan sememangnya adalah HS Perlindungan.

9. Perjanjian itu juga tidak mengikat aktiviti pelancongan (Taman Negara), kegiatan orang asli, kepentingan awam seperti jalan raya, hospital ataupun sekolah. Jadi apa risiko yang ditakutkan?

10. Isu pengumuman oleh Bank Negara Malaysia, ia adalah 'Financial Consumer Alert'. Ia menggunakan kemudahan perjanjian antara Climate Protector Sdn Bhd dengan kerajaan negeri untuk mengutip dana awam.

11. Bukan maksud syarikat ini membuat penipuan secara terus. Ia hanya amaran kepada awam oleh BNM agar tiada pihak yang akan menyertai perniagaan melalui laman web berkenaan.

12. Normalnya, jika syarikat ini memang ada melakukan kegiatan haram, syarikat ini sudah pasti akan dikenakan tindakan undang undang, malahan boleh dibatalkan. Dan kerajaan negeri boleh menamatkan semua urusan dengan syarikat berkenaan.

13. BNM memberi 'alert' agar rakyat tidak terlibat. Adapun Kelantan tidak menerima apa apa laporan daripada Pihak Berkuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun keterangan mahkamah atas isu dan kedudukan syarikat ini.

14. Apa lagi isunya projek ini kepada "Sejuta Ekar" yang digegerkan itu? Ia tidak merubah apa pun daripada segi kemandirian hutan tersebut. Ada program karbon kredit atau tidak ada, hutan tersebut tetap Hutan Simpan Perlindungan! *Mudahnya, kalau projek ini berjaya, HS ini mampu menjana duit untuk negeri, walaupun tiada pembalakan ataupun perladangan yang dijalankan*. Ia memberi gambaran bahawa, walaupun Hutan ini disimpan dan dilindungi, ia tetap memberi keuntungan kepada rakyat apabila didagangkan ke peringkat antarabangsa.

15. Dan kesimpulannya juga, mengikut perjanjian sekarang, syarikat berkenaan diberi tempoh percubaan selama dua (2) tahun. Sebarang penipuan atau kesalahan yang dilakukan oleh syarikat yang bertentangan dengan undang undang negara sekiranya wujud, maka perjanjian akan secara automatik terbatal. Kerajaan Negeri sudah pasti akan memanggil syarikat ini bagi mendapatkan penjelasan sebenar atas isu 'amaran' oleh BNM.

16. Apatah lagi, turut tular petang ini akan pengumuman oleh Climate Protector bahawa mereka tidak terlibat dengan apa apa kutipan wang haram yang dikaitkan dengan projek karbon kredit.

17. Namun kenyataan yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), tentang program karbon kredit Kelantan yang akan menjejaskan program REDD Peringkat Nasional ada juga kebenarannya. Apabila Kelantan menjalankan aktiviti ini, secara tidak langsung penilaian stok karbon nasional akan berkurangan di mana kementerian terpaksa menolak stok karbon di Negeri Kelantan dan akan menyebabkan jumlah stok karbon nasional yang akan dimasukkan dalam program UNFFCC akan berkurangan dan kementerian mungkin terpaksa menjalankan semula kajian "National Baseline Carbon Stock".

18. Adapun "teguran" daripada Kementerian pada awal tahun ini, berkaitan program stok karbon Kelantan yang dikatakan tidak selari dengan REDD, ia terlalu teknikal dan rumit. Sehingga kini, tiada lagi dasar dan perundangan tentang karbon di negara ini, yang menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengambil apa apa tindakan kepada Kelantan. Sama ada pemilikan hasil karbon itu menjadi hak negeri atau pusat, juga tiada hitam putih di dalam perundangan negara.

19. Harapan kami kepada Datuk sempena sidang media atas isu ini dalam masa beberapa jam lagi, dedahkan juga mengenai individu yang terlibat dengan wang RM90 juta yang Datuk gegerkan sebelum daripada ini ya!

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Kelantan

Al-Kisah diantara Kerajaan Negeri, Hutan Balak, Karbon Kredit serta Skim Cepat Kaya ala Pak Man Telo

Pencerahan dr wall Ustaz ZOLA

CERITA KARBON KREDIT TAKAT YANG AKU PAHAM

1. Aku tau ada lebai yg penin cerita kredit karbon di negeri Islam tu. Lebai kata, alah... takkan ulama nak buat jahat. Percaya cukuplah, depa kan ulama. Ulama ni Tuhan jaga depa, mcm Tuhan jaga Nabi. Daging depa beracun tau, jadi jgn dok kata macam-macam kat depa.

2. Nak bagi lebai mudah faham, camni cerita kredit karbon di negeri Islam tu. Kredit karbon tu projek nak jaga alam semulajadi jgn rosak, antaranya hutan. Bab ni lebai kena baca banyak pasai rumah hijau. Utk makluman lebai, rumah hijau tu bukan markas parti lebai, tapi istilah yg ada kaitan dgn pemanasan global. Jgn lupa, baca juga pasai isu pemanasan global.

3. Kredit karbon ada biayanya drpd PBB. Kerajaan Malaysia juga ada rencananya dlm isu ini sebab benda tu inisiatif PBB. Punya nak dapat nama, negeri Islam tu buat awal, 9 Jan 2017, nak tunjuk kata depa hebatlah konon jaga alam sekitar.

4. Depa buat mcm tu sebab negeri Islam tu banyak tebang balak. Depa nak tunjuk kata depa juga jaga hutan, jadi depa serah sejuta ekar hutan negeri depa kpd Climate Protector Sdn Bhd. Ketua syarikat tu org cina nama Tan Too Siang. Syarikat tu kononnya akan jaga elok-elok sejuta ekar hutan negeri Islam tu. Baguslah tu pasai nak jaga hutan.

5. Climate Protector ni dia berniaga, tentulah dia nak untung. Nak jaga hutan kena ada duit. Nak dapat biaya drpd PBB nak jaga hutan pun kena patuh kpd terma PBBlah. Bukan mudah nak dapat sbb benda tu berkait dgn kerajaan pusat, undang2 antarabangsa, piawaian dunia dan macam2 lagi. Kerajaan pusat pun tak buat lagi, sebab bukan mudah, tiba-tiba negeri Islam tu pi buat. Kira hebatlah tu...!

6. Mana Climate Protector nak cekau duit nak jaga sejuta ekar hutan? Ha ha ... timbullah isu, syarikat tu buat kerja mcm Pak Man Telo buat. Pak Man Telo himpun duit orang dlm guni, syarikat tu himpun duit orang pakai komputer. Ni lah orang panggil crypto currency (duit maya). Bab crypto currency ni lebai kena study sikit la termasuk dari sudut hukum syarak.

7. Operasi crypto currency ni tak ada undang2 dan pantauan BNM. Jadi akhirnya, syarikat tu kena senarai hitam dgn BNM. Khabarnya, syarikat tu dah kumpul berbelas-belas juta ringgit dgn cara itu, dan katanya, kerajaan negeri Islam pun dah dapat habuannya drpd duit itu sebagai imbalan kpd serahan hutan sejuta ekar selama 30 tahun itu.

8. Apabila syarikat itu kena senarai hitam dgn BNM, isunya ialah, apa jadi dgn perjanjian yg dibuat dgn kerajaan negeri Islam itu? Duit yg kerajaan negeri Islam tu terima dah belanja kemana? Takkan negeri Islam ada perjanjian dgn syarikat kena blacklist dgn BNM? Pejabat syarikat tu pun dah tak wujud, apa jadi? Bolehkah kerajaan Islam buat perjanjian dgn syarikat yg ada unsur uncertainty (gharar) sebegitu? Bab gharar ni pun lebai kena study jugaklah...!

9. Sebab itu SAM bantah perjanjian tu dan minta penjelasan lanjut drpd kerajaan Islam itu. Bagi SAM, perjanjian itu penuh dgn ketidaktentuan dan menjejaskan usaha kerajaan pusat dlm isu ini. Maknanya, tindakan kerajaan negeri Islam itu akan menjejaskan usaha kerajaan pusat dlm isu karbon kredit ini. Ini suatu yg tak patut berlaku.

10. Isu ni Husam dah dedah. Bola di kaki pemimpin kerajaan Islam utk jelas kedudukan sebenar. Jangan sapu isu ni masuk bawah sejadah. Ini isu sejuta ekar hutan negara. Hutan tu hak rakyat, bukan hak lebai. Kalau lebai tak tau nak urus, beritahu terus terang, jgn rosakkan alam dan punahkan kehidupan rakyat. Sekarang, pemimpin kerajaan negeri Islam kena jelaskan kedudukan sebenar isu ini supaya semua rakyat tahu dan faham.

11. Banyak lagi yg boleh aku tulis. Tapi cukuplah takat tu utk bahan bacaan ringan kpd lebai. Sekian, drpd Zola utk lebai. Selamat membaca.

- ZOLA
05/07/2017

KREDIBILITI PEGUAM NEGARA DI HUJUNG TANDUK

KENYATAAN MEDIA
www.amanah.org.my

Bantahan yang dibuat oleh peguam negara dalam membantah saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dana yang diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletakkan kredibiliti beliau di hujung tanduk. Ini kerana beliau sepatutnya sudah bertindak tegas terhadap perompak dana syarikat pelaburan negara bersandarkan laporan tempatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Keengganan Tan Sri Apandi Ali untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas sesiapapun dari perompak dana 1MDB adalah satu tindakan yang seolah-olah cuba untuk mempertahankan perompak wang rakyat. Di mana kredibiliti beliau  sebagai seorang peguam negara?

Selagi mana peguam negara tidak bebas dari pengaruh politik penguasa, selagi itu juga tiada tindakan akan diambil terhadap dana yang diselewengkan daripada 1MDB. Kredibiliti beliau sebagai seorang peguam negara sangat tercalar.

Sekiranya Apandi seorang yang bertanggungjawab, sudah lama tindakan telah beliau ambil tanpa perlu menunggu akan 'tiga tindakan undang-undang DoJ' atas pensonglapan dana 1MDB! Berkali-kali Pakatan Harapan dan NGO serta individu bekas institusi kehakiman negara mendesak beliau agar memulakan tindakan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Sharul Azrai Ibrahim Hilmi.

Laporan PAC dengan jelasnya pada muka surat 94, Jadual 15 laporan PAC, menyatakan pelbagai kesalahan Sharul termasuk memindahkan US$700 juta kepada akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik Jho Low pada 29 September 2009. Sehingga hari ini Sharul dibiarkan bebas bahkan boleh memegang jawatan penting dalam GLC yang lain!

Berhubung Saman Sivil DoJ, laporan pertama DoJ setebal 136 muka surat pada 20 Julai 2016 sudah cukup untuk meruntuhkan segala maruah dan integriti kepimpinan negara oleh MO1 yang merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, 251 muka surat laporan ketiga DoJ telah mendedahkan wang rompakan dari 1MDB termasuk perihal US$620 juta (RM2.6 bilion) yang kononya wang derma itu telah dipulangkan (returned donation) oleh mereka kembali kepada 'penderma budiman Pak Sheikh Arab Saudi' oleh Najib.

Dalam laporan ketiga ini, Jho Low, penerima US$620 juta itu, telah antara lain didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membeli 'kalung berlian merah jambu' bernilai US$27.2 juta untuk isteri MO1 dan pelbagai perhiasan mewah untuk perhiasan isteri MO1.

Dalam suasana genting ketika ini, terdapat hanya dua pilihan untuk Apandi berhubung skandal kewangan terbesar yang melanda kita pada hari ini. Pertama, beliau segera mendakwa mereka yang terlibat bagi memulihkan emej beliau sebagai peguam negara atau letak jawatan segera.

#AmanahDemiNegara

*MOHAMAD SABU*
Presiden
Parti Amanah Negara

*6 JULAI 2017*

Ingat tak lagi.. 6 bulan lepas NAJIB dah buat pinjaman melebihi RM160 bilion..!!

Mahathir: Najib pinjam lagi...
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

19 DISEMBER 2016

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan dengan langkah kerajaan yang dakwanya membuat terlalu banyak pinjaman.

Menerusi tulisan terbaharu di  blognya, Mahathir mendakwa, kerajaan kini telah meminjam melebihi RM160 bilion ekoran kekangan kewangan negara ditambah dengan nilai Ringgit yang jatuh.

"Nilai Ringgit jatuh teruk – bermakna lebih banyak Ringgit diperlukan untuk membayar hutang dengan Dolar Amerika atau Yuan. Dari manakah duit ini akan datang. Hutang lagi atau naikkan cukai dalam negeri dan GST. Dan ini akan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi," tulis Mahathir di blognya chedet.cc

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun tidak dapat dinafikan projek-projek mega diumumkan Najib menarik, namun yang tidak menariknya adalah kesan daripada pelaksanaan projek-projek berkenaan.

"Ya. Memang rancangan keretapi Pantai Timur adalah projek gilang dan gemilang. Yang tidak gilang gemilang ialah beban hutang. Rakyat Malaysia yang akan tanggung beban ini berpuluh tahun," katanya.

Mahathir mengulas mengenai tindakan Najib sebelum ini yang mengisytiharkan pinjaman sebanyak RM55 billion dari sebuah syarikat ketika lawatannya ke China.

Pinjaman ini adalah untuk membangunkan landasan keretapi elektrik di Pantai Timur.

"Tetapi berkenaan pinjaman sebanyak RM55 billion untuk landasan keretapi, kita boleh ramal ke mana akan perginya wang RM55 billion ini.

"Kalau benar kos landasan Pantai Timur ialah RM55 billion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini," katanya.

Dakwa mahathir lagi, China pastinya akan membawa masuk teknologi dan pekerja dari negara mereka.

"Projek ini akan ambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun, mungkin lebih. Pekerja mereka, seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana," katanya.

Namun pada masa yang sama kata Mahathir, hutang sebanyak RM55 billion dengan faedah perlu dilunaskan oleh negara ini.

"Mungkin pembayaran akan ambil masa 30 tahun atau lebih. Jumlah bayaran bersama dengan faedah selama 30 tahun akan meningkat kepada RM90 billion.

"Kemudian datang keperluan membeli “rolling stock” iaitu gerabak-gerabak elektrik yang akan menelan belanja berbillion lagi. Sekali lagi wang berbillion akan mengalir keluar negeri," katanya.

Malah kata Mahathir lagi, pekerja luar yang dibayar gaji di sini akan dihantar separuh balik ke negara mereka. Sekali lagi wang kita akan mengalir keluar negeri.

"Sepatutnya bayaran balik semua ini, hutang, kontrak, alatan untuk landasan dan gerabak elektrik datang dari keuntungan operasi keretapi pantai timur. Bolehkah kita dapat cukup pendapatan menjual tiket keretapi atau muatan barangan antara pantai barat dengan pantai timur?," katanya lagi.

Justeru kata Mahahir, soalan yang perlu dibangkitkan lagi, adakah sesudah siap perkhidmatan itu nanti, ianya akan menjadi pilihan rakyat di Pantai Timur jika mereka ada pilihan pengangkutan lain.

"Jika tiket keretapi Pantai Timur dijual dengan harga yang tinggi mungkin ramai yang akan pilih penerbangan.Jika harga tiket rendah keuntungan mungkin tidak diperolehi.

"Jadi hutang dan kos serta kerugian perlu ditanggung oleh kerajaan dari dana campuran atau consolidated Fund," kataya





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...